14 December 2010

Tunang

"Bila dia nak hantar rombongan?"

"Ishh Kak Long ni..lambat lagi lah. Haritu kan dah bincang dengan dia."

"Tapi Sya, kalau dia lambat hantar rombongan, Dr.Kalsom nak hantar rombongan merisik Sya untuk anak sulung dia."


Aisyah terbayang wajah Dr. Kalsom. Pensyarah di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Anak sulungnya Imran. A-Levels dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan di Australia, sekarang mengambil Sarjana dalam bidang pengajian Islam di Jordan. Kalau dibandingkan, Aisyah amat yakin dia tidak sekufu dengan Imran. Aisyah mempunyai tiga semester lagi untuk meraih Ijazah Sarjana Muda Psikologi. Itupun hanyalah di universiti tempatan.

Aisyah pernah berjumpa Dr. Kalsom beberapa kali. Mungkin tiga atau empat. Dr. Kalsom pernah mengajar Kak Long semasa di universiti dua tahun lepas. Aisyah sering melawat Kak Long di Kuala Lumpur dan selalu juga menemani Kak Long ke rumah Dr. Kalsom untuk menyiapkan research proposal Sarjananya. Aisyah tidak pernah berjumpa Imran. Hanya mendengar cerita tentangnya dari Dr. Kalsom.


"Kak Long jangan risaulah. Mana boleh meminang atas pinangan orang lain."

"Maksud Sya? Dia belum hantar apa-apa rombongan pun. Meminang apanya?"

"Kak Long, kan dia dah datang rumah, jumpa ibu dan abah? Kan dia bagitahu ibu dan abah anggaran tarikh untuk menikah. Maksudnya dah meminanglah tu."


Aisyah masih ingat bagaimana ia bermula. Kak Zu menjadi orang tengah untuk menyampaikan hasrat dia. Hampir sebulan Aisyah istikharah. Hampir sebulan juga berbincang dengan ibu dan ayah. Jenuh diterangkan pada ibu. Sebulan itu jugalah Aisyah tidak putus-putus solat malam dan berdoa untuk diberi petunjuk. Nekad. Aisyah yakin dengan istikharahnya. Aisyah memberi jawapan kepada Kak Zu meskipun hatinya tidak ada secalit pun rasa kasih, jauh sekali cinta. Perasaan itu akan hadir dengan sendiri selepas ini, dia pasti. Biarlah agama yang menjadi timbangan.


“Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu reda terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)


Fikiran Aisyah kembali membumi. Kak Long masih di hujung talian.


"Rombongan, cincin, hantaran dan majlis tu semua adat je Kak Long. Bertunang tu maksudnya ikatan atau janji untuk bernikah."

"Maksudnya Sya dah tunanglah ni?" Berderai tawa Kak Long. Mungkin tidak percaya apa yang didengarinya. Aisyah juga tergelak mendengar tawa Kak Long.

"Kak Long, seriuslah ni. Dah tunang dari segi syariat, tapi belum tunang dari segi adat."


Meminang membawa makna menzahir dan mengiklankan kehendak atau kemahuan seseorang untuk berkahwin dengan seseorang wanita. Dengan zahirnya kehendak itu, jadilah khatib (tunang lelaki) dan makhtubah (tunang wanita), maka tidaklah dibenarkan menerima pinangan lain selepas itu melainkan sebab yang memerlukan untuk putus tunang. - Fatwa Muasoroh oleh Dr.Yusof Al Qardawi


.

.

.

.

.


Notakaki: Entri kali ini adalah di atas permintaan seorang sahabat yang mahu saya menerangkan mengenai adat dan syariat dalam pertunangan. Semoga mesej di sebalik cerita ini sampai kepada pembaca sekalian.

PENEGASAN: Cerita ni tiada kena mengena dengan saya. Jangan buat kontroversi. :)


6 comments:

Mohd Fahmi Muhammad Mubarak said...

Mesej tersebut sampai dengan jelasnya...

Alhamdulillah...

Gramatis bahasa semakin menarik...

NAS AFANDI said...

yup!! da dpt da msgnye.... :)

Husna Najihah said...

msg delivered!:)

Nadia Havez said...

salam kina, akak copy ye sayang :)

Armiza said...

Mesej yang berguna...=P

Khairina 'Izzati said...

All: Semoga bermanfaat yeh.

Kak Nadia: Sila kan kak.. :)