13 June 2011

Apa itu FB?

Dulu, sebelum ada FB, belajar depan buku. Laptop disimpan jauh-jauh. Fokus, paling tidak pun, cuba untuk fokus.

Bila ada FB, belajar depan laptop sambil mengadap FB. Sekejap-sekejap update status. Belajar tajuk apa, tak faham yang mana, berapa banyak nak baca. Sekejap-sekejap like status orang lain, sekejap-sekejap stalk page orang lain.

Maka hilanglah khusyuk, hilanglah fokus, hilanglah keberkatan ilmu.



Dulu, sebelum ada FB, antara solat Maghrib dan Isyak akan baca Quran. Akan cuba baca sebanyak mungkin. Terdengar azan Isyak baru tutup Quran.

Bila ada FB, mulut baca Quran tapi mata curi-curi pandang laptop, mengadap FB. Sekejap-sekejap berhenti baca sebab berbalas komen. Habis baca satu muka surat, terus tutup Quran. Layan FB pula.

Ahh, hilanglah khusyuk. Ibadah entah kemana.



Dulu, sebelum ada FB, lepas Subuh akan baca matsurat. Kalau ada masa, akan baca Quran.

Bila ada FB, sebelum sempat buka matsurat dah buka FB. Sambil-sambil baca matsurat, mata menjeling FB. Kadang-kadang terpaksa ulang bacaan dua tiga kali sebab lupa dah baca ke belum tadi. Mulut terkumat-kamit membaca, tetapi hati pada FB. Quran? Jarang-jarang dibaca.



Dulu, sebelum ada FB, rajin juga solat berjemaah di surau. Sepuluh minit sebelum azan sudah pun duduk di saf pertama. Wirid, zikir, solat sunat. Pasti solat di awal waktu.

Bila ada FB, usahkan solat berjemaah di surau, solat di bilik pun malas. Waktu solat biar ditangguh sekejap asalkan dapat membalas komen di FB. Semasa solat, baca surah terpendek. Biar cepat selesai solat. Tak khusyuk jadinya, teringat pada FB.

Alahai ibadah kita..



Dulu, sebelum ada FB, pandangan dijaga, ikhtilat dijaga. Asal lalu sebelah bukan mahram, mata memandang lantai sahaja. Seboleh-bolehnya tak mahu mengangkat muka. Kalau terpaksa, sanggup ikut jalan yang jauh untuk mengelak bertembung.

Bila ada FB, habis semua gambar si bukan mahram dibelek, dikomen. Asal ada statusnya yang menarik, pasti menekan butang like. Berbalas komen hingga lewat malam, kadang-kadang sampai ke pagi. Sedar tak sedar, senyum seorang diri di hadapan komputer. Masalah hati.



Dan banyak lagi sebelum dan selepas.

Jadi, apa itu FB? Hanya empunya diri yang ada jawapan. Mungkin baik, mungkin buruk. Terpulang.

Beringatlah wahai diri yang hina..


No comments: