24 July 2011

Aurat yang diringankan

Ahh, asyik-asyik topik aurat. Apalagi yang nak dikatakan? Kami tau lah kena tutup aurat.

Alhamdulillah dah tau.
Tapi tak salah kan kalau saling mengingati? :)

Dulu semasa matriks, saya pernah terdengar suatu kuliah Magrhib di surau. Ustaz dengan halus menegur tentang aurat wanita.

"Kalau kamu pakai baju lengan panjang, tiba-tiba terselak hujung lengan tu sampai ternampak lengan kamu walau sedikit, kamu dah dapat dosa mendedahkan aurat. Itu baru sedikit lengan yang ternampak. Apalagi kalau tak menutup aurat."

Kalau lah dosa tu boleh menampakkan dirinya, mesti semua orang takut dan patuh pada perintah Allah. Tapi tidak, kita tak nampak dosa tu macam mana, jadi kita ambil ringan.

Kita ambil ringan soal aurat lengan, aurat kaki. Kadangkala pelik juga melihat muslimat yang berjubah dan berpurdah tetapi sayang, lengannya terselak, kakinya menampakkan aurat. Yang wajib tidak terbuat.


Muslimat, mari kita istiqamah memakai handsock & stokin. Yang sudah memakainya, berdoalah agar ditetapkan hati untuk terus istiqamah menutup aurat dengan baik.


p/s: Ada sedikit rahsia tentang lengan wanita yang ingin saya kongsikan. Kalau ada mana-mana muslimat yang ingin tahu, sila PM saya. InsyaAllah bermanfaat. :D


20 July 2011

Hati




Kata Imam Ghazali,

Carilah hatimu di tiga tempat.

Pertama, ketika membaca Al-Quran.
Kedua, ketika solat.
Ketiga, ketika mengingati mati.

Jika di ketiga-tiga tempat itu engkau masih belum menemui hatimu,

mohonlah pada Allah untuk memberimu hati,
kerana engkau tidak memilikinya!

'Sesungguhnya orang-orang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambahlah kuat imannya..'
(Al-Anfaal: 2)


Falsampah

Falsampah 1

Orang lain beli kereta dengan bayaran ansuran yang melibatkan faedah/riba'. Kita beli pun kereta dengan bayaran ansuran yang melibatkan faedah/riba'.

Sebab: Kalau kita seorang je yang beli tanpa ansuran yang melibatkan faedah/riba', bukannya boleh mengubah apa-apa pun. Bukannya boleh ubah sistem ekonomi negara menjadi bebas riba'.


Falsampah 2

Orang lain buat konsert berunsur maksiat - bergaul lelaki perempuan, lagu-lagu lagha, terkinja-kinja, kita pun menganjur konsert berunsur maksiat.

Sebab: Kalau kita batalkan satu konsert sekalipun, bukannya boleh mengubah apa-apa. Tempat lain ada lagi maksiat. Bukannya boleh jadikan negara kita bebas maksiat pun.


Falsampah 3

Orang lain berfesyen kononnya menutup aurat tapi ketat, sendat dan melekat, kita pun berfesyen dengan ketat, sendat dan melekat.

Sebab: Ini baru up to date! Kalau kita pakai yang longgar-longgar dan labuh-labuh pun, bukannya boleh mengubah apa-apa. Bukannya boleh jadi trend. Orang tak nak dekat dengan kita ada lah!


Kesimpulan falsampah

1. Kita buat sebab orang lain pun buat.
2. Kalau kita tak buat sekalipun, tak ada bezanya sebab ramai lagi orang lain yang buat. So what?


Soalan menjentik minda, apa jenis pemikiran macam ni? Ini namanya berfikir panjang sejengkal!



13 July 2011

HS

Dah beberapa bulan ponteng appointment.
Stok ubat masih ada.
Sakit, telan ubat.

Telan ubat banyak-banyak,
nanti umur tak sampai empat puluh dah sakit buah pinggang.

Adehh.

Usia muda, tetapi jasad tua sebelum usia.
Sampaikan boleh kongsi ubat dengan mama,
Sebab banyak penyakit sama.
Mungkin Allah nak tarbiyyah diri hina ni.
Bagi rasa apa yang mama rasa selama ni.
Alhamdulillah.

Picit kepala, berdenyut.
Buka beg ubat.
Dalam banyak-banyak ubat, ubat tu juga yang habis.
Nak minta dari mama, tapi mama dah tidur.
Berpinar.

Ternampak kotak putih atas meja.

'Ina, dah makan HS ke harini?'

MasyaAllah. Lupa.

Tangan mencapai kotak putih.
Gel kekuningan dikeluarkan.
Bismillah.
Selawat.
Telan.

Daripada Abu Hurairah, beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Pada Habatuss Sauda terdapat ubat bagi segala jenis penyakit kecuali Al-Sam (maut)". - Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Termizi.


p/s: HS itu Habatuss Sauda. Thanks a lot ma.

p/s lagi: Mari kita curang dengan semua ubat dan gunakan HS. :)

07 July 2011

Memories

Sekolah baru. Sekolah yang baru dibuka, bukan setakat sekolah yang baru saya pindah. Semasa sekolah ini dibuka, saya berada di tingkatan dua. Hanya ada kemasukkan bagi tingkatan satu, dua dan empat. Sekolah kami belum bersedia menerima pelajar yang akan mengambil PMR dan SPM kerana masih banyak kelompangan dari segi pengurusan yang perlu diisi.

Memandangkan baru juga, kebanyakkan pelajar yang mendaftar atau didaftar masuk ke sekolah ini merupakan pelajar-pelajar yang dibuang (baca: diberhentikan) oleh sekolah-sekolah berdekatan. Pada ketika itu, malanglah bagi sesiapa yang mendaftarkan diri ke sekolah ini dengan sukarela (baca: saya).

Semasa tingkatan dua, saya boleh dikira sangat naif dan masih 'baru' dalam bidang sosial. Kawan-kawan sekelas sudah mempunyai 'geng' masing-masing dari sekolah lama dan kawasan perumahan. Saya? Pada awalnya memang lone ranger. Selepas seminggu di sekolah ini, saya mula membiasakan diri dan mempunyai 'geng' sendiri. Kemana-mana bersama.

Entah kerana sebab apa, saya pernah salah faham dengan seorang kawan setingkatan. Salah langkah mungkin, dia mengadu kepada rakan baiknya, salah seorang pelajar perempuan paling bermasalah. Merokok, kaki gaduh, kaki ponteng. Satu hari, rakan baiknya itu singgah ke kelas saya semasa guru tiada. Dia menghampiri meja saya.

"Weh perempuan! Kau jangan bajet baik sangatlah. Aku tau apa kau buat kat member aku. Macam s*** je perangai. Tak sedar diri!" Tangannya menolak kepala saya.

Saya tergamam. Menggeletar badan. Tak pernah ada sesiapa cakap begitu pada saya.

"Apasal kau diam? Bisu? Kau nampak ni?!" tangannya membentuk penumbuk dan diangkat betul-betul depan muka saya.

"Kau tunggulah balik sekolah ni. Siap kau kiteorang kerjakan!"

Cuak dibuatnya. Sepanjang hari itu, saya dan kawan-kawan merangka pelan melepaskan diri. Jalan mana yang paling selamat, jam berapa harus keluar dari kelas, blok mana yang boleh digunakan untuk bersembunyi. Terasa seperti pelarian. Beg sekolah saya ketika itu berwarna oren dengan jalur kelabu berbentuk seperti kura-kura. Malang bagi saya, cuma saya seorang yang menggunakan beg itu di sekolah. Dari jauh sudah tahu empunya beg.

Loceng terakhir berbunyi. Pantas saya mencapai beg sekolah dan keluar dari kelas. Beg tidak disandang seperti biasa tetapi dipeluk dari depan, mengharapkan tiada siapa yang dapat mengecam tanpa beg. Kaki melangkah laju ke arah tangga. Keluar sahaja dari pintu pagar, saya membuat cross check untuk memastikan dia tiada di hadapan sekolah. Yakin dia tiada, saya berlari-lari anak pulang ke rumah. Menangis. Pathetic bukan?

Semenjak peristiwa itu, saya kurang aktif dalam apa-apa program di sekolah termasuklah kelab dan persatuan. Kebanyakkan kelab dan persatuan didominasi oleh dia dan juga rakan-rakannya, perempuan dan juga lelaki. Diejek, diugut dan dibuli itu menjadi biasa. Saya mengelak untuk melalui laluan utama di sekolah yang telah dikenalpasti sebagai laluan wajib bagi mereka. Nampak sahaja kelibat mereka dari jauh, minda secara automatiknya akan merangka escape plan.

Semasa tingkatan tiga, saya rapat dengan seorang senior, Kak Wani. Lembaga Pengawas baru sahaja diperkenalkan pada awal tahun itu dan Kak Wani merupakan salah seorang pengawas sekolah. Tanpa pengetahuan saya, Kak Wani memberi nama saya kepada guru disiplin sebagai salah seorang calon pengawas percubaan. Sudahlah dibenci kebanyakkan pelajar setingkatan, inikan pula menjadi pengawas? Bunuh diri namanya!

Hari pertama memakai baju biru, saya rasa seperti menggali kubur sendiri. Sampai di hadapan pintu sekolah, saya menangis dan enggan masuk ke dalam. Teresak-esak, terduduk. Kawan saya di sebelah cuba memujuk dan menarik saya masuk tetapi badan saya terasa amat berat. Saya tidak mampu. Dia memanggil Kak Wani.

Puas dipujuk Kak Wani, saya ke tapak perhimpunan dengan mata sembap. Kak Wani memegang tangan saya dan memimpin saya ke bilik pengawas. Kaki menggeletar apabila berjalan di hadapan sekumpulan pelajar yang saya geruni dan paling dielak. Mereka.

Habislah aku lepas ni. Mereka paling benci pengawas. Double tahap kebencian untuk aku nampaknya.

Zaman permulaan menjadi pengawas mungkin zaman yang paling banyak air mata dikeluarkan. Setiap kali Kak Wani memberi saya tugas untuk membaca ikrar atau menjadi emcee, saya lah yang paling cengeng. Menangis kerana tidak mahu, tidak berani, takut. Takut mereka membuli saya lagi. Setiap kali membaca ikrar atau menjadi emcee, kaki dan tangan akan menggigil. Stage fright, panik melihat mereka di hadapan.

Semakin lama, rasa takut itu semakin kurang. Kenapa? Satu persatu mereka dibuang sekolah, pindah sekolah dan berhenti sekolah.


Beberapa hari lepas, seorang rakan sekelas selamat diijabkabulkan. Di majlis walimahnya, kami mengadakan mini reunion bersama rakan sekolah yang lain. Saya menjadi fotografer amatur yang tidak rasmi. Sedang mengambil gambar, saya perasan kelibat dia. Dia yang menghalakan penumbuk di muka saya lapan tahun lalu.

Saya mengumpulkan beberapa orang rakan bersama dia dan pengantin. Gambar diambil. Dia menghampiri saya.

'Awak, nak tengok gambar tadi boleh?'

'Boleh, tengoklah.' saya menghulurkan kamera ke arahnya.

'Thanks,' dia tersenyum.

Dia tidak mengecam siapa saya. Sehingga majlis bersurai, dia masih tidak mengecam siapa saya.


p/s: Some memories are very hard to forget. Good memories will leave footprints, bad memories will leave scars.

03 July 2011

Sahabat Itu

Tadi seorang kawan sekolah saya menelefon.
Sekarang dia sahabat, bukan lagi kawan.
Siapa sangka akhirnya kita dipilih Allah untuk melalui jalan ini.
Perancangan Allah.
Alhamdulillah.

Banyak yang dikongsi.

Kata dia, kadang-kadang kita mahukan sesuatu yang besar, tetapi Allah tahu kita tak mampu.
Jadi Dia berikan kita sesuatu yang kecil.

Kata dia, kadang-kadang kita mahukan sesuatu yang kecil, tetapi Allah tahu kemampuan kita, potensi kita.
Jadi Dia memberi sesuatu yang besar.

Ya, kata dia, tetapi dipetik dari kalamullah. Al-Baqarah, 216.

Kami berkongsi kerisauan.
Kata dia, tanggungjawab kita semakin berat.
Kawan-kawan kita perlu dijadikan sahabat.
Jika bukan sahabat, cukuplah sekadar teman.

Mampukah?


p/s: Apa beza kawan, teman dan sahabat? Mereka yang telah melalui jalan ini pasti tahu. Dan mereka yang mahu tahu bezanya perlu melalui jalan ini. :D

25 June 2011

The Climb

There’s always going to be another mountain
I’m always going to want to make it move
Always going to be an uphill battle,
Sometimes you going to have to lose,
Ain’t about how fast I get there,
Ain’t about what’s waiting on the other side
It’s the climb

~Miley Cyrus, The Climb


Saya dah lama tak dengar radio.
Saya dah lama tak dengar apa-apa lagu.

Semalam terdengar lagu ni entah di mana.
Rupanya lagu lama.
Teruja dengan liriknya.

There’s always going to be another mountain.
Itulah ujian.
Itulah kesukaran.
Itulah mehnah dan tribulasi.

It's the climb.
Itulah usaha kita.
Allah melihat pada usaha, bukan hasil.
Ikhlas atau tidak,
Allah Maha Mengetahui niat dan isi hati kita.

"Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan di dalam dada mereka dan apa yang mereka nyatakan.." (Al-Qasas: 69)


p/s: Saya lebih suka lagu ini versi Ahmir. :)

17 June 2011

Just for him

Growing up, I always remember him as a Mr Know-it-all. If we were in the the car, I would ask him questions and would always be eager to know his answers. He seems to know all the answers.

'What building is this?
'What are they constructing there?'
'Why are they doing that?
'Where is this place?'
'How did that happen?'

And so it goes. I would refer him as my personal encyclopedia. Even if he didn't know the answers, he would try his best to answer them well.

Holding a position which requires him to be professional and serious at work, he is the complete opposite at home. He has this really great sense of humor at times. I always had a good laugh at his pantun dua kerat (half-a-stanza-poem). He would invent something like 'Daun kaduk daun mengkudu, how do you do?'.

He has always been watching my back ever since I could remember. He would personally send me wherever I needed to go - tuition classes, courses, camps or even hang out with friends. He never really trusted me taking the public transport. I have a vivid memory of my school years. I was in Form 1 and was in the afternoon session. The school was located near the main roads heading towards the city center. Because of that, I was often caught in the traffic hassle.

One day, I missed the school bus and had to take the public bus back home. It was already close to 7.30 pm at that time, but there were no signs of any bus stopping. The bus didn't stop because it was already crammed with people. Back then, we didn't have mobile phones like kids today, so my parents didn't know that I had missed the bus. By the time I got onto the bus, it was already half past eight. The traffic was terrible, bumper to bumper. I finally reached the bus stop near my house close to 10 pm. And then I saw him, sitting in front of the house in his sarong and worn-out white Pagoda t-shirt, waiting for me anxiously. I knew my mum was waiting upstairs near the window as well.

That similar incident occurred another 3 times that year. After that, he and my mum decided to transfer me to school closer to home so that I could just walk to and fro. Despite the walking distance, sometimes he would drive me to school.

When I was studying in Johor, I constantly had to travel by bus. As always, he would send me to the bus station whenever I had to go back to Johor. He would accompany me, patiently waited until I boarded the bus and waited for the bus to make a move before leaving the station. He would tell me, 'Please report to me where you are every hour,'.

Trip to the doctor was a common occurrence for me throughout my life. I hated them. For my own sake, he would force me to go with him. He would take time off from work and bring me to the hospital for appointments. I would often feel guilty because of that.

I could go on and on about all the things that he has done for the family and myself, but then I would have to write a novel, wouldn't I? Even if I do, there are no exact words that can be said to thank him enough. Thank you Allah for lending him to mama and us.

I love you so much Bah, Happy Father's Day.

Pelik

Saya sangat pelik bila tengok fesyen muslimah (kononnya) yang pelik-pelik sejak kebelakangan ni.

Tak kisahlah kalau nak berfesyen dengan clothes line dari Zara (bagi yang mampu) atau Zorro (bagi yang kurang mampu). Tak kisah juga kalau nak berfesyen dengan Maysaa rekaan Hana Tajima. Tak kisah kalau nak pakai wedges Prada (sejenis rekaan kasut, bukan makanan) setinggi 4 inci. Ada juga yang mahu berfesyen ala-ala Korea tetapi mengekalkan imej muslimah.

Serius, saya tak kisah kalau nak pakai tu semua, cuma pelik je.

Pelik bila tengok ada yang sanggup habiskan duit berkepuk-kepuk untuk Guess, Coach, Gucci, Loui Vuitton, Channel dan jenama-jenama lain yang membelitkan lidah. Bukankah membazir? Beg tangan Loui Vuitton yang termurah berharga RM2500! Seluar Zara yang ketat dan sendat berharga RM500 tu boleh digunakan untuk makan sebulan.

"Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran-Mu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Al-Isra': 27)


Pelik bila tengok mereka yang bertudung tapi memakai skinny jeans dan leggings. Pelik juga ada yang berlengan pendek dan memakai handsock sahaja. Ketat, sendat, melekat. Malu.

Pelik bila tengok mereka yang bertudung tapi memakai baju singkat. Ada juga yang suka tuck-in baju ke dalam seluar untuk menayangkan pleated pants rekaan terbaru dan tali pinggang selebar 3 inci. Lagi sekali, ketat, melekat dan sendat. Menampakkan bentuk tubuh.

Pelik bila tengok mereka yang bertudung dengan fesyen berbelit-belit sampai menampakkan dada dan leher. Tambah pula tudung dan selendang yang nipis lagi jarang. Sama juga dengan tudung instant yang melekat pada tubuh. Bertudung sahaja tak cukup kalau tidak menutup aurat.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.."
(An-Nur: 31)

Paling pelik bila tengok mereka yang tak segan silu bergambar dengan gaya-gaya manja dan mimik muka yang comel (ye ke?) kemudian upload di FB dan blog. Satu album tu penuh dengan gambar close-up pada muka sahaja walaupun nama album tu 'Kenduri Kahwin Kawan'.

Pelik lagi sekali bila ada yang marah bila saya tegur tentang perkara ni. Katanya, 'Biarlah orang lain nak buat apa pun. Apa ada kisah? Kubur lain-lain beb!'

Ada sahabat pernah cuba jawab soalan si polan yang berbahasa kasar. 'Memanglah aku kisah sebab kalau ditakdirkan kubur kau sebelah kubur aku nanti, aku tak nak dengar kau terpekik-pekik kena balun dengan malaikat.' Terdiam si polan.

Setiap muslim itu bertanggungjawab terhadap muslim yang lain.

“Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) selemah-lemah iman.”
(Hadis riwayat Muslim)

Hendaklah. Wajib. Nak pertikaikan lagi?

Serius, saya tak kisah kalau nak berfesyen. Cuma saya pelik bila berfesyen dan menggadaikan maruah seorang muslimah.

Jangan mengaku berhijab kalau tidak menutup aurat. Jangan jadikan diri sendiri fitnah kepada Islam.


p/s: Aurat yang paling diambil ringan oleh wanita adalah kaki. Kaki anda juga aurat, jadi marilah memakai stokin. :)

p/s lagi: Nanti ada pula yang pertikaikan entri ni sebab mereka hanya mengikut Islamic Fashion Festival. -_-

13 June 2011

Apa itu FB?

Dulu, sebelum ada FB, belajar depan buku. Laptop disimpan jauh-jauh. Fokus, paling tidak pun, cuba untuk fokus.

Bila ada FB, belajar depan laptop sambil mengadap FB. Sekejap-sekejap update status. Belajar tajuk apa, tak faham yang mana, berapa banyak nak baca. Sekejap-sekejap like status orang lain, sekejap-sekejap stalk page orang lain.

Maka hilanglah khusyuk, hilanglah fokus, hilanglah keberkatan ilmu.



Dulu, sebelum ada FB, antara solat Maghrib dan Isyak akan baca Quran. Akan cuba baca sebanyak mungkin. Terdengar azan Isyak baru tutup Quran.

Bila ada FB, mulut baca Quran tapi mata curi-curi pandang laptop, mengadap FB. Sekejap-sekejap berhenti baca sebab berbalas komen. Habis baca satu muka surat, terus tutup Quran. Layan FB pula.

Ahh, hilanglah khusyuk. Ibadah entah kemana.



Dulu, sebelum ada FB, lepas Subuh akan baca matsurat. Kalau ada masa, akan baca Quran.

Bila ada FB, sebelum sempat buka matsurat dah buka FB. Sambil-sambil baca matsurat, mata menjeling FB. Kadang-kadang terpaksa ulang bacaan dua tiga kali sebab lupa dah baca ke belum tadi. Mulut terkumat-kamit membaca, tetapi hati pada FB. Quran? Jarang-jarang dibaca.



Dulu, sebelum ada FB, rajin juga solat berjemaah di surau. Sepuluh minit sebelum azan sudah pun duduk di saf pertama. Wirid, zikir, solat sunat. Pasti solat di awal waktu.

Bila ada FB, usahkan solat berjemaah di surau, solat di bilik pun malas. Waktu solat biar ditangguh sekejap asalkan dapat membalas komen di FB. Semasa solat, baca surah terpendek. Biar cepat selesai solat. Tak khusyuk jadinya, teringat pada FB.

Alahai ibadah kita..



Dulu, sebelum ada FB, pandangan dijaga, ikhtilat dijaga. Asal lalu sebelah bukan mahram, mata memandang lantai sahaja. Seboleh-bolehnya tak mahu mengangkat muka. Kalau terpaksa, sanggup ikut jalan yang jauh untuk mengelak bertembung.

Bila ada FB, habis semua gambar si bukan mahram dibelek, dikomen. Asal ada statusnya yang menarik, pasti menekan butang like. Berbalas komen hingga lewat malam, kadang-kadang sampai ke pagi. Sedar tak sedar, senyum seorang diri di hadapan komputer. Masalah hati.



Dan banyak lagi sebelum dan selepas.

Jadi, apa itu FB? Hanya empunya diri yang ada jawapan. Mungkin baik, mungkin buruk. Terpulang.

Beringatlah wahai diri yang hina..