08 April 2012

Penipu

Lelaki itu penipu.

Suami. Kononnya cinta pada si isteri. Bekerja siang malam mencari nafkah. Membeli rumah dan kereta besar. Membeli barang kemas sebagai hadiah. Tetapi sayang, tidak pernah menyuruh isteri solat. Tidak pernah mengajak isteri berpuasa. Tidak sanggup menegur salah isteri kerana terlalu cintakannya. Tiak mahu mengajar isteri taat kepada perintah Allah. Lalu, isteri yang konon dicintainya itulah yang menariknya ke api neraka bersama dengannya. Cintakah itu? Penipu.

Ayah. Kononnya sayang pada anak perempuannya. Bekerja keras setiap hari untuk memberi wang belanja. Membeli pakaian baru setiap bulan. Menghantar anaknya ke sekolah berprestij. Tapi sayang, baju yang dibeli setiap bulan itu tidak menutup aurat. Sekolah yang dihantarnya itu tidak mengajar agama. Anak gadisnya tidak mengenal Quran, tidak mengetahui hukum syariat. Lalu, anak gadis yang kononnya disayangi itulah yang menariknya ke neraka jahanam bersama dengannya. Sayangkah itu? Penipu.

Abang dan adik. Kononnya kasih pada kakak dan adik perempuannya. Mengajar mereka subjek yang tidak difahami. Memarahi lelaki lain yang mengusik. Menjaga mereka apabila ibu bapa tiada. Tetapi sayang, dibiarkan sahaja kakak dan adik perempuannya itu keluar tanpa menutup aurat. Dilihat sahaja mereka tidak bangun untuk solat. Diam sahaja melihat mereka berbuat maksiat. Lalu, kakak dan adik perempuannya yang kononnya dikasihi itulah yang menariknya ke neraka bersama dengannya. Kasihkah itu? Penipu.

Anak lelaki. Kononnya sayang pada si ibu. Kiriman wang setiap bulan tidak putus-putus. Digajikan pula seorang pembantu rumah untuk meringankan beban. Setiap minggu dijenguk ibunya dirumah. Tetapi sayang, dia tidak pernah menyuruh ibunya bertudung. Dia tidak sanggup menegur ibunya yang tidak solat. Dia membiarkan ibunya buta Al-Quran. Lalu, ibu yang kononnya disayangi itulah yang menariknya ke pintu neraka bersama dengannya. Sayangkah itu? Penipu.


Wanita itu penipu.

Isteri. Kononnya cinta pada si suami. Berhias cantik-cantik dan memakai wangian. Memasak makanan kegemarannya. Menjaga rumahtangga dengan baik.

Ibu. Kononnya sayang pada anak-anak. Makan dan pakaian mereka selalu terjaga. Sanggup berjaga siang dan malam. Bekerja keras untuk menampung belanja keluarga.

Kakak dan adik. Kononnya kasih pada abang dan adik lelakinya. Menjaga mereka apabila ibu bapa tiada. Memasak, mengemas, mengurus.

Anak perempuan. Kononnya sayang pada ayahnya. Setiap bulan mengirimkan wang gaji. Setiap malam telefon bertanya khabar. Setiap bulan pulang ke kampung menjenguk si ayah.
Tetapi sayang, wanita itu sengaja membiarkan auratnya menjadi tontonan umum. Setiap uraian rambutnya ditayangkan kepada lelaki bukan mahram. Pakaiannya ketat dan sendat. Tudungnya sekadar fesyen, sekadar menutup mulut orang. Gambarnya begitu murah ditayangkan di laman sosial. Solatnya sering sahaja diambil ringan dan dilewat-lewatkan. Puasanya tidak pernah sempurna. Quran jarang sekali dibaca, apatah lagi yang tidak tahu membacanya. Seringkali mengumpat dan memfitnah. Duitnya tidak pernah cukup untuk membeli segala jenis barang perhiasan dan barang kemas.

Lalu dialah menjadi penyebab suaminya ditarik ke neraka bersamanya. Cintakah itu? Penipu.

Apabila suaminya tiada, dialah yang bakal menarik anak-anak lelakinya ke neraka. Sayangkah itu? Penipu.

Jika dia tiada suami dan anak-anak, dialah yang akan menarik ayahnya ke neraka. Sayangkah itu? Penipu.

Apabila ayahnya sudah tiada, dialah yang bakal menarik abang dan adik lelakinya ke neraka. Kasihkah itu? Penipu.

Wahai wanita, cukuplah anda menjadi punca lelaki yang anda cintai, kasihi dan sayangi ditarik ke dalam api neraka.

Cukup-cukuplah kita semua menjadi penipu.

.

Saya teringat perbualan seorang sahabat dengan temannya.

"Awak tahu tak bila awak pakai macam ni, ayah awak akan menderita dalam kubur?" 

"Ishh, janganlah cakap macam tu,"

"Habis tu, nak saya puji awak pakai macam ni? Awak kata awak sayangkan ayah awak, betul? Dia dah meninggal dunia sekalipun, dia menanggung dosa-dosa awak. Diseksa dalam kubur. Awak, bertaubatlah."
.


2 comments:

Rasyid said...

Nice..
Tanggungjawab kepada manusia juga tidak boleh diabaikan.

Rasyid said...

Tanggungjawab terhadap manusia juga tidak boleh diambil ringan.