KRP UTM, 22 Julai- Sayu hati seluruh warga JKM KRP apabila mendapat berita yang sungguh menyedihkan ini. Sungguh tidak disangka-sangka saudari Nur Amalina binti Mazlan, Timbalan Ketua Biro Keusahawanan JKM KRP yang sentiasa ceria, hari ini telah menerima satu dugaan hebat melalui berita kematian ayahandanya yang tercinta.
Kami dimaklumkan bapa Amalina telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kuala Terengganu petang tadi. Semasa kejadian, bapa beliau sedang menaiki motosikal. Mangsa telah bertembung dengan sebuah kereta dan mengalami kecederaan parah di kepala.
Sementara itu, En Syamsul Hendra b. Mahmud, Felo Penasihat JKM KRP telah menguruskan perjalan pulang saudari Amalina ke kampung halaman di Terengganu. Saudari Amalina telah bertolak pulang dari Kolej pada jam 8.40 pm menggunakan kenderaan Fortuner HEP A dan ditemani empat orang sahabat JKM. Beliau dijangka tiba di Terengganu pada jam 4 pagi nanti.
Namun, ibu saudari Amalina memaklumkan bahawa jenazah mangsa akan dikebumikan pada malam ini juga atas nasihat Doktor. Saudari Amalina dijangka tidak sempat untuk menatap wajah mangsa.
Takziah diucapkan kepada saudari Amalina sekeluarga.
Penceramah: Ust. Dr. Abdurrahman bin Hamzah (PPIPS, UTM)
* Pihak penganjur ingin memohon maaf di atas pertembungan program ceramah Isra' Mikraj di Kolej Tun Razak. Pihak penganjur tidak dapat menukar tarikh program kerana Dewan Seri Meranti telah di fully booked untuk gerak kerja SUKAM.
Sedikit perkongsian ilmu daripada ceramah Isra' Mikraj di Dewan Senat, UTM oleh Ustaz Hanafiah bin Abd Razak daripada Jabatan Mufti Johor. Disebabkan ceramah tersebut diadakan pada pagi Jumaat, ramai mahasiswa tidak dapat hadir kerana pertembungan jadual kuliah. Rata-rata yang hadir ke ceramah ini merupakan staf-staf HEP dan pensyarah-pensyarah UTM. Turut bersama merupakan Yang Berbahagia ayahanda Naib Canselor UTM, Dato' Prof. Ir. Dr. Zaini bin Ujang.
Isra' dan Mikraj merupakan suatu peristiwa paling agung yang berlaku di bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah. Umat Islam wajip mempercayai dengan penuh keyakinan peristiwa itu. Peristiwa bersejarah itu diabadikan dalam al-Quran mengandungi hikmah amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah mencipta alam ini dan membenarkan lagi kerasulan Muhammad s.a.w.
Ia peristiwa sangat luar biasa, mencabar pemikiran manusia seisi alam kerana berlaku di luar pencapaian pancaindera biasa manusia, namun bagi golongan beriman tetap yakin dengannya kerana ia bukti kuasa Allah. Dalam Islam, ulama mencapai kata sepakat sesiapa yang meragui atau tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj hukumnya kafir.
“Maha suci Allah yang membawa hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa di Palestin yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang amat mengetahuinya.” (Maksud surah al-Isra':1)
Tetapi bagaimana bagi mereka yang sangsi atau tidak mempercayainya langsung, malah menganggap ia satu kisah dongeng, seperti golongan yang kufur dengan nikmat Allah?
Hadis-hadis ada menceritakan tentang beberapa kejadian yang dialami Rasulullah s.a.w dan kejadian aneh bermula sebelum melalui perjalanan Israk dan Mikraj lagi. Baginda mengalami pembedahan dada, hati Baginda dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah), kemudian dijahit kembali dadanya dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah.”
Selesai pembedahan, didatangkan haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan 'Israk' dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.
Tiba di tempat tertentu Rasulullah diarah oleh Jibril supaya berhenti dan bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s. dilahirkan). Di Baitul-Laham, Rasulullah melihat 18 golongan manusia yang melakukan dosa. Dalam perjalanan itu juga Baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Afrit dan menyaksikan golongan yang sedang bertanam, terus menuaikan hasil tanaman.
Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan memakan daging mentah berbau busuk. Baginda melihat pembalasan akhirat bagi dosa-dosa yang dilakukan oleh 18 golongan manusia yang dilihat di Baitul-Laham.
Ketika Mikraj (ke Hadhratul Qudus menemui Allah) Baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah s.a.w. dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Baginda dinaikkan ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam, yang kemudiannya dipendekkkan kepada lima waktu saja.
Ust. Hanafiah mengulas tentang hal ini. Ditanya "kenapa ending nya perintah solat 5 waktu?". Ini menunjukkan bahawa penyelesaian kepada 18 keadaan manusia yang berdosa itu adalah solat 5 waktu, sehari semalam. SubhanAllah.
Bagi yang mengerti, kebenaran peristiwa itu tidak perlu dipersoalkan kerana maksud Maha Suci Allah seperti pada ayat 1 surah al-Isra' menunjukkan kuasa Allah mengatasi segala-galanya.
Tergerak hati ana untuk berkongsi kisah seorang gadis bernama Natrah. Bagaimana suatu ketika dahulu umat Islam di hampir seluruh pelusuk dunia bangkit untuk memprotes isu paksaan murtad ini. Lain pula kini, apabila semakin ramai umat Islam murtad tanpa paksaan. Marilah kita imbau kembali rusuhan Natrah..kembalikanlah semangat untuk memperjuangkan Islam. Mungkin ramai generasi muda yang tidak berapa tahu tentang Rusuhan Natrah. Ini adalah kerana kisah menyayat hati ini tak begitu 'diangkat' di dalam buku sejarah sekolah-sekolah. Kalau ada pun material berbentuk buku atau penulisan, ia ada dizahirkan dalam bentuk novel seperti Tragedi Nadra (Haja Maideen), Mortal Flower (Han Suyin), Voices Of Asia (James Michener) dan A Salute To Singapore. Namun yang paling diingati sudah tentu penyelidikan dan penulisan bekas wartawan Dewan Masyarakat (kini Karyawan Tamu UTM), Datin Fatini Yaacob yang mengkaji kisah berkenaan sehingga membawanya bertemu dengan Natrah di Belanda tidak lama dulu dari segi visual pula, bekas Pengerusi Utusan Malaysia Tan Sri Kamarul Ariffin pernah menerbitkan filem Jasmin 1 (1984) dan Jasmin 2 (1986), filem yang berdasarkan kisah sebenar Natrah
Mungkin juga kerana sensitiviti masyarakat Malaysia terhadap isu perkauman dan agama. Isu ini hampir juga berulang tempoh hari apabila Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dato' Seri Najib hampir gagal menanganinya tempoh hari. Kabinet sebelum ini memutuskan apabila suami atau isteri memeluk agama Islam atau agama lain, status agama anak pasangan itu kekal mengikut kepercayaan pasangan berkenaan semasa mereka berkahwin. Keputusan ini telah menyaksikan protes yang hebat di seluruh negara.
Berbalik kepada cerita Natrah, kisahnya menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda. Kisahnya bermula apabila Natrah pada 24 Mac 1937, Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh.
Disember 1942 ,Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman , Terengganu . Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
15 November 1945, Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
12 April 1950, Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
22 Mei 1950 ,Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura
24 April 1950 ,Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill,Singapura
28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
Natrah sewaktu perbicaraan di Mahkamah Singapura
19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura.
28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam ,perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhammad, Siti Aisyah.
Natrah bersama suaminya, Mansor Adabi dan ibu angkatnya, Che Aminah.
Namun begitu, undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin.
2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian.
Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungannya di Belanda, setelah itu dia di Kristiankan semula dengan nama Bertha Hertogh
Natrah Akhirnya Di Kristiankan semula
Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.
Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British Yang membabitkan banyak pertubuhan NGO dan Pemuda Hizbul Muslimin(HM), sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.Ramai juga yang di tahan antaranya ialah Allahyarham Dr.Burhannudin Al-Helmy bekas yang Di Pertua PAS(Parti Islam Se-malaysia)
Atas Tindakan Mahkamah itu telah mencetuskan Pemberontakan Natrah
Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya ketika itu.13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM. Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh.
Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom ?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu. Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.
25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah
20 Julai 1953 Surat Natrah kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi. 1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri. Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Natrah ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
20 April 1956 Natrah berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
15 Februari 1957 Natrah bersalin anak lelaki pertama. Natrah mendapat 10 orang anak iaitu Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline , Hands dan Paul.
20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah menceritakan dia sudah berkeluarga. 3 Februari 1959 Surat Natrah kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Natrah dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Natrah, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Natrah telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
16 Ogos 1976 Natrah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt . Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Natrah dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Natrah ditangkap.
26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
1983 Natrah bercerai dengan Tom Ballermans
1984 Natrah masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
15 September 1984 Natrah meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga ...? Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
Natrah kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Natrah hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.
Natrah pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda. Sejak dihantar pulang ke Belanda, dia menempuh pelbagai dugaan demi dugaan dalam hidupnya.
Kini Natrah sudah pergi buat selama-lamanya, beliau akhirnya meninggal dunia akibat menderita penyakit leukemia di rumahnya di Huijbergen, Belanda dalam usia 72 tahun. Yang paling menyedihkan, Natrah meninggal dunia dalam keadaan bukan beragama Islam..semoga Allah mengasihi hamba-hambaNya.
Maaf, lama tak update blog ni..komitmen terhadap *JKM, *MHS dan akademik menyebabkan ruang untuk blogging terhad buat sementara waktu. Komitmen terhadap dakwah? Huh..malu rasanya untuk mengaku sebagai dai'e sedangkan diri sendiri masih belum 100% memberi komitmen untuk mengamalkan amar makruf nahi mungkar..
Entry kali ni, ingin saya kongsikan petikan dari sebuah buku. Al-Tahtawi menjelaskan dalam kitabnya Fathu al-Mannan Bi Ahkam al-Jan, gambaran penguasaan syaitan ke dalam hati manusia digambarkan menerusi bandingan berikut:
"Hati laksana benteng, benteng itu berpagar, dan pagar itu mempunyai pintu. Penghuni di dalamnya ialah akal. Para malaikat sering berjaga di kawasan benteng itu. Tetapi di situ juga ada tempat bersembunyi yang akan didatangi oleh syaitan.
Peperangan sentiasa berlaku antara penghuni kota iaitu akal dan syaitan berserta gurkhanya iaitu nafsu. Syaitan tak pernah berhenti mencari helah dan waktu untuk menyerang. Maka penjaga hendaknya mengetahui berapa bilangan pintu kota dan bagaimana menangani kemaraan musuh.
Kota ini akan diterangi dengan zikir yang diamalkan, menjadikan padanya cermin yang akan menerbalikkan imej setiap yang melaluinya. Maka syaitan dan tenteranya akan berusaha mencari helah, antaranya dengan mewujudkan kepulan asap. Asap yang akan menggelapkan suasana hingga pengawal tidak nampak apa yang berlaku.
Asap ini juga turut melekat pada cermin yang mengakibatkan kita tidak nampak imej yang sebenarnya. Istiqamah dengan zikir mampu membersihkan cermin menjadikannya reflektif semula. Demikianlah pertarungan sengit yang sentiasa berlaku dalam diri kita.
Semakin kuat keimanan, semakin dasyat cabaran yang harus ditempuhi. Kadangkala angin kencang bertiup menyemarakkan asap nyalaan iblis hingga para penjaga terlepas musuh masuk ke dalam mempengaruhi penghuninya iaitu akal."
Begitulah analogi bagaimana hati manusia ditakluk oleh syaitan..kita sedang berada dalam arena peperangan yang dasyat dan senjata utama umat Islam adalah solat dan bangun malam. Istiqamahlah dalam perjuangan..