21 October 2010

Seorang Insyirah

"Tapi Kak Ina, cita-cita Syira macam mana?"

Aku merenung dalam-dalam wajahnya. Matanya redup dan sedikit basah. Bagaimana harusku susun ayat agar hatinya yang bergolak kembali tenang.

"Nanti Syira cakaplah baik-baik dengan bakal suami Syira. Bagitau dia yang Syira nak sambung belajar. InsyaAllah dia faham."

Aku cuba memujuk walaupun sejujurnya, aku sendiri ragu-ragu dengan apa yang aku katakan.


Namanya Insyirah, bekas pelajar mama sewaktu mama mengajar di salah sebuah kolej swasta di ibu kota. Pelajar-pelajar mama sememangnya rapat dengan mama. Secara tidak langsung, mereka juga rapat dengan aku kerana aku pernah bekerja di kolej itu sementara menunggu keputusan kemasukan universiti.

Insyirah anak tunggal dari keluarga yang porak-peranda. Ibu bapanya telah pun bercerai dan masing-masing sibuk membina hidup sendiri. Ayahnya berada nun jauh di Singapura, tempat kelahiran Insyirah. Ibunya pula seolah-olah membencinya sepenuh hati. Insyirah dipukul, didera, dimaki dan dicaci. Insyirah hanya dibenarkan keluar untuk ke kolej dan terus pulang ke rumah sesudah kelas.

Pernah suatu ketika mama menelefon aku dan memberitahu keadaan Insyirah yang kritikal kerana menelan ubat secara berlebihan. Kewarasan akal dan keimanan sukar membuat pertimbangan tatkala jiwa diuji sedemikian rupa. Apa yang dilakukan Insyirah bukanlah apa yang diajar dalam Islam. Membunuh diri itu adalah haram dan haram juga syurga bagi mereka yang membunuh diri. Tetapi sekiranya aku berada di tempat Insyirah, kuatkah imanku untuk mengatasi ujian sedemikian? Wallahu'alam.


"Kak Ina balik tak Raya Haji nanti? Syira nikah lepas Raya Haji di Singapura."

Aku serba salah. Aku dapat mengagak maksud disebalik soalan itu.


Insyirah akan dinikahkan tidak lama lagi. Dengan siapa, aku pun tak pasti. Aku tidak mahu menambah keresahan hati seorang Insyirah, lalu aku biarkan persoalan demi persoalan yang timbul dibenak ini terkubur begitu sahaja. Yang aku sedia maklum, pemuda itu pilihan ibunya.

Insyirah menangis teresak-esak apabila menelefon mama setelah mendapat tahu keputusan ibunya. Aku sebak, tidak mampu membuat apa-apa. Ibu Insyirah mengambil keputusan untuk menikahkannya dengan tujuan melepaskan beban menjaga Insyirah selama ini. Di usia semuda 19 tahun, Insyirah bakal menjadi seorang isteri.


"Sebenarnya Kak Ina, Syira cuba fikir positif & ambil hikmah daripada semua ni. Syira rasa sedih tapi gembira dalam masa yang sama. Sedih sebab cita-cita Syira terkandas. Gembira sebab Syira tak sabar nak mengecapi kebebasan lepas ni."


Kebebasan itu sesuatu yang subjektif. Kebebasan bagi seekor burung adalah terbang tinggi di langit biru. Kebebasan bagi seekor ikan adalah berenang ke dasar lautan. Dan kebebasan bagi Insyirah adalah melepaskan diri dari cengkaman ibunya sendiri.

Aku titipkan sekeping kertas berisi kata-kata semangat dan doa penenang hati. Sebuah buku nipis yang sangat aku sayangi juga diberi. Hanya itu yang mampu lakukan.

Untuk adikku Insyirah, akak mendoakan kebahagiaan Insyirah dan bakal suami. Semoga rumahtangga yang dibina diredhai Allah dan dilimpahi rahmatNya. Jika tidak mengecapi bahagia di dunia, capailah bahagia di akhirat kelak. Tabahlah wahai sekeping hati!


No comments: