18 December 2011

Percaturan Ilahi


Dia masuk ke dewan dengan wajah muram. Program belum lagi bermula tetapi matanya selalu sahaja mengerling jam G-Shock berwarna biru di tangan kirinya. Di sebelahnya seorang wanita berbaju putih dan seluar jeans biru tua. Rambutnya beralun, keperang-perangan. Mereka beriringan ke kaunter pendaftaran.

Wanita itu mengambil pen dan menulis nama di ruang peserta. Syafiq. Si pemilik jam G-Shock itu bernama Syafiq.

Usai mengisi borang pendaftaran, wanita itu berkata lembut pada Shafiq yang berdiri disebelahnya.

'Sayang, pergi duduk di sana sekejap. Mama nak cakap dengan kakak ni,'

Dia mengangguk perlahan, akur, dan berlalu pergi. 

'Dik, lepas ni ada lagi tak program macam ni?'

'Ada kak. InsyaAllah awal bulan Disember ini ada Kem Pemantapan Solat macam ni juga. Pertengahan bulan Disember pula ada Summer Camp di UTM.'

'Maksud akak, ada lagi tak program macam ni minggu depan dan kalau boleh setiap minggu? Macam ni lah dik, kalau boleh sepanjang cuti sekolah ni akak tak nak dia selalu ada dengan akak. Akak nak dia pergi program-program macam ni. Akak tak nak dia jadi macam akak.'

Wanita itu cantik. Kulit hitam manis, bersolek nipis, berdandan kemas. Dalam kalangan ibu bapa yang hadir menghantar anak-anak mereka, dia seorang sahaja yang tidak bertudung dan agak bergaya. Walaupun begitu, dia masih tegar menghantar anaknya.

'Akak tak nak dia jadi macam akak.' 

Terngiang-ngiang ayat itu dalam kepala. Saya terdiam. Sedikit terkejut, sedikit sebak.

'Nanti saya semak balik jadual program kami. Kalau ada apa-apa program lepas ni, nanti saya mesej akak, boleh?'

'Boleh, terima kasih dik.' Senyumnya lebar. 

Saya melihat kembali sosok seorang Syafiq yang diamanahkan kepada kami. Dia duduk menyendiri, matanya meliar melihat peserta-peserta lain. Masih muram dan sugul.



Jika pada mulanya semua peserta menyendiri dan takut-takut, selepas sesi ice breaking mereka sudah pun bergelak tawa dan bergura senda. Syafiq juga sudah boleh bergelak tawa dan bermain dengan peserta lain. Sesi pengenalan wuduk dimulakan diikuti dengan praktikal wuduk.

Kadang mata menebar mencari kelibat pemilik jam G-Shock itu walaupun diri ini ditugaskan memantau adik-adik perempuan. Adakala Syafiq sedang bersemangat menjawab soalan fasilitator, adakala dia mengusik peserta lain dan ketawa terkekeh-kekeh. Lega hati saya.

Tetapi kadangkala saya risau. Adakala juga dia senyap dan memandang sekeliling dewan. Adakala dia duduk di belakang dewan dan menjauhi peserta-peserta lain. Bila ditanya, dia hanya tersengih dan menggeleng. Katanya bosan. Saya bingung.

Saya cuba mendekatinya dan berbasi-basi.

“Kenapa tak nak duduk di depan dengan kawan-kawan?”

Dia hanya menjungkit bahu. Kali ini sengihnya hilang, tinggal muram dan suram.

“Bosan ke?”

“Tak lah kak. Tak bosan pun..”

“Habis tu?”

Dia senyap. Saya juga senyap. Kami mendengar isi bengkel rukun solat yang disampaikan fasilitator bertugas walaupun nyata dia tidak menumpukan perhatian.


“Mak kerja apa?”

“Mak kerja mengandam pengantin, ada butik sendiri.”

“Ohh, ayah?”

“Ayah kapten kapal di Singapura, jarang ada di rumah. Seminggu sekali sahaja ayah balik.”

Ahh, tak sangka pula dia akan menjawab sebegitu terperinci.

“Jadi kalau mak pergi kerja, Syafiq duduk dengan siapa?”

“Syafiq duduk dengan Tok.”

Saya mengangguk-angguk perlahan.

Kami bertukar-tukar cerita tentang masa depan. Di mana dia mahu bersekolah selepas ini, mahu ke universiti mana, cita-citanya apa. Dia bercerita tentang kerisauannya kerana keputusan UPSR nya tidak cemerlang. Saya memujuk dan memberi kata semangat. Kami bercerita mengenai roket, angkasa lepas, kapal selam, kereta lumba, jelajah dunia. Katanya dia mahu jadi kapten kapal seperti ayahnya.

Kami kembali senyap selepas itu, mendengar isi bengkel yang tersisa. Muramnya sudah hilang. Tetapi saya masih bingung kenapa dia menjauhkan diri dari peserta lain.

Sesi praktikal bacaan solat bermula. Saya masih duduk bersama Syafiq. Kelihatan dia juga tidak mahu berganjak.

“Kalau akak tolong periksa bacaan solat Syafiq nak tak?” Saya cuba bertanya walaupun tidak meletakkan harapan yang tinggi bahawa dia akan setuju.

Dia tersenyum lebar dan mengangguk laju. Dia berlari mengambil fail dan buku solat, kemudian kembali mengambil tempat di sebelah saya.

“Okay, kita mula dengan niat solat.”

Alhamdulillah, permulaan yang baik.

 “Cuba baca doa iftitah,”

“Erm, saya tak hafal semua lah kak,”

“Takpe, cuba baca dulu. Nanti akak tolong betulkan,”

Beberapa ketika selepas itu, terjawab semua persoalan saya. Rupanya selama ini dia menjauhkan diri kerana rendah diri. Syafiq tidak lancar membaca jawi, apatah lagi membaca Quran. Tergagap-gagap dia mencuba mengenal kalimah di dalam buku nipis itu. Kerana itulah dia tidak dapat menghafal bacaan-bacaan dalam solat.

“Di rumah Syafiq ada pergi kelas mengaji?”

“Dulu pernah pergi..” dia menundukkan kepala dan senyap.

“Syafiq dah habis belajar Iqra’?”

“Belum lagi.”

Hati saya sebal. Kasihan melihat wajahnya yang mendung. Pasti dia rasa rendah diri. Antara peserta-peserta yang hadir, dia yang paling tua, berumur 12 tahun. Ada dikalangan peserta yang sangat lancar bacaan solat mereka walaupun hanya berumur 8-10 tahun.

“Erm, nanti Syafiq cakaplah dengan mak yang Syafiq nak belajar mengaji. Nanti baru boleh lancar bacaan solat.”

Saya cuba memujuk. Dia masih senyap.

 “Takpe, kita teruskan ya. Akak tolong bacakan, awak ikut. Boleh?”

Dia mengangguk-angguk. Perlahan senyum diukir. Wajahnya ketika itu menyedarkan saya mengapa Allah pilih saya untuk berada disini.

'Akak tak nak dia jadi macam akak.' 

Percaturan Ilahi kadang-kadang menemukan kita dengan orang yang mengingatkan kita maksud sebenar hidup. Percaturan Ilahi menjentik kesedaran bahawa diri ini perlu bermanfaat kepada sekeliling, jangan pernah sombong kerana sombong itu membataskan ilmu, merugikan ibadah. Bukankan berkongsi ilmu juga suatu ibadah jika lillahi taala?
 

1 comment:

Anonymous said...

Rugilah kita kalau x bersyukur dilahirkan dalam keluarga kita ni. Na'udzubillah.