01 December 2012

Hati ke Hati



"[URGENT] Salam. Mesyuarat program Hati Ke Hati akan diadakan pada jam 5.30 petang ini di.."

Fikir sebentar. Program Hati Ke Hati ini apa? Bila pula saya jadi AJK?

Belek group FB, baca sedikit detail program dan membalas mesej tadi.

"InsyaAllah."


.


"Terima kasih atas kehadiran sahabat-sahabat walaupun hujan lebat. Maaf, program ini agak adhoc. Dua hari lepas ada cikgu sekolah ni telefon saya, minta kita buat program untuk pelajar bermasalah tingkatan satu dan dua di sekolah tu."

Semua diam, angguk-angguk.

"Sebenarnya dah kantoi dengan cikgu kes zina antara seorang pelajar perempuan tingkatan satu dengan pelajar lelaki tingkatan dua. Mereka bercerita kepada kawan-kawan, kemudian kawan-kawan bercerita kepada cikgu."

Semua masih diam, terkejut.

"Cikgu mahu kita rangka modul untuk program separuh hari. Kita akan jumpa adik-adik tingkatan satu dan dua yang dikenalpasti bermasalah."

Hari ini Isnin, program akan diadakan pada hari Rabu. Dua hari untuk memerah otak dan merangka modul. Aduh. Lebih bimbang sebenarnya, layakkah kami-kami ini? Entah siapa-siapa, mahu bertemu mereka dan memberi nasihat segala bagai.

Malam sebelum program, fasilitator masih belum cukup. Fasilitator yang sedia ada berbincang mengenai modul. Berbalah tentang itu ini, bersetuju tentang itu ini. Hampir jam 11 malam, perbincangan tamat tetapi modul masih lompang sana sini. Risau.


.


Menjejak kaki di sekolah, rasa gementar tiba-tiba. Dalam hati berdoa supaya dipermudahkan urusan, dilembutkan hati adik-adik. Saya keluarkan telefon bimbit dan merangka beberapa ayat. Mesej dihantar pada mama dan babah untuk memohon doa serta kata-kata semangat. Nafas ditarik panjang-panjang.

Sesi pada tengahari itu dimulakan dengan sesi pengenalan dari guru sekolah.

"Kamu semua berada di sini kerana pencapaian kamu yang sangat 'cemerlang' dalam kes ponteng sekolah, pelajar pemalas, melawan cakap guru, couple dan buat masalah. Kamu ni menyusahkan orang sahaja. Mak bapak kamu susah payah hantar kamu ke sekolah tetapi kamu macam sampah, sudahlah busuk, menyusahkan orang pula. Saya harap kamu semua sedar apa salah kamu selama ini dan berubah."

Sungguh sinis kata-kata guru tersebut. Jangankan adik-adik, saya sendiri terasa malu dan marah apabila diaibkan begitu di depan orang luar. Ahh, baru sesi pengenalan sudah begini. Kasihan adik-adik. Umur 13 dan 14 tahun, apalah sangat salah mereka sehingga dituduh sedemikian. Jika benar sekalipun mereka seteruk yang guru sangka, asalnya salah siapa? Patutkah kata-kata begitu keluar dari mulut seorang guru?

Program berubah tangan kepada fasilitator. Sesi berjalan lancar dengan beberapa permainan dan modul santai. Adik-adik dibahagikan mengikut kumpulan. Saya sendiri mendapat empat orang adik-adik dan diteruskan dengan sesi perkenalan. Sebelum sempat saya habis memperkenalkan diri, salah seorang adik yang comel dengan tahi lalat di bawah bibir berkata "Akak, kiteorang tak puas hati dengan cikgu sekolah ni."

Saya pandang mukanya dalam-dalam. "Kenapa?"

"Cikgu tak adil. Cikgu panggil kami join program ni sebab cikgu kata kami bermasalah padahal ada je budak kelas pandai yang ponteng kelas, hisap rokok, ada jugak yang couple. Yang couple tu siap duduk sebelah-sebelah dalam kelas & selalu pegang tangan. Mentang-mentang kami kelas belakang, kelas bodoh."

"Betul kak, cikgu sekolah ni pilih kasih. Pelajar kelas yang pandai-pandai semua cikgu sayang, layan dengan baik. Kalau dengan kami ni, cikgu panggil bodoh, bengap, sampahlah..ingat kami ni takde perasaan ke? Sebab tu kami malas nak pergi sekolah, masuk je kelas kena marah, kena maki. Bukannya kami tak nak belajar tapi cikgu yang tak nak ajar kami. " Kali ini adik yang paling kecil antara yang empat itu bersuara.

Saya mengangguk perlahan walaupun sebenarnya saya mati kata. Saya tidak menjangka mereka akan begitu lantang menyuarakan rasa hati.

"Awak tau ke sebab apa awak kena panggil hari ini?" Saya mengaju soalan kepada adik bercermin mata.

"Tau, saya kena panggil sebab couple. Boyfriend saya pun kena panggil jugak." dengan bangga dia menjawab.

"Saya pun sebab couple, dia ni sebab selalu ponteng kelas, dia pula sebab selalu cari gaduh. Kalau akak nak tau, muka kami ni memang famous di pejabat sekolah, selalu saja kena panggil dengan pengetua." Adik bertahi lalat bawah bibir menjawab tanpa rasa bersalah.

"Ohh, boyfriend awak pun ada jugak ke hari ini?"

"Takde kak, dia ponteng sekolah kot hari ini."

Dalam hati berdebar-debar kerana modul seterusnya bakal bermula. Modul sharing moment dan luahan perasaan. Mengikut perbincangan modul sebelum ini, fasilitator harus memulakan dahulu sharing moment agar adik-adik lebih selesa bercerita tentang masalah mereka setelah mendengar luahan fasilitator sendiri. Saya mengatur perkataan, membuka cerita tentang diri saya.

Belum sampai dua tiga minit saya bercakap, adik yang bermata sepet bersuara sebak.

"Kalau akak nak tau, saya ni sebenarnya selalu kena belasah dengan mak ayah saya. Kadang-kadang kalau rumah bersepah sikit, ayah saya akan baling kerusi, pukul dengan kayu. Mak saya selalu cakap dia menyesal mengandungkan saya. Dia kata saya anak tak guna, selalu menyusahkan mak bapak. Mak saya selalu pukul saya sebab tak solat tapi mak ayah saya sendiri tak solat, macam mana saya nak solat?" Menangis.

Saya tergamam. "Kenapa sampai macam tu sekali? Adik beradik awak macam mana?"

"Kakak saya pun sama selalu kena belasah. Kakak saya je lah yang selalu pujuk saya kalau saya sedih. Kalau saya sakit, dia je yang jaga saya. Dalam dunia ni, saya ada kakak saya dan boyfriend saya je kak. Boyfriend saya saja yang memahami perasaan saya bila saya sedih kena pukul, kena belasah."

Malam tadi semasa bincang tentang masalah couple adik-adik ini, beberapa orang dari kami sudah sedia dengan hujah couple itu haram, zina hati dan sewaktu dengannya. Dalam situasi adik-adik ini sekarang, bagaimana harus saya kata, "Adik, couple tu haram. Clash dengan boyfriend awak sekarang jugak."  

"Boyfriend awak tau semua masalah awak ni?"

"Mestilah tau kak..sebab tu saya sayang dia. Dia sangat memahami saya, ambil berat tentang saya. Cikgu tak faham kak. Cikgu suruh saya clash dengan boyfriend saya. Cikgu tanya apa yang boleh boyfriend saya bagi pada saya jadi saya jawablah dia boleh dengar masalah saya dan dia faham saya. Cik melenting marah-marah dan cakap kalau nak orang dengar masalah, family kan ada. Cikgu tak tau situasi keluarga saya macam mana kak.." Dia menangis teresak-esak. Saya memeluk bahunya.

Punca masalah couple: kurang perhatian dan kasih sayang keluarga. Wallahi, sudah beberapa kali saya ulang perkara ini dalam hati. Mereka mencari teman lelaki untuk memahami mereka kerana tiada siapa di rumah yang mahu memahami dan mendengar isi hati mereka.
Itu yang sebenarnya.

Saya berhenti mengomel sendirian apabila adik yang paling kecil tadi mula menangis tidak semena-mena.

"Adik, kenapa menangis ni?"

"Sebenarnya kak, sampai sekarang saya tak tahu siapa mak ayah saya.."

"Maksud awak?"

Dia tidak menjawab, malah makin kuat esakannya. Kawan disebelah memujuk dan menenangkannya.

"Saya ada tiga orang mak, tiga orang ayah. Saya tak tahu antara mereka tu siapa mak ayah saya yang betul. Mak saya cakap saya anak luar nikah. Kalau mood mak saya tiba-tiba tak baik & naik angin, dia akan hantar saya duduk dengan mama saya. Kalau mama saya tak suka, mama saya hantar duduk dengan ibu. Adik beradik saya semua benci saya & selalu ejek saya anak luar nikah..akak, saya cuma nak tahu siapa mak ayah saya yang betul je, tapi semua orang tak nak bagi saya jawapan..:

MasyaAllah, sesak jiwa saya. Apa yang harus saya katakan padanya?

Empat puluh lima minit cuma waktu yang diberi. Mata masing-masing sembab dan merah. Puas sudah memujuk dan memeluk bahu. Minit-minit yang terakhir itu saya sudah risau. Sekadar mendengar masalah mereka tidak akan mengubah apa-apa.

"Adik, akak nak tanya sikit boleh?" Empat pasang mata menumpukan perhatian.

"Kalau akak tanya adik, nak tak adik kahwin dengan boyfriend adik sekarang ni, adik nak ke?"

"Ishh, mestilah tak nak kak. Belum habis belajar lagi. Nak kahwin pun takde duit." Jawab adik mata sepet.

"Kalau dah habis belajar?"

Laju adik berkaca mata menggelengkan kepala. Saya bertanya kenapa.

"Tak nak lah kahwin dengan dia..eee.."

"Dah habis tu kalau awak tak nak kahwin dengan dia, kenapa awak couple dengan dia?"

Dia sendiri ketawa dan menjawab, "Entah kak..tapi takkanlah lelaki macam tu saya nak buat suami."

"Ha, kalau dah tau macam tu kenapa couple?"

Dia hanya tersenyum.

"Sekarang adik umur 13 kan? Adik nak kahwin umur berapa?"

"Kalau saya nak kahwin umur 25 kot. Masa tu dah habis belajar, dah dapat kerja, dah boleh beli rumah sendiri.." balas adik bertahi lalat tadi.

"Okay, cuba adik kira. Sekarang umur adik 13, nak kahwin umur 25. Dua belas tahun lagi kan? Adik rasa boyfriend adik sekarang ni sanggup tak couple dengan adik dua belas tahun dan kahwin dengan adik nanti? Ada kemungkinan tak dalam masa dua belas tahun tu dia cari orang lain, adik pun jumpa orang lain?"

Dia diam dan menundukkan muka.

"Erm..mungkin. Entahlah..lama tu kak.."

"Itulah yang akak nak cakap, adik sayang dia, couple dengan dia, tapi belum tentu lagi dia jadi suami adik. Jadi kenapa adik nak habiskan masa & duit adik untuk sesuatu yang tak pasti? Yang pastinya dapat dosa kering je tau.."

Mereka berempat menganggukkan kepala.

"Akak pun tak baik sangat, akak pun banyak buat dosa. Akak tak layak nak suruh adik-adik berubah, tapi akak tak nak adik menyesal lepas ni bila dah terlambat.."


.


Kami bersalaman, berpeluk-pelukan. Nombor telefon dan Facebook bertukar-tukar. Petang itu, kami pegang tangan adik-adik dengan erat membaca doa rabitah.

Penghujung hari, masing-masing masih menunding jari salah siapa. Adik-adik itukah? Atau guru-guru sendiri? Atau mungkin ibu bapa? Wallahualam. Masing-masing punya hujah sendiri. Masing-masing tidak mahu mengalah.

Allah, lembutkanlah hati-hati mereka dan kuatkanlah hati aku juga.


p/s: kredit kepada penganjur program, Gemilang Pasti Management.

3 comments:

Asim Abdullah said...

Pernah juga jadi fasi untuk program yang lebih kurang sama...

Memang kadang2 dalam sekolah-sekolah biasa nie, masalah seperti yang paling kerap dijumpai.

Kenapa bercouple? sebab famili bermasalah..

Sebab itu saya personally say, yang patut ditunding jari terlebih dahulu sebelum yang lain adalah ibu-bapa. Kerana institusi keluarga sangat-sangat rapuh, itu yang anak-anak sendiri hancur.

Kebanyakkan kes seperti mereka ni memang berpunca daripada ibu bapa yang kurang sangat menjalankan tanggungjawab. Dan kebiasaannya mereka menjadikan anak-anak mereka sebagai kambing hitam. Satu penyakit masyarakat yang perlu kita ubati.

Semoga dapat terus santuni adik-adik tersebut agar mereka kembali mengenal Allah.

Ummu Syaheed said...

Allahurabbi.

sayu+sedih sangat baca kisah ni. di saat kuta punya ibu bapa, mereka tidak tahu siapa ibu bapa mereka.

ya Allah, bantulah mereka ya Allah, kurniakan iman di hati mereka agar mereka menjadi pemula untuk memiliki keluarga yang bahagia , sakinah , mawaddan wa rahmah.

peliharalah iman di hati anak-anak suci itu , ya Allah

NORAZLINDA AMIN said...

Saya pernah juga berada di situasi yang sama. jadi fasi program yang sama di sebuah sekolah anjuran Nisa' Tebrau.. Jawapan peserta program pada kami pun sama. Tak puas hati dengan cikgu sebab cikgu selalu pilih kasih. melihat pelajar kelas belakang adalah pelajar yang teruk.

Allah..semoga saya tak jadi cikgu yang macam ni..