19 December 2010

Al Kisah Solat Jemaah

Situasi 1

Saya dan seorang sahabat solat Zuhur di surau Jusco Taman Universiti. Saya menjadi makmum dan sahabat ini menjadi imam. Saya berdiri di sebelah kanannya, saf yang sama cuma saya sedikit kebelakang. Bahu kiri saya di belakang bahu kanannya. Sedang iqamat, seorang kakak menyertai kami. Dia berdiri di sebelah kiri imam, tetapi agak kebelakang. Awalnya saya tidak menyangka dia akan menyertai kami kerana kedudukannya agak jauh.

Usai solat, kami bersalaman. Saya senyum kepada kakak itu tetapi tiada respon. Semasa saya dan sahabat bersiap-siap dan membetulkan tudung, kakak itu telah pun siap memakai tudung dan mencapai beg tangan. Sebelum keluar dari surau, dia sempat menegur saya.

"Tadi semasa solat sepatutnya awak berdiri jarak selangkah kebelakang dari imam kan?" mukanya sedikit sinis.

Terpinga-pinga saya dibuatnya. Belum sempat saya menjawab, dia terus meluru ke pintu dan hilang dari pandangan. Saya memandang sahabat di sebelah. Muka dia juga seolah-olah menimbulkan persoalan yang sama dengan saya. 'Salahkah kami?'

Seingat saya, ini bukan kali pertama berlaku situasi begini. Apabila solat berjemaah dalam kalangan wanita, pasti ada yang keliru tentang kedudukan imam dan makmum.

Yang sepatutnya adalah imam dan makmum berdiri di saf yang sama, cuma imam harus sedikit kehadapan. Hanya sedikit, bukan seperti solat jemaah lelaki. Boleh rujuk Musnad Imam Syafie, atau disini atau mana-mana buku fiqh wanita.


Situasi 2

Solat berjemaah di Masjid Sultan Ismail, UTM. Iqamat kedengaran. Makmum berpusu-pusu ke saf hadapan.

"Lurus dan rapatkan saf," Laung imam.

Penuh saf pertama, saf kedua pula dibentuk. Seorang pemuda memulakan saf kedua dari bahagian hujung sebelah kanan. Situasi yang sama berlaku di bahagian solat wanita. Bezanya, saf pertama dimulakan dari bahagian sebelah kanan.

Dimanakah saf seharusnya bermula?

Sudah berkali-kali saya harus akur memenuhkan saf dari kanan kerana orang yang memulakan saf tidak mahu berganjak ke tengah saf. Mungkin juga mereka tidak tahu. Pernah juga seseorang memulakan saf dari kanan (orang yang mungkin tidak tahu) dan seorang lagi memulakan saf dari tengah (mungkin orang yang tahu) dalam masa yang sama. Situasi menjadi lebih teruk apabila ada yang merapatkan saf ke kanan ada yang merapatkan saf ke tengah. Hasilnya, wujudlah ruang di dalam saf kerana masing-masing 'berdegil' untuk rapat ke bahagian masing-masing.

“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.” (HR Abu Daud, an-Nasa’i, Ahmad)

Yang sepatutnya adalah, saf haruslah dimulakan di tengah dan kemudian dipenuhi kanan dan kirinya dengan seimbang sambil merapati ketengah saf. Maksudnya disini, mereka yang berada di sebelah kanan saf harus merapati ke kiri dan yang berada di sebelah kiri harus merapati ke kanan.

Saf hendaklah bermula di bahagian tengah pada kedudukan belakang imam. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah, “Menengahi imam dan tutup tempat kosong (iaitu ruang antara dua makmum) .” (HR Abu Daud)

Tahukah anda bahawa tak khusyuk solat bila berlakunya perkara begini?! *geram*


Situasi 3

Biasanya jika bangun dari sujud untuk memulakan rakaat seterusnya, pasti saf akan menjadi sedikit longgar dan tidak lurus. Dan kebiasaannya makmum akan terus berdiri di tempat masing-masing dan tidak berusaha langsung untuk membetulkan kembali kedudukkan saf.



“Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud)


Notakaki:
Ini entri melepaskan geram. Janganlah disebabkan kita, orang lain melepas pahala solat berjemaah hanya kerana saf yang tidak sempurna. Sampaikanlah walau sepotong ayat.

Kalau saya ada tersalah, sila tegur ya.

14 December 2010

Tunang

"Bila dia nak hantar rombongan?"

"Ishh Kak Long ni..lambat lagi lah. Haritu kan dah bincang dengan dia."

"Tapi Sya, kalau dia lambat hantar rombongan, Dr.Kalsom nak hantar rombongan merisik Sya untuk anak sulung dia."


Aisyah terbayang wajah Dr. Kalsom. Pensyarah di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Anak sulungnya Imran. A-Levels dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan di Australia, sekarang mengambil Sarjana dalam bidang pengajian Islam di Jordan. Kalau dibandingkan, Aisyah amat yakin dia tidak sekufu dengan Imran. Aisyah mempunyai tiga semester lagi untuk meraih Ijazah Sarjana Muda Psikologi. Itupun hanyalah di universiti tempatan.

Aisyah pernah berjumpa Dr. Kalsom beberapa kali. Mungkin tiga atau empat. Dr. Kalsom pernah mengajar Kak Long semasa di universiti dua tahun lepas. Aisyah sering melawat Kak Long di Kuala Lumpur dan selalu juga menemani Kak Long ke rumah Dr. Kalsom untuk menyiapkan research proposal Sarjananya. Aisyah tidak pernah berjumpa Imran. Hanya mendengar cerita tentangnya dari Dr. Kalsom.


"Kak Long jangan risaulah. Mana boleh meminang atas pinangan orang lain."

"Maksud Sya? Dia belum hantar apa-apa rombongan pun. Meminang apanya?"

"Kak Long, kan dia dah datang rumah, jumpa ibu dan abah? Kan dia bagitahu ibu dan abah anggaran tarikh untuk menikah. Maksudnya dah meminanglah tu."


Aisyah masih ingat bagaimana ia bermula. Kak Zu menjadi orang tengah untuk menyampaikan hasrat dia. Hampir sebulan Aisyah istikharah. Hampir sebulan juga berbincang dengan ibu dan ayah. Jenuh diterangkan pada ibu. Sebulan itu jugalah Aisyah tidak putus-putus solat malam dan berdoa untuk diberi petunjuk. Nekad. Aisyah yakin dengan istikharahnya. Aisyah memberi jawapan kepada Kak Zu meskipun hatinya tidak ada secalit pun rasa kasih, jauh sekali cinta. Perasaan itu akan hadir dengan sendiri selepas ini, dia pasti. Biarlah agama yang menjadi timbangan.


“Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu reda terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)


Fikiran Aisyah kembali membumi. Kak Long masih di hujung talian.


"Rombongan, cincin, hantaran dan majlis tu semua adat je Kak Long. Bertunang tu maksudnya ikatan atau janji untuk bernikah."

"Maksudnya Sya dah tunanglah ni?" Berderai tawa Kak Long. Mungkin tidak percaya apa yang didengarinya. Aisyah juga tergelak mendengar tawa Kak Long.

"Kak Long, seriuslah ni. Dah tunang dari segi syariat, tapi belum tunang dari segi adat."


Meminang membawa makna menzahir dan mengiklankan kehendak atau kemahuan seseorang untuk berkahwin dengan seseorang wanita. Dengan zahirnya kehendak itu, jadilah khatib (tunang lelaki) dan makhtubah (tunang wanita), maka tidaklah dibenarkan menerima pinangan lain selepas itu melainkan sebab yang memerlukan untuk putus tunang. - Fatwa Muasoroh oleh Dr.Yusof Al Qardawi


.

.

.

.

.


Notakaki: Entri kali ini adalah di atas permintaan seorang sahabat yang mahu saya menerangkan mengenai adat dan syariat dalam pertunangan. Semoga mesej di sebalik cerita ini sampai kepada pembaca sekalian.

PENEGASAN: Cerita ni tiada kena mengena dengan saya. Jangan buat kontroversi. :)


08 December 2010

Dia

Saya jumpa dia buat pertama kalinya di matrik.
Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan.
Lebih spesifik lagi, di bilik C2.4.8.
Kluster C, blok C2, aras 4, bilik nombor 8.
Hari pertama pendaftaran.
Pertama kali nampak dia, terdetik dalam hati saya, "Baiknya dia,".
Penampilannya sederhana, tutur katanya sopan.

Sewaktu itu, dia ada bersama adik beradik dan ibunya.
Ibunya sedang bercakap dengan seseorang di telefon bimbit.
Saya mengagak itu ayah dia.
Ibunya berkata sesuatu tentang pendaftaran program.
Dari jauh saya dapat menangkap sedikit-sedikit apa yang dibualkan.
Tidak, bukan mencuri dengar. Tapi terdengar.
Tahulah saya bahawa dia juga seperti saya.

Kami didaftarkan di bawah program Sains Fizik,
sedangkan kami menjangkakan pendaftaran di bawah program Sains Hayat.
Kata fasilitator minggu orientasi, kami boleh menukar program pada hujung orientasi nanti.
Kebetulan, takdir Allah, kami mendapat kuliah yang sama selepas menukar program.
Kuliah kami Hayat 2. H2.
Bezanya saya Praktikum 1, dia Praktikum 4.
Saya H2P1, dia H2P4.

Setiap hari kami sebilik akan bangun seawal jam 5.30 pagi.
Jam 6.30 pagi, pasti sudah berada di bawah blok.
Pasti juga dalam perjalanan ke kafeteria.
Kafeteria D.
Dan pasti juga kami akan sarapan bersama.
Itu rutin yang tidak berjadual.
Memang hari-hari begitu.
Bezanya mungkin ada hari yang terlewat sedikit.
Mungkin juga ada hari yang terawal sedikit.

Kuliah bermula jam 8 pagi.
Pastinya saya dan dia akan ke kuliah bersama-sama.
Teman sebilik yang lain pasti juga berjalan bersama walaupun destinasi berlainan.
Biasanya kami akan duduk bersebelahan.
Dia di sebelah kanan, saya di sebelah kiri.
Kadangkala dia di sebelah kiri, saya di sebelah kanan.
Kadang terjadi juga kami tidak duduk bersebelahan.
Mungkin kerana praktikumnya habis tutorial lewat.
Mungkin kerana praktikum saya habis amali lewat.
Bergantung.
Tetapi selalunya begitu.
Kami akan duduk bersebelahan.

Ayah dan ibunya doktor.
Ayah dan ibunya mahu dia jadi menjadi doktor juga.
Diam-diam, dia mahu menjadi akauntan.
Tetapi saya nampak bakatnya sebagai doktor.
Saya tak pernah bagitahu dia.
Banyak sebenarnya yang saya tak pernah bagitahu dia.

Saya tak pernah bagitahu dia yang dia banyak mengubah saya.
Saya tak pernah bagitahu dia yang dia membuat saya berfikir.
Saya tak pernah bagitahu dia yang saya amat cemburu padanya.

Saya tak pernah berkesempatan mengucapkan terima kasih.
Terima kasih pada dia yang mengajak saya ke program alumni sekolahnya.
Saya lupa nama tempatnya, tapi yang pasti, ia sebuah surau.
Dan di situlah pertama kalinya saya melihat perempuan solat tanpa telekung.
Di situlah pertama kalinya saya berkenalan dengan buku nipis bernama Al-Matsurat.
Di situlah pertama kalinya saya tahu fadhilat membaca Al-Mulk sebelum tidur.
Di situ juga saya terlihat deretan tafsir Al-Quran yang bermacam-macam warna.
Saya membelek salah satu tafsir Al-Quran berwarna merah hati.
Terdetik di hati untuk membelinya satu hari nanti.
Bermacam lagi 'pertama kali' yang saya lalui sepanjang dua hari program.
Mungkin saya kelihatan seperti jakun ketika itu.
Junior-junior dia melihat sahaja tingkah saya.
Beruntungnya dia kerana tahu semua itu.
Ruginya saya.
Jahil jahil jahil.
Dia banyak mengubah saya.

Saya sangat kasar orangnya.
Membesar dengan lelaki-lelaki di rumah membuat saya menjadi kasar.
Mama juga sering menegur tingkah saya.
Pernah sewaktu kuliah, saya dan dia duduk bersebelahan seperti biasa.
Kami bergurau-gurau tentang sesuatu.
Tidak semena-mena, saya menumbuk bahunya.
Tindakan refleks luar kawalan.
Tumbukan itu bukan bererti melepaskan amarah.
Tumbukan itu hanya penambah rasa gurauan, seperti saya dan abang-abang saya.
Tapi saya lupa saya bergurau dengan siapa.
Dia merengek kesakitan.
Air mukanya berubah.
Seminit dua terasa lumpuh di lengan.
Saya tahu, saya pernah merasa tumbukan Abang Khairul.
Abang Khairul yang mengajar saya menumbuk begitu.
"Tumbuk biar sampai rasa nak lumpuh", katanya.
Selepas kejadian itu, saya tak pernah menumbuk sesiapa lagi.
Dia banyak mengubah saya.

Dia tidak banyak bercakap.
Orangnya sopan. Tuturnya juga sopan.
Kadangkala bila kena waktu, dia juga boleh jadi kelakar orangnya.
Gelak tawanya tidak berlebihan.
Secukup rasa cuma.
Dan kadangkala dia akan menjadi sangat senyap.
Menjauhkan diri.
Dulu saya selalu nanar dan hairan.
Jujur, saya tidak faham kenapa.
Tetapi sekarang mungkin saya lebih mengerti. Mungkin.
Saya dan teman sebilik, kadang ketawa kami berlebihan.
Kadang tutur kami kasar.
Kadang tutur kami menyakitkan hati.
Hati dia sangat lembut.
Mungkin sahaja terasa dengan sikap kami. Mungkin.
Dia membuat saya berfikir apa salah saya, apa yang sebetulnya.
Dia membuat saya berfikir apa kurangnya saya.
Dia membuat saya banyak berfikir.

Seperti yang saya katakan, hati dia sangat lembut.
Dia sangat mudah menangis.
Dan tangis dia bukan tangis murahan yang diperoleh senang-senang.
Tangis dia tangis ketakutan.
Tangis dia tangis dosa.
Pernah kami sebilik menonton rakaman ceramah Ustaz Khairi.
Belum sempat habis, dia menelefon ibunya.
Dia menangis dan memohon sesuatu.
Saya tahu apa yang dia mohon.
Kami sebilik tahu.
Katanya dia tidak mahu lagi melakukan dosa-dosa berterusan.
Azab Allah itu pedih.
Azab Allah itu berat.
Itu kata dia.
Dia membuat saya berasa cemburu.
Kerasnya hati saya berbanding dia.
Dan sekali lagi dia membuat saya banyak berfikir.

Kami sebilik ada empat orang. Dia, saya, Ayu dan Alin.
Saya lupa bila ketikanya, tetapi dari empat orang sebilik, kami menjadi lima orang sebilik.
A'an orang yang kelima.
A'an sudah seperti teman sebilik sendiri.
Banyak masa kami dihabiskan berlima.
Tidak lama selepas itu, kami menjadi enam orang sebilik.
Kemudian tujuh, kemudian lapan. Qama, Aini, Qiqi.
Kadangkala lebih dari itu. Nana, Rabi.
Meski hanya setahun di matrikulasi, kemanisan ukhuwah itu masih terasa.

Kenangan itu semua sudah lama berlalu.
Sudah tiga tahun, hampir menjengah empat.
Banyak yang telah berubah sekarang.
Alhamdulillah, dia bakal menjadi doktor.
Dan Alhamdulillah juga, dia bakal menjadi suri hidup seseorang.
Musa namanya.

Sewaktu menerima mesej dia, saya memanjat syukur tinggi-tinggi.
Dipanjangkan dengan doa sebagai bekalan.
2 Oktober 2010, dia menjadi tunangan orang.
Sedih kerana tidak dapat bersama dia.
Tanggungjawab di kampus masih tersisa.
"Awak wajib datang masa nikah nanti tau!" selorohnya.
InsyaAllah.
Saya pasti akan berada disisinya nanti jika diizinkan Allah.

Tinggal lagi beberapa hari cuma.
17 hari, sebetulnya.
Saya membaca wall post di Facebook dia.

"oh Allah show me the way and guide us t0 your true path.
oh Allah make the day beneficial and full of barakah.

oh Allah your the only one and there's no other.

oh Allah thank you for everything,
make me a good daughter and sister for last few days of my single life."



Dia Afiqah Roslan. Fiqa.


Doa Nabi Muhammad pada hari pernikahan puterinya,
Fatimah Azzahra dengan Ali bin Ali Talib.
"Semoga Allah menghimpunkan yang terserak dari keduanya,
memberkati mereka berdua,
dan kiranya Allah meningkatkan darjat keturunan mereka
menjadi pembuka rahmat,
sumber ilmu dan hikmah
serta pemberi rasa aman bagi umat"

Amin Ya Rabb.

06 December 2010

Generasi 'Turning Point'

Aku menggosok mata perlahan-lahan. Sekali-sekala menggelengkan kepala untuk menghilangkan kantuk. Bosan.

Pandangan ditebar ke sekeliling dewan. Kelihatan hampir separuh warga dewan tertunduk, sama ada menahan mengantuk mahupun sudah tiba ke takah ke dua setengah.

Sasterawan negara, Dato' Shahnon Ahmad, ada mengatakan di dalam bukunya 'Seketul Hati Seorang Pemimpin' bahawa manusia akan melalui empat takah. Allah berfirman dalam Quran, sesungguhnya manusia dimulakan dengan mati. Kemudian kita dihidupkan, sesudah itu kita dimatikan. Akhir sekali, kita pasti dihidupkan sampai bila-bila. Maka takah yang pertama itu adalah mati, yakni alam rahim dan sebelum ditiupkan roh. Takah kedua adalah alam kehidupan manusia yang sedang kita lalui sekarang. Takah yang ketiga pula adalah alam mati atau barzakh. Yang keempat merupakan alam akhirat yakni kehidupan di syurga dan neraka.

Dan separuh warga dewan kini telah pun tiba ke takah dua setengah. Bukankah yang kedua itu hidup dan yang ketiga itu mati? Maka alam tidur, atau seperti yang dikatakan sesetengah ahli filusuf, alam kematian kecil, merupakan takah dua setengah. Roh meninggalkan kerangka raga. Takah dua setengah. Menurut siapa? Ahh, suka-suka aku membuat tafsiran dan takwilan sendiri.

Pandangan masih menyerak. Aku melihat gelagat separuh lagi warga dewan yang masih di takah kedua. Segelintir membaca novel. Segelintir mendengar MP3. Segelintir menconteng kertas. Sedikit cuma yang benar-benar menyelami apa yang sedang disampaikan penceramah di hadapan dewan.

Sengaja aku pilih untuk duduk di bahagian belakang dewan. Tiada hujah yang kukuh kenapa, tetapi itu yang dirasakan perlu. Aku melihat kertas catatanku yang masih kosong. Sepalit garis pun tiada.

Ceramah hari ini anjuran fakulti. Objektifnya untuk memotivasikan mahasiswa. Ya, semudah itu objektifnya. Perlaksanaannya mungkin kurang berkesan. Mungkin juga mahasiswa merasakan sudah cukup termotivasi. Aku menebarkan pandangan sekeliling dewan sekali lagi. Cepat-cepat aku padamkan tanggapan yang kedua.

Seketika berlalu, mikrofon pun beralih tangan. Penceramah kedua merupakan seorang wanita yang memakai baju korporat. Tampangnya kemas dan berkeyakinan. Aku mengagak usianya mungkin di awal 30an. Pengurus syarikat Bioteknologi yang ternama, kata pengerusi majlis sebentar tadi.

Insan-insan yang berada di takah dua setengah kembali ke takah kedua apabila mendengar suara tegas penceramah itu.

"Those who were born in 1982 to 1995, please raise your hands."

Sepelosok ahli dewan mengangkat tangan. Mereka yang masih di takah dua setengah disiku oleh rakan sebelah. Laju mereka mengangkat tangan walaupun masih mamai-mamai.

"You are Generation Y. Also known as the 'Echo Boomers'." Panjang senyum penceramah itu.

"The generation before you, my generation, is Generation X. Our generation has done many harm and mistakes. YOU are the one who will change this wreckage."

Aku membetulkan duduk. Nanar sebentar. Maksudnya apa?

"My generation made so many mistakes. You can see it for yourselves. Look around you. Look at your parents."

Mata-mata yang kuyu kini membuntang.

"We worked too hard. We worked until late hours. We let strangers take care of our children. We let strangers take care of YOU. We pursued wealth so that we wouldn't become like our parents and their parents who lived in poverty. We pursued wealth to allow our children to live life without hardship. We wanted to give our children, YOU, the chance of getting good education, fancy clothes, hi-tech gadgets and what not."

"BUT, sadly, we forgot about the essence of love in family upbringing. We tried but we failed. We managed to give wealth, but we failed miserably in giving love and care. Tell me, on average, how many hours a day do you spend with your parents? An hour? Two maybe? Let say the most is five. Will that five short hours be enough for quality time with your loved ones? Or would you be stuck in front of the television without saying a word to them?"

Momentum yang dibawa secara tiba-tiba oleh wanita muda ini mengetuk minda kami. Dari tempat dudukku dibelakang, aku membuat jangkaan bahawa semua ahli dewan berada di takah kedua, segar-bugar semuanya.

"Your generation has been the 'victim' of the fiasco that my generation created. And that is why, YOU are the one who is going to change all these catastrophes. Look at your generation. Look at how many moral cases there are today. Look at how many teenagers who had sex before marriage, how many babies being thrown each day, how many teenagers who abuse themselves with drugs. What do you think is the cause of all this chaos?"

"We, Generation X, your parents, have forgotten about a very important issue - attention. This has left a deep hole in our children's heart where attention should be. And to fill that hole, they tend to seek others; boyfriend, girlfriend, friends, strangers; ANYONE, who can fill that hole."

Aku mengangguk lemah.


Usai program tersebut, fikiran aku masih menerawang, menganalisa dan menghadam isi ceramah oleh wanita muda berbaju korporat itu. Benar katanya. Betapa ramai anak remaja yang kian tenggelam dan lemas dalam masalah sosial. Pokok pangkal, perdu dan punca hanyalah dek kerana tidak mendapat perhatian dari ibu bapa. Apa benar? Tidak perlu saya jawab disini. Anda yang merasakan dan melaluinya pasti lebih mengetahui.

Kita merupakan generasi 'turning point'. Generasi yang berupaya dan bakal membawa perubahan. Tetapi itu hanya akan terjadi jika dan hanya jika kesedaran melata dalam diri. Sedar, tahu, faham, mafhum, maklum dan sewaktu dengannya.



Notakaki:

Salam Maal Hijrah..
Mungkin boleh mempertimbang untuk menjadi generasi 'turning point' sebagai azam tahun ini. :)


24 November 2010

Seeing BIG





Complete Heterochromia.

Kondisi dimana salah satu warna iris (baca: mata) berbeza dari yang lain

Punca? Diwarisi, genetik, mutasi, penyakit atau kecederaan yang mengakibatkan kekurangan atau lebihan melanin (baca: pigmen)

Kagum.

Ramai orang sangka bahawa complete heterochromia menyebabkan pekak dan bisu sama ada pada manusia atau haiwan. Hakikatnya tidak.

Allah hebat kan?

Babah mempunyai Central Heterochromia.

Beza antara central dan complete? Cari sendiri.

Mudahnya, jika ada anak jati Melayu yang bermata hijau atau perang, ketahuilah bahawa anda sebenarnya mengalami mutasi. Bukan mutasi seperti The Hulk.

Entri kali ini mengajak seisi blog stalker untuk mengingati kehebatan ciptaan Allah barang seketika.

What other wonders have you came across?

Kerna Allah menciptakan akal untuk berfikir.

15 November 2010

Real Muslimat: Multi-tasking

"InsyaAllah kita akan bincang tentang akibat dan kesan berlakunya peristiwa itu. Jadi ana buka untuk perbincangan."

"Bismillahirahmanirrahim, ana dapat maklumat dari seorang senior, berlakunya peristiwa ni sebab..."

Bermulalah perbincangan pada malam itu. Tugasan yang diberi bukannya mudah. Bukannya boleh digoreng atau direbus. Ia perlu diperhalusi dan merujuk kepada sumber yang sahih.




Hampir sepertiga perbincangan, seorang sahabat berbisik kepada saya. "Kina, dah hantar borang BM dah?"

"Allah, lupa pulak nak isi! Tarikh last Isnin ni kan?"

"A'ah, Isnin ni. Kita tak nak isi boleh tak?"

"Eh, kenapa pulak?"

"Saja je. Tak nak lah isi."

"Kenapa?"

"Kita rasa tak layak lah nak bersama dengan orang yang berfikrah ni. Ramai lagi orang lain yang hebat-hebat. Biarlah kita bagi peluang kat orang lain."

"Ishh. Mana boleh macam tu. Dalam perkara ibadah, kita kena mendahulukan diri sendiri."

"Kenapa pulak?"

"Kalau tak silap kita, ada hadis pasal ni. Kita tak berapa ingat. Dalam hal-hal ibadah wajib, kita perlu mendahulukan diri kita daripada orang lain. Contohnya kalau nak solat, dan pakaian yang menutup aurat tu ada satu sahaja sedangkan ada dua orang - kita dan kawan kita. Maka wajib untuk kita solat dahulu dan kemudian pakaian yang menutup aurat tu diberi kepada kawan kita untuk dia solat pula."

"Eh, betul ke? Contoh lain?"

"Erm, contoh lain, kalau berbuka puasa Ramadhan (puasa yang wajib), kita perlu berbuka dahulu sebelum memberi makanan kepada orang lain."

"Bukan ke selama ni kita perlu mendahulukan orang lain sebelum diri kita sendiri?"

"Memang betul, tapi dalam hal ibadah yang wajib, kita perlu mementingkan diri sendiri dan merebut pahala."

"Jadi kaitannya dengan apa yang kita cakap tadi tu apa?"

"Ha, kaitannya, kita kena mendahulukan diri sendiri dalam ibadah wajib, termasuklah bab nikah."

Muka hamba Allah yang bergelar sahabat itu berkerut seribu sejak tadi.

"Contohnya, ada seorang lelaki yang sangat soleh dan alim meminang seorang wanita. Dalam masa yang sama, kawan baik wanita tersebut sebenarnya menyimpan perasaan terhadap lelaki itu. Tidak boleh bagi wanita yang dipinang itu menolak pinangan lelaki alim itu dengan hasrat memberi peluang kepada kawan baiknya."




"EHEM. Muslimat kalau nak tambah apa-apa silakan ye. Macam banyak je dah berbincang tu." Seorang muslimin menegur.

"Erm, ana rasa bahagian faktor luaran tu macam belum cukup maklumat. Mungkin kita boleh tambah untuk keadaan semasa." Cover line yang sangat baik.




Perbincangan dengan sahabat tadi disambung semula. Kali ini, sahabat muslimat lain pula menambah. "Betul lah tu kak. Kalau tak silap saya ianya dipanggil itsar. Dalam cerita Ketika Cinta Bertasbih ada kot pasal ni."

"Adeh, akak tak tengoklah cerita tu."

"Takpe, nanti akak cari kat internet."




"MUSLIMAT kalau nak bincang lagi mungkin boleh share dengan muslimin. Kami pun nak tau juga. Nanti ada yang complain muslimin tak bagi muslimat peluang cakap dalam mesyuarat."

"Eh, takde lah. Kami bincang balik pasal apa yang ditulis kat depan tu. Penjelasan semula." Ohh, cover line lagi.

"Okay, kalau macam tu kita dah boleh masuk kepada perbincangan lanjut. Apa yang antum nampak faktor utama berlakunya peristiwa ni?"

"Ana rasa ni masalah sistem dan kesedaran. Apabila suatu sistem yang telah dirangka, kita bergerak tanpa kesedaran tetapi arahan. Tetapi berbeza dengan zaman selepas itu, mereka bergerak diatas dasar kesedaran, barulah merangka sistem."

Semua yang hadir mengangguk setuju.

"Ana rasa tu dah macam konklusi kepada perbincangan kita. Ada sesiapa lagi yang nak tambah?"

"Ana ada soalan, bagaimana pula dengan kualiti dan kuantiti? Yang manakah yang perlu kita utamakan?"

"Ana rasa dalam soal ni, kita perlu utamakan kualiti. Apa guna kuantiti kalau kualiti yang tak seberapa."

"Tapi kayu ukur kita merupakan kuantiti. Bagaimana kita nak mengukur kualiti?"

"Pendapat ana, kualiti dan kuantiti perlu bergerak seiringan. Macam dakwah dan akademik."

"Isyh, tak boleh macam tu. Perlu ada salah satu yang diutamakan."

Perbincangan dilanjutkan sehingga semua mencapai kata sepakat. Alhamdulillah, apa yang dibincangkan sangat bermanfaat kepada kami semua. Dalam hati, seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kerana diberi tugasan sebegini.



Hari ini kami ke kedai buku untuk merungkai persoalan tentang itsar. Saya membeli buku Perbahasan Kaedah-kaedah Fiqh dan hamba Allah bergelar sahabat itu membeli buku Fiqh Aulawiyat (Fiqh Keutamaan). Ternyata benarlah apa yang kami bincangkan.

Itsar atau mendahulukan orang lain daripada diri sendiri itu terbahagi kepada dua iaitu itsar duniawi dan itsar ibadah.

1. Itsar duniawi: Sangat dipuji Allah. Contohnya makan, minum, harta.
2. Itsar ibadah: Sangat dikeji Allah. Contohnya dalam hal solat, puasa, haji, nikah, dan zakat.

Dan lawan bagi itsar adalah atsaroh iaitu mendahulukan diri sendiri. Maka dalam hal-hal ibadah, perlulah kita atsaroh.

Alhamdulillah juga, persoalan tentang kualiti vs kuantiti itu kami temukan di dalam buku Fiqh Aulawiyat, bab kedua iaitu Keutamaan Kualiti Keatas Kuantiti. Huraian panjang lebar oleh Yusuf Al-Qardhawi itu cukup jelas bahawa kualiti haruslah diutamakan daripada kuantiti. Mungkin selepas ini kita boleh membawa buku-buku fiqh semasa mesyuarat. Hehe.



p/s: Sekiranya tuan pengerusi mesyuarat tersebut membaca entri ini, harap dimaafkan kerana membincangkan tajuk selain dari tajuk yang perlu dibincangkan. Maklumlah, muslimat. Kami memang cekap dalam hal multi-tasking. :)


25 October 2010

V for Vendetta & Menara Warisan


"Ustaz cadangkan, antum tengoklah cerita V for Vendetta dan belajar siasah daripada cerita tu."

Biar betul Ustaz ni? V for Vendetta?

"Cerita Barat ni, walaupun kebanyakkannya tak senonoh, ada pengajarannya. Bukan macam cerita kita, dah lah tak senonoh, pengajarannya pula belum tentu betul."


V for Vendetta

Cerita yang diadaptasi dari komik karya Alan Moore ini mengisahkan Britain yang diperintah oleh kerajaan totalitarian Parti Norsefire. Kerajaan yang memerintah secara gila kuasa menahan rakyat yang menetang kerajaan di kem-kem konsentrasi dan menjadikan mereka bahan eksperimen untuk keuntungan kerajaan. Kerajaan Norsefire mengawal segala informasi yang sampai ke telinga rakyat Britain dengan menguasai media massa dan menyampaikan berita yang boleh meyakinkan rakyat Britain untuk bergantung harap kepada kerajaan.



"V", seorang revolusioner Anarkis yang tampil menggunakan topeng Guy Fawkes, pernah didera semasa menjadi tahanan kem konsentrasi. V mula berkempen menggunakan kekerasan dan bertindak kejam dengan membunuh bekas penculiknya, menggulingkan kerajaan, dan meyakinkan rakyat Britain untuk memerintah diri mereka sendiri.



Menariknya tentang cerita ini, terdapat beberapa pandangan holistik tentang hubungan pemerintah dan rakyat. Diingatkan bahawa saya hanya menghuraikan cerita V for Vendetta, bukan mengkritik kerajaan Malaysia. Sila jangan salah faham. Jika terdapat apa-apa persamaan, maka ia adalah kebetulan semata-mata. Antara dialog yang saya kira boleh dijadikan study case disini adalah:

"People should not be afraid of their government. Governments should be afraid of their people."
Rakyat tidak patut berasa takut dengan kerajaan. Kerajaan patut berasa takut dengan rakyat.

Sememangnya rakyat tidak patut berasa takut dengan kerajaan kerana rakyatlah yang bertanggungjawab memilih kerajaan. Tanpa sokongan rakyat, maka tidak wujudlah sesuatu kerajaan itu. Dan kerajaan pula wajib menunaikan hak dan kewajiban terhadap rakyat yang telah memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan untuk memerintah. Sekiranya kerajaan tidak dapat menunaikan kewajiban itu dengan baik, maka kerajaan memang patut berasa takut dengan rakyat.


"It's our job to report the news not fabricate it. That's the government's job"
Tugas kami (penyampai berita) hanya untuk melaporkan berita, bukan memalsukannya. Itu tugas kerajaan.

Berita tentang ekonomi, taraf kesihatan, politik dan sosial dipalsukan oleh kerajaan untuk mengelakkan pertentangan rakyat dan memperlihatkan betapa gahnya kerajaan tersebut. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui berita sebenar. Rakyat tidak boleh dipelakukan seperti boneka yang dipermainkan oleh pihak kerajaan.


Salah satu adegan di dalam cerita ini yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca adalah pada akhir cerita ini, Evey ingin menarik tuil yang akan menggerakkan keretapi bawah tanah yang sarat dengan bom untuk mengebom bangunan parlimen Britain. Sebelum Evey sempat menarik tuil tersebut, seorang detektif mengacukan pistol kepadanya dan mengarahkannya untuk berhenti.

"Stop! Why are you doing this?"

"Because he (V) was right"

"About what?"

"That this country needs more than a building right now, it needs hope.."

Lalu Evey menarik tuil keretapi tersebut. Pada masa yang sama, lebih 800 000 rakyat Britain yang memakai topeng Guy Fawkes dan berjubah seperti V, membanjiri jalanan dan berkumpul di hadapan bangunan parlimen Britain. Mereka berkumpul untuk melihat bangunan parlimen Britain berkecai dan hancur bersama pemerintahan yang zalim.





V for Vendetta & Menara Warisan

Dalam pembentangan Bajet 2011 yang lepas, Dato Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia, telah mengumumkan pembinaan Menara Warisan yang berharga RM 5 billion. Bangunan setinggi 100 tingkat yang akan menggantikan Menara Berkembar Petronas sebagai bangunan tertinggi di Malaysia itu mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak. Secara zahirnya, Menara Warisan itu pasti menjadi sebutan orang ramai sekaligus menaikkan nama Malaysia diperingkat antarabangsa. Namun, apalah ertinya jika rakyat Malaysia bakal menanggung beban selebihnya.


Di sini saya sertakan beberapa pandangan saya (saya tegaskan, pandangan saya) terhadap pembinaan Menara Warisan:

1. RM5 billion untuk sebuah bangunan sahaja merupakan pelaburan yang kurang bijak kerana duit tersebut boleh digunakan untuk pelbagai jenis pembangunan lain yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Sebagai contoh, jika pengangkutan awam di Malaysia dinaiktarafkan dan menggunakan 'state-of-the-art technology', ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah boleh menaikkan nama negara.

2. Antara keperluan dan kemahuan, saya fikir Menara Warisan bukanlah satu keperluan tetapi kemahuan pihak kerajaan semata-mata. Ini adalah kerana bangunan-bangunan yang sedia ada dan melambak di Kuala Lumpur tidak digunakan sepenuhnya dan ada juga yang 'unoccupied'. Menara Berkembar Petronas sendiri tidak digunakan secara total, jadi untuk apa bangunan ini dibina? Secara tidak langsung, hal ini akan mengurangkan nilai harta tanah di kawasan lebihan lot.

3. PM mengatakan bahawa Menara Warisan akan menguntungkan ekonomi negara dengan pelaburan dari pelbagai pihak. Tetapi berbaloikan menggunakan RM5 billion (yang mungkin akan melonjak sehingga RM10 billion di akhir pembinaannya pada 2015) dengan mengorbankan kepentingan semasa dan tanpa pertimbangan keadaan ekonomi yang semakin gawat? Harga minyak dan gula melonjak naik, harga barangan runcit juga semakin melambung tinggi. Lalu salah siapa jika rakyat yang berpendapatan rendah (baca: miskin) tidak mampu membiayai anak-anak mereka ke sekolah? Salah mereka sendiri kerana tidak berusaha dengan lebih gigih??

4. Cuba kita lihat negara maju yang lain. Jepun terkenal dengan pembangunan teknologi elektroniknya. Russia terkenal dengan teknologi aeronautic. Mereka tidak memerlukan sebuah menara pencakar langit untuk menjadi terkenal. Yang kita perlukan adalah pembangunan modal insan yakni pembangunan sahsiah diri dan rohani dalam kalangan masyarakat, bukan sekadar 'meramaikan' pencakar langit di Kuala Lumpur. Apalah gunanya jika secara dasar dan zahirnya cantik di mata dunia, tetapi isi dalamnya kosong dan lompong.

5. Malaysia sepatutnya mengambil ibrah dari pembinaan menara Burj Dubai. Walaupun menjadi sebutan dan perhatian, keadaan ekonomi Dubai merudum jatuh dan terpaksa berhutang. Maklumat lanjut di sini.

Banyak lagi pandangan yang boleh dilontarkan, tetapi cukuplah buat masa ini. Seperti yang dikatakan dalam V for Vendetta, "This country needs more than a building right now, it needs hope.." Atau adakah Malaysia perlukan pengakhiran seperti V for Vendetta?



Wallahu'alam.



Nota kaki:

> Writing a Malay language review for an English-movie is veryyy difficult!

> Sekiranya anda tidak bersetuju dengan pandangan saya, anda dipersilakan untuk memberi hujah yang lebih kukuh.

> Jika anda ingin menonton V for Vendetta, saya mengesyorkan anda untuk Google mengenai 'Guy Fawkes' dan 'The Gunpowder Treason Plot' terlebih dahulu. (V for Vendetta ada di Youtube)

> Alan Moore, penulis asal komik V for Vendetta kurang bersetuju dengan filem ini kerana terdapat banyak perubahan pada cerita asal dan mesej tentang politik yang disampaikan tidak seperti di dalam komiknya. Saya akan cari komik V for Vendetta!

21 October 2010

Seorang Insyirah

"Tapi Kak Ina, cita-cita Syira macam mana?"

Aku merenung dalam-dalam wajahnya. Matanya redup dan sedikit basah. Bagaimana harusku susun ayat agar hatinya yang bergolak kembali tenang.

"Nanti Syira cakaplah baik-baik dengan bakal suami Syira. Bagitau dia yang Syira nak sambung belajar. InsyaAllah dia faham."

Aku cuba memujuk walaupun sejujurnya, aku sendiri ragu-ragu dengan apa yang aku katakan.


Namanya Insyirah, bekas pelajar mama sewaktu mama mengajar di salah sebuah kolej swasta di ibu kota. Pelajar-pelajar mama sememangnya rapat dengan mama. Secara tidak langsung, mereka juga rapat dengan aku kerana aku pernah bekerja di kolej itu sementara menunggu keputusan kemasukan universiti.

Insyirah anak tunggal dari keluarga yang porak-peranda. Ibu bapanya telah pun bercerai dan masing-masing sibuk membina hidup sendiri. Ayahnya berada nun jauh di Singapura, tempat kelahiran Insyirah. Ibunya pula seolah-olah membencinya sepenuh hati. Insyirah dipukul, didera, dimaki dan dicaci. Insyirah hanya dibenarkan keluar untuk ke kolej dan terus pulang ke rumah sesudah kelas.

Pernah suatu ketika mama menelefon aku dan memberitahu keadaan Insyirah yang kritikal kerana menelan ubat secara berlebihan. Kewarasan akal dan keimanan sukar membuat pertimbangan tatkala jiwa diuji sedemikian rupa. Apa yang dilakukan Insyirah bukanlah apa yang diajar dalam Islam. Membunuh diri itu adalah haram dan haram juga syurga bagi mereka yang membunuh diri. Tetapi sekiranya aku berada di tempat Insyirah, kuatkah imanku untuk mengatasi ujian sedemikian? Wallahu'alam.


"Kak Ina balik tak Raya Haji nanti? Syira nikah lepas Raya Haji di Singapura."

Aku serba salah. Aku dapat mengagak maksud disebalik soalan itu.


Insyirah akan dinikahkan tidak lama lagi. Dengan siapa, aku pun tak pasti. Aku tidak mahu menambah keresahan hati seorang Insyirah, lalu aku biarkan persoalan demi persoalan yang timbul dibenak ini terkubur begitu sahaja. Yang aku sedia maklum, pemuda itu pilihan ibunya.

Insyirah menangis teresak-esak apabila menelefon mama setelah mendapat tahu keputusan ibunya. Aku sebak, tidak mampu membuat apa-apa. Ibu Insyirah mengambil keputusan untuk menikahkannya dengan tujuan melepaskan beban menjaga Insyirah selama ini. Di usia semuda 19 tahun, Insyirah bakal menjadi seorang isteri.


"Sebenarnya Kak Ina, Syira cuba fikir positif & ambil hikmah daripada semua ni. Syira rasa sedih tapi gembira dalam masa yang sama. Sedih sebab cita-cita Syira terkandas. Gembira sebab Syira tak sabar nak mengecapi kebebasan lepas ni."


Kebebasan itu sesuatu yang subjektif. Kebebasan bagi seekor burung adalah terbang tinggi di langit biru. Kebebasan bagi seekor ikan adalah berenang ke dasar lautan. Dan kebebasan bagi Insyirah adalah melepaskan diri dari cengkaman ibunya sendiri.

Aku titipkan sekeping kertas berisi kata-kata semangat dan doa penenang hati. Sebuah buku nipis yang sangat aku sayangi juga diberi. Hanya itu yang mampu lakukan.

Untuk adikku Insyirah, akak mendoakan kebahagiaan Insyirah dan bakal suami. Semoga rumahtangga yang dibina diredhai Allah dan dilimpahi rahmatNya. Jika tidak mengecapi bahagia di dunia, capailah bahagia di akhirat kelak. Tabahlah wahai sekeping hati!


28 September 2010

Things That Makes Me Smile

Colourful lab experiments


Kids running in the rain wearing Baju Melayu


Friends getting married


Baby photoshoot!


Sleepy inverted cats


Magic colours.. apa yang magicnya?


Mujahidahs and future leaders


Book sales, book fairs, books!



What are the things that makes you smile??


The photos above are copyrights of kinaizzati.blogspot.com. No photos are allowed to be re-published and copied without permission from the owner. TQ.

19 September 2010

Masalah Hati

Rindu ini semakin hari semakin membuak. Kadang aku keliru dengan diri sendiri. Apakah aku waras atau tidak untuk berfikiran sebegini. Sungguh, aku rindu padanya. Syahid.

Aku mahu seperti Handalah, dimandikan para malaikat. Aku mahu seperti Jaafar, syahid dengan sembilan puluh luka di tubuh. Aku mahu diberi sayap dari syurga seperti Amar bin Tsabit.

“Orang yang mati syahid itu tidak merasakan (kesakitan) pembunuhan kecuali sebagaiman seorang diantara kalian merasakan (sakitnya) cubitan.” (HR. Ahmad, At Tirmidzi, An Nasa’i - hadits hasan)

Aku mahu seperti yang dikatakan dalam syair Abdullah bin Rawahah: “Aku hanya mengiginkan keampunan terhadap segala dosa-dosaku dan sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancar keluar seperti air yang mengalir keluar dari mata air. Atau sebilah tombak untuk menembusi masuk keliang hatiku dan isi perutku. Dan ketika insan-insan melalui di tepi kuburku, mereka akan berkata: 'Semoga engkau telah gugur kerana Allah, berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur'.”

Pernah aku berdoa pada Allah, agar diberikan peluang merasa peritnya berperang untuk menegakkan agama agar aku syahid. Gila bukan? Dan aku masih fikir aku gila. Apakah dengan syahid di medan perang itu aku boleh mencapai jalb al-masalih dan dar 'al-mafasid bagi umat Islam di tanah airku sendiri?

Mahu sahaja aku tinggalkan semua yang aku peroleh sekarang lari ke Palestin. Gangguan emosi apabila hati ini sudah jemu melihat kerosakkan dan jahiliah yang berleluasa. Tingkah masyarakat yang semakin jauh dari syarak dan seruan Ilahi. Mahu saja aku dahulukan kepentingan diri, biar aku syahid dan mendapat syurga dari melihat kerosakan di muka bumi. Selfish bukan?

Peluang dikafankan bersama darah syahid muncul di depan mata baru-baru ini. 30 pelajar UTM akan ditawarkan mengikuti misi keamanan oleh Aman Palestin. Ahh, aku semakin keliru. Mungkin juga aku cemburu. Tanggungjawabku masih disini.

Lalu, bagaimana pula agamaku kelak? Siapa yang mahu meneruskan rantai perjuangan Islam? Jalan berliku yang panjang dan tidak dijangka akhirnya. Lihatlah tanah airku sendiri!


Jujurnya aku kecewa dengan kepimpinan negara. Aku kecewa melihat Islam yang tidak mencecah akar umbi akibat kepimpinan negara yang sekular dan gila kuasa. Aku kecewa melihat anak bangsaku dijajah pemikiran dan di'Barat'kan secara terancang.

Bagaimana harus aku berbangga dan berterima kasih kepada pimpinan negara pabila lewat dada akhbar dan kaca televisyen, sudah terang kemungkaran itu di depan mata? Apa ingat aku gentar dengan ugutan ISA dan AUKU semata-mata? Persetankan semua itu. Kebenaran itu pasti ditegakkan jua. Ini bukan soal ego anak muda, tetapi soal maruah agama.

Aku sedih mengenangkan mereka yang sesak dan bengit di dalam kepompong dunia masing-masing tanpa menghiraukan batasan syariat. Aku sedih tatkala sahabat-sahabatku lemas mencari keredhaan dunia dan terlupa pada keredhaan Allah demi akhirat yang pasti.

Kerana inilah aku membuang jauh rinduku pada jalan syahid melalui peperangan. Aku memendam rasa itu demi sebuah amanah dan tanggungjawab yang lebih besar. Dakwah dan islah. InsyaAllah, Daulah Islamiyyah! Dan aku yakin, ini juga salah satu jalanku mengejar syahid, meskipun ia tidak berdarah sewangi kasturi.

Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya!

18 June 2010

Menagih Kasih

Titisan manik jernih menghiasi dahinya. Nafas tercungap-cungap.

Astaghfirullahal'azim.

Mimpi yang sama selama tiga hari berturut-turut mengejutkan Zayd dari tidur yang lena. Jantungnya masih berdegup kencang. Lirik matanya menyoroti deretan tubuh yang terbaring di atas lantai dengan hanya berlapikkan toto nipis. Lantas dia bangun dan membuka pintu bilik perlahan-lahan. Bimbang jika dia mengejutkan sahabat-sahabat yang masih lena dibuai mimpi.

Zayd mengerling jam di dinding. 4.15 pagi.

Alhamdulillah Ya Allah..terima kasih kerana memberi aku peluang ini.

Langkahnya dituju ke kamar mandi. Perlahan dia membuka pili air dan membasahkan tapak tangan. Sejuk sekali. Rumah usang berhampiran pantai, memanglah begini. Paip air di atas tanah terdedah dengan terik matahari dan sejuk malam. Di siang hari airnya panas, di malam hari airnya sejuk hingga menusuk tulang. Tanpa berlengah Zayd mengambil wuduk.

Lampu kalimantang di luar rumah mencurahkan cahaya samar ke ruang tamu. Dalam kesamaran cahaya itu jualah dahi Zayd bertemu dengan hamparan sejadah hijau tua.

Ya Allah, aku bersujud kepadaMu dengan penuh rasa kehambaan dan kehinaan, memohon kepadaMu agar diberikan kepadaku kekuatan dan ketabahan. Janganlah Kau palingkan aku dari rahmat dan kasih sayangMu. Jauhkanlah aku dari dosa-dosa yang ingin aku tinggalkan. Sungguh Ya Allah, aku lemah tanpaMu.

Zayd berdoa panjang. Esak tangisnya hiba, merayu kepada Sang Pencipta yang Maha Esa. Tahajjud demi menagih untaian kasih Ilahi.

___________________________________________________

"Min, siapa yang kena jadi imam hari ni?"

Amin melihat jadual di dinding. "Hari ni giliran Salleh,"

Dinihari itu menyaksikan solat jemaah yang didirikan dengan ikatan kasih sayang dan ukhuwwah.

Usai solat subuh, Zayd mencapai mushafnya dan turun ke bawah rumah. Sahabat-sahabatnya khusyuk membaca al-matsurat. Kakinya melangkah ke arah pantai. Deruan angin menyapa lembut wajahnya, membawa kesejukkan embun pagi. Dari jauh kelihatan sebatang Pokok Ru yang telah tumbang. Seingat Zayd, batang pokok tua itu telah lama tersadai di pinggir pantai. Entah kenapa, tiada yang mahu mengalihkannya.

Susunan langkah Zayd begitu hati-hati. Tapak kakinya mengelak deretan Tapak Kuda yang menjalar di pasir pantai. Otaknya ligat mengimbau kenangan minggu pertama dia tiba di rumah usang ini.

"Zayd, tolong ambilkan daun Tapak Kuda kat tepi pantai tu. Syed dah menangis sebab tak tahan sakit. Bisul di lutut dia dah sebesar guli."

Zayd memandang Haikal. Keliru.

"Lah, apa lagi yang kau tercengang? Tolonglah ambil. Aku nak cari kain untuk balut kaki dia."

"Tapak Kuda tu apa?" kotak suara Zayd melontarkan persoalan dengan desibel terendah.

"Haha. Kau pergi tepi pantai tu, cari pokok bunga yang menjalar atas pasir. Bunga dia warna ungu. Cepat sikit. Kesian Syed meraung-raung tu."

Rupa-rupanya Tapak Kuda yang dimaksudkan Haikal adalah Morning Glory. Haikal tak berhenti menyakat Zayd dan mengatakan dia terlalu lama tinggal di Kuala Lumpur sampaikan tak kenal spesies pokok. Yang peliknya nama Inggeris Tapak Kuda dia tahu pula.

"Daun Tapak Kuda ni kita lumatkan, kemudian letak pada tempat bisul." Haikal meletakkan segumpal daun yang telah lumat di lutut Syed. Lagaknya seperti seorang doktor muda.

"Arghhhh..sakitlah Haikal! Janganlah tekan!" Syed meraung lagi. Matanya berair menahan sakit.

"Haha. Kau ni Syed, cuba kuat sikit. Lelaki kenalah kuat," Haikal mencapai kain dan membalut lutut Syed.

"Dah siap. InsyaAllah esok bisul tu surut. Aku pelik betul macam mana kau boleh dapat bisul besar macam tu."


Zayd menggelengkan kepala mengingatkan kenangan itu. Sisa senyuman di bibirnya masih melekat. Sungguh, Allah telah mengatur hidupnya dan menemukan dia dengan insan-insan yang mengejar redha Ilahi. Syukur Ya Allah.

Zayd mengambil tempat dia atas batang tua Pokok Ru. Pandangannya dilontarkan jauh ke kaki langit yang berwarna biru tua kemerah-merahan. Matahari masih bergelut untuk menimbulkan diri. Lakaran warna di dada langit ibarat hamparan kanvas yang dilukis dengan penuh ketelitian dan maksud tersirat. Tiada tandingan jika dibandingkan dengan lukisan Leonardo da Vincci, Pablo Picasso, mahupun Vincent van Gogh. Mana mampu seorang hamba menandingi kehebatan Pencipta yang Maha Esa.



Zayd merapatkan mushafnya ke dada. Tiba-tiba rasa sebak menikam di benak. Mushaf ditangan dibuka dan diselak perlahan, mencari muka yang ditanda. Siraman cahaya langit walaupun sedikit membolehkan Zayd membaca surat cinta dari Ilahi dengan penuh kekhusyukkan. Angin pagi yang menderu membawa bersama lantunan ayat suci Quran dan hanyut dibawa ombak laut.

"Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Terangkanlah jawabnya: Ialah Allah dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), samada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): Keadaan tetapnya di atas hidayat petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata." (34:24)

Zayd tersentak apabila dia merasakan sepasang tangan menggengam erat bahunya. Dia menoleh ke belakang. Susuk tubuh Haikal tercegat dibelakangnya, mengukir senyuman di bibir. Senyuman penuh keikhlasan.

"Kau buat apa kat sini?" soal Haikal.

"Saja je. Baca Quran." Zayd menjawab ringkas.

"Ni apa?" Jari telunjuk Haikal mendekati muka Zayd dan menyapu basah titisan air.

Zayd tunduk lesu. Ah, Haikal memang begini. Selalu mengambil berat.

"Kau ada masalah? Tak nak kongsi dengan aku?" Haikal menyoal sambil meletakkan punggung di sebelah Zayd.

Pandangan mereka berdua lemas dalam keindahan dinihari. Matahari telah pun menampakkan diri dan langit semakin cerah diwarnai cahaya kuning kemerahan yang membuntang. Lama mereka mendiamkan diri. Haikal seolah-olah memberi ruang untuk Zayd menyusun kata.

"Malam tadi aku mimpi," akhirnya Zayd bersuara perlahan.

Haikal memandang Zayd, menantinya untuk bercerita.

"Sebenarnya dah tiga hari berturut-turut aku mimpi benda ni. Aku tak faham kenapa masa silam aku nak 'kejar' aku balik,"

"Apa kau cakap ni? Aku tak faham. Kau mimpi apa sebenarnya? Mimpi nak kahwin?" Haikal cuba menceriakan Zayd.

"Haha. Merepeklah kau ni. Sikit-sikit kahwin. Tau lah kau nak kahwin bulan depan." Zayd tersenyum mendengar soalan Haikal. Gaya selamba Haikal menyenangkan sesiapa pun.

"Habis tu, kau mimpi apa Zayd?"

Senyuman Zayd pudar sedikit demi sedikit. "Aku mimpi pasal lifestyle aku dulu."

Haikal menumpukan perhatian kepada Zayd.

"Aku mimpi aku hisap rokok dengan kawan-kawan aku dulu, lepas tu ada orang bagi aku paket kecil warna putih. Dia cakap 'benda' tu namanya Smack. Aku tau tu heroin sebab aku pernah cuba heroin TNT. Aku mimpi aku kat disko dengan Alia. Dia ajak aku menari. Aku nampak tangan aku melingkar pinggang dia. "

Zayd semakin sebak. Suaranya tenggelam timbul. Haikal memaut bahu Zayd dan merapatkan tubuhnya.

"Dalam mimpi tu aku nampak botol-botol arak atas meja. Kawan-kawan aku cabar aku minum Tequila campur Martini. Semua bersorak-sorak bila aku habiskan bergelas-gelas air kencing syaitan tu. Aku mimpi kena belasah dengan arwah abah sebab balik rumah dengan Alia dalam keadaan mabuk."

"Haikal, aku rasa kotor sangat. Kau tengok tangan ni," Zayd mengangkat kedua-dua belah tangannya.

"Tangan yang banyak buat dosa ni sekarang tanpa malu mengangkat untuk berdoa kepada Allah. Layakkah?"

"Aku rasa tak layak berkawan dengan kau, dengan sahabat-sahabat lain." Zayd tunduk, menyembunyikan riak wajahnya daripada Haikal.

"Zayd, jangan cakap macam ni. Aku tak pernah menilai masa silam kau. Semua tu dalam perancangan Allah. Yang penting sekarang kau dah tak buat semua tu. Kau dah taubat."

"Tapi susah aku nak lupa apa yang dah buat selama ni. Aku malukan ibu dan abah. Aku biarkan abah meninggal dalam keadaan aku berperangai macam syaitan."

"Zayd, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kalau kau datang kepadaNya memohon keampunan dengan membawa dosa seluas langit dan bumi sekalipun, selagi mana kau tak pernah menyekutukan Allah, Dia akan ampunkan semua dosa-dosa kau. Ni bukan aku yang cakap. Ni hadis qudsi tau." (1)

Zayd tidak dapat mengawal takungan air di kolam matanya. Bahunya terhinjut menahan sebak.

"Jadikan apa yang telah kau lalui sebagai peringatan dan muhasabah diri. Bukan untuk melemahkan kau, tapi menguatkan iman. Aku dan sahabat-sahabat lain menerima kau seadanya. Hanya Allah yang layak menilai seseorang."

"Kami akan tetap disamping kau walau apa pun terjadi. Ukhuwah berlandaskan iman itu indah kerana ia tidak mengenal latar belakang seseorang. Kita dah berjanji di hadapan Allah untuk menjadi mata rantai perjuangan ni, untuk membawa panji-panji Islam. Dan dalam perjanjian tu ada rukun dimana salah satunya adalah ukhuwah - hati dan jiwa yang terikat dengan ikatan aqidah."

Zayd senyap. Esakannya berkurang tetapi kepalanya masih tertunduk.

"Kau ingat tak tazkirah Ustaz Azhar masa program kita baru-baru ni? Ada tiga jenis manusia yang merasai kemanisan iman iaitu apabila Allah dan Rasul adalah lebih dikasihi berbanding selainnya, mengasihi seseorang kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kufur sepertimana ia benci dihumbankan ke dalam api neraka."(2)

Zayd mengangkatkan kepala dan memandang Haikal. Dalam hati, Zayd sempat memanjatkan seinfiniti syukur ke hadrat Ilahi kerana disuluhkan jalan yang benar, jalan yang telah menemukannya dengan sahabat-sahabat yang menariknya dari lumpur dosa.

"Hoi, korang buat apa tu? Jom masuk dalam. Wan masak nasi goreng ni. Penat aku cari korang. Rupa-rupanya bercangkerama kat tepi pantai ni. Ingat ni drama ke? Cepatlah, perut aku dah main lagu Shoutul Harakah ni."

Zayd dan Haikal menoleh ke arah rumah usang itu. Mereka ketawa melihat gelagat Syed yang menjerit-jerit di muka pintu.

"Ya lah, ya lah. Membebel je pakcik ni," sahut Haikal.

"Jom," Haikal menarik lengan Zayd.

"Syukran jazilan akhi, uhibbukallah."

Haikal tersenyum.

"Uhibbukallah aidhon."

Mentari pagi, burung-burung yang berkicau dan pukulan ombak menjadi saksi ukhuwah mereka. Betapa perancangan Allah itu sungguh hebat, dalam sekelip mata segalanya boleh berubah.



Wallahu'alam.


Nota kaki
(1) Hadis Qudsi, Riwayat Termizi
(2) Hadis Riwayat Bukhari & Muslim
(3) Syukran jazilan akhi: Terima kasih saudaraku
(4) Uhibbukallah: Saya sayang kamu kerana Allah