10 June 2011

Tentang dia

Seperti hari-hari yang lain, pagi itu dimulakan dengan roll call. Kedatangan diambil, tugasan diberi.

"Siapa yang jadi MC hari ini?" aku menyoal hampir tiga puluh insan berbaju biru dihadapan.

"Saya," seorang lelaki mengangkat tangan.

"Nanti jumpa dengan Cikgu Samsudin, tanya dia ada tak pengumuman yang nak dibuat."

"Baik kak."

"Ada apa-apa soalan?" saya memandang mereka yang lain.

"Kak Kina, hari ini nak periksa apa?"

"Hari ini lelaki periksa tali leher dan kasut, perempuan periksa tudung dan kasut."

Isnin adalah hari untuk memeriksa kuku dan rambut yang panjang. Hari lain, pemeriksaannya bergantung kepada keadaan. Hari ini adalah hari untuk tali leher, kasut dan tudung.

Tali leher perlu dipakai kemas, panjangnya hingga ke tali pinggang. Bukannya tergantung sehingga perut. Tudung perlulah menutupi bahu dan dada. Bukannya pendek sehingga ternampak batang leher apabila tunduk. Kasut perlulah berwarna putih. Tali kasut tidak boleh diikat kebelakang, kasut tidak boleh mempunyai apa-apa corak termasuklah garis-garis berwarna.

Misi hari ini jelas.

7.15 pagi, MC memberikan arahan supaya pelajar-pelajar memasuki barisan. Masih ada yang degil, duduk santai di belakang tapak perhimpunan. Melihat kelibat segerombolan baju biru yang berjalan ke arah mereka, barulah mereka bangun.

Tepat jam 7.20 pagi, perhimpunan dimulakan. Aku mencari kelibat dia. Biasanya, dia akan datang hampir-hampir waktu perhimpunan bermula. Dia akan duduk di bahagian belakang tapak perhimpunan bersama kawan-kawannya. Kelibatnya tidak kelihatan.

Bising. Aku berjalan ke arah barisan pelajar perempuan tingkatan tiga. Belum sempat ditegur, mereka senyap apabila aku berdiri disebelah.

Usai perhimpunan, aku menjaga barisan pelajar perempuan untuk pemeriksaan. Tiba giliran pelajar tingkatan dua, aku melihat dia dari jauh. Kainnya senteng ke paras buku lali. Matanya lebam diwarnakan maskara dan eyeliner tebal. Tudungnya singkat.

"Awak, sini sekejap," aku memanggilnya.

"Kenapa kak?"

"Tunggu sana sampai akak datang. Jangan lari, akak tau nama dan kelas awak." aku menunjukkannya ke arah sekumpulan pelajar yang ditahan.

Selesai pemeriksaan, aku mencari dia.

"Jom ikut akak,"

"Alah akak, nanti saya lambat masuk kelaslah. Tak pasal-pasal kena marah dengan cikgu pulak,"

"Takpe, nanti akak hantar awak balik kelas," dia akur.

Kami ke bilik pengawas. Aku membuka almari, mencari kapas dan baby oil. Dia tau apa yang aku akan lakukan.

"Akak, janganlah kak. Nanti saya cuci sendiri. Tolonglah kak," dia merayu.

Aku memandangnya. Perlahan aku menarik dia untuk duduk dihadapanku.

"Tak boleh. Biar akak buat." Aku memegang dagunya. Tangan disebelah memegang kapas yang telah dibasahkan dengan baby oil. Matanya yang lebam berwarna hitam itu digosok.

"Akak dah cakap banyak kali dah jangan pakai make up kalau pergi sekolah. Awak pun tau kan?"

"Tau kak,"

"Dah tu, kenapa pakai?"

Dia senyap. Aku menggosok matanya kirinya pula. Entah jenama apa eyeliner yang diguna, memang susah untuk ditanggalkan.

"Lagi sekali awak pakai make-up, akak hantar awak terus jumpa Cikgu Samsudin. Faham?" aku terpaksa menjual nama Cikgu Samsudin, guru Hal Ehwal Pelajar merangkap guru disiplin. Terbayang rotan di dalam biliknya yang disusun mengikut saiz diameter.

"Nanti turunkan kain tu sikit, senteng sangat."

"Ya kak," jawabnya perlahan.

Sewaktu aku menghantarnya ke kelas, Cikgu Sarah baru sahaja masuk. Aku memberi salam dan menerangkan kepada Cikgu Sarah. Dia mengangguk faham.

Itu kali terakhir aku melihat dia. Dia tidak lagi datang ke sekolah.

"Sha, kenapa dia tak datang sekolah?"

"Eh, kau tak tau ke? Kawan-kawan dia tak bagitahu kau?"

"Bagitahu apa?"

"Dia mengandung. Dia terpaksa berhenti sekolah sebab kena kerja, nak cari duit untuk sara anak dia nanti."

Aku kelu.

Sehingga hari ini, aku terfikir. Mungkinkah jika aku memberi kata nasihat sewaktu mencuci eyeliner dari matanya dahulu, dia akan berubah? Mungkinkah jika masa yang pendek itu aku memujuknya untuk menceritakan masalahnya, dia akan menceritakan? Terlalu banyak mungkin dan jika. Maka aku akur pada takdir. Mungkin takdir untuk aku, takdir untuknya.

Kelmarin aku terjumpa dia setelah hampir lima tahun. Umurnya sekarang 19. Anaknya dua orang. Comel.

Dia masih seperti dahulu. Aku masih rasa bersalah.


مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرهُ بِيَدِهِ
فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ
فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ اَضْعَفُ الاِيمَانِ

"Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran
maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya
sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah
dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu
maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman"
(Hadis sahih riwayat Muslim)

4 comments:

atul_tania said...

salam Kak Kina... cite nie... mcm zaman kite sek dulu2 kan???? terbayang gambaran akak mase jd ketua Pengawas.... tegas tp penuh kelembutan.. :) manusia kak, semua penah uat silap.... kite diberi jalan, tp ada yg tersalah pilih... akk jgn la slahkan diri akk... mmg kite perlu mencegahnya kemungkaran... tp semua itu terpulang pada-Nya... sekiraNYa mengizinkan, akk mgkn berhasil mengubah dia... :) (ena xpandai sgt bab2 nie... anyway miss u so much!!!)

NASIRAH AFANDI said...

wah,,akak nmpk begitu tegas skali ea mase jd ketua pengawas... tp tegas2 akak pon,,akak sgt penyayang orgnye... :)

orkedvanila said...

as salam..
kak kina..
ingat saya lagi x?
sy tsiqah..
biler bc entri ni teringat everything mase sekolah..maybe waktu nie cqa xde kut..cqa dh move out to another school..
anyway..
ukhuwah fillah abadan abada..
smoge dirahmati Allah selalu..

Khairina 'Izzati said...

atul: betul tu, insyaAllah. thanks a lot yeh. miss u too!

nas: erkk..

tsiqah: mesti la akak ingat awk! thnx dear..