25 April 2011

New Zealand: Part 1 - The Housekeepers, Teraniaya & Tertekan.

"Akak, macam mana ni? Duit belum cukup. Kina dah rasa nak give up dah ni."

"Sabar Kina. Kita usaha sama-sama okay"


Siapa cakap nak anjurkan Global Outreach Program (GOP) tu senang? Setiap kali buka e-mail, buka Facebook, telefon bimbit berbunyi, rasa risau dan gentar. E-mail dari universiti di New Zealand yang menolak permohonan lawatan ke kampus. Mesej di Facebook dari Miss Nadwa (pensyarah UTM yang sambung belajar di Dunedin) meminta untuk e-mailkan tentatif program. Panggilan telefon dari syarikat perlancongan yang mengatakan duit masih belum habis dibayar.

Allah saja yang tahu berapa banyak air mata dah mengalir, berapa banyak peluh yang keluar, berapa banyak kali berbalah dan bergaduh dengan bermacam-macam jenis orang. Syukur Alhamdulillah, akhirnya kaki jejak juga ke sana.

Dua minggu sebelum tarikh GOP ke New Zealand, saya bangun pagi dengan rasa sangat tertekan. Syarikat pelancongan masih belum memberi tentatif program kerana duit belum habis dibayar. Tanpa tentatif program, susah untuk membuat perancangan dengan universiti di NZ. Dalam hati sudah pun terdetik, 'Cukuplah semua ni. Tak payah pergi NZ.' Penat. Seminggu sebelum ke NZ, duit masih tidak cukup. Kalau sedikit, mungkin boleh dipertimbangkan lagi. Masalahnya, jumlah yang tidak cukup itu teramat banyak. Boleh beli 2 biji motor Nuovo.

Satu perkara yang boleh saya banggakan, jika orang lain pergi GOP mendapat penajaan beribu-ribu, kami pergi GOP dengan usaha dan keringat sendiri. Lebih 200 proposal penajaan dihantar ke syarikat-syarikat yang pelbagai latar belakang. Daripada 200, kami hanya mendapat 4 penajaan. Jumlah penajaan tidaklah banyak mana. Jika hendak bayar tiket penerbangan kami 21 orang juga tidak cukup. Kami tidak mempunyai 'kabel' besar untuk membantu kami. Saya kira dugaan paling besar bagi kami adalah duit. Tidak dinafikan, kos GOP ke New Zealand memang mahal. Tiga kali kos ke Beijing, Korea, Thailand.

Macam mana nak cari duit? Soalan yang sangat susah nak jawab.

Kami berniaga di Festival Keusahawanan, memulakan projek Bumblebee Gifts, recycle poster PRK dan banyak lagi. Akhirnya kami terpaksa juga menebalkan muka 3 inci untuk meminjam duit.

Secara tidak rasmi, kami menjadi orang gaji separuh masa - The Housekeepers. Kami pergi rumah ke rumah, bertanya sama ada kami boleh menolong untuk membuat apa-apa kerja rumah. Bayarannya terpulang kepada tuan rumah, cukuplah sumbangan yang ikhlas. Kami membasuh kereta, menyapu, seterika pakaian, mengalih perabot, mencuci kolam ikan, menyusun buku, telan habuk, dan sewaktu dengannya. Alhamdulillah, dapat juga menampung sedikit perbelanjaan. (Jadi Housekeeper lagi untung dari kerja kerajaan. Erkk, nak jadi orang gaji part time yang rasmi ke?)


"Nah, ambik lah duit ni," Seorang pakcik menghulurkan RM50 sambil membuka pintu. Pelik sedikit kerana duit diberi dahulu sebelum kerja diberi.

"Awak semua nak buat kerja apa? Takde apa-apa pun yang nak buat, tapi kalau awak semua basuh kereta sanggup ke?"

"Boleh je pakcik, takde masalah."

"Tak perlu basuh guna sabun pun. Bilas dengan air pun takpe."

Selepas siap membasuh kereta, kami dijamu makan. Air 100 plus dan blueberry cheesecake dihidang. Sambil makan, kami berborak dengan tuan rumah. Cerita tentang GOP, masalah yang diahadapi, serba sedikit diceritakan. Tidak lama kemudian, pakcik tersebut masuk ke dalam rumah semula dan keluar sejurus selepas itu.

"Lepas dengar cerita awak semua tadi, pakcik kesiankan kamu. Jadi pakcik nak bagi sedekah pakcik. Ambik lah ni," Dihulurkan tiga keping not RM50.

"Ni ada lagi RM10 makcik bagi. Ni untuk awak semua makan tengahari. Nanti bahagikanlah ya." MasyaAllah. Allah sangat baik!

Alhamdulillah, dipermudahkan.

Rezeki kami dipertemukan dengan pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia yang menggunakan khidmat kami. Dengan empat orang tenaga kerja, kami menyerang rumah dua tingkat di Pulai. Kedua-dua tingkat divakum, sapu dan mop. Baju-baju diseterika, pinggan mangkuk dibasuh, perabot disusun semula dan baju dilipat. Banyak lagi pengalaman menjadi Housekeeper yang boleh dikongsi. Kebetulan, kami juga ke rumah ibu kepada pemilik Al-Ikhsan Sports.

Malam sebelum bertolak ke NZ, saya mendapat panggilan dari syarikat perlancongan kami. Tahap tekanan yang sudah berkurang sedikit naik semula selepas mendapat berita duit yang dibayar masih belum cukup. Alasan mereka, invois yang mereka beri itu salah kira. Marah, geram, sakit hati, tertekan. Mana nak cari duit beribu-ribu dalam satu malam? Saya membuat keputusan untuk cancel booking penginapan di Dunedin. InsyaAllah Miss Nadwa boleh tolong kami untuk cari tempat tidur. Anggapan saya masalah itu telahpun selesai kerana ejen itu telah bersetuju.

Pagi sebelum bertolak ke Terminal LCCT Kuala Lumpur, kami dapat tahu bahawa tempat penginapan di Dunedin tidak dapat dibatalkan. Tiga jam sebelum bertolak, ejen itu mengambil keputusan untuk membatalkan semua makan kami sepanjang berada di NZ. Jujur, masa tu saya nak tarik diri. Letih melayan perangai orang. Kalau diberi peluang untuk menganjurkan GOP lagi, saya tidak akan menggunakan syarikat pelancongan.

Di LCCT, kami ditemukan dengan pemandu pelancong kami. Kecewa. Saya menjangkakan pemandu pelancong itu adalah orang NZ sendiri yang lebih mengetahui NZ. Sudahlah bayar mahal-mahal, tapi dapat pemandu pelancong Malaysia. Rasa tertipu. Allah lebih mengetahui siapa yang teraniaya dalam hal ni. Tiba di Christchurch Airport, pemandu pelancong tersebut telah ditahan oleh imigresen kerana menggunakan visa pelawat dan bukannya visa kerja. Malam itu, dia dihantar pulang ke Malaysia. Maka kami ditinggalkan terkapai-kapai di negara orang. Nasib kami ada di tangan Tony. Siapa Tony?

InsyaAllah bersambung dengan gambar-gambar. :)


23 April 2011

Anak

Semasa makan tengahari tadi, saya lihat sepasang suami isteri bersama dua orang anak. Seorang berumur dalam lingkungan 2 tahun dan seorang lagi masih bayi, mungkin tidak sampai setahun. Anak lelaki yang berusia 2 tahun itu berambut kerinting dan mempunyai kulit putih gebu. Badan dan pipinya sedikit tembam. Memang comel.

Asyik melihat telatahnya, saya lihat dia mencapai kereta mainan kanak-kanak yang ada di kedai makan itu. Mungkin milik anak kepada tuan punya kedai tersebut.

Tiba-tiba ibunya bersuara.

"Eyh, kau jangan perasan nak main benda tu lah. Dah lah gendut, ada hati nak main."

Saya terkejut. Tak terkata apa-apa. Sampai hati seorang ibu mengatakan begitu kepada anaknya sendiri.

Si ibu yang masih menggendong bayi kecil itu terus berlalu dan duduk di meja makan. Si ayah yang sejak tadi mengambil makanan menuju ke arah meja si ibu. Lalu si ayah pula bersuara.

"Weh gendut, meh makan!"

Astaghfirullah. Anak sekecil itu sudah diberi nama gelaran yang bukan-bukan. Jangan sampai melekat hingga ke tua sudah.

Dari jauh saya lihat kanak-kanak comel itu mencubit si adik yang didukung ibunya. Si adik menangis kesakitan. Tangan si ibu naik ke peha si abang dan mencubitnya pula.

"Isyh budak ni, buli adik pulak. Pegi main jauh-jauh!"

Kanak-kanak sekecil itu sudah pandai cemburu. Kita tidak perlukan Ijazah Sarjana yang major dalam bidang psikologi dan minor dalam bidang pendidikan kanak-kanak untuk mengetahui perasaan mereka. Cukup sekadar memerhati dan empati.

Teringat kata-kata penyelia PSM saya, Dr Salleh. "Kalau kau tengok budak-budak yang rosak & buruk perangai, memang sah tu salah mak bapak dia. Tak payah nak salahkan TV, kawan-kawan atau pun benda-benda lain. Macam mana mak bapak dia didik dia, macam tu la dia jadi. Bukan orang lain."

"Kalau kau dah kahwin & ada anak-anak, kau jagalah anak kau sendiri. Kalau biar orang lain jaga, macam mana anak-anak kau nak jaga kau bila kau dah tua nanti? Kau pun tak pernah jaga diorang masa diorang kecil pastu kau ada hati nak diorang jaga kau bila kau tua. Diorang tak pernah kenal mak bapak diorang sebab orang lain jaga diorang, jadi macam mana diorang nak kenal kau, nak dengar cakap kau?"

Dr Salleh memang sempoi. Gaya bahasanya juga sempoi. Harap tiada yang terasa hati. Saya percaya setiap ibu bapa sedang mencuba untuk jadi yang terbaik. Setiap orang juga mempunyai prioriti masing-masing, maka terpulanglah.

Semoga wanita-wanita yang membaca entry ini dijadikan ibu solehah, dan laki-laki yang membaca entry ini menjadi ayah yang soleh.

Wallahu'alam.


p/s: Tangan sangat gatal nak update blog padahal Isnin ni perlu hantar thesis & Isnin ini juga 1st paper untuk finals, Biotransform. Tolong doakan saya sahabat-sahabat. :)

p/s lagi: insyaAllah akan update tentang New Zealand lepas habis final Biotransformation.

27 March 2011

Wangi

Suasana riuh rendah dan bising. Mata melilau melihat deretan gerai-gerai.

"Ha dik, mai singgah beli perfume!"

Seorang lelaki menyahut dari sebelah kiri. Saya menoleh sedikit dan bersuara sambil berjalan.

"Takpe, takp.." Belum sempat habis perkataan itu, saya rasa ada sesuatu dicalitkan ke lengan jaket saya.

Senggang masa antara toleh dan bersuara itu, walaupun hanya dua patah, cukup untuk lelaki itu menghampiri saya dan mencalit perfume. Dalam keadaan masih berjalan dan agak terkejut dengan tindakan lelaki tadi, kepala masih tertunduk memerhatikan lengan. Sejurus kepala diangkat, ada lelaki lain menghampiri dari sebelah kiri dan mencalit perfume buat kali yang kedua.

Keadaan sekeliling yang sesak membuatkan saya tiada pilihan selain terus berjalan. Mau dimarahi orang kalau berhenti tengah-tengah jalan secara tiba-tiba. Selang beberapa gerai, saya menarik sahabat di sebelah.

"Kureng betul mamat dua orang tadi tu. Selamba je calit perfume kat Kina. Tak rasa segan pulak nak calit kat tangan perempuan. Tak sempat nak buat apa-apa pun." Geram. Kalau boleh, mau saja sekeh mereka berdua. Kalau boleh. Tapi tak boleh kan?

"Tu lah, cuba tegas sikit lain kali. Jadi garang sekali-sekala."

Saya mengangkat lengan menghampiri hidung. Baunya menusuk ke rongga hidung.

"Cuba bau ni. Eee..tak sukanya!

"Sabar..bukannya Kina nak pakai kan? Salah mamat dua orang tu lah."

Senyap. Ranap mood malam itu. Persoalan yang berlegar dalam kepala otak sepanjang malam:

1. Kenapalah ada lelaki macam ni?
2. Kenapa ada perempuan yang tak kisah menghulurkan tangan untuk dicalit perfume? Dicalit oleh lelaki tu satu hal, inikan memakai perfume yang baunya boleh dihidu dari sebatu.
3. Salah siapa sebenarnya sehingga benda begini dianggap remeh? Lelaki atau perempuan?


أيما إمرأة استعطرت فمرت بقوم ليجدوا ريحها فهي زانية

Maksudnya: Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian dan lalu pada sekumpulan manusia supaya lelaki tadi itu menghidu bau wanginya maka wanita tadi medapat dosa zina. (Hr Tirmizi dan Ahmad- hasan)


Wallahu'alam.

21 March 2011

Karipap-karipap PSM

Hari ini 21 Mac.
Tarikh akhir untuk masuk lab dan siapkan PSM adalah 16 Mac.
Semua cell contam & mati.
Hampir satu setengah semester menghabiskan masa di lab.
Awal pagi, lewat malam, overnite, hujung minggu, cuti sem, cuti raya.
Result yang ada sekadar cukup makan.
Simposium dan presentation minggu depan.
Ulang semula semua eksperimen?
Mustahil. Tiada cell yang hidup.
Buntu.

Semester ini mungkin yang paling kronik.
Harus berkongsi kasih dengan 4 subjek killer fakulti, 2 subjek sains sosial (agak killer bagi student bio macam kami yang susah nak hadam segala macam teori sains sosial ni) & PSM.
18 kredit mungkin nampak macam ringan.
Tapi jam kredit itu tak termasuk masa yang diambil untuk 'dating' di lab.

"Teknik korang memang teruk lah. Habis semua cell contam."

"Dah takde cell yang hidup untuk korang teruskan PSM korang. Apa korang nak buat sekarang?"

"Korang semua tak layak sambung master."


Dalam keadaan begini, akal dan fikiran harus mengatasi emosi.
Harus tenang.
Tenang tu macam mana?
Kalaulah tenang itu seperti karipap yang boleh dibeli dan dimakan.

Bila berlaku begini, mahu sahaja berhenti.
Stop & quit.
Extend? Allah, jauhkan lah.
Master? Fikir banyak kali.


"Awak, jom berhenti belajar & kahwin nak?"

"Haha. Jom! Daripada kena marah hari-hari & stress sebab eksperimen asyik fail je, baik kita kahwin kan."

"Tu lah, duduk kat rumah, goyang kaki, masak untuk suami & anak-anak, jadi isteri solehah. Dah ada jaminan masuk syurga dah."

"Betul!"


Nak kena sekeh dengan babah?
Not gonna happen!
Hehe.

Bertenang.
Ni baru PSM.
Bukan Perang Badar, bukan Revolusi Mesir, bukan rusuhan Great Britain.
Pasti ada jalannya.
3 tahun berjuang, tak kan nak putus asa?


"Kina, anggap je PSM ni tarbiyyah dari Allah. Dia nak kita sedar yang kita ni cuma hamba, mana mampu menandingi kehebatanNya. Dia nak kita sedar betapa kerdilnya diri kita dengan ilmu yang tak seberapa. Dia yang menciptakan dan mematikan. Benda kecik macam ni pun kita tak mampu nak buat. Skop kecik macam ni pun kita susah nak belajar dan faham. Allah Maha mengetahui segala-galanya. Allah yang paling hebat dalam semua bidang."



Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi.
Yang menciptakan lalu menyempurnakan penciptaanNya.
Yang menentukan kadar dan memberi petunjuk,
dan Yang menumbuhkan rerumputan,
lalu dijadikanNya rumput itu kering kehitam-hitaman.
Kami akan membacakan Al-Quran kepadamu sehingga engkau tidak lupa,
kecuali jika Allah mengkehendaki.
Sungguh, Dia mengetahui yang terang dan tersembunyi.
[87: 1-7]



Selamat ditarbiyyah dengan PSM!



p/s: Saya perasan, sejak akhir-akhir ini kebanyakkan entri saya membawa mood sedih dan stress. Mungkin ini kesan daripada PSM. Hipotesis saya, semakin lama melayan PSM, semakin banyak kebahagiaan yang diragut. Boleh terima tak? :)


*PSM: Projek Sarjana Muda atau Final Year Project.

04 March 2011

[3:139]

"Kina, kenapa mata kuyu je?"

"Ehh, baru bangun tidur ke?"

"Kina, asyik mengantuk je dalam kelas kenapa?"

"Ni mesti busy sangat dengan PRK la kan. Kempen sana sini, tu yang asyik mengantuk je dalam kelas."

"Malam semalam kau buat apa sampai mengantuk pagi-pagi ni?"

"Kina, kenapa muka pucat?"

"Selesema lagi? Ni mesti tidur lambat malam tadi. Busy apa sekarang?"

"Awak ni muka tak bermaya je kenapa?"

"Kenapa tak pergi kelas tadi? Bangun lambat ke?"

.

.

.

.

Tolong jawabkan soalan-soalan di atas boleh? Maaf, saya tak pandai berkongsi hal peribadi dengan orang lain. Bila soalan-soalan ini diajukan, saya hanya mampu senyum.

"Kina, awak okay tak ni?"

"Okay je, saya kan gagah perkasa." Senyum lagi.

Maaf sahabat. Bukan menipu, tapi betul, saya tak pandai berkongsi hal peribadi sebegini. Biarlah orang nak kata apa sahaja.

Allah kan ada.. :)

"Dan janganlah kamu merasa lemah, dan jangan pula bersedih hati, kerana kamu paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman." [3:139]

Semoga kita semua termasuk dikalangan orang yang beriman. InsyaAllah.

02 March 2011

Jarang

Semasa di matrik, saya pelik dan tertanya-tanya kenapa seorang sahabat ini memakai tudung kecil (inner tudung) sebelum memakai telekung untuk solat. Saya juga pelik kenapa sahabat ini memakai t-shirt dua lapis sebelum memakai telekung. Apa tidak panas?

Lama kemudian baru saya tahu jawapannya.

JARANG.

Telekung kita ni kebanyakkannya jarang wahai adik-adik, kakak-kakak, sahabiah sekalian. Kalau tak percaya, sila perhati betul-betul sewaktu solat jemaah. Lihat orang di hadapan anda.

Jika dia tidak memakai anak tudung, pasti nampak bayang rambut disebalik telekung itu.

Kalau dia tidak memakai tudung dan hanya memakai anak tudung, pasti nampak bayang leher disebalik telekung itu.

Kalau dia memakai baju lengan pendek, pasti nampak bayang tangannya.

Jika dia memakai kain telekung, pasti nampak bentuk kakinya.

Syarat sah solat adalah menutup aurat yakni tidak menampakkan bentuk badan serta jarang.

Nabi bersabda bermaksud: "Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia, dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liuk badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh." (Hadis riwayat Muslim)

Sahkah solat kita jika bertelekung tetapi jarang dan menampakkan tubuh badan? Mari perbetulkan yang mana yang salah. Pakailah inner tudung, baju berlengan panjang dan tidak ketat dan gunalah kain yang tebal (susah sangat guna je kain pelikat).

Panas? Ingatkan kepada diri bahawa panas lagi api neraka. Naudzubillah.

Kepada wanita yang membaca entri ini, semoga diberi kekuatan untuk terus mujahadah dan istiqamah. Kepada lelaki yang membaca entri ini, semoga diberi kekuatan untuk menjadi tidak dayus dan sentiasa mengingatkan wanita-wanita disekeliling anda.


Wallahu'alam.


p/s: Saya ada menjual telekung dua lapis yang tidak jarang dan tidak perlu memakai inner tudung atau baju berlengan panjang. Jika berminat, boleh hubungi saya. :)

p/s lagi: Aurat dalam solat dengan aurat luar solat kan sama..jadi kenapa semasa nak jumpa Allah baru nak tutup-tutup, memakai yang longgar dan tebal, tapi kalau di luar solat sebaliknya? Peringatan untuk diri sendiri yang hina ini juga. Ayuh muhasabah!

12 February 2011

Unstable

1.19 am.

Chat di FB dengan seorang kanak-kanak ribena yang sudah tidak kanak-kanak lagi.



"Ayiieee.."

"Yep?"

"Kenapa tak tidur lagi? Esok tak kerja?"

"Tak lah. Esok nak pegi reception tu"

Oh, lupa. Esok majlis walimah Iman, sepupu saya.

"Ooo, okay. Jangan tidur lambat. Jangan tak bangun Subuh pulak."

"Okehh"

"Lepas solat, jangan lupa doakan mama & babah. Doakn Abang Kyrul & Abang Kyril. Doakan kakak sihat..huhu. "

"Selalu."

"Okay lah, nak tidur ni. Nite nite. Ailebiu. Daaa"

"Ewww.. "


Physically and emotionally unwell, jadi tak pelik kalau entry sebegini yang dipost di tengah-tengah malam. Missing home. Missing myself. Missing HIM, Allah The Almighty.

Terima kasih kepada seorang kakak yang telah memperkenalkan saya dengan sebuah blog yang saya kira sangat memberi inspirasi dan motivasi kepada diri ini. Secara rasminya ada dua blog yang saya sedang stalk sekarang. Blog siapa? Tak perlu tahu. :)

Petikan dari blog hamba Allah itu:

Kekasih pilihan Allah akan dihadiahi dugaan hebat, tanda kasih Nya yang tidak ternilai. Jalannya dihiasi dengan duri-duri luka, tidak dibiarkan lena dalam nikmat melimpah, tetapi disajikan dengan keperitan yang tiada berkesudahan. Terimalah dengan hati yang ikhlas.

Ikhlas itu rahsia antara manusia dan Allah s.w.t., malaikat tidak tahu dan tiada upaya mencatatnya, syaitan juga tidak mengetahui dan tiada upaya untuk merosakkannya.



Wallahu'alam.


p/s: Maaf entry kali ni bercelaru dengan bahasa rojak ala pasembor Penang. Mood untuk menulis dengan bahasa sastera tiada buat sementara waktu. Note to self - jangan jadikan blog tempat luahan perasaan, tapi jadikan ia medium dakwah wa islah. InsyaAllah. :)

23 January 2011

Lelaki Dayus

Fiest'U. Festival Keusahawanan Mahasiswa. Gerai kami berhadapan dengan gerai Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia yang menawarkan perkhidamatan urutan refleksologi. Seminggu berniaga, seminggu juga lah berhadapan dengan gerai mereka.

Kagum dengan mereka yang mengurut dari pagi hingga ke malam. 'Tak lenguh tangan ke?' Saya kurang pasti berapa yang perlu dibayar untuk setiap perkhidmatan urutan. Yang pasti, terdapat perkhidmatan refleksologi kaki sahaja dan juga urutan seluruh badan.

Cumanya ada suatu perkara yang membuatkan saya dan rakan-rakan yang menjaga gerai tidak senang duduk dan sakit mata. Orang kampung kata 'eyesore'. Menyaksikan lelaki-lelaki dayus.

Pernyataan sensitif mungkin. Dayus. Maaf jika bahasa agak kasar, tetapi bukan saya yang kata, Rasulullah yang kata.


ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي


Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278 )


Siapa mereka yang dayus ini? Mereka inilah lelaki-lelaki yang membenarkan isteri mereka, ibu mereka dan saudara perempuan mereka diurut oleh lelaki lain. Apa ingat orang buta itu tidak bernafsu dan berperasaan? Mereka juga berkahwin dan berumah tangga. Yang membenarkan kaki diurut itu satu perkara, lagi teruknya adalah yang membenarkan diurut seluruh badan.


ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .


Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" (Riwayat Ahmad )



BILA LELAKI MENJADI DAYUS? (dipetik dari zaharuddin.net)

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-

1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'sporting' yang memahami.

6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7) Membiarkan anak perempuannya memasuki rancangan realiti telivision dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan dan aurat kepada jutaan manusia bukan mahram.

8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?

9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

..dan banyak lagi.

Semoga lelaki-lelaki yang membaca entri ini menjaga wanita-wanita mahram di dalam hidup anda. Semoga wanita-wanita yang membaca entri ini menjaga diri dan tidak menyebabkan suami, abang, adik lelaki, ayah dan saudara lelaki anda menjadi dayus.

Peringatan untuk diri sendiri juga. Wallahu'alam.


Nasi Lemak & Teh Tarik

Perancangan asal untuk pagi itu adalah menyaksikan keindahan ciptaan Ilahi dari Balai Cerapan, UTM. Tetapi perancangan terpaksa diubah kerana ramai sahabat yang tidak dapat pergi bersama. Lalu kami ke Arked Meranti untuk bersarapan.

Menu kami pada pagi itu adalah nasi lemak dan teh tarik. Pergh. Memang menggemukkan. Amaran Kementerian Kesihatan Malaysia, sila kurangkan lemak dan gula. Melihat telur goreng di dalam pinggan, tiba-tiba terpacul suatu persoalan.

"Ada dua orang yang beli nasi lemak dan telur goreng. Si A memilih telur goreng mana yang dia mahukan. Si B pula tidak memilih dan terus mengambil mana-mana telur goreng dengan alasan mana-mana telur goreng pun sama, tetap telur goreng. Apakah beza kedua-dua orang ini?"


Masing-masing tergelak kecil. Pelik agaknya soalan sebegitu ditanya.

"Bezanya seorang tu memilih dan seorang lagi tidak," jawab seorang sahabat.

"Lagi? Takkan sebab memilih je?"

Teh tarik dihirup. Nafas ditarik panjang. Masing-masing berfikir.

"Mungkin Si A tu teliti dan B tidak,"

"Mungkin juga. Betul atau tidak jika saya katakan bahawa setiap perlakuan secara tidak sengaja dan di luar kesedaran seseorang itu sebenarnya menggambarkan personaliti diri seseorang itu?"

"Dengan hanya memilih telur goreng?" seorang lagi sahabat bertanya. Pelik.

"Betul juga kan. Contohnya Si A yang memilih telur goreng. Pasti orang yang seperti ini sangat teliti dan hidupnya dirasakan perlu untuk berkitar dalam peraturan. Si B pula pasti orang yang tidak suka dikongkong dan sukakan kebebasan."

Masing-masing merefleksi diri agaknya.

"Iya lah. Saya jenis yang tidak kisah kalau nak makan telur goreng. Ambil je lah yang mana-mana pun, sama je kan? Tetap telur goreng. Saya memang tak suka berperaturan dan kurang teliti." sahabat-sahabat lain turut memberi pandangan.

"Hehe. Betul lah kan. Sebenarnya tadi masa makcik tu letakkan telur goreng dalam pinggan saya, mahu sahaja saya menukarnya kerana saya tidak mahu yang itu, saya mahukan yang lain. Tapi tidak mengapalah, dah letak dalam pinggan pun."

"Ha, orang yang jenis macam ni mesti orang yang mesti berperaturan tetapi tidak tegas."

"Kalau yang jenis tak nak telur goreng tu, mesti dia mati-matian nak tukar juga kan? Pasti orangnya sangat tegas dalam membuat keputusan."

Berderai tawa sahabat-sahabat.

Sembang-sembang sambil menikmati nasi lemak dan teh tarik di pagi itu menyedarkan sesuatu. Personaliti seseorang itu boleh ditafsir dengan sekecil-kecil perkara. Termasuklah memilih telur goreng! Adakah anda orang seperti A atau B?


p/s: Saya pula bagaimana? Orang yang pernah bermusafir dengan saya, pasti tahu. :)


03 January 2011

Pertama Yang Terakhir

Hari pertama untuk semester terakhir. InsyaAllah terakhir. Semua kelas dibatalkan kerana pensyarah menghadiri bengkel pengurusan.

Pagi-pagi lagi Aini menghantar SMS.

"Salam, awak masuk lab pukul berapa?"

"Mungkin lepas Zuhur kot. Awak dah masuk lab ke tadi?"

"Dah masuk kejap tadi. Barang belum sampai, tak boleh nak proceed. Kak Sayang tanya pasal awak."

"Dia marah ke?"

"Tak lah, macam okay je."

Dua minggu meninggalkan lab. Meninggalkan cell untuk hidup sendirian. Hampir empat bulan keluar masuk lab tetapi result masih tidak memuaskan. Draf thesis masih belum dihantar. Minda yang separa sedar merangka-rangka pembetulan yang perlu dilakukan pada draf thesis.



Kaki melangkah longlai ke fakulti untuk mendaftar subjek elektif. Ditendang keluar dari kelas Food Microbe kerana melebihi kuota 18 orang. Kelas Virologi juga penuh. Mahu atau tidak, terpaksa memilih Gene Therapy dan Application of Tissue Culture. Subjek berat. Allah. Pasti ada hikmahnya. Mudahkanlah Ya Allah.

Borang insert subject diisi dengan teliti. Tandatangan Dr Salleh, pensyarah Gene Therapy, telahpun diambil. Tinggal cuma tandatangan penasihat akademik. Kebetulan terserempak dengan Dr Goh di tangga DSI. Borang insert subject dihulurkan.

"Ha Khairina, you punya result sem lepas teruk kan?" tangannya mencapai borang insert subject tersebut lalu mengeluarkan pen dari poket.

"Err, ya, result jatuh sedikit." Tersengih.

"Nasihat saya, you cuba lah kurangkan aktiviti dengan MPM tu. Fokus kat study. Tak berbaloi tau. Memanglah bagus dapat pengalaman, tapi tak berbaloi kalau result you teruk."

"Ermm, ya Dr. Lepas ni MPM dah turun jawatan. Saya cuba baiki pointer untuk sem ni."

"You kena make sure result sem ni boleh cover balik CGPA you."

"Okay Dr. Terima kasih."



Kaki yang sedia longlai digagahkan berjalan ke pejabat MPM. Laptop dibuka. Tangan mengetik keyboard. Satu SMS diterima. Mesej dari pengarah program bagi forum sejarah kebangkitan mahasiwa.

"Salam. Kina, tolong draf semua surat-surat yang difikirkan penting untuk forum nanti. Senarai surat boleh dapatkan dari timbalan pengarah. Nanti bagi masa meeting Khamis ni."

Ah, surat program. Semua contoh surat rasmi ada di dalam external yang tertinggal di rumah. Termasuk juga jurnal PSM dan semua fail-fail penting. Buntu.


Telefon bimbit berdering.

"Assalamu'alaikum. Kak Khairina,"

"Wa'alaikumsalam. Ya saya."

"Saya nak mintak design baju dan bahan-bahan kempen Pro-M yang dah bincang semalam. Akak boleh bagi kat saya sebelum pukul 9 malam ni?"

"Ha? Pukul 9 malam ni?"

"Eh, tak boleh ke? Kalau macam tu lepas maghrib lah. Boleh?"

"Adehhh. Mana siap lagi. Baru bincang semalam kan? Nanti akak contact balik okay?"

Serabut. Bahan-bahan kempen dan design yang sedia ada juga di dalam external yang tertinggal di rumah. Cepat-cepat menyedarkan diri sendiri. Tugas untuk design bahan kempen Pro-M dibahagikan. Mesej menyusul lagi.

"Kalau malam ni tak siap design baju, tak payah pakai baju lah PRK kali ni."



Dua tiga hari kebelakangan ini saya mimpi ngeri tentang parit, lumpur, batu besar, kerusi merah, sejuk, penat dan entah apa lagi. Mungkin tiada maksud apa-apa. Mainan tidur agaknya.

Terasa diri ini perlu kembali seperti dulu. InsyaAllah semester terakhir. Mudahkanlah Ya Allah.

Allahumma yassir wala tu'assir.