23 March 2010

Forex Trading di UTM - Bhgn 1

14 Mac 2010

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (MPMUTM), Saudara Muhammad Zaki Bin Omar telah menulis sebuah artikel di blog peribadinya tentang promosi program Seminar Model Ekonomi Baru Mahasiswa yang diadakan pada 20 Mac 2010 di Dewan Sultan Iskandar.

Program yang membincangkan tentang Aplikasi Online Business Dalam Menjana Ekonomi Mahasiswa dan Berpendapatan Tinggi ini akan dihadiri oleh wakil dari Foreign Exchange Trading, FOREX (www.forexexcel.com), Pendapatan Melalui Online Blogging (www.hasbulaqill.com), dan Penjanaan Pendapatan Melalui Internet Marketing (www.majalahim.com).

Merujuk kepada huraian dalam tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (www.zaharuddin .net) berkenaan dengan kecenderungan hukum Forex ini, beberapa orang mahasiswa telah mempersoalkan status hukum program (Forex) tersebut melalui laman blog rasmi MPMUTM dan Facebook MPMUTM.


17 Mac 2010

Isu ini menjadi semakin hangat apabila semakin ramai yang mempersoalkan perkara tersebut, apatah lagi ia melibatkan sumber kewangan mahasiswa. Status halal, syubhah atau haram perlu dijelaskan dengan terperinci sebelum Forex disebarkan kepada seluruh mahasiswa. Ramai yang mendesak untuk dikaji semula.

Sehubungan itu, Exco Jabatan Kerohanian dan Intergrasi Sosial (JAKERIS) MPMUTM, Saudari Khairina `Izzati Binti Amir Hussain mengambil inisiatif untuk berjumpa sendiri dengan Professor Madya Dr. Hussin Salamon, Dekan Fakulti Tamadun Islam UTM bagi mendapat penjelasan lanjut dan pandangan beliau berkenaan isu tersebut. Dr. Hussin merupakan salah seorang pakar dalam bidang Ekonomi Islam.

Berikut merupakan laporan ringkas yang disebarkan melalui Facebook dari Saudari Khairina hasil dari pertemuan tersebut.

“JAKERIS telah pun berjumpa dgn Ustaz Hussin, Fakulti Tamadun Islam, mengenai isu forex tengahari td. Ustaz Hussin sendiri tidak bersetuju jika forex di promosikan dikalangan mahasiswa. Pandangan beliau:

1. Fatwa yang mengatakan forex itu haram telah pun di keluarkan di Jeddah. Cuma di M'sia, tiada fatwa yang jelas mengenai hukum forex.

2. Perdagangan matawang lari daripada tujuan asal matawang itu sendiri.

3. Forex boleh menjejaskan ekonomi negara disebabkan oleh naik turun nilai matawang.

4. Potensi untuk berlakunya riba' adalah amat tinggi.

5. Jika ada pun forex yang berlandaskan syari'ah dan benar-benar halal, ia amatlah terhad dan sukar untuk dicari.

JAKERIS sedang menunggu untuk berjumpa Ust Ismail Musytari mengenai isu ini sebelum tindakan selanjutnya.”


Selanjutnya, wakil dari JAKERIS meneruskan perbincangan bersama Dr. Ismail Mustari, Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM), yang juga pakar dalam bidang Dakwah bagi mendapat pandangan beliau berkenaan isu tersebut.

“3.30 petang. Perrtemuan antara JAKERIS dgn Ust Ismail Musytari. Ust Ismail menyatakan jika Ustaz Dr. Hussin telah pun tidak bersetuju dgn Forex, Ustz Ismail sendiri tidak membantah pandangan beliau kerana Ustaz Dr Hussin pakar di bidangnya, iaitu Ekonomi Islam.”

Teguran dari Ust Ismail, "Bila dah ada kuasa sebagai pemimpin, seharusnya bertindak berlandaskan hukum Islam. Kalau kita turut menyumbang kepada perkara yang syubhah dan haram, kita akan dapat saham dosanya."


Perbincangan lanjut diteruskan bersama Ustaz Mohd Nasir Masroom, Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa UTM.

“4.30 ptg : Pertemuan JAKERIS dgn Ust Nasir Masroom. Ust Nasir menyatakan perkara yang sama seperti Ust Ismail Musytari. Ust Nasir mencadangkan dua alternatif iaitu :

1. Gantikan slot Forex dengan slot lain yang berkaitan.

2. Teruskan dengan slot Forex, tetapi perlu ada seorang pakar Ekonomi Islam yang menjadi pemerhati dan yang mampu memberikan penjelasan.”


MPMUTM bermesyuarat bagi membuat keputusan berkenaan isu yang dibangkitkan oleh mahasiswa UTM.

“5.30ptg : Mesyuarat antara JAKERIS, wakil-wakil MPP, dan beberapa orang mahasiswa yang prihatin bersama Presiden MPMUTM serta SUA MPMUTM. Hasil perbincangan mencapai kata sepakat untuk mengaturkan pertemuan antara Presiden MPM, Naib Pengerusi Fakulti MPM dan Pengerusi JAKERIS bersama Dr. Hussin pada mlm ini, jam 10.30mlm di Taman Teratai. Doakan yang terbaik buat mereka..”



PMIUTM telah mengeluarkan kenyataan melalui blog rasminya (http://pmiutm.blogspot.com), menggesa agar MPMUTM mengkaji semula pengisian seminar berkenaan “Forex Trading” sebelum ianya diperkenalkan kepada mahasiswa pada Seminar Model Ekonomi Baru Mahasiswa yang akan berlangsung 20 Mac ini.

Kenyataan Presiden PMIUTM, Saudara Mohd Khairul bin Abdullah Halim.

“Pada dasarnya, PMIUTM amat menyokong usaha baik MPMUTM dalam membantu mahasiswa dengan memperkenalkan jalan untuk menjanaekonomi, tapi soal halal dan haram perlu untuk dipertimbangkan. Jangan sampai niat baik kita dimurkai oleh Allah s.w.t di akhirat kelak kerana dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara.”

“Walaupun niat untuk memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menjana ekonomi pada zahirnya adalah baik, tetapi dalam soal memberikan jalan kepada kepada mahasiswa untuk terlibat dalam perkara syubhah dan haram, PMIUTM tidak sekali-kali akan setuju.”

Sehingga hari ini, Presiden MPMUTM masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini yang menunjukkan pendirian sebenar beliau terhadap ‘Forex Trading’. Mahasiswa menunggu.


Maklumat tambahan :

Syeikh Mufti Taqi Uthmani (pakar syariah dan Kewangan Islam Sedunia) berkata ia bukanlah sesuatu yang disukai oleh polisi Ekonomi dalam Islam.

Pandangan Majelis Ulama Indonesia (MUI) berhubung jual beli mata wang. Rujuk : http://provenforexsystem.wordpress.com/2008/07/10/fatwa-mui-tentang-forex/


Dikongsi dari sini

No comments: