23 January 2011

Nasi Lemak & Teh Tarik

Perancangan asal untuk pagi itu adalah menyaksikan keindahan ciptaan Ilahi dari Balai Cerapan, UTM. Tetapi perancangan terpaksa diubah kerana ramai sahabat yang tidak dapat pergi bersama. Lalu kami ke Arked Meranti untuk bersarapan.

Menu kami pada pagi itu adalah nasi lemak dan teh tarik. Pergh. Memang menggemukkan. Amaran Kementerian Kesihatan Malaysia, sila kurangkan lemak dan gula. Melihat telur goreng di dalam pinggan, tiba-tiba terpacul suatu persoalan.

"Ada dua orang yang beli nasi lemak dan telur goreng. Si A memilih telur goreng mana yang dia mahukan. Si B pula tidak memilih dan terus mengambil mana-mana telur goreng dengan alasan mana-mana telur goreng pun sama, tetap telur goreng. Apakah beza kedua-dua orang ini?"


Masing-masing tergelak kecil. Pelik agaknya soalan sebegitu ditanya.

"Bezanya seorang tu memilih dan seorang lagi tidak," jawab seorang sahabat.

"Lagi? Takkan sebab memilih je?"

Teh tarik dihirup. Nafas ditarik panjang. Masing-masing berfikir.

"Mungkin Si A tu teliti dan B tidak,"

"Mungkin juga. Betul atau tidak jika saya katakan bahawa setiap perlakuan secara tidak sengaja dan di luar kesedaran seseorang itu sebenarnya menggambarkan personaliti diri seseorang itu?"

"Dengan hanya memilih telur goreng?" seorang lagi sahabat bertanya. Pelik.

"Betul juga kan. Contohnya Si A yang memilih telur goreng. Pasti orang yang seperti ini sangat teliti dan hidupnya dirasakan perlu untuk berkitar dalam peraturan. Si B pula pasti orang yang tidak suka dikongkong dan sukakan kebebasan."

Masing-masing merefleksi diri agaknya.

"Iya lah. Saya jenis yang tidak kisah kalau nak makan telur goreng. Ambil je lah yang mana-mana pun, sama je kan? Tetap telur goreng. Saya memang tak suka berperaturan dan kurang teliti." sahabat-sahabat lain turut memberi pandangan.

"Hehe. Betul lah kan. Sebenarnya tadi masa makcik tu letakkan telur goreng dalam pinggan saya, mahu sahaja saya menukarnya kerana saya tidak mahu yang itu, saya mahukan yang lain. Tapi tidak mengapalah, dah letak dalam pinggan pun."

"Ha, orang yang jenis macam ni mesti orang yang mesti berperaturan tetapi tidak tegas."

"Kalau yang jenis tak nak telur goreng tu, mesti dia mati-matian nak tukar juga kan? Pasti orangnya sangat tegas dalam membuat keputusan."

Berderai tawa sahabat-sahabat.

Sembang-sembang sambil menikmati nasi lemak dan teh tarik di pagi itu menyedarkan sesuatu. Personaliti seseorang itu boleh ditafsir dengan sekecil-kecil perkara. Termasuklah memilih telur goreng! Adakah anda orang seperti A atau B?


p/s: Saya pula bagaimana? Orang yang pernah bermusafir dengan saya, pasti tahu. :)


1 comment:

fuz83@y said...

kina seorang ...jeng3~