28 April 2011

New Zealand: Part 3 - Lake Tekapo, Love at First Sight & Kiwi

"It's 10$ per plate, you ain't getting anything cheaper than that. So, if any of you wants fish and chips for lunch, you should let me know later. I'll make a booking for you."

Tony menggunakan microphone di dalam bas. Perjalanan ke Queenstown mengambil masa 6-7 jam. Perut kembali berkeroncong. Baru teringat, hanya bersarapan dengan mi segera. Untuk mencari makanan halal selain dari itu dalam perjalanan ke Queenstown agak sukar. Sebelum ini syarikat pelancongan mencadangkan kepada kami fish and chips. Kami berkira-kira. 10$ sama dengan RM24. Mahal. Antara pilihan itu, atau pilih untuk berlapar sehingga tiba di Queenstown nanti. Akhirnya kami pilih untuk makan juga fish and chips. Ada yang berkongsi dua orang sepinggan.


Sepanjang perjalanan ke Queenstown, lidah tak putus-putus dengan tasbih. Permandangan yang sangat indah. Pokok berwarna hijau, merah dan kuning melatari alam. Bukit yang hijau penuh dengan tompok-tompok putih, kambing biri-biri rupanya. Kata Tony, "NZ has a higher population of sheeps compared to humans. There are approximately 40 million sheeps. Cows are 5 million and humans are only around 4 million." NZ mempunyai bilangan kambing biri-biri lebih banyak dari lembu dan manusia, tapi kenapa lembu lagi popular? Ramai juga yang kirim kepada saya lembu untuk bawa pulang ke Malaysia, tapi takde pula yang kirim kambing biri-biri. Musykil.



Sayangnya, kami tidak berpeluang untuk berhenti dan mengambil gambar. Sepanjang perjalanan juga, mata dipaksa untuk celik. Kalau terlelap walaupun sekejap, terasa sangatlah rugi. Hati tenang melihat keindahan ciptaan Ilahi.

Sebenarnya, pada awal perancangan tentatif, saya bercadang untuk membatalkan lawatan ke Queenstown untuk mengurangkan bajet. Ketika itu, saya rasa tiada gunanya untuk kami ke Queenstown kerana universiti yang akan dilawat hanyalah di Christchurch dan Dunedin. Setelah berbincang dengan perkara ini bersama Miss Nadwa di FB, Miss Nadwa tidak setuju.

"Please go to Queenstown! Rugi kalau tak pergi sebab cantik sangat."

Itu point pertama. Betul juga, dah datang jauh-jauh takkan tak nak pergi tempat paling cantik di New Zealand? Memandangkan penginapan di Dunedin lebih mahal, kami teruskan juga perancangan untuk ke Queenstown. Lagi pula, cenderahati yang murah hanya dapat diperoleh di sana. Point kedua dan ketiga.

Kami berhenti di Lake Tekapo. Turun dari bas, semua berlari-lari anak ke tasik. Subhanallah, cantiknya! Tasbih tak henti-henti. Langit biru, air jernih dan kawasan sekitar sangat bersih. Love at first sight. Tiba-tiba rasa tak nak balik Malaysia.

"Ma, Ina tak nak balik Malaysia. Nak duduk sini."

"Erm, duduklah. Tak kisah pun." Mama respon acuh tak acuh. Malas nak layan orang yang berangan ni agaknya. :)

Church of Good Shepard yang berusia 76 tahun.


Semasa musim bunga, Lake Tekapo akan dipagari Russel Lupins, bunga-bunga berwarna ungu. Kami datang semasa musim luruh. Bila agaknya boleh berkenalan dengan Russel Lupins? Berat rasanya nak naik bas. Berat untuk tinggalkan Lake Tekapo. Entah bila akan ke sana lagi.

Dalam perjalanan, kami berhenti di Lake Pukaki, tapi tidak berpeluang ke Mount Cook. Dengar kata di Mount Cook sudah dilitupi snow cap. Salji. Sayangnya tak sempat untuk melihat. Tiba di Mrs Jones Fruit Stall semasa langit semakin gelap, 6 petang. Hanya mempunyai setengah jam sebelum kedai itu tutup jadi tidak banyak yang sempat dilihat mahupun dibeli.

Kami tiba di Queenstown pada waktu maghrib. Selesai urusan check-in, Tony membawa kami berjalan ke bandar Queenstown. Disebabkan sudah hampir jam 8 malam, tidak banyak kedai yang buka. Mujur ada kedai Turki yang menjual makanan halal. Tapi seperti biasa, teramatlah mahal. Kebab sahaja sudah 9$, itu paling murah di dalam menu. Kebanyakkan kami berkongsi makanan.

Esoknya, kami menjelajah bandar Queenstown, memburu cenderahati dan jatuh cinta dengan Kiwi.

InsyaAllah bersambung. :)


Tapi sebelum bersambung, saya nak perkenalkan anda kepada Kiwi. Kiwi ada 4 maksud:


1. Seekor haiwan bernama Kiwi.

Kiwi adalah seekor burung yang tidak boleh terbang. Mereka adalah haiwan terancam akibat aktiviti penghutanan. Bacaan selanjutnya disini. Comel kan? :)


2. Sebiji buah bernama Kiwi.

Buah kiwi sebenarnya berasal dari negara China. Kini, pengeluar terbesar kiwi adalah Itali, kemudian barulah NZ. Buah kiwi di NZ mungkin sedikit berbeza dengan buah kiwi di Malaysia. Di NZ, kiwi boleh dimakan dengan kulitnya tanpa perlu mengupas dahulu. Mungkin kerana kulitnya lebih nipis dan kurang berbulu. (Sumber: Tony). Bacaan selanjutnya disini.


3. Orang Kiwi.

Ini Tony. Mereka yang berasal dari NZ menggelarkan diri mereka sebagai Kiwi. Mereka berbangsa Maori dan bahasa asal mereka adalah bahasa Maori. Selanjutnya disini.


4. Polish kasut berjenama Kiwi.
Pengilat kasut ini sebenarnya dikeluarkan di Australia, bukan NZ. Bacaan selanjutnya disini.


Cuba teka kami jatuh cinta dengan Kiwi yang mana satu? :)


p/s: entry pendek sebab internet slow. maaf.

1 comment: