Saya melihat sekilas makanan yang dijual. Seperti biasa tekak menjadi loya. Sudah beberapa bulan saya mengalami 'penyakit' sebegini. Asal tiba waktu makan, perut meronta-ronta untuk diisi tetapi mulut mencongak-congak untuk dibuka. Jika ia mampu dibuka sekalipun, tekak pasti tidak setuju lalu menekan-nekan ingin mengeluarkan kembali. Jika tekak beralah sekali-sekala, kadang otak pula menimbulkan pelbagai persoalanan. Jika soalan-soalan itu tidak dijawab, bukankah ragu-ragu lalu menjadi syubhah?
Ah, susah begini.
'Kina, kau janganlah fikir banyak sangat, makan je. Kalau kau fikir banyak-banyak, kau sendiri jadi ragu-ragu. Kau sendiri yang menyebabkan benda tu syubhah,'
Bagaimana tidak fikir banyak kali jika nampak sendiri di depan mata? Mencari yang halal juga merangkumi makanan yang bersih.
Pernah suatu hari saya dan sahabat-sahabat duduk bersama makan tengahari. Kebetulan pada waktu itu kami semua mempunyai kerja part time masing-masing. Kami bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Seorang sahabat ini bekerja di salah sebuah premis makanan di tempat pengajian kami. Tiba-tiba saya teringat tentang soalan yang pernah singgah di benak saya dahulu tetapi belum punya bukti untuk dikukuhkan sebagai fakta.
"Di tempat awak bekerja tu, pemilik kedainya recycle makanan tak?"
Sahabat-sahabat saya tergelak. Mungkin kali pertama mendengar istilah 'recycle makanan' atau mengitar semula makanan.
"Mestilah ada," jawab sahabat itu tanpa perasaan.
Kami semua terdiam seketika.
"Makanan apa yang mereka recycle?"
"Biasanya yang goreng-goreng macam ayam"
"Saya pernah dengar ada orang mencuci semula ayam yang telah dimasak & simpan untuk masak lauk lain esoknya. Betul ke?"
"Betul lah tu. Biasanya lauk-lauk lebih macam ayam masak kicap tu mereka akan buang kuahnya, cuci ayam tu & simpan dalam freezer. Esok mereka akan masak semula. Mungkin lauk sambal, lauk kari.." jawabnya selamba sambil menyuap nasi ke mulut.
"Macam mana nak tau makanan tu dah recycle?" seorang lagi sahabat bertanya.
"Entah lah, susah nak agak. Kalau ayam atau ikann yang agak-agak keras & liat sikit tu mungkin dah dua tiga kali recycle. Kalau nak selamat, elakkanlah membeli makanan di kedai yang lauknya sangat banyak dan kita tahu lauk itu banyak lebihnya. Belilah makanan di kedai yang menjual lauk yang sedikit, asal habis lauk itu dia akan masak lagi."
Tekak mengembang.
Saya mula mempersoalkan sikap peniaga makanan. Apakah perbezaan peniaga makanan muslim (beragama Islam) dan peniaga makanan muslim yang mukmin (orang yang beriman)? Jika seseorang itu benar-benar beriman, mana mungkin mereka sanggup memberi makan yang tidak elok, buruk dan meragukan kepada orang lain.
Premis makanan dihiasi lalat-lalat dan makanan yang dikitar semula dua tiga kali. Apalagi kualiti makanan, samada ia berkhasiat atau tidak, dan dari mana sumber bahan masakan. Kebersihan peniaga makanan itu sendiri meragukan. Berapa ramai yang tidak kisah membeli dari peniaga burger yang hisap rokok semasa memasak, atau tukang masak yang kukunya diwarnakan merah, pink, hitam?
Bagaimana pula dengan kedai makan yang tandasnya, Tuhan saja tahu betapa kotornya dengan tiada sabun dan entah berapa lama tidak dicuci. Filthy. Tahukah anda bahawa tandas itu digunakan oleh pekerja-pekerja premis makanan itu sendiri. Jika tiada sabun, adakah bermaksud mereka tidak mencuci tangan dengan betul selepas membuang air, lalu memasak makanan anda? Jika ya, anda telah pun memakan makanan dicemari najis yakni haram.
Saya ingin berkongsi sesuatu dari blog tarbiyah fikrahislam.com. Imam Ghazali menukilkan nasihatnya,
"Jika kita ingin anak kita menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berikanlah ia makanan daripada rezeki yang halal sejak lahir. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan mental mereka pintar dan cergas. Sebaliknya anak menjadi derhaka terhadap kita jika ia diberi makanan yang haram dan kotor."
Kesan pemakanan juga dikenalpasti
daripada tingkahlaku tidur sebagaimana kata-kata Saidi Ali al-Syazali RA
yang dipetik oleh seorang ulama’ tasawuf, Syeikh Abdul Wahhab
asy-Sya’rani dalam kitabnya; Latha’iful minanu wal akhlak:
“Hasil dari pengalaman terhadap hal
yang pernah kami perhatikan. Bagi menghindarkan kuat tidur ialah, makan
yang halal dan meninggalkan perkara haram dan syubhah. Barang siapa yang
makan makanan yang haram dan syubhah akan banyak tidurnya. Demikian itu
adalah disebabkan oleh rahmat Allah, kerana pemakanan yang haram akan
menggerakkan setiap anggota untuk berbuat maksiat.
Maka Allah Taala
lebihkan tidur ke atas orang yang memakan makanan syubhah untuk
merehatkannya daripada melakukan maksiat. Sebagaimana lebih afdal Allah
memberi rahmat kepada orang yang melakukan ketaatan dan memakan makanan
halal dengan mengurangkannya dari tidur supaya ia dapat mendirikan
ibadat malam dan siang.”
Apalah nasib pelajar-pelajar di medan ilmu yang memakan makanan sebegini. Dari makanan itulah terbentuknya darah, kemudian diserap ke tubuh. Lalu makanan yang syubhah itu menjadi darah daging kita. Yang haram itu menghitamkan hati. Hati yang hitam, gelap dan kelam tidak boleh ditembusi cahaya ilmu, apalagi cahaya iman.
Mungkinkah sebab itu pelajar kita banyak tidurnya, banyak maksiatnya, banyak lalainya? Mungkin sebab itukah pelajar kita kurang takwanya, kurang taatnya, kurang imannya?
Mungkin.
No comments:
Post a Comment