08 December 2010

Dia

Saya jumpa dia buat pertama kalinya di matrik.
Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan.
Lebih spesifik lagi, di bilik C2.4.8.
Kluster C, blok C2, aras 4, bilik nombor 8.
Hari pertama pendaftaran.
Pertama kali nampak dia, terdetik dalam hati saya, "Baiknya dia,".
Penampilannya sederhana, tutur katanya sopan.

Sewaktu itu, dia ada bersama adik beradik dan ibunya.
Ibunya sedang bercakap dengan seseorang di telefon bimbit.
Saya mengagak itu ayah dia.
Ibunya berkata sesuatu tentang pendaftaran program.
Dari jauh saya dapat menangkap sedikit-sedikit apa yang dibualkan.
Tidak, bukan mencuri dengar. Tapi terdengar.
Tahulah saya bahawa dia juga seperti saya.

Kami didaftarkan di bawah program Sains Fizik,
sedangkan kami menjangkakan pendaftaran di bawah program Sains Hayat.
Kata fasilitator minggu orientasi, kami boleh menukar program pada hujung orientasi nanti.
Kebetulan, takdir Allah, kami mendapat kuliah yang sama selepas menukar program.
Kuliah kami Hayat 2. H2.
Bezanya saya Praktikum 1, dia Praktikum 4.
Saya H2P1, dia H2P4.

Setiap hari kami sebilik akan bangun seawal jam 5.30 pagi.
Jam 6.30 pagi, pasti sudah berada di bawah blok.
Pasti juga dalam perjalanan ke kafeteria.
Kafeteria D.
Dan pasti juga kami akan sarapan bersama.
Itu rutin yang tidak berjadual.
Memang hari-hari begitu.
Bezanya mungkin ada hari yang terlewat sedikit.
Mungkin juga ada hari yang terawal sedikit.

Kuliah bermula jam 8 pagi.
Pastinya saya dan dia akan ke kuliah bersama-sama.
Teman sebilik yang lain pasti juga berjalan bersama walaupun destinasi berlainan.
Biasanya kami akan duduk bersebelahan.
Dia di sebelah kanan, saya di sebelah kiri.
Kadangkala dia di sebelah kiri, saya di sebelah kanan.
Kadang terjadi juga kami tidak duduk bersebelahan.
Mungkin kerana praktikumnya habis tutorial lewat.
Mungkin kerana praktikum saya habis amali lewat.
Bergantung.
Tetapi selalunya begitu.
Kami akan duduk bersebelahan.

Ayah dan ibunya doktor.
Ayah dan ibunya mahu dia jadi menjadi doktor juga.
Diam-diam, dia mahu menjadi akauntan.
Tetapi saya nampak bakatnya sebagai doktor.
Saya tak pernah bagitahu dia.
Banyak sebenarnya yang saya tak pernah bagitahu dia.

Saya tak pernah bagitahu dia yang dia banyak mengubah saya.
Saya tak pernah bagitahu dia yang dia membuat saya berfikir.
Saya tak pernah bagitahu dia yang saya amat cemburu padanya.

Saya tak pernah berkesempatan mengucapkan terima kasih.
Terima kasih pada dia yang mengajak saya ke program alumni sekolahnya.
Saya lupa nama tempatnya, tapi yang pasti, ia sebuah surau.
Dan di situlah pertama kalinya saya melihat perempuan solat tanpa telekung.
Di situlah pertama kalinya saya berkenalan dengan buku nipis bernama Al-Matsurat.
Di situlah pertama kalinya saya tahu fadhilat membaca Al-Mulk sebelum tidur.
Di situ juga saya terlihat deretan tafsir Al-Quran yang bermacam-macam warna.
Saya membelek salah satu tafsir Al-Quran berwarna merah hati.
Terdetik di hati untuk membelinya satu hari nanti.
Bermacam lagi 'pertama kali' yang saya lalui sepanjang dua hari program.
Mungkin saya kelihatan seperti jakun ketika itu.
Junior-junior dia melihat sahaja tingkah saya.
Beruntungnya dia kerana tahu semua itu.
Ruginya saya.
Jahil jahil jahil.
Dia banyak mengubah saya.

Saya sangat kasar orangnya.
Membesar dengan lelaki-lelaki di rumah membuat saya menjadi kasar.
Mama juga sering menegur tingkah saya.
Pernah sewaktu kuliah, saya dan dia duduk bersebelahan seperti biasa.
Kami bergurau-gurau tentang sesuatu.
Tidak semena-mena, saya menumbuk bahunya.
Tindakan refleks luar kawalan.
Tumbukan itu bukan bererti melepaskan amarah.
Tumbukan itu hanya penambah rasa gurauan, seperti saya dan abang-abang saya.
Tapi saya lupa saya bergurau dengan siapa.
Dia merengek kesakitan.
Air mukanya berubah.
Seminit dua terasa lumpuh di lengan.
Saya tahu, saya pernah merasa tumbukan Abang Khairul.
Abang Khairul yang mengajar saya menumbuk begitu.
"Tumbuk biar sampai rasa nak lumpuh", katanya.
Selepas kejadian itu, saya tak pernah menumbuk sesiapa lagi.
Dia banyak mengubah saya.

Dia tidak banyak bercakap.
Orangnya sopan. Tuturnya juga sopan.
Kadangkala bila kena waktu, dia juga boleh jadi kelakar orangnya.
Gelak tawanya tidak berlebihan.
Secukup rasa cuma.
Dan kadangkala dia akan menjadi sangat senyap.
Menjauhkan diri.
Dulu saya selalu nanar dan hairan.
Jujur, saya tidak faham kenapa.
Tetapi sekarang mungkin saya lebih mengerti. Mungkin.
Saya dan teman sebilik, kadang ketawa kami berlebihan.
Kadang tutur kami kasar.
Kadang tutur kami menyakitkan hati.
Hati dia sangat lembut.
Mungkin sahaja terasa dengan sikap kami. Mungkin.
Dia membuat saya berfikir apa salah saya, apa yang sebetulnya.
Dia membuat saya berfikir apa kurangnya saya.
Dia membuat saya banyak berfikir.

Seperti yang saya katakan, hati dia sangat lembut.
Dia sangat mudah menangis.
Dan tangis dia bukan tangis murahan yang diperoleh senang-senang.
Tangis dia tangis ketakutan.
Tangis dia tangis dosa.
Pernah kami sebilik menonton rakaman ceramah Ustaz Khairi.
Belum sempat habis, dia menelefon ibunya.
Dia menangis dan memohon sesuatu.
Saya tahu apa yang dia mohon.
Kami sebilik tahu.
Katanya dia tidak mahu lagi melakukan dosa-dosa berterusan.
Azab Allah itu pedih.
Azab Allah itu berat.
Itu kata dia.
Dia membuat saya berasa cemburu.
Kerasnya hati saya berbanding dia.
Dan sekali lagi dia membuat saya banyak berfikir.

Kami sebilik ada empat orang. Dia, saya, Ayu dan Alin.
Saya lupa bila ketikanya, tetapi dari empat orang sebilik, kami menjadi lima orang sebilik.
A'an orang yang kelima.
A'an sudah seperti teman sebilik sendiri.
Banyak masa kami dihabiskan berlima.
Tidak lama selepas itu, kami menjadi enam orang sebilik.
Kemudian tujuh, kemudian lapan. Qama, Aini, Qiqi.
Kadangkala lebih dari itu. Nana, Rabi.
Meski hanya setahun di matrikulasi, kemanisan ukhuwah itu masih terasa.

Kenangan itu semua sudah lama berlalu.
Sudah tiga tahun, hampir menjengah empat.
Banyak yang telah berubah sekarang.
Alhamdulillah, dia bakal menjadi doktor.
Dan Alhamdulillah juga, dia bakal menjadi suri hidup seseorang.
Musa namanya.

Sewaktu menerima mesej dia, saya memanjat syukur tinggi-tinggi.
Dipanjangkan dengan doa sebagai bekalan.
2 Oktober 2010, dia menjadi tunangan orang.
Sedih kerana tidak dapat bersama dia.
Tanggungjawab di kampus masih tersisa.
"Awak wajib datang masa nikah nanti tau!" selorohnya.
InsyaAllah.
Saya pasti akan berada disisinya nanti jika diizinkan Allah.

Tinggal lagi beberapa hari cuma.
17 hari, sebetulnya.
Saya membaca wall post di Facebook dia.

"oh Allah show me the way and guide us t0 your true path.
oh Allah make the day beneficial and full of barakah.

oh Allah your the only one and there's no other.

oh Allah thank you for everything,
make me a good daughter and sister for last few days of my single life."



Dia Afiqah Roslan. Fiqa.


Doa Nabi Muhammad pada hari pernikahan puterinya,
Fatimah Azzahra dengan Ali bin Ali Talib.
"Semoga Allah menghimpunkan yang terserak dari keduanya,
memberkati mereka berdua,
dan kiranya Allah meningkatkan darjat keturunan mereka
menjadi pembuka rahmat,
sumber ilmu dan hikmah
serta pemberi rasa aman bagi umat"

Amin Ya Rabb.

4 comments:

Mohd Fahmi Muhammad Mubarak said...

Tiba-tiba, sebak menyelubungi diri tatkala cuba menghabiskan dan memahami bait-bait ayat yang dirakamkan...

Tahniah kepada 'dia' kerana berjaya membuatkan syaitan menangis lagi...

Dan, syabas juga kepada saudari kerana mempunyai kelebihan analitikal yang tinggi dalam menghayati kehidupan sebuah persahabatan...

"What we are never change, but who we are never stop changing."

Khairina 'Izzati said...

Terima kasih juga sbb menjadi pungunjung setia blog yang tak seberapa ni. :) Saya rasa penulisan anda lebih hebat dari saya..

Sunah Mohammad said...

subhanallah...sejujurnya akak menitiskan air mata, menahan sebak di dada membaca satu persatu bait kata dalam luahan hati kina ni...menginsafkan..terkenang dosa diri..astaghfirullah...moga Allah mengampunkan dosa-dosa lalu yang bagaikan gunung yang akan menghempap bila-bila masa...T_T

syukran untuk entri ni...

spontaneous_gurlz said...

As salam,
saya juga punya teman yang 'sebegini'.
kami kenal tak lama,2 bu;an cuma,tapi segalanya tentang dia terkesan di hati sampai sekarang.
Akak beruntung kerana Allah hantar seorang sahabat yg baik sebagai peneman. Saya juga :)

*jkk for this nice entry,may Allah bless :)