Sudah dua minggu blog ni ditinggalkan bersawang. Maaf. Bukan sengaja atau mencari alasan, tapi perkara-perkara yang lebih aula perlulah diutamakan. Seperti yang dijanjikan, sedikit perkongsian mengenai perbezaan cara solat menurut sunnah dan cara solat umat Islam kini..adakah ia rukun, sunnah atau bid'ah?
Sebelum itu, lebih elok jika dijelaskan kembali perbezaan
syarat wajib solat, syarat sah solat dan
rukun solat. Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidaknya sembahyang ke atas seseorang. Syarat sah sembahyang adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu sembahyang manakala rukun solat adalah perkara yang mesti dilakukan semasa solat. Meninggalkan dengan sengaja mana-mana rukun sembahyang, sekalipun rukun qauli, kerana ia menghilangkan peraturan sembahyang. Tetapi kalau ditinggalkan dengan terlupa, tidaklah batal, bahkan hendaklah dilakukannya.
Dimana pula letaknya fiqh Imam Syafie dalam solat? Inilah yang selalu disalah tafsirkan oleh umat Islam kini, antara rukun dan sunnah. Imam Syafie memberi garis panduan tentang solat mengikut hadis-hadis yang dikaji kesahihannya dan terpulang kepada kita untuk menerimanya atau menolaknya jika terdapat hadis-hadis lain yang lebih sahih. Maksudnya disini, tidaklah batal solat seseorang itu jika tidak mengikuti sunnah Nabi tetapi lebih baik jika mengikutinya.
Rasulullah pernah bersabda, "Solatlah sepertimana aku solat". (HR Bukhari)Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda s.a.w bersabda : Barang siapa berpegang dengan sunnah-sunnahku ketika di zaman rosaknya umatku, baginya adalah ganjaran syahid. (Tabrani)Seterusnya persoalan tentang cara solat yang 'betul'. Tidak dipertikaikan bahawa solat yang paling sempurna merupakan solat Nabi Muhammad s.a.w., jadi bagaimana 'betul' itu? Jawapan yang paling tepat adalah solat yang merangkumi perkara-perkara tersebut:
1. menepati syarat sah solat
2. menepati syarat wajib solat
3. menepati 13 rukun solat
4. 13 rukun solat itu pula dilakukan dengan cara Nabi solat. Dalam erti kata lain mengikut sunnah Nabi.
Namun, ada juga yang berlebih-lebihan dalam menghukum solat dan melakukan bid'ah dalam solat mereka. Antara ucapan (qaul) Imam as-Syafie yang disalah ertikan oleh sebahagian masyarakat Islam sehingga menjadi isu kontroversi dan polemik, ialah tentang maksud dan pembahagian bid’ah yang mana beliau pernah berkata:
“Bid’ah itu terbahagi kepada yang baik dan yang buruk, atau yang terpuji dan tercela. Dalam perkara ini, termasuklah setiap yang diada-adakan selepas zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan zaman para Khulafa ar-Rasyidin”.
Kata Imam Syafie, bid'ah itu terbahagi kepada bid'ah hasanah dan bid'ah dholalah. Bid'ah hasanah iaitu bid'ah yang baik dan bid'ah dholalah pula ialah bid'ah yang nyata sesat. Imam Syatibi di dalam bukunya
Al-I'tisom menjelaskan tentang bid'ah hasanah:
1. Bid'ah adalah jalan syara' yang baru yang di reka dan di anggap ibadah dengan mengerjakanya, adapun membuat perkara baru yang bukan ibadah di dalam agama tidak di namakan bid'ah seperti bersalam-salaman selepas solat, mempelbagai makanan dan minuman yang enak,begitu juga pada pakaian, tempat tinggal, memakai selendang (diatas bahu), membesarkan lengan baju dan sebagainya.
2. Orang yang melakukan bid'ah menganggap cara itu adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah tanpa ada contoh dari nabi
3. Bid'ah hasanah hanya ada pada istilah lughah iaitu pada perkara yang merangkumi urusan dunia sebagaimana contoh yang telah diberikan seperti pembinaan sekolah, pembukuan kitab hadis, mengklasifikasikan ilmu kepada usul fiqh, ilmu fiqh, ilmu nusthalah hadis, azan menggunakan mikrofon.
Umat Islam di Malaysia sendiri mempunyai percanggahan pendapat mengenai fiqh dalam solat. Antaranya:
1. Menolak doa qunut dalam solat SubuhDi dlm mazhab Syafie sudah disepakati bahawa membaca doa qunut dlm sembahyang Subuh , pada iktidal rakaat kedua adalah sunat ab'ad dlm erti diberi pahala bagi orang yg mengerjakannnya dan bagi yg lupa atau lalai mengerjakannya disunatkan utk menggantikannya dgn sujud sahwi. Tersebut dlm kitab Al-Um jilid 1 hlm.205 bahawa Imam Syafie berkata, maksudnya:
"Tak ada qunut dlm sembahyang lima waktu kecuali sembahyang subuh. Kecuali jika terjadi bencana maka boleh qunut pada semua sembahyang jika imam menyukai"
Saya pernah bertanya kepada seorang sahabat mengapa dia tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh. Jawapan yang diberikannya adalah 'Abu Bakar as-Siddiq sendiri tak pernah membaca doa qunut'. Ini mungkin merujuk kepada hadis berikut:
"Dari Abu Malik Al-Asja'i, beliau berkata: Aku pernah bertanya kpd bapaku, wahai bapa! sesungguhnya engkau pernah solat di belakang Rasulullah saw, Abu Bakar, Usman dan Ali bin Abi Thalib di sini di kufah selama kurang lebih dari lima tahun. Adakah mereka melakukan qunut?. Dijawab oleh bapanya:"Wahai anakku, itu adalah bid'ah." Diriwayatkan oleh Tirmizi.
Nyatanya, hadis tersebut dianggap hadis dhaif dan tidak diperakui di dalam mazhab Syafie dan Maliki. Malah hadis tentang Nabi dan para Khulafa Rasyidun yang melakukan qunut banyak terdapat ada di dlm kitab Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Abu Daud, Nasa'i dan Baihaqi.
2. Melafazkan niatTerdapat percanggahan pendapat samada niat itu perlu dilafazkan atau cukup sekadar di dalam hati sahaja. Imam Syafie berkata:
"Apabila seseorang telah berniat untuk menunaikan haji atau umrah, ia telah memadai walaupun tidak melafazkannya. Tidak seperti solat, ia mesti disebut (lafaz).
Bagi mereka yang bertaklid pada suatu mazhab semata-mata tanpa hujah, pasti mereka akan menyimpulkan bahawa melafazkan niat itu adalah perlu. Sedangkan al-Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu', telah membahaskan kenyataan di atas.
"Pendapat yang mengatakan sunat melafazkan niat adalah kesilapan. Sebenarnya, maksud kata-kata imam Syafie 'menyebut' ialah lafaz takbiratulihram."
Niat hanya tercapai dengan ilmu. Apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu, sudah tentu perkara tesebut terdetik di dalam hatinya. Tanpa keinginan, sudah tentu suatu niat itu tidak terhasil.
3. Mengangkat tangan ketika takbirPelbagai percanggahan berlaku dimana perlu atau tidak mengangkat tangan di setiap rakaat. Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika takbir adalah sunnah. Terdapat 4 keadaan yang disunnahkan mengangkat tangan iaitu takbiratulihram, rukuk, sujud dan ketika bangun dari sujud selepas tahiyat awal (permulaan rakaat ke3).
Abdullah bin Umair r.a. berkata: "Nabi s.a.w. mengangkat kedua-dua belah tangannya sehingga setentang dengan bahu ketika mengerjakan solat. Kemudian baginda bertakbir dengan mengangkat kedua-dua belah tangannya. Apabila rukuk dan bangun daripada rukuk, baginda juga mengangkat kedua-dua tangannya seperti itu." (HR Bukhari & Muslim)Abu Hurairah r.a. berkata: "Nabi bertakbir apabila berdiri untuk solat. Baginda juga bertakbir ketika bangun daripda rakaat kedua selepas duduk tahiyat." (HR Bukhari)
4. Mengaminkan bacaan imamImam digalakkan menguatkan lafaz amin selepas membaca al-Fatihah. Pendapat ini disokong oleh al-Bukhari, Syafie, Ahmad dan kebanyakkan ulama fiqh lain.
Abu Hurairah berkata Nabi pernah bersabda, "Apabila imam mengucapkan amin, ikutilah dia. Sesiapa yang membaca amin dan bacaannya menepati bacaan amin para malaikat, Allah pasti mengampuni dosanya yang lalu." (HR Bukhari)Namun, kesilapan yang dilakukan oleh makmum di Malaysia khususnya, adalah dengan memanjangkan lafaz pada permulaan amin di mana alif yang sepatutnya dilafaz dengan mad asli dipanjangkan menjadi mad al-Muttathil. Solat boleh terbatal jika perkara ini berlaku.
5. Berdoa dan berzikir secara beramai-ramai selepas solat berjemaah
Pelbagai tohmahan yang dilontarkan oleh pengikut mazhab-mazhab lain bahawa berdoa dan berzikir beramai-ramai itu merupakan bid'ah kerana Nabi s.a.w. sendiri tidak melakukannya. Imam Syafie berkata: "Imam dan makmum boleh memilih samada ingin berzikir kepada Allah selepas salam atau tidak. Jika berzikir, mereka hendaklah memperlahankan zikir kecuali imam. Imam wajib mengajar makmum berzikir sehingga mereka mempelajari zikir tsabit. Kemudian, imam hendaklah berzikir secara perlahan."
Dalam konteks ini, jika benar ini merupakan suatu bid'ah, tidak salah jika ia dikatakan bid'ah hasanah kerana secara tidak langsung, apabila imam berzikir dan berdoa dengan kuat, makmum akan belajar zikir dan doa tersebut. Lebih-lebih lagi di Malaysia dimana majoriti umat Islam tidak fasih berbahasa Arab dan kurang mengetahui zikir-zikir yang patut diamalkan.
Cuma yang perlu ditekankan di sini, berdoa dan berzikir selepas solat itu bukanlah suatu sunnah. Rasulullah sendiri kadangkala tidak berzikir dan terus meninggalkan saf dan makmum selepas salam. Jika ia dianggap sebagai sunnah, pasti sesiapa yang tidak berdoa telah melakukan bid'ah. Berdoa dan berzikir selepas solat itu perlulah difahamkan sebagai amalan ibadah yang dilakukan untuk mendekatkan kita kepada Allah.
6. Sujud: lutut dahulu atau tangan?
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang cara turun untuk sujud. Sebahagian ulama, ada yang mengatakan caranya hendaklah mendahulukan dua tangan daripada dua lutut (berlainan dengan cara yang disebutkan di atas). Mereka berbeza dalam memahami maksud Nabi saw :
“Apabila seseorang kamu hendak sujud, maka janganlah dia turun (untuk sujud) sepertimana turunnya unta.”(HR Abu Daud)
Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam buku “Sifah Solah al-Nabi saw” menganggap turun dengan mendahulukan dua tangan berbanding dua lutut itu adalah yang lebih kuat dan ia menyalahi cara turun unta, kerana lutut unta berada pada kaki hadapannya yang diletakkan terlebih dahulu sebelum turun untuk duduk.
Namun begitu kebanyakan ulama mengatakan yang lebih utama dan lebih kuat ialah meletakkan dua lutut sebelum meletakkan dua tangan. Inilah cara turun yang berbeza dengan cara turunnya unta. Dimana unta akan menurunkan bahagian kepalanya terlebih dahulu sebelum bahagian punggungnya. Al-Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin berkata, perkataan Nabi saw : “Jangan kamu turun sepertimana turunnya unta” adalah dimaksudkan kepada bentuk turun unta.” Dimana cara turunnya ialah dengan mendahulukan anggota bahagian atas (kepala – ini menyalahi tabiat kejadian aturan tubuh manusia). Maka insan di dalam solatnya disuruh menyalahi perbuatan unta, bentuk tubuh perlu diraikan, mana yang lebih hampir ke bumi, anggota itulah terlebih dahulu diturunkan.
Dia hendaklah mendahulukan lutut sebelum tangannya, agar cara turunnya dengan mendahulukan anggota yang lebih hampir ke bumi (iaitu lutut) kemudian diikuti anggota atas seperti tangan dan seterusnya kepala menyalahi dengan sifat turunnya unta yang mendahulukan bahagian atas. Sifat inilah yang sering ditekankan oleh Nabi saw, dimana baginda seringkali menyuruh membezakan perbuatan-perbuatan di dalam solat dengan perbuatan-perbuatan haiwan.
Sebenarnya, banyak lagi rukun, sunnah dan bid'ah dalam solat yang ingin dikongsikan bersama sahabat-sahabat. Lebih elok lagi jika kita sama-sama dapat memperkayakan diri dengan ilmu dengan memperbanyakkan membaca. Orang yang berilmu itu sifatnya suka membaca, dan orang yang jahil itu sifatnya malas.
Wallahua'alam.
Rujukan:
1. Abu Ruwais Al-Syubrawi, Wuduk & Solat Menurut Sunnah & Mazhab Syafie
2. Sheikh Gibril Fouad Haddad, Definisi Bid‘ah Mengikut Ahlul Sunnah wal Jamaah
3. http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/ibadat
4. Fiqh Manhaj Imam Syafie
5. http://soaljawab.wordpress.com/2008/07/31/ringkasan-sifat-solat/