04 May 2011

New Zealand: Part 5 - A day in Dunedin

Entri ini sangat panjang dan kaya dengan gambar-gambar. Semoga sabar membaca. :)


Perjalanan dari Queenstown ke Dunedin mengambil masa 5 jam. Kami bertolak seawal jam 8 pagi dan tiba pada waktu Zuhur. Tiba di The Octagon, Dunedin, semua menggigil kesejukan apabila turun dari bas. Suhu ketika itu 6'c dengan angin yang sangat kuat. Kami dijemput oleh Miss Saleha, seorang pensyarah Fakulti Biosains & Biokejuruteraan (FBB) UTM yang mengambil ijazah kedoktoran di University of Otago.


Kami ke Al-Huda Mosque untuk menunaikan solat jamak takdim Zuhur dan Asar. Al-Huda Mosque mempunyai dua bahagian iaitu ruang solat yang kecil dan dewan serbaguna. Ruang solat itu dipisahkan antara lelaki dan perempuan dengan kain putih jarang. Semasa kami tiba, ada sekumpulan kanak-kanak lelaki yang sedang bermain bola keranjang di dewan itu. Dewan itu juga akan digunakan sebagai ruang solat untuk solat Jumaat.

Usai solat, kami berjumpa pula dengan Miss Nadwa (juga pensyarah UTM yang pernah mengajar kami semasa Tahun 1). Kami dibawa ke Meridian untuk makan tengahari. Berita yang menggembirakan buat kami, di Meridian ada masakan Malaysia, Lemongrass Thai & Malay Food! Baru beberapa hari di NZ, tetapi ramai yang sudah terliur dengan masakan Malaysia. Memang sah tak boleh tinggal di negara orang.



Seperti biasa, saya suka cerita tentang harga makanan. Di Lemongrass, makanan adalah ala buffet. Ambil lah sebanyak mana pun makanan, jika menggunakan pinggan kecil adalah 8.50$ dan 11.50$ bagi pinggan besar. Kebanyakkan kami membeli hidangan pinggan besar dan berkongsi dua orang. Dan bila dikatakan ambil sebanyak mana makanan pun, tak boleh dibayangkan berapa banyak makanan yang di ambil dalam satu pinggan. Berbukit dan melimpah ruah. :)


Selesai makan tengahari, Miss Saleha dan Miss Nadwa memberikan kami peta Dunedin dan kertas tugasan untuk petang itu. Saya membelek kertas tugasan kami. Kami dibahagikan kepada empat kumpulan dan di bawah setiap kumpulan, terdapat senarai barang-barang yang perlu dibeli. Tujuan tugasan ini adalah untuk memberi kami peluang untuk merasai hidup pelajar Malaysia di Otago. Bak kata orang kampung saya, to feel how is it like to be in the shoes of a Malaysian student in Otago.



Kami diberi masa sejam untuk melihat sekitar Dunedin sebelum dibawa ke New World, sebuah pasaraya besar untuk membeli barang-barang yang telah disenaraikan. Geli hati melihat gelagat kami membeli-belah kerana nampak sangat kekok dan kelam kabut.

Dalam arahan kertas tugasan yang diberi, kami diberi tips untuk membeli-belah:
1. Pilih item yang mempunyai diskaun coupon savers dan pilih barang yang paling murah.
2. Teliti bahan-bahan yang terdapat di dalam makanan yang akan dibeli dan pastikan makanan itu halal.
3. Senyum pada cashier dan katakan 'How are you?' (Ni kalau buat kat Malaysia mesti orang ingat kita buang tebiat sebab tanya khabar orang yang tak dikenali)



Barang-barang yang dibeli dimasukkan ke dalam kereta Miss Nadwa untuk dibawa ke tempat tugasan seterusnya. Kami pula berjalan kaki.

Miss Nadwa (kiri) dan Miss Saleha

Hampir 10 minit berjalan kaki, kami tiba di bangunan persatuan pelajar dan kelab University of Otago (OUSA) atau nama manjanya Club and SOCS. Rupa-rupanya, Miss Nadwa dan Miss Saleha telah pun menempah Evision Lounge dan dapur untuk kami gunakan bagi tugasan seterusnya iaitu memasak. Menu kami adalah spaghetti. Tambahan kepada menu iaitu laksa johor, carrot cheesecake dan chocolate brownies telah pun dimasak awal-awal lagi oleh Miss Nadwa dan Miss Saleha.




Sesi pada malam itu dimulakan selepas Maghrib. Beberapa orang wakil pelajar Malaysia University of Otago dijemput untuk sesi dialog dan perkongsian pengalaman. Antara mereka adalah pelajar-pelajar Farmasi dan TESL.

Fairuz (kiri), pelajar Farmasi

Pelajar-pelajar Farmasi tahun 2, tajaan JPA

Imran Fauzi, Presiden Malaysian Students Association

Banyak input yang kami peroleh dari sesi dialog bersama pelajar Malaysia University of Otago. Antaranya adalah perbezaan sistem pendidikan di NZ dan di Malaysia. Di NZ, cara pembelajaran dan pengajaran lebih berorientasikan minat. Pelajar sekolah rendah datang ke sekolah untuk bermain dan guru akan membantu mereka untuk mengembangkan bakat mereka mengikut minat masing-masing.

Di sekolah rendah juga, soft skills seperti komunikasi dan interaksi sosial akan diterapkan dalam kalangan pelajar termasuklah nilai-nilai moral. Mereka berani bertanya dan sangat berminat untuk melibatkan diri dan menonjol. Mungkin ini dapat menerangkan kenapa masyarakat Kiwi mempunyai nilai moral yang tinggi seperti yang saya ceritakan pada entri lepas.

Formal education atau pembelajaran secara formal hanya diajar apabila pelajar memasuki alam sekolah menengah. Lebih mengejutkan, peperiksaan hanya diperkenalkan pada tingkatan 3 dan sebelum itu, tiada peperiksaan dilalui oleh pelajar. Disebabkan sistem sebegini, pada peringkat menengah, pelajar sudah pun tahu potensi diri mereka dan sedikit sebanyak tahu apa cita-cita yang ingin dicapai. Di peringkat universiti, sistem pembelajaran NZ juga memberi kebebasan kepada pelajar untuk memilih kos yang diminati. Pensyarah akan mendorong minat pelajar dengan memberi tunjuk ajar dan nasihat untuk memilih subjek.

Pendapat peribadi penulis: Bezanya dengan pelajar Malaysia, kebanyakkan pelajar tidak tahu potensi diri masing-masing dan tidak tahu apa yang mereka betul-betul minat. Kita telah dibentuk dengan sistem gred berorientasikan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Dengan sistem ini, semua pelajar di Malaysia hanya mempelajari apa yang diajar dalam buku teks sekolah dan tidak diberi ruang untuk meneroka minat mereka.

Sistem UPU seolah-olah menyekat pelajar untuk memilih kos yang diminati dan pelajar 'terpaksa' mengambil jurusan yang diberi kerana tiada pilihan lain. Jika menolak tawaran itu, pasti sukar untuk memohon kemasukkan ke universiti lagi. Hasilnya, kita dapat lihat ramai pelajar yang mengalami tekanan dan gagal dalam pembelajaran kerana 'terpaksa' mengambil jurusan yang tidak dipilih mereka. (Saya sendiri tidak memilih kos yang saya ambil sekarang)

Sistem UPU menggunakan kuota yang menguntungkan negara dari segi ekonomi. Contohnya, jika negara menjangkakan bahawa 10 tahun akan datang lebih ramai arkitek diperlukan untuk menguntungkan ekonomi negara berbanding jurutera komputer, maka sistem UPU akan menghadkan kuota bagi kos kejuruteraan komputer dan melebihkan kuota bagi kos arkitek. Apa yang akan berlaku? Pelajar yang meminati kejuruteraan komputer tidak diberi peluang untuk sambung belajar pada bidang tersebut dan lebih ramai bakal arkitek akan dihasilkan. Sistem yang hanya menguntungkan ekonomi negara tetapi 'mematikan' pelajar.

Azrin (dua dari kanan), pelajar Farmasi tahun 3


Pelajar Malaysia yang menuntut di University of Otago adalah dalam lingkungan 400 orang dan kebanyakkan mereka adalah tajaan JPA dan MARA dalam bidang perubatan, farmasi dan pergigian, pelajar twinning program TESL dan pelajar pasca siswazah.

Hasil perkongsian, ada yang mengatakan bahawa cabaran terbesar belajar di NZ adalah kos sara hidup yang tinggi. Pelajar tajaan JPA mendapat elaun sebanyak 1030$ sebulan atau 250$ seminggu. Di NZ, semua kos dikira dalam jangkamasa mingguan, bukan bulanan. Jadi, sewa rumah, bil elektrik dan internet perlu dibayar secara mingguan. Sewa rumah adalah 120-150$ seminggu, tidak termasuk bil elektrik dan internet. Bil elektrik pula adalah dalam lingkungan 60$ seminggu dan boleh menjangkau 120$ seminggu pada musim sejuk. Itu belum lagi termasuk makanan (yang sememangnya mahal) dan kos seperti buku, minyak kereta dan lain-lain.

Untuk menampung kos dan perbelanjaan, kebanyakkan pelajar bekerja sambilan. Imran mempunyai 3 kerja berbeza, Azrin bekerja di perpustakaan universiti, Miss Nadwa juga bekerja sambilan dan Afdhal bekerja di Sunrise Kebab. Banyak pengalaman yang dikongsikan. Di NZ, mereka mengamalkan minimum wage atau gaji minimum. Jika di Malaysia, gaji mengikut jam sebagai promoter atau pekerja di restoran adalah RM3 hingga RM4. Tetapi di NZ, gaji minimum bagi apa-apa pekerjaan adalan 12$ sejam. Banyaknya! Seperti negara lain juga kecuali Malaysia, pelajar universiti dibenarkan bekerja sambilan dan universiti menggalakkan pelajar bekerja, termasuklah pelajar luar negara.

Afdhal (tengah), pelajar TESL twinning program


Bercerita mengenai perubahan cuaca dan suhu membuatkan orang dari Tanah Melayu sedikit teruja (sila bezakan teruja dengan jakun). Pada musim sejuk, malam adalah lebih panjang. Subuh bermula dari jam 6.30 pagi hingga 8 pagi dan langit mulai cerah setelah jam 9 pagi sahaja. Isyak pula pada jam 6 petang dan langit mula gelap pada 4.30 petang.

Pada musim panas pula, waktu malam sangat pendek berbanding siang. Langit akan mulai cerah seperti dhuha pada jam 6 pagi dan waktu Subuh adalah seawal 3 pagi. Langit akan mula gelap hanya pada jam 11 malam dan Isyak pada jam 12 malam. (Maafkan kami kerana terlebih teruja. Di Malaysia hanya ada satu musim yang sangat panjang).

Club and SOCS tutup pada jam 8.30 malam. Sesi dialog terpaksa diakhiri. Rasa tidak cukup kerana banyak lagi soalan yang mahu ditanya. Kami dibawa oleh Imran, Miss Nadwa, Afdhal dan Miss Saleha berjalan-jalan sekitar kampus dan menikmati angin malam. Angin malam yang sangat sejuk! Suhu ketika itu adalah 4'c dan turun sehingga 0'c apabila angin kuat.

Kami sempat melihat The Clock Tower, perpusatakaan dan beberapa bangunan fakulti walaupun gelap.

The Clock Tower


Esoknya campus tour bersama pegawai dari International Affairs. InsyaAllah bersambung.. :)


p/s: resolusi dari tugasan, kalau nak makanan murah di NZ, masak sendiri. Setelah dikira, kos yang kami gunakan untuk memasak spaghetti itu kurang dari 3$ seorang.