25 April 2012

Tentang Perkahwinan

Entri ini dikhuatiri menyebabkan masalah hati yang kronik bagi mereka yang masih bujang. Oleh itu, entri ini tidak sesuai untuk mereka yang kemaruk mahu berkahwin tetapi tidak boleh berkahwin dalam masa terdekat. Pembacaan lanjut adalah dibawah tanggungan risiko sendiri.


Realiti hubungan

Beberapa hari lalu, saya terjumpa sebuah filem pendek di Youtube yang telah ditonton sebanyak 9, 449, 913 kali. Sembilan juta bukanlah statistik yang biasa kita jumpa untuk video-video picisan yang selalunya ada di Youtube. Rupanya filem pendek itu berkisar tentang suatu hubungan yang lazimnya akan melalui 7 fasa.


Perlu diingatkan, filem ini memberikan contoh hubungan antara dua orang yang masih belum berkahwin dan filem ini bukanlah genre Islamik. Kita akan kaitkan dengan contoh hubungan perkahwinan pula.

Fasa 1: Jumpa - Pertama kali berjumpa sehingga tempoh bertunang
Fasa 2: Baru berkahwin – Tempoh berkenalan dengan lebih mendalam
Fasa 3: Bulan madu – Kemaruk bercinta dan berjanji sehidup semati
Fasa 4: Selesa -  Keadaan terlalu selesa dan kurang menarik
Fasa 5: Jarak – Salah faham, tidak berusaha untuk memahami antara satu sama lain
Fasa 6: Jatuh  - Bergaduh, tidak berkomunikasi, tidak dapat menyelesaikan masalah
Fasa 7: Antara dua - bercerai atau perbaiki?

Setuju atau tidak, kebanyakkan (bukan semua) hubungan akan menjadi sebegini? Apabila hubungan memasuki Fasa ke-4, kita perlu berjaga-jaga. Jika di awal perkahwinan isteri selalu berpakaian cantik dan wangi di depan suami, selepas anak ketiga dilahirkan, isteri hanya berkain batik, bersanggul dan bertempek bedak sejuk. Jika di awal perkahwinan tumpuan hanya pada suami, selepas beberapa tahun tumpuan hanya pada anak-anak.  Makanya, masing-masing perlu berusaha mencari semula 'spark' antara satu sama lain. Jika tidak, kita akan perlahan-lahan memasuki Fasa ke-5 dan ke-6.

Secara jujurnya, mungkin topik ini tidak sesuai untuk saya ulaskan, lebih-lebih lagi kerana saya sendiri masih belum berkahwin. Tetapi saya hanya mahu membandingkan situasi yang kebanyakkan ini dengan situasi minoriti yang ada.


Minoriti yang bahagia

Hujung minggu lalu, Allah pertemukan saya dengan seorang insan yang membuat saya kagum dan meragui persepsi 7 Fasa dalam kebanyakkan hubungan. Allah pertemukan saya dengan dengan Kak Mis. Pertama kali melihatnya, saya menjangkakan umurnya lewat 20-an. Tubuhnya kecil dan genit, gayanya sempoi dengan t-shirt labuh dan seluar slack. Kak Mis merupakan seorang guru PASTI dan juga membuka nurseri di rumahnya.
  

"Ini bukan isteri saya, ini anak sulung saya," gurau En. Zaidi, suami Kak Mis.

Memang benar, jika dilihat sendiri, Kak Mis kelihatan muda, hyperactive dan keanak-anakkan. Jika berjalan seiring dengan suaminya, pasti ramai yang tidak percaya mereka adalah suami isteri. Bukan itu sahaja, pasti ramai tidak percaya mereka telahpun 17 tahun berkahwin! Ya, 17 tahun! Umur Kak Mis sudah mencecah 38 tahun dan anak sulungnya sudah pun 14 tahun.

"Kina, akak nak ambil gambar di atas sana tu. Awak tolong ambil gambar akak ye," Kak Mis menunjuk ke arah sebuah pondok di atas pokok sambil tersenyum lebar. Biar betul Kak Mis ni?

"Abang, jom kita panjat atas tu! Jomlah abang." Kak Mis memanggil En. Zaidi.





Kami yang masih bujang ini bergelak ketawa melihat keletah mereka. Masakan tidak, mereka tidak ubah seperti pasangan yang baru berkahwin dan bercinta. MasyaAllah.

"Zaman akak kahwin dulu-dulu manalah nak ada outdoor photography tu semua. Jadi sekarang ni barulah nak merasa. Bila lagi kan?" Tersenyum.

Sambung Kak Mis lagi, "Kalau Kina nak tahu, inilah namanya hikmah bercinta selepas kahwin. Kita tidak akan pernah rasa puas berkenalan antara satu sama lain."

Kata Kak Mis, dia dan suami kenal dan berkahwin bukanlah melalui Baitul Muslim. Walaupun tidak sama fikrah pada awalnya, mereka cepat serasi dan belajar untuk menerima masing-masing seadanya. Saling melengkapi. Kak Mis banyak berkongsi buah fikiran dan pandangan mengenai Baitul Muslim. Katanya paling penting dalam rumahtangga adalah sikap toleransi dan jangan mengharap pada kesempurnaan. Dalam rumah tangga, pasti ada pasang surutmya. Tetapi dengan bertoleransi dan tidak mengharap pada kesempurnaan, insyaAllah setiap masalah dapat ditangani dengan baik.

Bercerita tentang Kak Mis, kenalannya Cik Yati menambah, "Haritu akak singgah rumah Mis. Akak nampak Zaidi mandikan budak-budak nurseri. Ada sekali tu akak datang, Zaidi tengah dodoikan budak sambil tersengguk-sengguk. Bagus Zaidi tu, tak berkira kalau nak buat kerja remeh-temeh macam tu."

MasyaAllah, masyaAllah.

Dari kisah Kak Mis, entri ini bukanlah untuk membuat sahabat-sahabat yang masih bujang berangan ke langit dan menambah masalah hati. Entri ini sebagai renungan dan muhasabah kepada kita yang masih bujang supaya berusaha menjadi minoriti yang bahagia hingga ke tua dan bukannya kebanyakkan yang merana hingga ke tua.

Bagaimana caranya?

1. Lihatlah hikmah bercinta selepas berkahwin dan elakkanlah bercinta mati-matian sebelum kahwin.
2. Janganlah terlalu mengharap kepada kesempurnaan dan terimalah kelemahan masing-masing.
3. Paling penting, raihlah cinta Allah dan Rasul sebelum meraih cinta manusia.


Soal mengharap kesempurnaan

'Jika mahu yang sempurna, jadilah orang yang berusaha ke arah kesempurnaan dahulu'.

Ramai sungguh umat manusia yang melaungkan ayat retorik di atas. Seringkali kita meletakkan expectation yang menggunung untuk mencari pasangan hidup kita tetapi berapa ramai yang benar-benar muhasabah diri untuk membaiki kelemahan? Jika kita terlalu meletakkan kesempurnaan atau kelebihan sebagai asbab mengahwini  seseorang, maka perasaan itu akan berubah menjadi kekecewaan apabila hilang kelebihan pada dirinya.

Apabila kita sedar bahawa kesempurnaan pada pasangan itu tidak wujud selepas berkahwin, pada masa itulah mulanya Fasa ke-4, kemudian Fasa ke-5 dan ke-6, dan pada Fasa ke-7, bergoyanglah Arasy Allah apabila pasangan bercerai. Naudzubillah.  


Kisah ahli jemaah

Masih ramai ahli jemaah yang berpendirian untuk mencari pasangan hidup yang mempunyai fikrah sama dan melalui pakej tarbiyah yang lengkap. Alasan mereka, jika sama fikrah pasti lebih mudah bergerak kerja. Pasti akan lebih mudah serasi kerana proses tarbiyah yang sama. Pasti akan bercinta hingga ke syurga kerana mudah memahami. Sehinggakan ada ahli jemaah meletakkan Key Performance Index (KPI) bagi mencari calon suami atau isteri 'sempurna'.

1. Qiamullail setiap hari
2. Pandai mengaji dan bertaranum
3. Tudung labuh bulat
4. Berserban, minium berkopiah
5. Aktif dalam gerak kerja jemaah
6. Usrah setiap minggu
7. Solat jemaah setiap waktu di masjid, surau tak dikira
8. Puasa sunat setiap Isnin dan Khamis tanpa alasan
9. Boleh berpidato dan berhujah sekiranya perlu
10. Sejuk mata memandang
11. Tinggi 160 cm ke atas, berat badan tidak boleh melebihi 50kg
12. Muka licin, pandai berhias
13. Pandai memasak makanan yang kita gemari
14. Boleh menjadi imam solat terawih
15. Hafal sekurang-kurangnya 5 juz Quran
16. And the list goes on..

Kefahaman beginilah yang melemaukan jemaah kerana tidak habis-habis soal 'settle tahun akhir' hingga rasa terpaksa dan dipaksa kerana sampai ke sudah tidak menjumpai calon 'sempurna' pilihan hati. Tidak semestinya yang sama fikrah itu kekal bahagia jika masing-masing tidak serasi. Tidak semestinya yang tidak ditarbiyah itu kurang iman atau amalnya.

Semoga Allah memelihara kita yang masih belajar tentang kehidupan ini, dari diuji dengan apa yang kita katakan. Wallahu'alam.



P/S: Terima kasih Kak Mis yang comel sebab bagi kebenaran untuk cerita tentang akak.  :D

14 April 2012

Lemas



Berkali-kali Tuhan menyelamatkan aku dari kelemasan.
Lemas dengan dunia.
Lemas dengan dosa.

Berkali-kali juga aku bersyukur.
Betapa dalam ramainya umat manusia,
Tuhan masih sudi menyayangi aku yang hina.

Aku kira, bukan sekali dua aku punyai pilihan.
Malah seringkali berada di persimpangan.
Lalu Tuhan dengan halus mencampakkan rasa dalam hati.
Cukup halus, sampaikan rasa itu pudar jika tidak dihayati dan dihargai.

Kiranya esok Tuhan tidak lagi sudi menyelamatkan aku dari lemas, harus bagaimana?

Puisi cinta kalam Tuhan,
Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun.
Tetapi manusia itulah yang menzalimi dirinya sendiri.
Yunus, 44.


Terima kasih Tuhan.

Terima kasih Ya Allah.




08 April 2012

Penipu

Lelaki itu penipu.

Suami. Kononnya cinta pada si isteri. Bekerja siang malam mencari nafkah. Membeli rumah dan kereta besar. Membeli barang kemas sebagai hadiah. Tetapi sayang, tidak pernah menyuruh isteri solat. Tidak pernah mengajak isteri berpuasa. Tidak sanggup menegur salah isteri kerana terlalu cintakannya. Tiak mahu mengajar isteri taat kepada perintah Allah. Lalu, isteri yang konon dicintainya itulah yang menariknya ke api neraka bersama dengannya. Cintakah itu? Penipu.

Ayah. Kononnya sayang pada anak perempuannya. Bekerja keras setiap hari untuk memberi wang belanja. Membeli pakaian baru setiap bulan. Menghantar anaknya ke sekolah berprestij. Tapi sayang, baju yang dibeli setiap bulan itu tidak menutup aurat. Sekolah yang dihantarnya itu tidak mengajar agama. Anak gadisnya tidak mengenal Quran, tidak mengetahui hukum syariat. Lalu, anak gadis yang kononnya disayangi itulah yang menariknya ke neraka jahanam bersama dengannya. Sayangkah itu? Penipu.

Abang dan adik. Kononnya kasih pada kakak dan adik perempuannya. Mengajar mereka subjek yang tidak difahami. Memarahi lelaki lain yang mengusik. Menjaga mereka apabila ibu bapa tiada. Tetapi sayang, dibiarkan sahaja kakak dan adik perempuannya itu keluar tanpa menutup aurat. Dilihat sahaja mereka tidak bangun untuk solat. Diam sahaja melihat mereka berbuat maksiat. Lalu, kakak dan adik perempuannya yang kononnya dikasihi itulah yang menariknya ke neraka bersama dengannya. Kasihkah itu? Penipu.

Anak lelaki. Kononnya sayang pada si ibu. Kiriman wang setiap bulan tidak putus-putus. Digajikan pula seorang pembantu rumah untuk meringankan beban. Setiap minggu dijenguk ibunya dirumah. Tetapi sayang, dia tidak pernah menyuruh ibunya bertudung. Dia tidak sanggup menegur ibunya yang tidak solat. Dia membiarkan ibunya buta Al-Quran. Lalu, ibu yang kononnya disayangi itulah yang menariknya ke pintu neraka bersama dengannya. Sayangkah itu? Penipu.


Wanita itu penipu.

Isteri. Kononnya cinta pada si suami. Berhias cantik-cantik dan memakai wangian. Memasak makanan kegemarannya. Menjaga rumahtangga dengan baik.

Ibu. Kononnya sayang pada anak-anak. Makan dan pakaian mereka selalu terjaga. Sanggup berjaga siang dan malam. Bekerja keras untuk menampung belanja keluarga.

Kakak dan adik. Kononnya kasih pada abang dan adik lelakinya. Menjaga mereka apabila ibu bapa tiada. Memasak, mengemas, mengurus.

Anak perempuan. Kononnya sayang pada ayahnya. Setiap bulan mengirimkan wang gaji. Setiap malam telefon bertanya khabar. Setiap bulan pulang ke kampung menjenguk si ayah.
Tetapi sayang, wanita itu sengaja membiarkan auratnya menjadi tontonan umum. Setiap uraian rambutnya ditayangkan kepada lelaki bukan mahram. Pakaiannya ketat dan sendat. Tudungnya sekadar fesyen, sekadar menutup mulut orang. Gambarnya begitu murah ditayangkan di laman sosial. Solatnya sering sahaja diambil ringan dan dilewat-lewatkan. Puasanya tidak pernah sempurna. Quran jarang sekali dibaca, apatah lagi yang tidak tahu membacanya. Seringkali mengumpat dan memfitnah. Duitnya tidak pernah cukup untuk membeli segala jenis barang perhiasan dan barang kemas.

Lalu dialah menjadi penyebab suaminya ditarik ke neraka bersamanya. Cintakah itu? Penipu.

Apabila suaminya tiada, dialah yang bakal menarik anak-anak lelakinya ke neraka. Sayangkah itu? Penipu.

Jika dia tiada suami dan anak-anak, dialah yang akan menarik ayahnya ke neraka. Sayangkah itu? Penipu.

Apabila ayahnya sudah tiada, dialah yang bakal menarik abang dan adik lelakinya ke neraka. Kasihkah itu? Penipu.

Wahai wanita, cukuplah anda menjadi punca lelaki yang anda cintai, kasihi dan sayangi ditarik ke dalam api neraka.

Cukup-cukuplah kita semua menjadi penipu.

.

Saya teringat perbualan seorang sahabat dengan temannya.

"Awak tahu tak bila awak pakai macam ni, ayah awak akan menderita dalam kubur?" 

"Ishh, janganlah cakap macam tu,"

"Habis tu, nak saya puji awak pakai macam ni? Awak kata awak sayangkan ayah awak, betul? Dia dah meninggal dunia sekalipun, dia menanggung dosa-dosa awak. Diseksa dalam kubur. Awak, bertaubatlah."
.