31 October 2009

How big is 'big'?

"Allah Maha Besar,"

"Tapi besar mana?"

"Erm..cuba perhatikan ciptaan alam. Perhatikan penciptaan angkasa lepas,"

"Maksudnya?"

Tersengih.

"Cuba perhatikan bumi,"

"Kenapa dengan bumi?"



"Diameter bumi 13000 km, bersamaan 8000 batu. Jarak bumi dari matahari 150 juta km menggunakan 8.3 minit kelajuan cahaya,"

Otak biologi aku membuat perkiraan. "Kelajuan cahaya?"

"Kelajuan cahaya. Cuba guna lampu suluh, 'on' kan dia. Masa untuk cahaya tu keluar lepas tekan butang 'on' tu lah kelajuan cahaya."

Aduh..aku memang fail bab fizik ni. Terasa semakin jahil. Macam mana nak ukur 8.3 minit kelajuan cahaya?

"Bumi berputar di atas paksinya pada 30km/saat. Sedar atau tak, kita sebenarnya sedang bergerak bersama-sama dengan bumi. Sistem solar kita juga sedang bergerak di angkasa lepas dengan kelajuan 134 batu/saat. Kemana tujuan kita?"

Kalau bawak kereta pada kelajuan 134 km/jam, dah boleh kena saman. Kalau 134 batu/saat macam mana? Kenapa tak rasa macam kita bergerak pun. Macam statik je.


"Sekali lagi, sedar atau tidak, kita sedang bergerak bersama-sama dengan bumi dan sistem solar. Hebatnya kuasa graviti ciptaan Allah hingga kita tak sedar yang kita sedang bergerak."

Subhanallah..

"Sistem solar kita sahaja mempunyai diameter lebih kurang 146 billion km. Sistem solar ini lah yang merangkumi matahari, 9 buah planet yang dapat dikenal pasti, beberapa planet yang masih belum dijumpai dan bulan-bulan."

"Tau tak bima sakti tu apa?"

"Milky way ke?"


"Ya. Bima sakti atau Milky Way tu sama lah dengan galaksi. Dalam 1 galaksi, ada berjuta-juta sistem solar yang berbeza-beza. Di tengah-tengah bima sakti iaitu Galactic Centre, terdapat sekurang-kurangnya 200 billion bintang-bintang. Galactic centre ini berputar pada 150 batu/saat dan mengambil masa 200 juta light years untuk 1 putaran lengkap."

"Light years?"

"Ya..1 light year = 9460 trillion km/year"

Otak aku ligat berfikir. Susah untuk aku mentafsir kiraan yang complicated sebegini. Selama ini aku hanya menghadam spesis bakteria dan morfologi mikrob. Macam mana nak tau beza km/saat, km/jam dan km/year?

"Senyap je ni. Faham tak?"

"Faham..teruskanlah,"

"Cuba teka berapa diameter bima sakti?"

Terdiam.

"Diameter bima sakti sahaja adalah 9.25 x 1017 km dan keseluruhan bima sakti bergerak dengan kelajuan 552 km/saat. Lagi sekali persoalannya, kemana tujuan ia bergerak?"

"Dalam sistem angkasa kita, ada berjuta-juta galaksi seperti bima sakti. Setap galaksi mempunyai berjuta-juta sistem solar tersendiri dan setiap sistem solar itu mempunyai planet-planet. Bayangkan betapa kecilnya kita."

Kerdilnya diri.

"Pernah dengar pasal Cat's Eye Nebula?"

"Tak"

"Orion?"

"Tak pernah"

"Andromeda?"

"Macam nama filem je.."

Ketawa. "Tu semua nama galaksi lah. Nah, tengoklah gambar-gambar ni."

Ceh, gelakkan aku. Aku membelek gambar-gambar di tangan. Subhanallah.





Kelu lidahku. Hebat sungguh ciptaan Allah. Kecilnya aku jika dibandingkan dengan luasnya alam yang terbentang.

"Andromeda tu galaksi yang paling hampir dengan bima sakti kita. Jarak bima sakti dengan Andromeda lebih kurang 200 juta light years. Tau tak yang Andromeda sedang menghampiri kita dengan kelajuan 100 hingga 140 km/saat? Bima sakti mungkin akan berlanggar dengan Andromeda dalam masa 3 atau billion tahun lagi."

Ah..sudah. Kiraan lagi. Aku makin pening.

"Bila berlakunya perlanggaran antara galaksi, pemusatan graviti akan berlaku dan ia akan menyedut dan menarik semua planet-planet, sistem solar dan apa-apa sahaja di sekeliling pusat graviti itu. Kemudian galaksi tu akan bergabung menjadi 1 galaksi yang lebih besar. Contohnya macam galaksi Antennae."


Telan air liur.

"Manusia pernah bercita-cita untuk keluar daripada bima sakti untuk melihat galaksi-galaksi yang lain di luar sana. Tapi jasad manusia tidak mampu untuk semua tu. Kalau ada pun teknologi yang membolehkan manusia travel dengan kelajuan cahaya, jasad manusia sendiri akan hancur kerana haba dan rintangan udara. Macam lumba kereta F1..tu baru kelajuan biasa, dah kena pakai baju khas untuk elakkan rintangan udara dan kawal suhu badan."

Kenapa aku tak pernah terfikir semua ni?


"Firman Allah, dalam Ar-Rahman, ayat 33: 'Wahai golongan jin dan manusia! Jika kamu dapat menembus keluar dari kawasan penjuru langit dan bumi, maka tembuslah. Kamu tidak akan mampu menembusnya kecuali dengan kekuatan Allah."

Allah Maha Besar. Tapi Allah mengetahui sekecil-kecil perkara termasuklah apa di hati kita.

He's always watching us,
Guiding us,
And He knows what's in our little hearts.

(Always Be There by Maher Zain)

Persoalannya, kita memuji Allah dengan mulut atau dengan hati?




18 October 2009

Happy birthday mama..


Entry ni terlambat 2 hari..sory ma. Happy 50th birthday.. Don't worry about the number. It's just a number. Semoga mama panjang umur, murah rezeki & bahagia dunia akhirat..aminnn. Thanks for everything. Mama wrote in her blog,


And everything is just like yesterday, only it's today. And really, I don't feel fifty at all. I feel like I'm still twenty, thirty, forty. And I am - underneath the year that makes me fifty.

Like some days when I do or say something silly, and that's part of me that's still thirteen. Or some days when I longed for Mak because I missed her so much, and that's the part of me that's still nine. And possibly now I may need to cry like I'm still two or three, and that's okay. That's what I tell Khairina, my daughter when she's sad and needs to cry. Maybe she's feeling two or three.

Because, think about it. Growing old is like an onion. There's many layers of it that fit inside the other, just like age, one year inside the next.



Yeah ma..you're right. I don't feel like i'm 20 either. I still want to be your little girl. I dedicate the story below to you ma..hope you like it as much as is do. Love you loads..


Restu Ibu Imam Syafie

Sejak kecil, Imam Syafie telah hafal al-Quran dan banyak hadis. Jika mendengar ada guru datang mengajar, dia segera pergi bagi menimba ilmu. Ketika berusia 14 tahun, Imam Syafie menyatakan hasrat kepada ibunya tentang keinginannya untuk merantau bagi menambahkan ilmu.

Pada mulanya, ibunya merasa berat untuk melepaskan kerana Syafie adalah satu-satunya harapan ibunya untuk menjaganya di hari tua. Demi ketaatan dan kasih sayang Syafi'e kepada ibunya, dia membatalkan keinginannya itu. Akhirnya ibunya mengizinkan Syafi’e merantau bagi menambah ilmu pengetahuan.

Sebelumnya melepaskan anaknya, maka ibunya berdoa, “Ya Allah Tuhan yang menguasai seluruh Alam! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan jauh, menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut pengetahuan peninggalan PesuruhMu. Oleh kerana itu aku bermohon kepadaMu, ya Allah agar dipermudahkan urusannya. Peliharakanlah keselamatannya, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihat kepulangannya nanti dengan dada yang penuh dengan ilmu yang berguna. Amin!”

Selesainya berdoa ibunya memeluk Syafie yang kecil dengan penuh kasih sayang dan dengan linangan air mata kerana sedih untuk berpisah.

“Pergilah anakku. Allah bersamamu! Insya-Allah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan dikemudian hari. Pergilah sekarang kerana ibu telah redha melepaskanmu. Ingatlah bahwa Allah itulah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan.”

Selepas ibunya berdoakan, Syafi'e mencium tangan ibunya dan mengucapkan selamat tinggal. Dia meninggalkan ibu yang sangat dikasihinya dengan hati yang pilu dan mengharapkan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraannya dalam menuntut ilmu.

Oleh kerana kehidupannya yang sangat miskin, maka Syafi'e berangkat dengan tidak membawa bekalan wang, kecuali dengan berbekalkan doa ibunya dan cita-cita yang teguh untuk menambah ilmu sambil bertawakkal kepada Allah.

Ketika mengingati kisah ini, Imam Syafie berkata, “Sesekali aku menoleh kebelakang untuk melambaikan tangan kepada ibuku. Dia masih berada perkarangan rumah sambil memperhatikan aku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan kota Makkah yang penuh barakah tanpa membawa sedikit pun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan bagi diriku hanyalah Iman yang teguh dan hati yang penuh tawakkal kepada Allah serta doa restu ibuku sahaja. Aku serahkan diriku kepada Allah seru sekalian Alam.”

*dipetik dari 'Kisah Seribu Teladan'

17 October 2009

Rukun, sunnah atau bid'ah?

Sudah dua minggu blog ni ditinggalkan bersawang. Maaf. Bukan sengaja atau mencari alasan, tapi perkara-perkara yang lebih aula perlulah diutamakan. Seperti yang dijanjikan, sedikit perkongsian mengenai perbezaan cara solat menurut sunnah dan cara solat umat Islam kini..adakah ia rukun, sunnah atau bid'ah?

Sebelum itu, lebih elok jika dijelaskan kembali perbezaan syarat wajib solat, syarat sah solat dan rukun solat. Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidaknya sembahyang ke atas seseorang. Syarat sah sembahyang adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu sembahyang manakala rukun solat adalah perkara yang mesti dilakukan semasa solat. Meninggalkan dengan sengaja mana-mana rukun sembahyang, sekalipun rukun qauli, kerana ia menghilangkan peraturan sembahyang. Tetapi kalau ditinggalkan dengan terlupa, tidaklah batal, bahkan hendaklah dilakukannya.

Dimana pula letaknya fiqh Imam Syafie dalam solat? Inilah yang selalu disalah tafsirkan oleh umat Islam kini, antara rukun dan sunnah. Imam Syafie memberi garis panduan tentang solat mengikut hadis-hadis yang dikaji kesahihannya dan terpulang kepada kita untuk menerimanya atau menolaknya jika terdapat hadis-hadis lain yang lebih sahih. Maksudnya disini, tidaklah batal solat seseorang itu jika tidak mengikuti sunnah Nabi tetapi lebih baik jika mengikutinya.

Rasulullah pernah bersabda, "Solatlah sepertimana aku solat". (HR Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda s.a.w bersabda : Barang siapa berpegang dengan sunnah-sunnahku ketika di zaman rosaknya umatku, baginya adalah ganjaran syahid. (Tabrani)

Seterusnya persoalan tentang cara solat yang 'betul'. Tidak dipertikaikan bahawa solat yang paling sempurna merupakan solat Nabi Muhammad s.a.w., jadi bagaimana 'betul' itu? Jawapan yang paling tepat adalah solat yang merangkumi perkara-perkara tersebut:
1. menepati syarat sah solat
2. menepati syarat wajib solat
3. menepati 13 rukun solat
4. 13 rukun solat itu pula dilakukan dengan cara Nabi solat. Dalam erti kata lain mengikut sunnah Nabi.

Namun, ada juga yang berlebih-lebihan dalam menghukum solat dan melakukan bid'ah dalam solat mereka. Antara ucapan (qaul) Imam as-Syafie yang disalah ertikan oleh sebahagian masyarakat Islam sehingga menjadi isu kontroversi dan polemik, ialah tentang maksud dan pembahagian bid’ah yang mana beliau pernah berkata:

“Bid’ah itu terbahagi kepada yang baik dan yang buruk, atau yang terpuji dan tercela. Dalam perkara ini, termasuklah setiap yang diada-adakan selepas zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan zaman para Khulafa ar-Rasyidin”.

Kata Imam Syafie, bid'ah itu terbahagi kepada bid'ah hasanah dan bid'ah dholalah. Bid'ah hasanah iaitu bid'ah yang baik dan bid'ah dholalah pula ialah bid'ah yang nyata sesat. Imam Syatibi di dalam bukunya Al-I'tisom menjelaskan tentang bid'ah hasanah:

1. Bid'ah adalah jalan syara' yang baru yang di reka dan di anggap ibadah dengan mengerjakanya, adapun membuat perkara baru yang bukan ibadah di dalam agama tidak di namakan bid'ah seperti bersalam-salaman selepas solat, mempelbagai makanan dan minuman yang enak,begitu juga pada pakaian, tempat tinggal, memakai selendang (diatas bahu), membesarkan lengan baju dan sebagainya.

2. Orang yang melakukan bid'ah menganggap cara itu adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah tanpa ada contoh dari nabi

3. Bid'ah hasanah hanya ada pada istilah lughah iaitu pada perkara yang merangkumi urusan dunia sebagaimana contoh yang telah diberikan seperti pembinaan sekolah, pembukuan kitab hadis, mengklasifikasikan ilmu kepada usul fiqh, ilmu fiqh, ilmu nusthalah hadis, azan menggunakan mikrofon.

Umat Islam di Malaysia sendiri mempunyai percanggahan pendapat mengenai fiqh dalam solat. Antaranya:

1. Menolak doa qunut dalam solat Subuh

Di dlm mazhab Syafie sudah disepakati bahawa membaca doa qunut dlm sembahyang Subuh , pada iktidal rakaat kedua adalah sunat ab'ad dlm erti diberi pahala bagi orang yg mengerjakannnya dan bagi yg lupa atau lalai mengerjakannya disunatkan utk menggantikannya dgn sujud sahwi. Tersebut dlm kitab Al-Um jilid 1 hlm.205 bahawa Imam Syafie berkata, maksudnya:

"Tak ada qunut dlm sembahyang lima waktu kecuali sembahyang subuh. Kecuali jika terjadi bencana maka boleh qunut pada semua sembahyang jika imam menyukai"

Saya pernah bertanya kepada seorang sahabat mengapa dia tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh. Jawapan yang diberikannya adalah 'Abu Bakar as-Siddiq sendiri tak pernah membaca doa qunut'. Ini mungkin merujuk kepada hadis berikut:

"Dari Abu Malik Al-Asja'i, beliau berkata: Aku pernah bertanya kpd bapaku, wahai bapa! sesungguhnya engkau pernah solat di belakang Rasulullah saw, Abu Bakar, Usman dan Ali bin Abi Thalib di sini di kufah selama kurang lebih dari lima tahun. Adakah mereka melakukan qunut?. Dijawab oleh bapanya:"Wahai anakku, itu adalah bid'ah." Diriwayatkan oleh Tirmizi.

Nyatanya, hadis tersebut dianggap hadis dhaif dan tidak diperakui di dalam mazhab Syafie dan Maliki. Malah hadis tentang Nabi dan para Khulafa Rasyidun yang melakukan qunut banyak terdapat ada di dlm kitab Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Abu Daud, Nasa'i dan Baihaqi.


2. Melafazkan niat

Terdapat percanggahan pendapat samada niat itu perlu dilafazkan atau cukup sekadar di dalam hati sahaja. Imam Syafie berkata:

"Apabila seseorang telah berniat untuk menunaikan haji atau umrah, ia telah memadai walaupun tidak melafazkannya. Tidak seperti solat, ia mesti disebut (lafaz).

Bagi mereka yang bertaklid pada suatu mazhab semata-mata tanpa hujah, pasti mereka akan menyimpulkan bahawa melafazkan niat itu adalah perlu. Sedangkan al-Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu', telah membahaskan kenyataan di atas.

"Pendapat yang mengatakan sunat melafazkan niat adalah kesilapan. Sebenarnya, maksud kata-kata imam Syafie 'menyebut' ialah lafaz takbiratulihram."

Niat hanya tercapai dengan ilmu. Apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu, sudah tentu perkara tesebut terdetik di dalam hatinya. Tanpa keinginan, sudah tentu suatu niat itu tidak terhasil.


3. Mengangkat tangan ketika takbir

Pelbagai percanggahan berlaku dimana perlu atau tidak mengangkat tangan di setiap rakaat. Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika takbir adalah sunnah. Terdapat 4 keadaan yang disunnahkan mengangkat tangan iaitu takbiratulihram, rukuk, sujud dan ketika bangun dari sujud selepas tahiyat awal (permulaan rakaat ke3).

Abdullah bin Umair r.a. berkata: "Nabi s.a.w. mengangkat kedua-dua belah tangannya sehingga setentang dengan bahu ketika mengerjakan solat. Kemudian baginda bertakbir dengan mengangkat kedua-dua belah tangannya. Apabila rukuk dan bangun daripada rukuk, baginda juga mengangkat kedua-dua tangannya seperti itu." (HR Bukhari & Muslim)

Abu Hurairah r.a. berkata: "Nabi bertakbir apabila berdiri untuk solat. Baginda juga bertakbir ketika bangun daripda rakaat kedua selepas duduk tahiyat." (HR Bukhari)


4. Mengaminkan bacaan imam

Imam digalakkan menguatkan lafaz amin selepas membaca al-Fatihah. Pendapat ini disokong oleh al-Bukhari, Syafie, Ahmad dan kebanyakkan ulama fiqh lain.

Abu Hurairah berkata Nabi pernah bersabda, "Apabila imam mengucapkan amin, ikutilah dia. Sesiapa yang membaca amin dan bacaannya menepati bacaan amin para malaikat, Allah pasti mengampuni dosanya yang lalu." (HR Bukhari)

Namun, kesilapan yang dilakukan oleh makmum di Malaysia khususnya, adalah dengan memanjangkan lafaz pada permulaan amin di mana alif yang sepatutnya dilafaz dengan mad asli dipanjangkan menjadi mad al-Muttathil. Solat boleh terbatal jika perkara ini berlaku.


5. Berdoa dan berzikir secara beramai-ramai selepas solat berjemaah

Pelbagai tohmahan yang dilontarkan oleh pengikut mazhab-mazhab lain bahawa berdoa dan berzikir beramai-ramai itu merupakan bid'ah kerana Nabi s.a.w. sendiri tidak melakukannya. Imam Syafie berkata: "Imam dan makmum boleh memilih samada ingin berzikir kepada Allah selepas salam atau tidak. Jika berzikir, mereka hendaklah memperlahankan zikir kecuali imam. Imam wajib mengajar makmum berzikir sehingga mereka mempelajari zikir tsabit. Kemudian, imam hendaklah berzikir secara perlahan."

Dalam konteks ini, jika benar ini merupakan suatu bid'ah, tidak salah jika ia dikatakan bid'ah hasanah kerana secara tidak langsung, apabila imam berzikir dan berdoa dengan kuat, makmum akan belajar zikir dan doa tersebut. Lebih-lebih lagi di Malaysia dimana majoriti umat Islam tidak fasih berbahasa Arab dan kurang mengetahui zikir-zikir yang patut diamalkan.

Cuma yang perlu ditekankan di sini, berdoa dan berzikir selepas solat itu bukanlah suatu sunnah. Rasulullah sendiri kadangkala tidak berzikir dan terus meninggalkan saf dan makmum selepas salam. Jika ia dianggap sebagai sunnah, pasti sesiapa yang tidak berdoa telah melakukan bid'ah. Berdoa dan berzikir selepas solat itu perlulah difahamkan sebagai amalan ibadah yang dilakukan untuk mendekatkan kita kepada Allah.

6. Sujud: lutut dahulu atau tangan?

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang cara turun untuk sujud. Sebahagian ulama, ada yang mengatakan caranya hendaklah mendahulukan dua tangan daripada dua lutut (berlainan dengan cara yang disebutkan di atas). Mereka berbeza dalam memahami maksud Nabi saw :

“Apabila seseorang kamu hendak sujud, maka janganlah dia turun (untuk sujud) sepertimana turunnya unta.”(HR Abu Daud)

Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam buku “Sifah Solah al-Nabi saw” menganggap turun dengan mendahulukan dua tangan berbanding dua lutut itu adalah yang lebih kuat dan ia menyalahi cara turun unta, kerana lutut unta berada pada kaki hadapannya yang diletakkan terlebih dahulu sebelum turun untuk duduk.

Namun begitu kebanyakan ulama mengatakan yang lebih utama dan lebih kuat ialah meletakkan dua lutut sebelum meletakkan dua tangan. Inilah cara turun yang berbeza dengan cara turunnya unta. Dimana unta akan menurunkan bahagian kepalanya terlebih dahulu sebelum bahagian punggungnya. Al-Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin berkata, perkataan Nabi saw : “Jangan kamu turun sepertimana turunnya unta” adalah dimaksudkan kepada bentuk turun unta.” Dimana cara turunnya ialah dengan mendahulukan anggota bahagian atas (kepala – ini menyalahi tabiat kejadian aturan tubuh manusia). Maka insan di dalam solatnya disuruh menyalahi perbuatan unta, bentuk tubuh perlu diraikan, mana yang lebih hampir ke bumi, anggota itulah terlebih dahulu diturunkan.

Dia hendaklah mendahulukan lutut sebelum tangannya, agar cara turunnya dengan mendahulukan anggota yang lebih hampir ke bumi (iaitu lutut) kemudian diikuti anggota atas seperti tangan dan seterusnya kepala menyalahi dengan sifat turunnya unta yang mendahulukan bahagian atas. Sifat inilah yang sering ditekankan oleh Nabi saw, dimana baginda seringkali menyuruh membezakan perbuatan-perbuatan di dalam solat dengan perbuatan-perbuatan haiwan.


Sebenarnya, banyak lagi rukun, sunnah dan bid'ah dalam solat yang ingin dikongsikan bersama sahabat-sahabat. Lebih elok lagi jika kita sama-sama dapat memperkayakan diri dengan ilmu dengan memperbanyakkan membaca. Orang yang berilmu itu sifatnya suka membaca, dan orang yang jahil itu sifatnya malas.

Wallahua'alam.


Rujukan:
1. Abu Ruwais Al-Syubrawi, Wuduk & Solat Menurut Sunnah & Mazhab Syafie
2. Sheikh Gibril Fouad Haddad, Definisi Bid‘ah Mengikut Ahlul Sunnah wal Jamaah
3. http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/ibadat
4. Fiqh Manhaj Imam Syafie
5. http://soaljawab.wordpress.com/2008/07/31/ringkasan-sifat-solat/

03 October 2009

Taklid Buta: Sejauh mana kefahaman kita?

Imam Al-Ghazali mentafsirkan taklid sebagai 'menerima perkataan tanpa disertai hujah (alasan dan dalil)'. Sikap taklid buta terhadap para imam mazhab secara melampau haruslah dihentikan di atas sebab semua imam mazhab menjadikan sunnah yang sahih sebagai pegangan dan meninggalkan pendapat yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah s.a.w.. Sebenarnya isu taklid ini telah lama ditegah oleh para sahabat Nabi. Ini kerana dengan bertaklid, seseorang akan menerima pendapat atau hadis tanpa mengetahui kesahihannya dan menyekat seseorang daripada berfikir menggunakan akal dan mengkaji hadis-hadis lain.


Contoh terdekat yang boleh kita perhatikan adalah di UTM sendiri di mana sejak kebelakangan ini kampus dibanjiri pelajar-pelajar antarabangsa. Timbullah isu percampuran mazhab, solat siapa yang betul, sunnah atau bid'ah. Lalu dipersalahkan, "Ah, aku mazhab Syafie, mereka mazhab lain.". Cemuhan yang sering kita dengar adalah persoalan mengapa pelajar wanita dari Arab tidak memakai stokin apabila mendirikan solat dan mengapa pelajar Arab sewenang-wenangnya menggerakkan tangan dan badan ketika solat.

Para imam mujtahid melarang kita bertaklid kepada mereka kerana bimbang apa yang mereka ijtihadkan itu menyalahi hadis Rasulullah yang sahih. Ibn Hazm r.a mengatakan: 'Sesungguhnya semua ulama fikah itu telah membatalkan taklid. Mereka melarang sama sekali sahabat-sahabat mereka bertaklid kepada mereka. Antaranya Imam Al-Syafie. Beliau berpendirian tegas dalam menentukan kesahihan hadis dan berpegang pada hujah yang tepat. Beliau juga tidak suka orang lain mengikuti semua pendapatnya.'

Oleh itu sahabat-sahabat, janganlah kita taksub kepada mazhab tertentu sehingga tidak dapat menerima pendapat mazhab lain dan mengatakan amal ibadah mereka tidak diterima. Sesungguhnya yang layak menilai itu hanyalah Allah. Utamakan niat dalam beribadah dan lakukanlah seikhlas mungkin. Firman Allah dalam Surah Al-Kahfi ayat 110, 'Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, dia hendaklah beramal soleh'.

Pentingnya untuk kita mengkaji kesahihan hadis tersebut dan seterusnya menentukan sejauh mana pendapat mazhab tersebut selari dengan sunnah nabi. Islam mengajar kita untuk menggunakan akal dengan sebaik-baiknya iaitu dengan berfikir dan menuntut ilmu.

Wallahu'alam.


Rujukan: Wuduk & Solat Menurut Sunnah & Mazhab Syafie


P/S: Kepada mahasiswa UTM yang ingin membeli buku Wuduk & Solat Menurut Sunnah & Mazhab Syafie, pada ana ada lagi dua buah buku. Harga RM19.90..sila contact ana jika berminat. Siapa cepat dia dapat..

pP/S: InsyaAllah entry seterusnya akan membincangkan tentang perbezaan cara solat menurut sunnah dan cara solat umat Islam kini..