20 June 2012

Doa Cinta

اللهم إنا نسألك حبك وحب من يحبك وحب عمل يقربنا إلى حبك
Allahumma inna nas aluka hubbak,
wa hubba man yuhibbuk,
wa hubba amalin yuqarribuna ila hubbik

'Ya Allah, sesunguhnya aku memohon kepadamu cinta-Mu
dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu
dan aku memohon kepada-Mu amal perbuatan
yang dapat menghantarkanku kepada cinta-Mu'


"Kakak, ni doa apa?'"

"Ni doa cinta dik,"

"Doa cinta tu apakebenda?"

Panjang lebar kakak terangkan.

Kata kakak, ini doa untuk memohon cinta Allah dan Rasul.
Doa untuk memohon cinta para alim ulama'.
Doa untuk memohon cinta mereka yang soleh solehah.
Doa memohon agar mencintai amal yang dicintai Allah.
Doa memohon jaminan cinta dunia dan akhirat.

MasyaAllah.

"Mana kakak belajar doa ni?"

Kakak senyum lebar, "Doa ni dari hadis, salah satu doa Nabi Daud."

قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم
 كَانَ مِنْ دُعَاءِ دَاوُدَ يَقُولُ
 اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ
 وَالْعَمَلَ الَّذِى يُبَلِّغُنِى حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ
 أَحَبَّ إِلَىَّ مِنْ نَفْسِى وَأَهْلِى وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ.
 قَالَ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم 
 إِذَا ذَكَرَ دَاوُدَ يُحَدِّثُ عَنْهُ قَالَ كَانَ أَعْبَدَ الْبَشَرِ .

Rasulullah s.a.w bersabda: “Di antara doa Nabi Daud a.s ialah: (Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat menyampaikanku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin) Dan bila Rasulullah s.a.w mengingati Nabi Daud a.s, beliau mengatakan dia sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah.” [Riwayat Tirmidzi]




Sahabat, ayuh berdoa memohon cinta!



16 June 2012

Antivirus


Kadang-kadang kita menyombong. Sampai satu ketika, hampir jatuh tersungkur, baru kita tahu tinggi atau rendah langit itu. 

Hampir satu tahun saya menggunakan laptop saya tanpa apa-apa antivirus. Dulu kalau ada sahabat yang mahu guna pendrive di laptop saya, mesti ada yang tanya, ‘Kina, tak scan dulu ke?’. Dengan bangga selamba saya jawab, ‘Laptop saya ni dah lama tak guna antivirus’. Cehh, berlagak sangat. 

Virus-virus hidup bahagia di dalam laptop saya. Dulu saya pernah cuba download antivirus percuma Avira, Norton dan beberapa lagi dari internet. Kemudian saya menghabiskan duit membeli Kaspersky selama dua tahun berturut-turut. Saya kecewa kerana pada tahun kedua membeli Kaspersky, software itu langsung tidak dapat mengesan apa-apa virus.

Sesiapa sahaja yang pernah mencucuk pendrive pada komputer PSZ pasti tahu berapa banyak spesis virus yang diternak dan membiak. Tetapi apabila saya cuba scan pada laptop saya, Kaspersky yang saya beli itu tidak dapat mengesan apa-apa. Saya putus asa. Saya biarkan laptop saya tanpa antivirus.

Minggu lepas, external hardisk saya ternoda. Semua files hilang. Proposal, journal, citations, gambar, bahan tarbiyah, draf thesis dan segala yang penting ada di dalamnya. Panik dua tiga saat, kemudian menenangkan diri. Pergi ke control panel, tukar settings kepada unhide files. Alhamdulillah files di dalam external masih ada rupanya cuma hidden. Cepat-cepat saya buka akaun Dropbox dan upload files yang penting sebagai backup. Lega sebentar.

Dua tiga hari selepas itu saya membelek-belek kembali external hardisk. Virus yang membiak itu telahpun duplicate content dan membuat dummy files. Saya risau. Mahu scan sekalipun, laptop tidak ada apa-apa software antivirus. Saat itu, barulah kelam-kabut mencari antivirus software di internet. Dengan kelajuan internet yang lembab dan mungkin boleh kalah dengan arwah Labu dan Labi sekiranya mereka masih hidup (arwah kura-kura saya), saya tidak berjaya memuat turun apa-apa antivirus. Berlagak tenang.

Semalam internet berlaku baik pada saya. Saya cuba download empat antivirus yang berbeza sekaligus. Hasilnya, hanya dua yang berjaya di download. Saya install satu dahulu, Avira. Cubaan scan pertama menggunakan Avira, 165 virus dikesan dan berjaya dihapuskan. Alhamdulillah. Tetapi files masih lagi hidden jadi saya cuba bertanya kepada Pak Nujum Encik Google. Saya mencuba kaedah command prompt untuk unhide files. Cubaan pertama, files berjaya di unhide pada mulanya. Kemudian kembali hidden. Something’s wrong. Mungkin masih lagi ada virus.

Saya cuba install antivirus kedua, Avast. Kali ini the actual culprit was detected. Dua worm yang degil berjaya dikesan. Saya cuba lagi command prompt untuk unhide files. Alhamdulillah, semua kembali normal. Walaupun virus telahpun dikesan dan dihapuskan, saya scan sekali lagi untuk memastikannya. Cuma yang tinggal sekarang seekor virus yang degil di dalam D: . 



Baiklah.

Cuba bayangkan diri kita seperti laptop, antivirus itu pula seperti ibadah dan virus itu seperti ujian. Contoh ibadah? Membaca Quran, berzikir, solat malam, bersedekah, mengingati mati, puasa, apa-apa sahaja yang mendekatkan diri kita dengan Allah. Virus, ujian kesedihan seperti gagal dalam peperiksaan, kemiskinan, kelaparan, kematian orang tersayang, dikhianati, dirompak, rumah terbakar, eksiden, putus cinta (pfftt). Virus, ujian kegembiraan seperti mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan (ujub, riak, takbur), mendapat kenaikan pangkat, kenaikan gaji, kesenangan hidup, anak-anak yang pandai.

Bayangkan pula apa yang akan berlaku jika suatu hari kita diuji dengan virus. Jika kita diuji, kemudian mengambil pendekatan seperti yang saya lakukan apabila laptop saya dimasukki virus, apa akan berlaku kepada kita? Mula-mula kita mencuba beberapa jenis antivirus, berpuasa, berzikir. Tetapi kita masih lagi diuji. Kemudian kita mencuba pula antivirus lain yang lebih mahal. Kita solat malam dan bersedekah, namun tetap diuji. Apabila semua tidak berjaya, kita putus asa. Kita membiarkan diri tanpa antivirus yakni tanpa beribadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bukankah itu lebih parah kepada diri?

Putus asa. Jadi kita cuba mencari ketenangan pada yang tidak sepatutnya. Meluahkan perasaan pada sahabat-sahabat. Tidak puas dengan itu, kita meluahkan kepada yang berlainan jantina – buaya friend dan geli friend. Kita TERbuat maksiat, kita TERleka dengan dunia, kita TERubat sementara. Apabila sudah tiada sahabat yang sudi peduli, sudah tiada wang yang dapat membeli ketenangan, sudah kosong jiwa, barulah kita terdesak. Barulah kita mencari kembali ruang-ruang ibadah. Allah, ruginya kita kerana pernah putus asa.

Pada saat itu, apabila terdesak, barulah kita melilau-lilau mencari antivirus. Kita cuba solat seperti dahulu, cuba berzikir dan berpuasa. Iman naik dan turun. Ada ketika kita mampu menjadi orang soleh, ada ketika kita kembali menjadi sahabat syaitan. Ada ketika bibir kita tanpa lesu menyebut zikir, tetapi hati kita busuk merindui maksiat. Something’s wrong. Mungkin masih lagi ada virus. Ahh, kita perlu antivirus yang lebih kuat. Kita cuba pula solat malam, menghadiri majlis ilmu, mendekati orang-orang soleh. Perlahan-lahan kita berusaha membuang virus-virus yang menodai hati.

Jangan biarkan diri menyombong dan berlagak dengan mengatakan kita tidak memerlukan antivirus. 


p/s: Apabila bertembung antara kebaikan dan kemungkaran di depan mata, kenapa kita masih lagi memilih kemungkaran? Hati, ingatlah tentang mati. 

04 June 2012

Just do it

Semasa tahun pertama di UTM, saya baru berjinak-jinak dengan perkataan dakwah. Jika sebelum ini mendalami Islam itu hanya untuk diri sendiri, pada masa itu mendalami Islam untuk orang lain juga. Allah pertemukan saya dengan insan-insan yang cintakan Islam dan berusaha menegakkan syariat. Salah seorangnya adalah Kakak.

“Salam. Kina, malam ni sibuk tak?”
“Wasalam kak. Tak sibuk pun. Kenapa?”
“Akak nak ajak awak pergi jalan-jalan. Pukul 11 malam ni siap ye. Nanti akak datang blok awak.”
“Baik kak, insyaAllah.”

Tanpa banyak soal saya menurut walaupun tertanya-tanya kenapa terlalu lewat sehingga jam 11. Tiba waktunya, Kakak membawa saya ke sebuah pondok berhampiran kolej kediaman perempuan.

“Awak nampak tu?”
Kakak menunjuk kearah sepasang lelaki dan perempuan yang kelihatan sedang mengulangkaji pelajaran.
“Nampak.”
“Akak nak awak pergi kat couple tu, suruh mereka balik.”
“Err, nak cakap macam mana kak? Takkan nak terus halau mereka?”
“Awak cakaplah baik-baik. Sekarang dah lewat malam, tempat ni gelap dan tertutup. Tak elok duduk kat sini.”
Saya masih teragak-agak.
“Pergilah, akak tunggu awak kat sini.”
“Err, takutlah akak. Jomlah pergi sekali. Nanti dia marah Kina macam mana?”

Tangan saya ditarik ke arah pasangan yang berada di pondok itu. Kakak menolak saya ke depan untuk menegur mereka. Saya terdiam. Tiba-tiba Kakak yang bersuara.

“Assalamu’alaikum, dik. Tengah buat apa ni?”
Wajah kedua-dua pasangan itu berubah dan cuak.
“Erm,  kami tengah buat assignment ni. Kenapa ye?”
“Ohh, bukan apa. Ni kan kawasan kolej perempuan. Sepatutnya masa macam ni lelaki tak boleh masuk. Lagi pun tak eloklah kalau duduk berdua kat sini sebab gelap.”
Si lelaki tersengih-sengih dan membalas,
“Ya ke? Okay, okay. Sekejap lagi kami pergi ya. Dah nak habis dah pun.”
“Baik, terima kasih ya. Assalamu’alaikum”
“Wa’alaikumsalam.”

Saya yang hanya menjadi penonton setia sejak dari awal agak kaku. Beraninya Kakak! Kami berjalan menjauhi pasangan tadi tetapi mereka masih berada di tempat yang sama, tidak berganjak. Lalu Kakak menarik tangan saya untuk berhenti.

“Kita tunggu sekejap sampai mereka pergi.”

Saya dan Kakak memandang mereka lama. Setelah sedar mereka diperhatikan barulah mereka mengemaskan barang dan beredar.

Itulah pengalaman pertama yang bertunas kepada pengalaman-pengalaman seterusnya. Siapa kata dakwah itu mudah? Amar makruf, nahi mungkar. Mengajak ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran. Kata Kakak, mengajak orang melakukan kebaikan itu mudah tetapi berapa ramai yang sanggup mencegah kemungkaran?

Satu perkara yang saya pelajari, jika mahu berdakwah kita harus mengikut gerak hati, jangan berfikir dua tiga kali. Sama juga jika mahu melakukan sesuatu yang baik. Ibaratnya kita melihat pasangan berdua-duaan di tempat gelap. Gerak hati kita mengatakan kita perlu menegur mereka, maka ikutlah gerak hati itu. Jika gerak hati itu dibiarkan beberapa ketika, memikirkan pros/cons, gaya penyampaian bagaimana harus diguna, bagaimana reaksi mereka, berani atau tidak kita ini, lama-lama rasa itu mati dan kita akhirnya hanya melihat kemungkaran it tanpa membuat apa-apa.

Just do it. Walaupun itu slogan untuk Nike, itulah kata Kakak.

Terima kasih Kakak. :)

02 June 2012

Membebel: Kenapa Kurang Menulis

Tujuan entri ini ditulis adalah kerana saya sendiri tidak tahu kenapa saya semakin kurang menulis.

Kata orang, kita tidak menulis atau kurang menulis kerana kita kurang membaca. Bila kurang membaca, kita kurang berfikir, kurang idea, kurang ilham untuk menulis. Saya kurang setuju.

Menulis tentang buku

Saya hantu buku. Ini bukan untuk dibanggakan. Ada sebab kenapa saya menggunakan perkataan hantu berbanding peminat buku, pencinta buku. Kadang-kadang terlalu obses dengan buku banyak juga mudharatnya, tanyalah Mama dan Babah kalau anda berani. 

Walaupun saya kira saya ini hantu buku, saya tidak pernah menulis tentang buku yang saya baca. Dan soalan yang paling saya malas untuk jawab adalah kenapa.

"Awak bacalah buku ni, best."

"Ya ke? Cuba awak cerita je kat saya apa isinya."

"Ah, malaslah. Apa yang saya cerita tak sama dengan apa yang awak baca."

"Kalau macam tu, awak tulis je sinopsis buku ni kat blog awak. Nanti saya baca."

Kalau ada yang pernah melalui situasi begini dengan saya, saya minta maaf. Rasanya, sebab utama kenapa saya kurang berminat untuk menulis sinopsis atau ulasan buku adalah it kills the story itself.

Contohnya, saya kenal beberapa orang sahabat yang mempunyai perangai yang sama apabila membaca buku atau novel. Mereka akan membaca beberapa helaian awal buku itu, kemudian beberapa helaian tengah dan beberapa helaian akhir buku itu. Kemudian, apabila mereka sudah tahu jalan cerita buku tersebut, barulah mereka membacanya. I mean, what's the point in doing that?

Sama juga jika saya menulis sinopsis sesebuah buku. Rasa ingin tahu apabila membaca novel itu serta merta dibunuh dari awal. Kalau sudah tahu jalan ceritanya, buat apa teruskan bacaan? Dan semestinya, emosi semasa membaca itu lain. Setiap ayat di dalam buku itu memainkan peranan. 

Saya tahu, pandangan saya ini berat sebelah kepada mereka yang sama hantu buku juga. Mungkin mereka yang kurang berminat pada buku lebih suka membaca sinopsis. Terpulang.

Jadi soalnya, kenapa saya kurang menulis.


Menulis tentang hal peribadi dan pengalaman

Kata orang, apa yang kita tulis melambangkan peribadi kita.

Saya adalah stalker tidak rasmi di beberapa blog milik mereka yang langsung tidak saya kenali. Saya sangat suka membaca tulisan mereka kerana mereka bercerita soal pengalaman mereka belajar di luar negara, tentang minat dan kesukaan mereka. Mereka menulis tentang keluarga, tentang suami atau isteri mereka, tentang anak-anak mereka, tentang resipi baru yang dicuba, tentang hati yang remuk, perasaan gembira dan bermacam-macam lagi. 

Mungkin saya suka membaca tulisan mereka kerana saya sendiri tidak mampu menulis tentang semua itu. Saya tidak mahu menulis tentang apa yang saya suka dan tidak suka. Saya tidak mahu menulis tentang kekurangan dan kelemahan saya. Saya tidak mahu menulis tentang perasaan saya. 
 
Bukankah semua itu eksklusif untuk orang yang lebih berhak mengetahuinya? Eksklusif untuk mereka yang sepatutnya terlebih dahulu mengenali kita berbanding strangers on the net. 

Saya  pernah berkongsi rasa dengan seorang sahabat, mengapa saya tidak mahu dan tidak berminat untuk menjadi AJK Makanan dalam apa-apa program sekalipun jika saya perlu memasak. Mengapa dahulu saya mengelak untuk berada di pantri semasa mesyuarat di pejabat MPP. Kalau tak faham, tak mengapa. Saya juga malas untuk menerangkan panjang lebar. 

Ada beberapa perkara peribadi yang pernah saya kongsikan di blog saya sebelum ini tetapi ia tidak melampaui hak eksklusif yang saya maksudkan. Contohnya tulisan saya tentang arwah Tok Ayah dan Tok Bibi. Tulisan tentang Mama dan Babah.


Konklusi

Terlebih dahulu, saya mahu berterima kasih kepada mereka yang sudi meluangkan masa membaca entri ini. Entri ini sebenarnya adalah alasan semata-mata kenapa saya kurang menulis sedangkan banyak lagi sebab mengapa saya perlu menulis.

Bersemangat Kina!

:D