"Helo.."
"Ina, mana mama?"
"Mama ada, jap, Ina panggil."
"Eh, wait..Babah ada a really bad news to tell mama. Babah nak Ina ada sebelah mama in case anything happens to mama. Okay? Make sure Ina ada sebelah mama. Now pass the phone to mama."
Aku hanya menurut..
"Ma, babah call.."
Telefon bimbitku bertukar tangan. Aku berdiri sebelah Mama seperti yang disuruh. Sejurus selepas itu, mama menjerit dan menangis. Sungguh, aku tidak pernah melihat mama menangis begitu. Aku memeluk mama dengan erat, aku mengusap kepala mama. Aku sudah mengagak berita yang babah sampaikan.
"Ya Allah!! Ayahhh.."
Tok Ayah telah kembali ke rahmatullah. Ajal yang menjemputnya tatkala kami belum bersedia menerima pemergian seorang insan tercinta. Sepatutnya esok ada kenduri korban di rumah Uncle Lias dan sebab itulah Tok Ayah berada di rumah Uncle Syed. Tak dijangka pula rancangan Allah yang terlebih dahulu menjemput Tok Ayah. Entah mengapa, mata ini kering dengan air mata. Setitis pun tidak gugur ke pipi. Tabahkah aku? Atau sekadar menahan air mata ini agar mama tidak menjadi lebih sedih? Ya Allah..kerasnya hati ku. Susahnya untuk air mata ini mengalir..bukannya aku tidak sedih. Aku sedih. Aku sangat menyayangi Tok Ayah..
Babah menelefon semula. Babah menyuruh kami bersiap dan mengemas pakaian. Babah akan pulang secepat mungkin dari Seremban.
"Abang, bangun.." Aku mengejut Abang Khairul yang masih tidur.
"Abang, bangun..Tok Ayah dah meninggal. Babah suruh siap"
Abang Khairul tersentak dan memegang tanganku. Dia memandangku tidak percaya. Kedengaran suara mama yang masih menangis di bilik.
"Tok Ayah meninggal tadi pagi. Cepat siap..nak pergi rumah Uncle Syed."
Abang Khairul turun dari katil dan melangkah ke bilik mama dengan cepat. Aku mencari kelibat Abang Khairil pula..
"Abang Khairil, bangun..Tok Ayah dah meninggal. Babah suruh siap.."
Abang Khairil terus terjaga. Matanya tercegat memandangku. "Hah?!"
"Tok Ayah meninggal..siap cepat."
Abang Khairil yang mendengar tangisan mama pantas bangun dan mencari mama.
Kami menenangkan mama yang masih meraung dan menangis. Mama sangat rapat dengan arwah Tok Ayah..pemergian Tok Ayah membuat mama hampir histeria. Kami bersiap dan mengemaskan pakaian. Abang Khairil mencapai kunci kereta dan keluar mencari adikku, Ayie. Awal-awal pagi lagi Ayie telah keluar untuk bermain bola di taman berdekatan. Setelah Ayie pulang, dia memandangku. Aku hanya mendiamkan diri, lalu dia terus mencari mama. Babah tiba di rumah sejurus selepas itu..sambil memeluk babah, mama menangis teresak-esak..
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kakiku melangkah masuk ke rumah Uncle Syed. Kelam dan sepi. Kedengaran esak tangis dari ruang tamu. Aku melihat Aunty Jude dan Aunty Zaini di sofa. Mama yang menyalami Aunty Zaini, terus memeluknya dan menangis lagi. Setelah bersalaman, aku melangkah kaki mencari Tok Ayah.
Di ruangan itu, aku melihat sekujur tubuh di pembaringan. Tubuh tua itu di selimuti kain putih, dua tangannya kaku berdakap. Wajah Tok Ayah sangat tenang, seperti sedang tidur. Mama menghampiri tubuh Tok Ayah dan mengucup dahinya. Aku tidak terdaya. Aku masih tidak percaya Tok Ayah telah pergi..aku tidak mempersoalkan ketentuan Ilahi..aku tahu aku harus redha dengan pemergian Tok Ayah.
Perlahan kakiku melangkah untuk berwuduk..lalu aku mencapai mushaf yang sempat ku bawa dari rumah. Aku menyelak helaian surat-surat cinta dari Allah itu, mencari surah Yassin, jantung Al-Quran. Lantunan ayat-ayat suci itu mengasyikkan. Beberapa ahli keluargaku yang lain turut membaca surah Yasin.
Ahli keluargaku sibuk menguruskan permit untuk mengebumi jenazah dan menyewa van jenazah. Aku duduk di tangga dan merenung jauh. Tenggelam dengan perasaan sendiri. Aunty Cah duduk di sebelah ku sambil menangis. Beberapa ahli keluarga Aunty Cah yang tidak ku kenali juga berada disitu.
"Tadi pagi mama (nenek tiri ku) kata, ayah tak boleh tidur. Jadi lepas subuh, ayah tidur sekejap. Pagi ni sepatutnya ada dental appointment, so dalam pukul 8 tu, Syed suruh mama kejut ayah tapi ayah tak bangun.."
"Malam tadi kami duk sibuk kat dapur, prepare untuk barbeque malam ni. Ayah mai kat dapur pastu dia kata 'Ayah tak sabar nak makan dah ni'."
Aunty Cah bercerita sambil menangis. Aku hanya mendiamkan diri. Aku melihat sekeliling. Rezeki Tok Ayah murah..semua lapan anak Tok Ayah berada di sini bersama menantu.
Van jenazah tiba pada jam 12.30 tengahari. Jenazah Tok Ayah diusung dan akan dibawa ke rumah Tok Ayah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Selesai segala urusan, kami berangkat ke Bukit Mertajam. Sepanjang perjalanan, aku hanya mendiamkan diri. Fikiranku menerawang memikirkan apa yang telah terjadi.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Jam 5.00 petang. Kereta kami tiba di Tanah Liat, Bukit Mertajam. Orang ramai telah berkumpul di rumah Tok Ayah. Semuanya telah sedia. Persiapan untuk memandikan jenazah, keranda, kubur..Aku masih tidak percaya. Sebuah katil bujang diletakkan di ruang tamu, lalu jenazah Tok Ayah diletakkan disitu. Dulu, semasa arwah Tok Puan meninggal, di katil itu juga arwah Tok Puan dibaringkan. Kerana terlalu sayangkan arwah Tok Puan, Tok Ayah menggunakan katil itu untuk tidur. Kini, giliran Tok Ayah pula.
Jam 6 petang, jenazah dimandikan. Ruang tamu yang luas itu dibahagikan dua dan dihadang menggunakan kain. Rezeki Tok Ayah kerana anak-anak lelaki, menantu-menantu lelaki dan cucu-cucu lelaki Tok Ayah, semuanya membantu memandikan Tok Ayah.
Beberapa minit kemudian, ustaz yang bertugas memaklumkan bahawa anak-anak perempuan Tok Ayah boleh menjiruskan air ke tubuh jenazah. Aku mengikut langkah mama, Aunty Pah, Aunty Cah dan Aunty Kirah. Aku memegang erat tangan Shasha, sepupuku. Kami memasuki ruangan memandikan jenazah itu. Aku melihat tubuh Tok Ayah yang diselimuti kain putih yang telah basah itu.
"Siapa yang nak jirus air kat jenazah boleh lah buat sekarang. Mula dari kanan, kiri, dan tengah, dari kepala ke kaki. Usap perlahan-lahan. Air mata tu jaga, jangan bagi kena jenazah." Kata ustaz itu.
Seorang demi seorang anak-anak perempuan Tok Ayah mencapai hos air itu. Abang Khairul, Abang Khairil dan beberapa sepupu lelaki ku yang lain turut menjiruskan air.
"Ustaz, kalau cucu perempuan boleh jirus air tak?" tanya mama.
"Boleh..takde masalah." Kata ustaz itu sambil memandang ke arah kami, aku, Shasha, Hana dan Izzah. Aku mengundur ke belakang. Aku hilang kekuatan. Shasha ke depan dan mencapai hos. Aku hanya melihat. Selepas itu giliran Amin pula. Aku memaksa diri untuk ke depan. Perlahan aku menyinsing lengan baju, aku membetulkan sarung lengan. Aku melangkah ke arah pembaringan Tok Ayah. Wajah Tok Ayah samar-samar di sebalik kain putih yang basah itu. Aku menyentuh kepala Tok Ayah dan meratakan air. Kanan, kiri, kemudian tengah..dari atas ke bawah. Tatkala menyentuh muka Tok Ayah, aku sebak. Wajah ini dahulu pernah aku rindui. Dahulu, apabila mengucupi pipi Tok Ayah, aku selalu berkerut dan tersenyum. "Bau curut lah Tok.." Pasti Tok Ayah ketawa melihat gelagatku. Kini, tiada lagi ketawa itu.
Usai memandikan jenazah, tubuh kaku Tok Ayah dipindahkan ke atas selimut di lantai. Jenazah dikapankan tiga lapis semuanya. Aku melihat ustaz itu meletakkan minyak atar pada kain kafan. Aku melihat ustaz menulis kalimah tauhid di dahi Tok Ayah..aku makin sebak. Namun, mataku tetap kering. Kerasnya hatiku. Kemudian, seorang demi seorang anak-anak, anak tiri, dan cucu Tok Ayah mengucupi Tok Ayah. Tiba giliran aku mengucupi Tok Ayah. Aku mencium kedua pipi Tok Ayah dan dahinya. Terasa sejuk sekali.
Pada ketika itu, hanya Uncle Gi, Aunty Eda, Rifhan, Abang Hafiz, Abang Mohsin, dan Abang Basyed yang belum tiba. Azan Maghrib berkumandang dan orang ramai bersurai ke masjid untuk solat berjemaah. Rumah Tok Ayah hanya selang dua rumah dari Masjid Tuan Abdullah. Masjid moyang Tok Ayah. Dahulu, setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, Tok Ayah pasti menjadi imam dan bertugas memberi khutbah.
Selepas solat Maghrib jenazah dibawa ke masjid untuk solat jenazah selepas solat Isyak. Jam 8.30 malam, hujan renyai-renyai di luar. Jenazah diusung ke tanah perkuburan, Makam Tuan Abdullah. Tempat yang sama arwah Tok Puan dan Mak Tok Ayah dikebumikan. Pasti Tok Ayah nampak anak-anak, anak tiri, cucu dan orang ramai berebut-rebut untuk mengangkat keranda Tok Ayah sehinggakan terlalu ramai yang angkat, susah untuk berjalan.
Di tanah perkuburan, orang ramai berpusu-pusu untuk masuk. Tanah yang sedia digali dan lampu yang telah dipasangkan memudahkan kerja pengebumian. Perlahan-lahan jenazah diturunkan. Setelah itu, jenazah dikalihkan mengadap kiblat.
"Ustaz, sekejap. Ni ada lagi sorang cucu yang belum tengok. Boleh tak bukak untuk tengok muka?" Teriak salah seorang ahli keluargaku. Rupanya Abang Basyed baru tiba dari Johor.
"Tak boleh dah..jenazah dah kalih ni." Kata ustaz itu.
Aku melihat sorot wajah Abang Basyed yang sedih dan kelam. Namun, dia tak putus asa. Dia menghampiri liang lahad dan melihat sekujur tubuh yang kaku itu. Itu sahajalah yang termampu dia lakukan. Sungguh..rezeki Tok Ayah murah. Anak-anak, anak tiri dan cucu yang ramai memudahkan kerja. Seorang demi seorang menimbuskan tanah ke liang lahad. Cangkul bertukar tangan dari yang tua ke yang muda. Sayangnya, Kak Iman, Kak Diyana dan Nabil, tak sempat melihat Tok Ayah. Kak Iman berada di Jepun, Kak Diyana di London, dan Nabil pula bertugas di atas kapal. Mungkin berada di Singapura.
Talkin yang syahdu menjadi penutup kesedihan kami. Masih kedengaran tangisan Aunty Kirah dan Aunty Cah. Aku merenung nasib Tok Ayah di dalam keadaan gelap gelita itu..semoga kegelapan itu diterangi cahaya keimanan dan cahaya dari Al-Quran. Aku teringat kata-kata seorang ulama, "Apabila seorang bayi dilahirkan, dia di azankan. Dan apabila seseorang itu meninggal dunia, dia di sembahyangkan. Betapa singkatnya waktu antara azan dan solat itu..".
Doaku, semoga Allah memelihara roh Tok Ayah dan meletakkan dia di kalangan umat yang beriman dan beramal soleh..wallahu'alam..
Dalam kenangan, Haji Wan Mahmood bin Wan Ishak, 1921 - 2008.
13 Disember 2008 15 Zulhijjah 1429 H
Al-Fatihah..
Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam. Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Pemilik hari pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan yang telah Engkau beri nikmat kepadanya; bukan jalan yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.