18 April 2013

Pilih Kasih

Hari ini, dua tahun lalu. 




Di tepi Tasik UTM, tangan tak henti mencicah sambal keropok lekor. Waktu begini biasanya ramai umat manusia berlari-larian, berdua-duaan, bermanja-manjaan. Tetapi petang ini tidak seperti biasa. Hanya dua tiga sosok kelihatan. Malas rasanya mahu meneka kemana agaknya umat manusia lain. 

Keropok lekor yang masih panas disuap ke mulut. Mata melilau mencari kura-kura di dalam tasik. 

"Kina, orang yang pilih kasih rugi tau."

Orang disebelah tiba-tiba bersuara. Saya pandang kearah suara itu mengharapkan penjelasan tetapi dia diam. Saya kembali mencari kura-kura. Kalau tak silap saya sebelum ini ada banyak juga kura-kura disini. Hari ini mungkin kura-kura merajuk kerana tiada yang memberi mereka makan roti. 'Ahh, lupa pula nak bawa tadi.'

"Kina, kau dengar tak ni? Orang yang pilih kasih rugi."

Kali ini nadanya lebih tegas. 

"Dengar." 

"Tak nak tanya kenapa?"

Cehh. Sudah gaharu cendana pula. Mestilah saya nak tahu. Kalau saya tak nak tahu pun mesti dia mahu saya tahu bukan? Jika tidak masakan dia menyebut soal itu buat kali kedua.

"Kenapa?"

"Orang yang pilih kasih itu, bangun Subuhnya tidak bergosok gigi, tidak berbasuh tahi mata. Terus sahaja mengambil wuduk dan menghadap Allah."

Saya cuba mengaitkan apa yang dia sebut tadi dengan istilah pilih kasih. Saya keliru. Malas mahu mentafsir, mata kembali mencari kura-kura yang masih belum muncul.

"Kina, faham tak ni?"

"Tak faham. Apa maksud kau?"

Dia ulang kembali.

"Orang yang pilih kasih itu, bangun Subuhnya tidak bergosok gigi, tidak berbasuh tahi mata. Terus sahaja mengambil wuduk dan menghadap Allah walaupun mulut busuk bersisa air liur basi. Sedangkan jika dia mahu keluar berjumpa dengan teman-teman, baju yang cantik-cantik dipilih, wangian dipakai, muka berbedak. Kau faham maksud aku?"

Saya pandang wajahnya dalam-dalam. Dari tadi lagi dia cuba menyampaikan rasa hatinya tetapi saya terlalu sibuk mencari makhluk Allah berwarna hijau bercangkerang. Kali ini fokus saya pada orang sebelah tidak berbelah bahagi. 

"Kau mahu bandingkan orang yang pilih kasih antara Allah dan manusia?"

"Ya."

"Apa lagi yang kau fikirkan?"

"Orang yang pilih kasih itu, jika solat telekungnya bertompok-tompok tahi lalat dan berbau masam. Kain telekungnya lusuh dan kekuningan. Tetapi jika dia keluar bersama teman-temannya, fesyen tudung dan baju sentiasa up to date. Baju yang lusuh tidak lagi dipakai kerana malu dengan teman-teman."

Saya sekadar mengangguk.

"Orang yang pilih kasih itu,  bersungguh-sungguh menelaah pelajaran lagi-lagi waktu peperiksaan, tetapi apabila azan berkumandang masih menghadap buku. Bukankah kejayaan dan kebijaksanaan itu milik Allah? Jika dia tidak mampu mengutamakan Allah ketika belajar, bagaimana Allah mahu memberkati apa yang dia pelajari?"

Kata-katanya menjejak ke hati. 

Dia menghulurkan keropok lekor terakhir. "Nah, makanlah. Dari tadi kau termenung je."

Saya menyambut huluran keropok lekor. Mata menangkap suatu pergerakan berhampiran kawasan kami duduk. Makhluk Tuhan berwarna hijau bercangkerang. Diam-diam saya berbisik pada makhluk hijau, "Kau pernah pilih kasih dengan Allah tak?"

"Kau cakap apa tadi Kina?"

"Ehh, takde apa."

Dia memandang saya pelik. 



.




p/s: Kepada kamu, terima kasih diatas 'usrah keropok lekor' kita. :)