26 April 2011

New Zealand: Part 2 - Christchurch, Naan & Lincoln


1.55 pm. Kaki menjejak tanah New Zealand. Err, belum lagi jejak tanah. Baru jejak lantai airport NZ. Penerbangan 10 jam membuatkan kaki sedikit bengkak. Mujur ada juga bangun dua tiga kali dan berjalan sedikit di dalam kapal terbang. Kalau duduk tak berganjak dari awal sampai habis penerbangan, pasti kaki seperti bigfoot.

Sekuriti di airport agak ketat. Kelihatan beberapa orang pengawal keselamatan terpacak di kawasan mengambil bagasi. Di celah-celah mereka, anjing kecil berwarna coklat menjelir-jelirkan lidah. Bulunya menutupi mata. Sekejap-sekejap ia berlari ke arah beg-beg yang diturunkan dari konveyer. Security dogs. Di kaunter pasport, ada anjing hitam setinggi paras lutut mengesan bau dari poket seluar dan baju. Sesiapa yang tidak bernasib baik akan dipanjat menaiki badan untuk mengesan bau. Alhamdulillah terlepas. Tengok anjing dari jauh pun dah berdoa dalam hati untuk dijauhkan dari tersentuh.

Selesai urusan bagasi dan pasport, kami ke imigresen untuk declare barang-barang yang dibawa. Kotak makanan berisi beberapa bungkus mi segera dan air 3 in 1 dibuka. Makanan ini sajalah yang sempat dibeli 3 jam sebelum bertolak ke KL. Makanan yang dibeli selepas mendapat tahu semua kos makan di NZ telah di batalkan oleh syarikat pelancongan. Alhamdulillah di imigresen tidak banyak kerenah. Kami berkumpul di lobi ketibaan sementara menunggu semua selesai.

Di lobi ketibaan, kami bertemu seorang wanita Taiwan dari syarikat pelancongan. Bersamanya adalah Tony, pemandu bas. Kelibat pemandu pelancong dari Malaysia itu masih belum kelihatan. Kalau tak silap, dia berada di hadapan kami semua semasa di kaunter pasport. Hampir setengah jam menunggu, kami diarahkan untuk memasukkan bagasi di dalam bas dahulu. Wanita Taiwan tadi berjumpa dengan pegawai imigresen untuk bertanya tentang pemandu pelancong itu.

Pintu kaca dibuka. Kaki menjejak tanah NZ. Pipi disapa angin dingin. Pantas sejuk dirasa diseluruh tubuh. Jari-jari terasa cepat membeku. MasyaAllah, ni baru di Christchurch. Belum lagi sampai di Dunedin. Ya lah, orang Tanah Melayu mana biasa suhu begini. Kalau di Malaysia, duduk sekejap dalam aircond dengan 16'c pun dah tak tahan, akan cepat-cepat naikkan suhu. Suhu di Christchurch 14'c ketika itu.



Setelah beg dimasukkan ke dalam perut bas, kami berlegar-legar di kawasan parking. Tony yang semenjak dari tadi membantu untuk menguruskan bagasi kami, masuk ke airport untuk mencari wanita Taiwan itu. Tak lama kemudian dia datang semula ke bas.

"We might have to wait for a while, the immigrations got him. Something about his visa. If he doesn't show up by 4.30 pm, we have to leave without him."

Kami sepatutnya mempunyai masa untuk melihat bandar Christchurch petang itu. Tetapi siapa jangka, masalah ini pula berlaku. 4.30 petang, dia tidak muncul juga. Kami berangkat ke tempat penginapan tanpanya dan tanpa mengetahui apa sebenarnya terjadi. Dalam perjalanan, kami sempat melihat serba sedikit bandar Christchurch. Kesan daripada gempa bumi 6.3 skala ritcher pada Februari lalu, banyak bangunan lama tidak dapat diselamatkan. Walaupun kebanyakan jalan telah dibaiki, masih kelihatan serpihan bangunan yang runtuh.


Tiba di tempat penginapan, hujan renyai-renyai. Waktu asar hampir nazak. Selesai urusan check-in, solat jamak takhir Zuhur-Asar dan jamak takdim Maghrib-Isyak, kami menapak keluar ke Riccarton Road. Alam sudah mula gelap. Misi - mengisi perut yang berkeroncong dan berzapin.

Kebanyakkan kedai sudah pun tutup. New Zealand seperti Australia, kata mama. Jam 6 petang, ramai yang sudahpun mengunci pintu kedai dan pulang ke rumah. Malam adalah waktu untuk berehat dan di sisakan untuk bersama keluarga. Di Malaysia, kedai runcit dan restoran 24 jam bersepah-sepah. Shopping complex dibuka hingga jam 11 malam. Kadang pelik juga dibuatnya, mereka lebih Islamik dari negara yang mengaku negara Islam.

Alhamdulillah masih ada kedai makanan halal yang buka. Taste of Benggal. Ah, benggal pun benggal lah. Ada juga sipi-sipi darah mamak yang mengalir dalam diri jadi tidak kekok (no further explanation about the mamak ancestral history will be done hereafter). Di negara orang, beggars can't be choosers. Pilihan makanan yang halal limited. Mahu atau tidak, perlu sesuaikan diri. Masing-masing menganalisis menu. Adehh, mahalnya makanan. Kalau nak makan nasi, boleh beranganlah. Harganya 13-16$. Untuk harga dalam ringgit, silalah darab dengan 2.4. Paling murah di dalam menu adalah naan. Cheese naan 4$, chicken naan 5$. Bolehlah tu. Dan kami semeja memesan naan. Alhamdulillah kenyang.


Selesai makan, kami berjalan sekitar Riccarton Road, singgah di Briscoes sekadar melihat. Kebetulan pada hari itu Riccarton Mall buka hingga jam 9 malam. Kami ke supermarket, membeli sedikit makanan. Saya mencari sebuah kedai berwarna biru. Kalau menggunakan roaming, pasti mahal. Kami berkongsi wang untuk membeli simcard 2Degrees seperti yang dinasihati Miss Nadwa.

Angin malam sangat dingin. Suhu jatuh sehingga 10'c. Pipi dan tangan mula membeku. Kami berjalan pulang ke tempat penginapan. Pagi esoknya, kami diberitahu bahawa pemandu pelancong dari Malaysia itu telahpun dihantar pulang dan disaman kerana menggunakan visa pelawat sedangkan dia sepatutnya menggunakan visa pekerja. Kami semua agak serabut kerana tiket pulang ke Malaysia, urusan penginapan dan tentatif ada bersamanya. Mujur Tony membantu kami dan mengambil alih tugas pemandu pelancong secara tidak rasmi.

Awal pagi lagi kami bertolak ke Lincoln University. Kami disambut oleh Sandra, pegawai dari International Affairs. Di Lincoln cuma campus tour biasa. Kami dibawa ke George Forbes Memorial Library yang sebenarnya merupakan bangunan asal universiti semasa awal penubuhannya dahulu.

Tony & Sandra

George Forbes Memorial Library



Berborak dengan Sandra, saya mendapat tahu bahawa Lincoln University hanyalah sebuah kampus kecil yang mempunyai dalam lingkungan 2000 pelajar sahaja dan lebih kurang 30 pelajar Malaysia. Lincoln University juga mempunyai National Centre for Advanced Bio-Protection Technologies, satu daripada tujuh research centre yang ditaja oleh kerajaan dan satu-satunya di South Island.

Kami dibawa ke recreation center iaitu bangunan indoor untuk rekreasi pelajar dan staf. Di dalamnya terdapat gelanggang bola keranjang, fitness studio, gelanggang tenis dan skuasy dan banyak lagi. Di Stewart Building, kami berkesempatan untuk melihat dewan kuliah dan merasai suasana belajar. Kami ke residence hall untuk melihat kawasan kediaman pelajar-pelajar. Kami ke the massive food hall, musollah dan bangunan-bangunan fakulti.


Kata Sandra, "Every morning when I wake up, I feel motivated to go to work because the campus is amazingly beautiful and gorgeous. You can see that in autumn and spring." Memang sangat cantik. Bersih dan teratur. Campus tour di Lincoln University hanya sekejap. Agak sedih kerana mengharapkan lebih dari yang diperoleh. Mengharapkan ada sesi dialog bersama pelajar-pelajar disana untuk bertukar buah fikiran dan pengalaman. Mengharapkan ada sesi dialog bersama jabatan sains atau Biologi tetapi kata Sandra, ini sahaja yang mereka boleh bekalkan. Tapi tak mengapa. Masih ada University of Otago.


Menjengah tengahari, kami menaiki bas untuk perjalanan yang sangat panjang..

Queenstown.


InsyaAllah bersambung. :)

4 comments:

z said...

oke, waiting for next :)

Rauf Husna Public Gold Dealer Cyberjaya said...

alhamdulillah..pogram berjaya jugak dianjurkan..bace part 1 pny story,sedey jgk..tp,dgn smangat apepun jadi:)..kina......kalau diberi pluang,,nk g gak....!

NORAZLINDA AMIN said...

seronoknya g NZ..
teringin nak g.. nak guna 'law of attraction' rasa-rasanya menjadi x? =)

md said...

Tak ramai yg suke merakamkan pengalaman dalam bentuk tulisan..it needs time and passion..good job!