12 December 2013

Update: Rezeki

Bismillah.

Fuhh, last entry di blog ni April lepas. Saya 'ter'curang dengan blogging sejak dapat title baru - isteri dan ibu. Cepatnya rasa masa berlalu.

Sedikit update:

1. Sudah lebih 10 bulan saya ada roomate tetap dan navigator kemana-mana saya pergi. Namanya suami. :)



2. Sejak mengandung, saya dan Encik Suami telah mulakan bisnes kecil-kecilan membuat Almond Flakes. Namanya Aufa's Recipe.



3. Hari ini sudah 28 hari sepasang mata kecil milik buah hati sulung merenung saya. Namanya Aufa Nasuha. : :D


4. Saya masih belum habis belajar. Doakan saya ye?


MasyaAllah, murah rezeki sejak kahwin ni. Allah sangaattt baik kan? :)

.

Beberapa minggu sebelum saya kahwin, seorang kakak mesej saya bertanya khabar. Nervous dan risau. Kakak ini juga baru sahaja berkahwin dan mendapat cahaya mata.

"Best tak kahwin?"

"Best! Hehe."

"Macam mana life lepas kahwin ni kak?"

"Alhamdulillah lepas kahwin okay je. Rezeki kahwin & rezeki baby. Rasa macam Allah sangat sangat sangat pemurah & sangat baik kak."

"Bestnya macam tu. Kina risau macam mana nak survive nanti, belajar pun belum habis. Kerja belum ada."

"Jangan cakap macam tu. Akak pun dulu masa kahwin belum habis belajar. Sekarang pun belum habis. Tapi kita kena baik sangka dengan Allah & yakin dengan janji Allah yang kahwin tu bukak pintu rezeki. InsyaAllah."

"Allah..betul lah. Kena baik sangka dengan Allah, jangan ragu-ragu. InsyaAllah. Thanks kakak!"


Dan betul kata kakak, kena yakin dengan janji Allah. InsyaAllah dipermudahkan.

Kata kakak, sangka baik dengan Allah tu penting. Bila Allah beri kita kesusahan, cari hikmah disebalik kesusahan tu. Jangan lama-lama bersedih hati, cari punca dan salah orang, marah tak tentu pasal. Jangan cepat melatah bila Allah timpakan ujian.

Kata kakak lagi, selalu-selalu ingat 2:286. Allah tak akan bebankan seseorang diluar batas kemampuannya, kan? :)



18 April 2013

Pilih Kasih

Hari ini, dua tahun lalu. 




Di tepi Tasik UTM, tangan tak henti mencicah sambal keropok lekor. Waktu begini biasanya ramai umat manusia berlari-larian, berdua-duaan, bermanja-manjaan. Tetapi petang ini tidak seperti biasa. Hanya dua tiga sosok kelihatan. Malas rasanya mahu meneka kemana agaknya umat manusia lain. 

Keropok lekor yang masih panas disuap ke mulut. Mata melilau mencari kura-kura di dalam tasik. 

"Kina, orang yang pilih kasih rugi tau."

Orang disebelah tiba-tiba bersuara. Saya pandang kearah suara itu mengharapkan penjelasan tetapi dia diam. Saya kembali mencari kura-kura. Kalau tak silap saya sebelum ini ada banyak juga kura-kura disini. Hari ini mungkin kura-kura merajuk kerana tiada yang memberi mereka makan roti. 'Ahh, lupa pula nak bawa tadi.'

"Kina, kau dengar tak ni? Orang yang pilih kasih rugi."

Kali ini nadanya lebih tegas. 

"Dengar." 

"Tak nak tanya kenapa?"

Cehh. Sudah gaharu cendana pula. Mestilah saya nak tahu. Kalau saya tak nak tahu pun mesti dia mahu saya tahu bukan? Jika tidak masakan dia menyebut soal itu buat kali kedua.

"Kenapa?"

"Orang yang pilih kasih itu, bangun Subuhnya tidak bergosok gigi, tidak berbasuh tahi mata. Terus sahaja mengambil wuduk dan menghadap Allah."

Saya cuba mengaitkan apa yang dia sebut tadi dengan istilah pilih kasih. Saya keliru. Malas mahu mentafsir, mata kembali mencari kura-kura yang masih belum muncul.

"Kina, faham tak ni?"

"Tak faham. Apa maksud kau?"

Dia ulang kembali.

"Orang yang pilih kasih itu, bangun Subuhnya tidak bergosok gigi, tidak berbasuh tahi mata. Terus sahaja mengambil wuduk dan menghadap Allah walaupun mulut busuk bersisa air liur basi. Sedangkan jika dia mahu keluar berjumpa dengan teman-teman, baju yang cantik-cantik dipilih, wangian dipakai, muka berbedak. Kau faham maksud aku?"

Saya pandang wajahnya dalam-dalam. Dari tadi lagi dia cuba menyampaikan rasa hatinya tetapi saya terlalu sibuk mencari makhluk Allah berwarna hijau bercangkerang. Kali ini fokus saya pada orang sebelah tidak berbelah bahagi. 

"Kau mahu bandingkan orang yang pilih kasih antara Allah dan manusia?"

"Ya."

"Apa lagi yang kau fikirkan?"

"Orang yang pilih kasih itu, jika solat telekungnya bertompok-tompok tahi lalat dan berbau masam. Kain telekungnya lusuh dan kekuningan. Tetapi jika dia keluar bersama teman-temannya, fesyen tudung dan baju sentiasa up to date. Baju yang lusuh tidak lagi dipakai kerana malu dengan teman-teman."

Saya sekadar mengangguk.

"Orang yang pilih kasih itu,  bersungguh-sungguh menelaah pelajaran lagi-lagi waktu peperiksaan, tetapi apabila azan berkumandang masih menghadap buku. Bukankah kejayaan dan kebijaksanaan itu milik Allah? Jika dia tidak mampu mengutamakan Allah ketika belajar, bagaimana Allah mahu memberkati apa yang dia pelajari?"

Kata-katanya menjejak ke hati. 

Dia menghulurkan keropok lekor terakhir. "Nah, makanlah. Dari tadi kau termenung je."

Saya menyambut huluran keropok lekor. Mata menangkap suatu pergerakan berhampiran kawasan kami duduk. Makhluk Tuhan berwarna hijau bercangkerang. Diam-diam saya berbisik pada makhluk hijau, "Kau pernah pilih kasih dengan Allah tak?"

"Kau cakap apa tadi Kina?"

"Ehh, takde apa."

Dia memandang saya pelik. 



.




p/s: Kepada kamu, terima kasih diatas 'usrah keropok lekor' kita. :)



25 February 2013

Kahwin

Sudah tujuh belas hari. Lidah masih kekok menyebut 'suami saya' dan 'saya isteri dia'.

Beberapa hari sebelum nikah, saya berada di kemuncak stress. Satu, kerana prosedur terakhir labwork masih belum siap. Dua, persiapan majlis yang masih lompang sana sini, kasihan mama seorang diri di rumah. Tiga, perihal baju majlis. MasyaAllah, air mata, jerawat dan ulser tak segan-segan menampakkan diri.

Hari nikah, sedang Kak Shila sibuk 'menconteng' muka saya, mama mengetuk pintu dan masuk ke bilik. Mama pandang muka saya seketika dan mengukir senyum nipis.

"Okay ke ma?"

"Okay." Mama mengangguk perlahan.

"Ma, Ina nak minta maaf. Minta halal makan minum.." Ayat saya terhenti setakat itu sedangkan banyak lagi yang mahu dikatakan. Terasa sebak dan sesak dada.

Jangan menangis, control, cover..

Mama hanya tersenyum dan berkata, "Dah Ina, don't make me cry."

Saya membalas senyuman. Senyap-senyap janji dalam hati supaya jangan menangis pada hari ini. Saya perlu kuat supaya mama & babah tidak risau. Selalunya begitulah. Saya menangis, mereka yang risau.

Malam itu selepas selesai akad, saya salam mama. Bisik perlahan, memohon maaf dan minta halal makan minum. Mama menangis. Paling tidak saya jangka, babah menangis teresak-esak apabila saya memeluknya.

Ina sayang mama & babah sangat-sangat. Jujur dari hati, hanya Allah yang tahu. 


Selepas saya salam Abang Khairul dan Abang Khairil, saya tercari-cari adik bongsu saya, Ayie. Ahh, konflik. Pagi itu kami bertengkar dan dia bermasam muka hingga ke malam. Selesai akad nikah, dia menghilangkan diri ke luar rumah. Susah menjangkakan perangai adik paling manja seorang ini. Barangkali dia sedih kakaknya menjadi milik orang. Entahlah.


Beza saya dan Ayie empat tahun. Manjanya bukan main. Jangan minta saya sebut disini, melenting dia nanti. Semasa dia menginjak ke tingkatan satu, saya sudah pun tingkatan lima. Semasa dia PMR, saya sudah berada di matrikulasi dan jarang-jarang pulang ke rumah. Jika saya pulang, Ayie selalu minta saya ajarkan subjek-subjek PMR kepadanya tetapi pasti tidak lama. Selepas 15 minit mengajar dia, kami akan berhenti kerana bertengkar atas sebab cara pembelajaran kami berbeza. Biasalah adik beradik, bertengkar itu normal bukan?

Semasa dia menduduki SPM, saya pula sibuk di UTM. Seperti waktu PMR dahulu, dia sering bertanya kepada saya soalan berkaitan matematik tambahan dan subjek sains. Dan seperti dulu juga, saya jarang-jarang berada di rumah untuk membantu dia. Kasihan Ayie. Jujurnya, saya kagum dengan semangat Ayie kerana belajar sendiri sungguh-sungguh. Sekarang dia berada di matrikulasi dengan usahanya sendiri.

Ayie masuk ke dalam rumah dengan muka tegang. Saya senyum kepadanya tetapi tidak berbalas. Kami bersalaman dan saya meminta maaf. Dia hanya mengangguk perlahan-lahan.

Sehingga hari ini, setelah tujuh belas hari, saya merasakan Ayie menjarakkan diri.

Ayie, kakak mintak maaf sebab selalu biar Ayie seorang-seorang. Kakak sayang Ayie no matter I'm married or not.


Terasa sangat kekok menyalam tangan encik suami dan menyarungkan cincin. Terasa kekok juga duduk di sebelah dia sambil dperhatikan mata lensa kamera berderet-deret di hadapan.


Alhamdulillah, selesai semuanya.








.



Tujuh belas hari, kami masih lagi dalam tempoh taaruf. Masih dalam tempoh berkenalan.



Dia:

"Kenapa orang perempuan pakai tudung tiup-tiup depan tudung tu?"

"Kenapa pakai telekung kena ikat tali kat kepala?"

"Perempuan kalau pakai tudung memang kena pin banyak-banyak eh?"


Saya:

".................."


.


Satu perkara yang saya dan suami terkilan adalah kami tidak sempat berjumpa dan bersalaman dengan semua yang hadir pada majlis resepsi di UPM tempoh hari. Sungguh, kami memohon maaf atas kekurangan kami. Terima kasih kerana sudi berhabisan duit (minyak petrol, hadiah) untuk datang ke majlis kami. Ada yang datang jauh-jauh dari Johor, Singapura, Pahang, Perak. Terima kasih. Semoga Allah melimpahkan barakah kepada kalian seperti mana yang kalian doakan kepada kami. InsyaAllah.

Entri ini tiada niat untuk menimbulkan masalah hati. Apa lagi pada kamu, kamu dan kamu yang masih bujang, menanti hari, berada di awangan dan terbayangkan indahnya JIKA berkahwin.

Kahwin itu bukan untuk seronok-seronok sahaja seperti yang dibincang dalam seminar baitul muslim. Tengok muka dapat pahala, pegang tangan gugur dosa, masak untuk suami dapat pahala, gembirakan isteri dapat pahala, teringatkan dia pun dapat pahala, bla bla bla.

Ya, memang betul semua itu. Tapi kita lupa kahwin juga tanggungjawab.

Kahwin bukan dengan dia seorang tetapi dengan keluarganya. Bagaimana cara terbaik menyatukkan dua keluarga? Bagaimana mengurus ekonomi sebelum dan selepas kahwin? Bagaimana menyiapkan diri menghadapi perubahan sebelum dan selepas kahwin? Bagaimana pendekatan kita jika timbul masalah? Apakah perancangan selepas berkahwin untuk tempoh 5-10 tahun?

"Itu yang sepatutnya dibincangkan di dalam seminar baitul muslim," kata encik suami.


.


Cukuplah sekadar ini untuk tujuh belas hari. :D


p/s I: Ramai juga yang mesej bertanya tentang persiapan kahwin, baju majlis, make up, doorgift, dll. Kalau mahu tahu lebih lanjut, sila PM saya ya. Tiada entri blog untuk perkara-perkara tersebut. Hehe.

p/s II: Beza bujang dengan berkahwin, sekarang jika mahu publish entri dalam blog perlu minta kelulusan dari 'bos' terlebih dahulu supaya tiada unsur tidak syari'e (gambar tak menutup aurat/over posing, penulisan lagha, penulisan terlampau personal, dll).  :D 


10 January 2013

Membebel: 29 Hari

29 hari lagi. 


Kelmarin, cik biras angkat saya Umi Kalsom mengirimkan mesej.

"Awak, genap hari ini, bulan depan, awak akan jadi isteri orang.."

Kelu sebentar. Saya membalas mesejnya.

"Awak, genap hari esok, bulan depan, awak akan jadi isteri orang juga. Dah ready?"

"Entahlah Kina.."

Saya membaca blognya. Kina pun dah lama rasa makin hari makin kurang kata-kata, Umi. 



Beberapa hari selepas membuat announcement di blog dan FB, mesej dari Kak Atun, juga seorang pengantin baru menjengah telefon bimbit saya. 

"Macam mana perasaan Kina?" soalnya.

"Entah akak. Apa yang sepatutnya Kina rasa?"

"Hehe. Akak pun tak tahu. Akak pun rasa blur je masa kahwin haritu."



Perasaan saya? Ermm..serabut mungkin. Sekarang hampir setiap minggu, atau paling tidak dua minggu sekali, saya akan pulang ke KL untuk urusan persiapan kahwin. Perjalanan JB-KL selama 4 jam sudah tidak terasa jauhnya. Basi. 

Semalam telefon bimbit nokia hitam putih berkelip-kelip.

"No space for new messages. Inbox full."

Tangan laju membuka mesej-mesej lama dan delete mana yang tidak perlu. Saya berhenti apabila terlihat suatu nama yang dekat di hati. Afiqah Roslan. Bila pula dia mesej saya ni? Dia bertanya khabar dan persiapan kahwin. Saya memohon maaf kerana tak perasan mesejnya dan kami berbalas mesej.

Rasa penat baru tiba di UTM dan stress pulang ke rumah tempoh hari masih bersisa. Lalu saya bertanya kepada Fiqa satu soalan yang bermain di fikiran.

"Fiqa, macam mana awak boleh kahwin sambil belajar? Serabut ni, nak siapkan projek & dalam masa yang sama nak kahwin." 

"Erm, mungkin sekarang awak serabut sebab awak travel kot. Awak janganlah risau sangat. InshaAllah lepas kahwin semua akan settle. Rezeki lepas kahwin, rezeki masa. The most important thing is enjoy everything you do and jangan fikir benda tu susah. Fikir senang, senang, senang."

MasyaAllah, betul kata Fiqa. Kenapa perlu meragui janji Allah, bahawa perkahwinan itu membuka pintu rezeki? Fiqa sendiri merasakan rezeki masa. Bagaimana dia, seorang pelajar perubatan, bakal doktor, yang berkahwin semasa belajar dan kini mempunyai seorang cahaya mata membahagi masa untuk pergi ke kelas, ulangkaji, menduduki peperiksaan, melalui tempoh klinikal kelak. MasyaAllah, tabarakallah.

Fiqa menyambung lagi, "Pengalaman kita sendiri, bila kita taat dengan suami lagi-lagi sebelum exam. InshaAllah, Allah akan mudahkan semuanya. Kahwin ni memerlukan pengorbanan yang sangat besar tapi besar juga ganjarannya."

"Lagi sebulan je Kina! InshaAllah semuanya okay. Awal-awal kahwin memang susah tapi yang penting awak & suami sentiasa memahami. All the best! InshaAllah nanti kita datang, lagipun Harith pun nak datang jumpa bakal mak mertua dia. Hehe."

Harith, cahaya mata Fiqa yang sangat comel. Bakal menantu saya yang sudah saya cop awal-awal walaupun saya belum mempunyai anak. Hehe.

Syukran Fiqa.

Laa haulawala quwwata illabillah. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah taala. Rabbi, jadikanlah aku kuat. 

:)