30 September 2009

A book that you MUST buy!

Kita beriktiqad dengan mazhab Syafie, tetapi adakah benar solat dan wuduk kita mengikut sunnah dan mazhab syafie?? Betulkah cara kita sujud, rukuk, duduk di antara dua sujud? Jum beli buku ni!



Nama Buku:
WUDUK DAN SOLAT MENURUT SUNNAH DAN MAZHAB SYAFIE

Penulis:
Abu Ruwais asy-Syubrawi

Terbitan:
Karya Bestari

Harga:
RM19.90

Ringkasan:

Mazhab utama pegangan umat Islam di Malaysia adalah Mazhab Syafie. Pengasasnya, iaitu Muhammad bin Idris al-Syafie merupakan seorang yang alim lagi warak terhadap ilmu agama yang diterima dan disampaikan. Sebab itulah beliau mempunyai ramai pengikut. Antaranya umat Islam di Malaysia.

Bagi memantapkan lagi pengetahuan tentang isi kandungan yang terdapat dalam kitab-kitab muktabar mazhab itu, penulis buku ini mengkaji dan mengumpulkan pendapat para ulama bermazhab itu sebagai panduan buat para pengikutnya. Pastinya setelah membaca buku ini, seseorang yang bermazhab Syafie akan dapat beramal dengan penuh yakin.

Buku ini membincangkan tentang solat dan perkara lain yang berkaitan dengan solat seperti wuduk, tayamum, bersuci, sapu khuf, bersugi, najis, jenis air dan sebagainya. Ia diambil daripada berbahasan yang dibuat oleh para ulama bermazhab Syafie seperti Imam Syafie sendiri, al-Muzanni, a-Nawawi, Ibn Katsir, Ibn Hajar dan ramai lagi yang lain.

Mudah-mudahan dengan adanya buku ini, umat Islam yang bermazhab Syafie di Malaysia dapat beramal dengan hujah dan dalil para ulama muktabar mereka. Bukan ikut-ikutan semata-mata.

Wallahu'alam.

25 September 2009

Jamaluddin Al-Afghani: Pejuang Islam Yang Dilupakan


Nama sebenarnya ialah Jamaluddin Bin Safdar tetapi beliau lebih dikenali dengan nama Jamaluddin Al Afghani. Nasabnya sampai kepada Ali Al-Tirmizi, seorang ahli hadith yang terkenal, lalu terus sampai titisannya kepada Saiyidina Hasan Bin Ali Bin Abu Talib. Keluarganya berkuasa dan memerintah sebahagian tanah Afghanistan hingga akhirnya kekuasaan mereka dirampas oleh Raja Muhammad Khan. Kemudian bapanya serta ahli keluarganya pun dipindahkan ke kota Kabul.

Jamaluddin dilahirkan disebuah kampung bersama Asad Abad dalam jajahan negeri Iran pada tahun 1839 Masihi. Menurut cerita, bapanya adalah seorang pegawai tentera Iran. Pada suatu ketika ia dihantar bertugas di sempadan negeri Afghanistan, bapanya tertarik dengan negeri itu lalu bermastautin disana. Semasa kecilnya lagi Jamaluddin telah mendapat didikan agama yang mantap dan sejak kecillagi beliau mempunyai bakat dan kecerdasan otak, pintar dan berpandangan jauh. Pada mulanya beliau belajar tentang ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf dan sastera lalu mengkaji pula ilmu-ilmu syariat seperti tafsir, hadith, feqah, usul fiqh, ilmu kalam, tasauf, sejarah, falsafah, mantik, politik, akhlak, ilmu jiwa, ilmu falak dan teori-teori kedoktoran ilmu kajian tubuh manusia.

Setelah selesai pengajiannya, Jamaluddin pun merantau ke negeri India dan di sanalah beliau belajar ilmu matematik peringkat tinggi mengikut cara dan sistem moden. Pada tahun 1857 Masihi, Jamaluddin telah pergi menunaikan fardu Haji dan tinggal di Hijaz selama setahun. Setelah itu beliau telah merantau ke Baitulmaqdis, dan selepas melawat negeri Iraq dan Iran, beliau pun kembali ke negerinya melalui Baluchistan. Semasa pengembaraannya ke negeri-negeri Islam pada waktu itu Jamaluddin berasa sangat sedih sekali mengenangkan keadaan yang menimpa umat Islam di negeri-negeri yang dilawatinya.


Sekembali ke negerinya, Jamaluddin telah berkhidmat dengan pemerintah kerajaan. Dalam masa pemerintahan inilah kerajaan Inggeris telah memainkan jarum untuk memecah belahkan rakyat dengan rajanya hingga terjadi pelbagai fitnah dan perbalahan diantara keluarga diraja sendiri sehingga akhirnya Mohammad A'azan Khan dapat menguasai kota Kabul dan Jamaluddin dilantik menjadi orang pertama bertanggungjawab menasihatkan pemerintah Mohammad A'azam Khan.

Dengan sebab fitnah dan usaha jahat yang dilakukan oleh Inggeris itu telah menjadikan Jamaluddin sangat benci terhadap kerajaan Inggeris lalu beliau menyeru kaum Muslimin supaya bangkit menentang penjajahan Inggeris hingga dapat diusir keluar dari negeri-negeri Islam yang didudukinya. Walaupun dengan berbagai tipu helahnya pihak Inggeris berjaya juga mencetuskan pergaduhan di antara keluarga diraja serta membeli ketua-ketua kabilah, memberi rasuah agar menkhianati Mohammad A'azam.

Akhirnya Pemerintah Muhammad A'azam mengalah lalu lari ke negeri Iran dan meninggal di kota Naisaboor tidak lama kemudiannya. Walaupun Jamaluddin tidak ikut sama melarikan diri tetapi akhirnya beliau membuat keputusan untuk keluar meninggalkan tanah airnya kerana merasakan dirinya tidak selamat dengan tipu-helah pemerintah. Jamaluddin tidak menetap di sebuah negeri sahaja bahkan beliau berpindah-pindah menyebarkan seruan dan pengajarannya ke mana sahaja beliau pergi. Beliau telah melawat negara-negara Arab, Mesir, Turki, Iran, Iraq, negeri Eropah, Rusia, England dan dari Paris hingga ke Amerika. Jamaluddin juga telah menulis pelbagai masalah dan krisis di majalah-majalah dan surat-surat khabar di negeri-negeri Arab dan Eropah. Beliau fasih dan petah berbahasa Arab, Parsi, Turki, Inggeris, Perancis dan Rusia hingga menyebabkan beliau mudah bercampur gaul dengan ahli-ahli fikir dan tokoh-tokoh sastera, falsafah dan politik ditimur dan dibarat.

Pengalaman, pemikiran serta keahliannya itulah yang menjadikan diri beliau sebagai seorang tokoh besar dunia diwaktu itu. Ketika beliau berada di Mesir, beliau telah bertugas di Universiti Al Azhar. Disebabkan pengaruhnya yang mendalam serta pengalamannya yang sangat meluas, kuliah-kuliah syarahannya telah mendapat sambutan yang hangat dari golongan cerdik pandai. Di mana tempat pun beliau memberi syarahannya maka orang ramai akan datang membanjiri tempat itu. Bidasannya yang tajam dan hebat terhadap pihak kuasa Barat telah menyebabkan pihak Khedive Mesir berasa curiga terhadap beliau hingga akhirnya Jamaluddin telah diusir keluar dari bumi Mesir.


Dari Mesir, Jamaluddin AI Afghani telah pergi pula ke negeri Turki dimana tokoh-tokoh terkemuka di sana sangat terpengaruh oleh pengajaran-pengajarannya. Pada tahun 1871 beliau sekali lagi telah kembali ke negeri Mesir lalu menghabiskan masanya bagi membangkitkan semula kegemilangan umat Islam dan ajaran-ajarannya. Tidak lama selepas itu beliau telah mengkhidmatkan dirinya dalam kerja?-kerja kebajikan dan pendidikan. Beliau telah menggesa pihak yang berkenaan supaya bukan sahaja mengiktirafkan bahasa Urdu sebagai bahasa pengantar dalam pentadbiran pemerintah bahkan juga untuk menjadikannya sebagai bahasa rasmi negara. Akibat dari keberaniannya itu beliau telah ditangkap lalu dihantar ke Culcutta. Dari sana Jamaluddin telah belayar pula ke England. Tetapi tidak lama kemudian beliau telah menyeberang Selat Inggeris lalu tiba ke negeri Perancis.

Dikota Paris, Jamaluddin telah mengasaskan Badan "Pertubuhan Alurvatul Vusuka" lalu menerbitkan sebuah akhbar mingguan dalam bahasa Arab yang bertujuan untuk mengobarkan gerakan Pan-Islamisme. Fahaman yang hendak ditanamkan oleh AI Afghani melalui akhbar itu ialah seluruh negara-negara Asia umumnya dan Islam khususnya akan menjadi mangsa penjajahan Barat satu demi satu kecuali mereka mengorak langkah untuk menyatukan tenaga untuk mengalahkan cita-cita mereka yang jahat itu.

Dari kota Paris Jamaluddin Al Afghani telah ke Moscow dan kemudian ke bandar St.Petersburg dimana beliau telah tinggal lebih dari empat tahun. Di sana beliau telah berjaya memujuk Maharaja Czar Russia bagi membenarkan rakyatnya yang beragama Islam supaya menerbitkan serta menggunakan Kitab Al Qur'an dengan bebas serta juga buku-buku agama yang lain. Al Afghani telah menekankan satu hakikat bahawa keteguhan sesebuah negara tidak bergantung kepada tenteranya bahkan kepada semangat rakyatnya, akhlak mereka serta keteguhan perpaduan mereka.


Pemikiran pembaharuan al-Afghani didasarkan atas keyakinan bahawa Islam adalah agama yang sesuai untuk semua bangsa, semua zaman, dan semua keadaan. Jika kelihatan ada pertentangan antara ajaran Islam dengan situasi yang dibawa perubahan zaman dan keadaan, penyesuaian dapat diperoleh dengan mengadakan interpretasi baru atas ajaran Islam yang tercantum dalam al-Quran dan hadis. Untuk interpretasi itu, diperlukan ijtihad. Oleh yang demikian itu, pintu ijtihad harus terbuka. Menurut beliau, umat Islam mundur kerana telah meninggalkan ajaran Islam yang sejati. Beliau mengambil contoh fahaman terhadap qada dan qadar. Pada masa silam, fahaman ini memupuk keberanian dan kesabaran dalam jiwa umat Islam. Sebab-sebab kemunduran umat Islam di bidang politik pula, menurut beliau, ialah munculnya perpecahan yang terdapat di kalangan umat Islam, pemerintahan yang zalim, mengabaikan pertahanan tentera serta adanya campur tangan asing.

Jalan untuk memperbaiki keadaan umat Islam menurut beliau adalah dengan melenyapkan salah faham yang dianut oleh umat Islam menerusi cara kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Corak kepimpinan otokrasi perlu diubah menjadi demokrasi. Persatuan (kesatuan) dan kerjasama adalah sendi yang amat penting dalam Islam.

Pejuang Islam yang gigih lagi dinamik ini telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dibandar Konstantinople, iaitu kota Istanbul sekarang pada 9 haribulan Mac 1897. Semoga Allah s.w.t mencucuri RahmatNya keatas rohnya dan menerima segala amalnya yang soleh. Begitulah tokoh yang menanamkan satu benih yang cukup subur dalam jiwa umat Islam supaya berjiwa merdeka menentang dan berhadapan musuh-musuh Allah.

Wallahu'alam.

18 September 2009

Tok Bibi

A change of plan

"Ina, dah sampai kat mana dah ni?"

"Erm..tak tau lah bah. Ina tertidur, jap. Ina kat Linggi."

"Okay, macam ni, nanti Ina turun kat stesen KTM Serdang boleh? Tok Bibi's condition is pretty bad. Nanti bah fetch Ina and we'll go straight to Hospital Serdang. Mungkin tak jadi balik Penang malam ni."

"Okay..nanti dah nak sampai Ina mesej."


Tok Bibi through my eyes
Tok Bibi sangat lemah lembut. Susah nak dengar Tok Bibi tinggikan suara dan marah tak tentu pasal. Masa aku di sekolah rendah dulu, Tok Bibi suka bercerita tentang zaman kanak-kanaknya. Tok Bibi anak hakim negeri di Kedah. Jadi kehidupan Tok Bibi banyak berlegar di perkarangan istana, menghadap Sultan dan berprotokol. Setiap kali Tok Bibi bercerita, aku akan mendengar dengan penuh minat. Kesahihan cerita-serita Tok Bibi? Aku pun tak tau..Babah sendiri pun tak tau. Yang aku tau, Tok Bibi memang suka bercerita.

Memori yang paling vivid tentang Tok Bibi adalah sekitar zaman sekolah rendahku. Mungkin kerana pada masa itu Tok Bibi masih boleh berjalan dan sihat walaupun sakit belakang. Tok Bibi sering datang ke rumah kami di Kuala Lumpur untuk menghadiri medical check up di HUKM.

Dua perkara yang pernah Tok Bibi ajarkan kepadaku dan aku ingat sampai sekarang adalah menjahit dan memasak dadih. Kali pertama aku memegang jarum dan benang adalah kerana menjahit butang baju. Tok Bibi dengan sabar mengajarku satu persatu. Begitu juga dengan memasak dadih. Tok Bibi membacakan resepi yang dihafalnya dan memberi arahan, sementara aku kelam kabut di dapur. Aku yang masih kanak-kanak dan tidaklah tinggi mana pun masa itu terpaksa memanjat kerusi untuk mengacau dadih.


A sad view: 17 Sept 09 // 27 Ramadhan 1430H

Setelah tiba di wad 7B, kelihatan mama sedang membaca Yassin sambil menangis. Air mata yang sama yang menangisi pemergian Tok Ayah Disember lalu. Pandanganku beralih kepada Ngah, adik babah. Aku menghampiri Ngah dalam menyalaminya lalu memeluk tubuh Ngah dengan erat. Ngah menangis. Aku melihat sekujur tubuh yang terbaring di atas katil. Tok Bibi kelihatan sangat lemah. Apa yang lebih menyedihkan adalah melihat wayar dan tiub yang berselirat di tubuh tua itu. Tok Bibi kelihatan tercungap-cungap untuk bernafas walaupun sudah dipakaikan alat bantuan pernafasan.


Tidak lama kemudian, dua orang lelaki berkot putih menghampiri katil Tok Bibi. Salah seorang doktor itu berbual serius dengan babah, mama dan Ngah.

"Looking at her condition now, her breathing is getting worse. She's not breathing through her lungs anymore, she's breathing through her throat.

"All that I can say is that she won't last long. I don't know, maybe today or tonight. I'm sorry. You should call your family members and ask them to come. If you want to take her back home, it's up to you. We respect your decision."

Babah, mama dan Ngah berpandangan sesama sendiri. Mata Ngah berair lagi. Babah mencapai telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga lain. Menjelang petang, sudah ramai ahli keluarga dan sahabat-sahabat terdekat yang datang melawat Tok Bibi. Pak Su dan Mak Su datang bersama Hassan Nur dan Hidayah, sepupuku. Lamanya tak berjumpa sehingga aku hampir tidak mengenali mereka. Mujur Hidayah tidak banyak berubah, cuma semakin tinggi sahaja. Anak-anak Ngah - Kak Nabila, Kak Alia, Efah dan Ena turut berada di situ.


Tok Sahak, suami Tok Bibi sudah melewati usianya dan tidak lagi mengingati Tok Bibi. Sedihnya melihat Tok Sahak dan Tok Bibi yang dahulunya saling menyayangi, kini tidak lagi mengenali antara satu sama lain. Tok Sahak hanya mengenali babah.


Masa yang merangkak menghampiri waktu berbuka puasa memaksa kami pulang ke rumah dengan berat. Hanya Ngah, Enah dan Kak Rokiah yang tinggal untuk menjaga Tok Bibi.


An Ending: 18 Sept 09 // 28 Ramadhan 1430H

"Ina, cepat siap. Tok Bibi dah meninggal."

"Hah?"

"Suruh Abg Khairul & Abg Khairil siap. Jap lagi Ayie balik umah. We'll meet you at the hospital. Bah & ma ada kat Ampang ni."

_________________________________________________________________________




Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (Al Jumu'ah:8)


Ya Allah,
Sekiranya Kau mentakdirkan aku mati,

Maka matikanlah aku sebagai para shuhada dalam perjuangan agamaMu.

Matikanlah aku disaat aku benar-benar cinta kepada Mu.

Matikanlah aku disaat aku benar-benar beriman kepada Mu.


Ya Allah,

Sekiranya Kau mentakdirkan kematian untuk aku,

Berilah aku peringatan agar aku sempat bertaubat.

Berikanlah aku petanda agar aku bersedia.

Ya Allah,
Apabila aku mati kelak,
Mudahkanlah urusan jenazahku.

Janganlah kau matikan aku di dalam keaiban.

Aminn..


Wallahu'alam.


09 September 2009

Persoalan Tentang Puasa Tapi Anda Malu Bertanya


Tentatif program:

11/09/09 (Jumaat)
(12-00-2.00) pm : Ceramah Persoalan PUASA tapi anda malu bertanya
(Ustz Farahwahida). L50-DK2
(9.45-11.30) pm : Tazkirah
(Ustazah Naimah). ARAS 2 (MSI)

12/09/09 (Sabtu)
ARAS 2 (MSI)
(4-00-7.00) am : Qiamullail
Sahur, Kuliah Subuh.

Jum pegi ramai2!

06 September 2009

Nuzul Quran dan Lailatul Qadar

Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.



Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)


Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.


Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.


Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.



Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatul Qadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatul Qadar itu adalah malam 27 Ramadhan.

Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.


Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah.

Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan.


Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).


Wallahu'alam.