06 September 2012

Rojak


Update secara rojak pasembor.

Ini adalah pasemboq. Kalau hangpa tak tau pasemboq ni apa, hangpa memang tak kool.


I.     Selamat hari raya (sempat lagi ke?). Kalaulah sepanjang bulan Ramadhan kita boleh istiqamah membaca Quran setiap hari untuk menghabiskan 30 juzuk, kenapa pula pada bulan Syawal kita tak pandang langsung Quran? Yang kita pandang hanyalah open house, ketupat, rendang, kuah kacang.

Kalaulah sepanjang bulan Ramadhan kita boleh istiqamah solat sunat segala bagai – rawatib, dhuha, tahajjud, taubat, hajat, tasbih – kenapa pula pada bulan Syawal kita berat sangat nak solat sunat? Solat fardhu pun kita lewat-lewatkan kerana ‘sibuk’ berziarah sana-sini.

Kalaulah sepanjang Ramadhan kita boleh mengawal nafsu makan kita, sedaya upaya cuba mengelak membazir semasa berbuka, kenapa pula pada bulan Syawal kita seolah-olah hilang kawalan? Dalam sehari pergi tiga empat open house, setiapnya makan tiga empat pinggan, setiapnya tiga empat jenis makanan. Perut overdose kenyang, mata makin berat, badan makin malas. Akhirnya, tidurrr...


II.   Selamat hari merdeka. Merdeka itu bila sebenarnya? Semasa berarak di Dataran Merdeka dengan baju seragam itu ini? Atau merdeka itu semasa menaikkan Jalur Gemilang? Merdeka pada hati atau pada akal? Kalau tanya kepada adik sekolah rendah tentang merdeka, yang dia tahu hanyalah 31 Ogos, berarak, menyanyi lagu patriotik, dengar ‘khutbah’ merdeka dan cuti umum. Adik, patriotik itu apa ya?


III. Selamat kejar-mengejar menghabiskan puasa enam.

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” (HR Imam Muslim, al-Tirmizi, al-Nasaie, Ibn. Majah)

Nah, pahala puasa sepanjang tahun. Kalau bos kita kata bulan ni dapat bonus setahun, nak tolak ke nak terima? Kalau tolak tu agak-agak sengal tak? Hari ini sudah 19 Syawal, masih berbaki 10 hari untuk berpuasa enam. Jom rebut pahala!


IV. Semalam di lab ada pelawat.



Terkejut melihat dia yang gebu berwarna putih, bermata merah, di dalam sangkar di depan pintu lab. Rupanya tikus ini milik Kak Ermi yang akan dibedah untuk diambil cellnya. Kali terakhir membedah tikus adalah hampir lima tahun lepas di matrik. Kalau diikutkan, sememangnya tidak sampai hati.



Kasihan kan? Nasib tikus makmal beginilah. Berkorban untuk dijadikan bahan penyelidikan umat manusia. Sayangnya, manusia menjadi angkuh dengan sarjana, PhD dan segala macam gelaran yang disandang. Kalau nampak tikus di tepi jalan pasti dimaki-maki.


V.     Its amazing how words can affect people. Gembira, sedih, tenang, marah, bahagia, hampa. Jangan pernah sangka orang yang keras hatinya boleh dipijak-pijak sesuka hati hanya kerana dia jarang-jarang terasa. Kadang, ada perkara yang mampu mengubah hatinya.

Jangan pernah sangka orang yang lembut hatinya tidak mampu mengawal emosi hanya kerana dia kelihatan lemah dan ratu air mata. Kadang, ada perkara yang mampu mengubah hatinya.

Ayuh belajar memahami manusia!



06 August 2012

Tujuh belas



Sudah tujuh belas Ramadhan.

Allah sudah takdirkan hari ini saya berada di lab, menghadap sel kanser buat sekian kali. Memahami ragam dan isi hati manusia di depan mata pun sukar, apa lagi memahami sel yang tidak nampak dengan mata kasar. Hebat bukan? Allah yang menciptakan sebesar-besar alam, juga pencipta sekecil-kecil zarah..

Tujuh belas, bermakna tinggal tiga hari lagi sebelum sepuluh yang terakhir. Saya, masih mencari-cari perkara luar biasa yang perlu dilakukan. Kata Ustaz Zaharuddin tempoh hari, sepuluh akhir Ramadhan haruslah dilakukan sesuatu diluar kebiasaan dan norma selama ini. Meninggalkan sesuatu yang sangat disukai - Facebook, movie, lagu - atau melakukan perkara yang sangat sukar sebelum ini - Qiam, baca Quran 2 juzuk sehari, iktikaf.

Tadi terfikir lagi. Kalau esok ditakdirkan mati, bagaimana dengan hutang duit, hutang puasa, hutang solat? Bagaimana dengan janji yang belum sempat ditunaikan? Bagaimana dengan dosa-dosa yang masih diulang-ulang?

Hari ini emosi kurang stabil. Rasa hopeless, useless. Mungkin kerana hari ini hari yang ketujuh belas. Hari Perang Badar.  Hari di mana umat islam berperang menegakkan Islam, tetapi saya?


.


Buat hati yang bersedih, hati yang lemah. Buat jiwa-jiwa yang sesak dan sempit.

"Dan janganlah kamu (berasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati,
kerana kamu paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman."

"Jika kamu (pada Perang Uhud) mendapat luka,
maka mereka (pada Perang Badar) juga mendapat luka yang serupa.

Dan masa (kejayaan dan kegagalan) itu Kami pergilirkan di antara manusia,
(agar mereka mendapat pelajaran)

dan agar Allah membezakan orang-orang beriman
(dengan orang-orang yang kafir)..."

Ali 'Imran, 139-140.


02 August 2012

Rezeki


"Akak, bestnya tengok dia dapat buat fast track, terus sambung PhD."

"Itulah kan, rezeki dia. Rezeki kita pun Allah dah tetapkan, cepat atau lambat je. Jadi kita kenalah bersyukur dengan apa yang kita sedia ada ni."

Kakak menggosok-gosok bahu saya.

Ahh, selalu begini apabila bercakap dengan kakak. Rasa ditampar muka berkali-kali menyedarkan diri. Bila difikirkan semula, barulah sedar bahawa perancangan Allah itu sangat cantik dan terbaik untuk semua.

Ada kawan sekelas sudah mendapat tawaran kerja walaupun belum tamat belajar. Ada juga kawan yang sudah setahun bergraduasi tetapi masih mencari-cari peluang pekerjaan.

Ada teman sematrik yang menyambung pengajian di luar negara dan mengambil bidang perubatan. Ada pula orang yang mahu menyambung pelajaran tetapi tidak mempunyai wang yang cukup.

Ada kawan seusia yang telah pun menimang cahaya mata kembar tempoh hari. Ada juga mereka yang sudah berkahwin berbelas-belas tahun tetapi masih belum dikurniakan anak.

Ada seorang sepupu yang hampir sama usia kini bekerja di syarikat antarabangsa dengan gaji menceceh RM6000 sebulan. Ada pula hamba Allah yang bekerja keras hampir sedekad tetapi gajinya tidak naik walau sesen.

Ada sahabat yang sudah menjejak tanah haram dan mencium hajarul aswad. Dan ada juga insan yang sampai ke liang lahad belum sempat melihat Baitullah.

Allah sudah menetapkan segala sesuatu itu pada kadar yang sepatutnya. Tidak kurang dan tidak lebih. Jadi mengapa kita perlu bersedih dan membanding-bandingkan rezeki orang lain dengan rezeki kita? Adakah kita tidak yakin dengan perancangan Allah? 

Contoh mudah apabila kita bersedekah.  Jika kita dengan ikhlas memberi sesuatu, maka Allah akan memulangkan kepada kita sepuluh kali ganda. Jika kita menderma RM10, kita akan dapat kembali RM100. Boleh jadi pulangan sepuluh kali ganda itu dalam bentuk tunai, jika tidak dalam bentuk rezeki yang lain. Dimurahkan rezeki berniaga, bonus gaji, dipermudahkan urusan, makan percuma, ter'hijab' dari membayar wang denda dan bermacam-macam lagi perkara yang tidak terlintas di fikiran kita. Allah sangat baik!

Allah cuba mengajar kita MLM yang sah disisi syariah dan tiada syubhah. Persoalannya, adakah kita benar-benar yakin? Jika kita cuma ada RM10 untuk hari ini dan ada hamba Allah memohon wang derma, berapakah yang akan kita peruntukkan? 

Bukankah rezeki itu milik Allah dan dari Allah juga? Jadi maksudnya kita berkira-kira tentang harta yang sebenarnya bukan milik kita? Ahh, lemah rupanya iman. Kadangkala kita lupa barangkali.

Jika mahu mempersoalkan tentang rezeki, haruslah kita ingat kisah Nabi Zakaria. Sehingga umur baginda hampir 80an, masih belum dikurniakan cahaya mata. Tabahnya seorang nabi!

Kita ini? Saya sendiri?

Ada sebab mengapa saya mengambil masa empat bulan untuk menulis proposal master setebal 15 muka surat, sedangkan Cik Roomate dapat menyiapkan proposalnya dalam masa seminggu.

Ada sebab mengapa dua semester pertama saya dihabiskan dengan tiada apa hasil sekalipun.

Ada sebab mengapa geran saya ditangguh-tangguhkan dan cuma dapat 30% dari apa yang dimohon.

Ada sebab mengapa beberapa perkara yang saya inginkan, Allah tangguhkan buat sementara waktu.

Ada sebab mengapa saya masih merangkak-rangkak membuat eksperimen walaupun sudah hampir masuk ke semester ketiga, sedangkan ada sahaja sahabat yang sudah pun memulakan penulisan thesis.

Muhasabah diri, berfikir dalam-dalam.

Ini semua rancangan Allah bukan?  :)


"Kina, yang penting usaha, tawakal & redha. Allah sangatlah pemurah, bukan macam kita ni, nak bagi makan kat kucing pun berkira."




p/s: Alhamdulillah, saya sudah jumpa jawapan kepada sebab-sebab tersebut. :D



27 July 2012

Syukur


"Kina nak tau tak kenapa ramai orang tak cantik?"

Soalan kakak hari ini. Soalan yang tiba-tiba muncul sedangkan sebelum ini kami hanya berborak tentang puasa. 

"Kenapa kak?"

"Biasanya orang yang tak cantik ni orang yang kurang bersyukur."

Saya menunggu kakak menyambung ayatnya. Lama kami diam, sungguh-sungguh saya berfikir.

"Kina tak faham. Apa kaitan tak cantik dengan kurang bersyukur?"

Kakak senyum.

"Ada sesetengah orang, Allah dah bagi rambut kerinting tapi dia nak rambut lurus jadi dia buat rebonding. Bila buat rebonding, rambut jadi kering dan rosak. Memanglah rambut lurus tapi macam dawai, kan tak cantik tu? Itulah akibat orang tak bersyukur."

Kakak menyambung lagi.

"Ada orang kening dia lebat, Allah bagi sesuai dengan muka dia. Tapi dia tak suka kening lebat sebab dia tengok artis dan model kening nipis dan teratur. Jadi dia trim kening dengan alasan nak bagi kemas. Lama-lama dia cukur kening sebab dia rasa dia lukis kening lagi cantik dari apa yang Allah 'lukiskan'."

"Allah dah bagi rambut hitam, dia nak rambut perang. Lepas warna rambut, rambut rosak. Orang tak bersyukur, tak cantiklah."

Saya terdiam. Walaupun kata-kata kakak agak kasar apabila mengatakan seseorang itu tidak cantik, ada benarnya. Allah adalah sebaik-baik pencipta, jadi kenapa kita perlu meragui ciptaanNya? Kenapa kita mahu mengubah apa yang Allah beri kepada kita?

Source: Tumblr

Nak jadi cantik? Jom bersyukur! Alhamdulillah!

:D


30 Hari

Entri ini terlewat 7 hari. Selamat menyambut Ramadhan. 

Beberapa minggu lepas Kak Ajan yang ohsem ada menyebut tentang video 30 Day Challenge by Matt Cutts. Dalam video tersebut, Matt Cutts mencabar sesiapa sahaja untuk mencuba suatu perkara yang baru dan konsisten melakukannya selama 30 hari berturut-turut.  Perkara itu tidak perlu sesuatu yang besar, cukup sekadar bermakna. 



Contoh mudah, senyum kepada setiap orang yang dijumpai dan memberi salam, jogging selama 15 minit, mengurangkan pengambilan minuman bergula, menulis tiga muka surat setiap hari dan banyak lagi. Matt Cutts menyatakan bahawa perubahan-perubahan kecil sebegini dapat membantu kita menjadi lebih baik dan mencapai makna dalam hidup. You will feel better about yourself and it may change your perspective on life.

30 hari adalah tempoh masa yang cukup untuk seseorang 'membunuh' dan membina semula sistem kepercayaan diri. 30 days is enough for one to break and rebuild their belief system. 

Jadi, sepanjang bulan Ramadhan kali ini, apa salahnya jika kita cuba cabaran 30 hari Matt Cutts? Cuba kita senaraikan perkara-perkara yang tidak pernah kita lakukan pada Ramadhan sebelum ini tetapi kita mahu mencubanya. Contohnya mendermakan RM1 ke tabung masjid selama 30 hari, membeli kurma dan memberi orang lain makan, berbuka puasa dengan sederhana, tidak mengorbankan wang di bazar Ramadhan, memberi makan kepada anak yatim, solat taubat sebelum tidur. 


Perkara yang sering diulang-ulang tiap kali Ramadhan adalah 3 fasa iaitu rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Sedar atau tidak, sudah 7 hari kita berpuasa bermakna sudah hampir tamat fasa pertama. Adakah amalam seharian kita mendekatkan atau menjauhkan kita dari merasa rahmat itu? 

Wallahu'alam. 


p/s:  I am on the 30 day challenge and this Ramadhan, I am going to win!  :D



16 July 2012

Membebel: Lagi Tentang Sahabat

Sewaktu awal mengenal jemaah, saya adalah antara orang yang agak sensitif dan selalu sahaja terasa hati dengan sahabat-sahabat. Ada saja yang tidak kena antara kami.

Seorang dengan panas baran.
Seorang dengan ego yang tinggi.
Seorang itu anak sulung dengan sifat garang dan keras kepala.
Seorang itu pula anak bongsu dengan sifat terlalu manja.
Seorang dengan mulut laser tanpa insurans.
Seorang dengan sifat pendiam dan terlalu senyap.
Seorang kaki movie.
Seorang hantu komik.
Seorang suka menyanyi.

Ahh, banyak betul fiilnya.


Meraikan

Tetapi lama-kelamaan, kami belajar tentang sesuatu perkara. Kami belajar untuk meraikan perangai sahabat yang pelbagai. Asasnya adalah untuk menerima seseorang itu seadanya. Jika yang dilihat padanya kekurangan dan kelemahan, maka wajib juga bagi kita untuk mencari kekuatan dan kelebihannya.

Jika kelemahannya panas baran, mungkin kelebihannya pandai berkata-kata.
Jika kekurangannya ego yang tinggi, mungkin dia sangat mengambil berat tentang sahabat lain.
Jika dia garang dan keras kepala, mungkin juga dia tetap dalam pendirian dan keputusan.
Jika dia terlalu manja, mungkin dia pandai bergurau dan menceriakan sahabat-sahabat yang berduka.
Jika mulutnya laser tanpa insurans, mungkin dia hebat dalam kepimpinan.
Jika dia pendiam dan terlalu senyap, mungkin tarbiyahnya hebat berbanding kita.
Jika dia kaki movie dan hantu komik, mungkin dia lebih hebat berdakwah dan mendekati golongan ‘untapped’.
Jika dia suka menyanyi, mungkin dengan menyanyi itu dapat menarik orang mendekati Islam.

Jadi kenapa perlu kita terlalu fokus kepada kekurangan yang sedikit berbanding kelebihannya yang banyak? Belajarlah untuk menghargai dan meraikan ‘kepelikkan’ dan kepelbagaian sahabat-sahabat kita kerana kita semua mempunyai kelebihan di bidang masing-masing.


Cermin diri

Pernah atau tidak kita terfikir, untuk apa kita berasa marah dan terasa hati dengan sahabat-sahabat sedangkan ada juga perangai kita yang membuat orang lain tidak selesa dan menjengkelkan. Dalam ayat yang mudah, tidak semua orang boleh terima kita 100%.

Untuk apa kita meletakkan expectation yang tinggi kepada orang lain sedangkan expectation diri kita sendiri hampeh?

.
.
.


Khamis lepas di lab.

“Kina, minggu ni (minggu lepas), awak nak buat kerja apa je? Akak nak tengok jadual kerja awak.”

Selak helaian-helaian buku log dan mencari jadual kerja.

“Minggu ni saya buat extraction je kak. Ingat nak buat treatment hujung minggu ni.”

“Kiranya kalau esok awak dah siap buat extraction , hari Sabtu seeding cell, hari Ahad boleh buat treatment. Kalau cell sihat walafiat, Isnin dah boleh buat MTT Assay.”

“Okay kak.”

“Erm, minggu depan (minggu ni) awak nak buat apa pula?”

“Minggu depan saya nak hantar sample untuk HPLC.”

“Ha, okay lah macam tu. Awak boleh settle kan untuk HPLC minggu depan. Isnin depan tu boleh masuk lab balik untuk seeding cell lain.”

“Kalau seeding Jumaat tu tak boleh ke kak?”

“Eh, awak tak balik rumah ke? Puasa pertama kan?”

“Tak balik kot. Akak balik kampung ke?”

“Mestilah balik. Akak balik Jumaat sampai Ahad. Akak rasa hujung minggu tu takde siapa yang masuk lab.”

Terfikir.
Selama ini tak sempat berfikir bila lagi mahu pulang ke rumah.
Buat perkiraan.
Saya nak balik!
Sambut puasa dan terawih pertama bersama orang-orang tersayang.

:)


p/s: Rasa macam nak update blog tentang cara 'memasak' di lab. 

13 July 2012

Entri pendek

Saya perlu update blog.
Entri sudahpun ditulis di dalam word tetapi belum sempat di edit.
Belum sempat dimasukkan ke blog.
Mungkin esok, lusa.

Hari ini, update dua tiga patah.
Buka laptop di sebelah rotary evaporator.
Seminggu dua ini sibuk 'bermain masak-masak' di lab.


Gambar hiasan

Doakan projek saya berjalan lancar.
Doakan supaya saya cepat habis belajar. 
Doakan urusan saya dipermudahkan, dunia dan akhirat.

.
.
.


Kata Prof Muhaya, 
Ada tiga perkara yang paling sukar dilakukan.
Satu, berbuat baik kepada orang yang buat jahat pada kita.
Dua, menjaga nama orang yang sedang diumpat.
Tiga, mengakui kesilapan diri.
Satu, dua dan tiga. 
InsyaAllah kita sama-sama usahakan.

:)


p/s: Ada orang tanya, 'Kina, benda alah tu macam mesin buat kuih je.'
       Adehh. Boleh je kalau nak cuba. 





20 June 2012

Doa Cinta

اللهم إنا نسألك حبك وحب من يحبك وحب عمل يقربنا إلى حبك
Allahumma inna nas aluka hubbak,
wa hubba man yuhibbuk,
wa hubba amalin yuqarribuna ila hubbik

'Ya Allah, sesunguhnya aku memohon kepadamu cinta-Mu
dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu
dan aku memohon kepada-Mu amal perbuatan
yang dapat menghantarkanku kepada cinta-Mu'


"Kakak, ni doa apa?'"

"Ni doa cinta dik,"

"Doa cinta tu apakebenda?"

Panjang lebar kakak terangkan.

Kata kakak, ini doa untuk memohon cinta Allah dan Rasul.
Doa untuk memohon cinta para alim ulama'.
Doa untuk memohon cinta mereka yang soleh solehah.
Doa memohon agar mencintai amal yang dicintai Allah.
Doa memohon jaminan cinta dunia dan akhirat.

MasyaAllah.

"Mana kakak belajar doa ni?"

Kakak senyum lebar, "Doa ni dari hadis, salah satu doa Nabi Daud."

قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم
 كَانَ مِنْ دُعَاءِ دَاوُدَ يَقُولُ
 اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ
 وَالْعَمَلَ الَّذِى يُبَلِّغُنِى حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ
 أَحَبَّ إِلَىَّ مِنْ نَفْسِى وَأَهْلِى وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ.
 قَالَ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم 
 إِذَا ذَكَرَ دَاوُدَ يُحَدِّثُ عَنْهُ قَالَ كَانَ أَعْبَدَ الْبَشَرِ .

Rasulullah s.a.w bersabda: “Di antara doa Nabi Daud a.s ialah: (Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat menyampaikanku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin) Dan bila Rasulullah s.a.w mengingati Nabi Daud a.s, beliau mengatakan dia sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah.” [Riwayat Tirmidzi]




Sahabat, ayuh berdoa memohon cinta!



16 June 2012

Antivirus


Kadang-kadang kita menyombong. Sampai satu ketika, hampir jatuh tersungkur, baru kita tahu tinggi atau rendah langit itu. 

Hampir satu tahun saya menggunakan laptop saya tanpa apa-apa antivirus. Dulu kalau ada sahabat yang mahu guna pendrive di laptop saya, mesti ada yang tanya, ‘Kina, tak scan dulu ke?’. Dengan bangga selamba saya jawab, ‘Laptop saya ni dah lama tak guna antivirus’. Cehh, berlagak sangat. 

Virus-virus hidup bahagia di dalam laptop saya. Dulu saya pernah cuba download antivirus percuma Avira, Norton dan beberapa lagi dari internet. Kemudian saya menghabiskan duit membeli Kaspersky selama dua tahun berturut-turut. Saya kecewa kerana pada tahun kedua membeli Kaspersky, software itu langsung tidak dapat mengesan apa-apa virus.

Sesiapa sahaja yang pernah mencucuk pendrive pada komputer PSZ pasti tahu berapa banyak spesis virus yang diternak dan membiak. Tetapi apabila saya cuba scan pada laptop saya, Kaspersky yang saya beli itu tidak dapat mengesan apa-apa. Saya putus asa. Saya biarkan laptop saya tanpa antivirus.

Minggu lepas, external hardisk saya ternoda. Semua files hilang. Proposal, journal, citations, gambar, bahan tarbiyah, draf thesis dan segala yang penting ada di dalamnya. Panik dua tiga saat, kemudian menenangkan diri. Pergi ke control panel, tukar settings kepada unhide files. Alhamdulillah files di dalam external masih ada rupanya cuma hidden. Cepat-cepat saya buka akaun Dropbox dan upload files yang penting sebagai backup. Lega sebentar.

Dua tiga hari selepas itu saya membelek-belek kembali external hardisk. Virus yang membiak itu telahpun duplicate content dan membuat dummy files. Saya risau. Mahu scan sekalipun, laptop tidak ada apa-apa software antivirus. Saat itu, barulah kelam-kabut mencari antivirus software di internet. Dengan kelajuan internet yang lembab dan mungkin boleh kalah dengan arwah Labu dan Labi sekiranya mereka masih hidup (arwah kura-kura saya), saya tidak berjaya memuat turun apa-apa antivirus. Berlagak tenang.

Semalam internet berlaku baik pada saya. Saya cuba download empat antivirus yang berbeza sekaligus. Hasilnya, hanya dua yang berjaya di download. Saya install satu dahulu, Avira. Cubaan scan pertama menggunakan Avira, 165 virus dikesan dan berjaya dihapuskan. Alhamdulillah. Tetapi files masih lagi hidden jadi saya cuba bertanya kepada Pak Nujum Encik Google. Saya mencuba kaedah command prompt untuk unhide files. Cubaan pertama, files berjaya di unhide pada mulanya. Kemudian kembali hidden. Something’s wrong. Mungkin masih lagi ada virus.

Saya cuba install antivirus kedua, Avast. Kali ini the actual culprit was detected. Dua worm yang degil berjaya dikesan. Saya cuba lagi command prompt untuk unhide files. Alhamdulillah, semua kembali normal. Walaupun virus telahpun dikesan dan dihapuskan, saya scan sekali lagi untuk memastikannya. Cuma yang tinggal sekarang seekor virus yang degil di dalam D: . 



Baiklah.

Cuba bayangkan diri kita seperti laptop, antivirus itu pula seperti ibadah dan virus itu seperti ujian. Contoh ibadah? Membaca Quran, berzikir, solat malam, bersedekah, mengingati mati, puasa, apa-apa sahaja yang mendekatkan diri kita dengan Allah. Virus, ujian kesedihan seperti gagal dalam peperiksaan, kemiskinan, kelaparan, kematian orang tersayang, dikhianati, dirompak, rumah terbakar, eksiden, putus cinta (pfftt). Virus, ujian kegembiraan seperti mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan (ujub, riak, takbur), mendapat kenaikan pangkat, kenaikan gaji, kesenangan hidup, anak-anak yang pandai.

Bayangkan pula apa yang akan berlaku jika suatu hari kita diuji dengan virus. Jika kita diuji, kemudian mengambil pendekatan seperti yang saya lakukan apabila laptop saya dimasukki virus, apa akan berlaku kepada kita? Mula-mula kita mencuba beberapa jenis antivirus, berpuasa, berzikir. Tetapi kita masih lagi diuji. Kemudian kita mencuba pula antivirus lain yang lebih mahal. Kita solat malam dan bersedekah, namun tetap diuji. Apabila semua tidak berjaya, kita putus asa. Kita membiarkan diri tanpa antivirus yakni tanpa beribadah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bukankah itu lebih parah kepada diri?

Putus asa. Jadi kita cuba mencari ketenangan pada yang tidak sepatutnya. Meluahkan perasaan pada sahabat-sahabat. Tidak puas dengan itu, kita meluahkan kepada yang berlainan jantina – buaya friend dan geli friend. Kita TERbuat maksiat, kita TERleka dengan dunia, kita TERubat sementara. Apabila sudah tiada sahabat yang sudi peduli, sudah tiada wang yang dapat membeli ketenangan, sudah kosong jiwa, barulah kita terdesak. Barulah kita mencari kembali ruang-ruang ibadah. Allah, ruginya kita kerana pernah putus asa.

Pada saat itu, apabila terdesak, barulah kita melilau-lilau mencari antivirus. Kita cuba solat seperti dahulu, cuba berzikir dan berpuasa. Iman naik dan turun. Ada ketika kita mampu menjadi orang soleh, ada ketika kita kembali menjadi sahabat syaitan. Ada ketika bibir kita tanpa lesu menyebut zikir, tetapi hati kita busuk merindui maksiat. Something’s wrong. Mungkin masih lagi ada virus. Ahh, kita perlu antivirus yang lebih kuat. Kita cuba pula solat malam, menghadiri majlis ilmu, mendekati orang-orang soleh. Perlahan-lahan kita berusaha membuang virus-virus yang menodai hati.

Jangan biarkan diri menyombong dan berlagak dengan mengatakan kita tidak memerlukan antivirus. 


p/s: Apabila bertembung antara kebaikan dan kemungkaran di depan mata, kenapa kita masih lagi memilih kemungkaran? Hati, ingatlah tentang mati. 

04 June 2012

Just do it

Semasa tahun pertama di UTM, saya baru berjinak-jinak dengan perkataan dakwah. Jika sebelum ini mendalami Islam itu hanya untuk diri sendiri, pada masa itu mendalami Islam untuk orang lain juga. Allah pertemukan saya dengan insan-insan yang cintakan Islam dan berusaha menegakkan syariat. Salah seorangnya adalah Kakak.

“Salam. Kina, malam ni sibuk tak?”
“Wasalam kak. Tak sibuk pun. Kenapa?”
“Akak nak ajak awak pergi jalan-jalan. Pukul 11 malam ni siap ye. Nanti akak datang blok awak.”
“Baik kak, insyaAllah.”

Tanpa banyak soal saya menurut walaupun tertanya-tanya kenapa terlalu lewat sehingga jam 11. Tiba waktunya, Kakak membawa saya ke sebuah pondok berhampiran kolej kediaman perempuan.

“Awak nampak tu?”
Kakak menunjuk kearah sepasang lelaki dan perempuan yang kelihatan sedang mengulangkaji pelajaran.
“Nampak.”
“Akak nak awak pergi kat couple tu, suruh mereka balik.”
“Err, nak cakap macam mana kak? Takkan nak terus halau mereka?”
“Awak cakaplah baik-baik. Sekarang dah lewat malam, tempat ni gelap dan tertutup. Tak elok duduk kat sini.”
Saya masih teragak-agak.
“Pergilah, akak tunggu awak kat sini.”
“Err, takutlah akak. Jomlah pergi sekali. Nanti dia marah Kina macam mana?”

Tangan saya ditarik ke arah pasangan yang berada di pondok itu. Kakak menolak saya ke depan untuk menegur mereka. Saya terdiam. Tiba-tiba Kakak yang bersuara.

“Assalamu’alaikum, dik. Tengah buat apa ni?”
Wajah kedua-dua pasangan itu berubah dan cuak.
“Erm,  kami tengah buat assignment ni. Kenapa ye?”
“Ohh, bukan apa. Ni kan kawasan kolej perempuan. Sepatutnya masa macam ni lelaki tak boleh masuk. Lagi pun tak eloklah kalau duduk berdua kat sini sebab gelap.”
Si lelaki tersengih-sengih dan membalas,
“Ya ke? Okay, okay. Sekejap lagi kami pergi ya. Dah nak habis dah pun.”
“Baik, terima kasih ya. Assalamu’alaikum”
“Wa’alaikumsalam.”

Saya yang hanya menjadi penonton setia sejak dari awal agak kaku. Beraninya Kakak! Kami berjalan menjauhi pasangan tadi tetapi mereka masih berada di tempat yang sama, tidak berganjak. Lalu Kakak menarik tangan saya untuk berhenti.

“Kita tunggu sekejap sampai mereka pergi.”

Saya dan Kakak memandang mereka lama. Setelah sedar mereka diperhatikan barulah mereka mengemaskan barang dan beredar.

Itulah pengalaman pertama yang bertunas kepada pengalaman-pengalaman seterusnya. Siapa kata dakwah itu mudah? Amar makruf, nahi mungkar. Mengajak ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran. Kata Kakak, mengajak orang melakukan kebaikan itu mudah tetapi berapa ramai yang sanggup mencegah kemungkaran?

Satu perkara yang saya pelajari, jika mahu berdakwah kita harus mengikut gerak hati, jangan berfikir dua tiga kali. Sama juga jika mahu melakukan sesuatu yang baik. Ibaratnya kita melihat pasangan berdua-duaan di tempat gelap. Gerak hati kita mengatakan kita perlu menegur mereka, maka ikutlah gerak hati itu. Jika gerak hati itu dibiarkan beberapa ketika, memikirkan pros/cons, gaya penyampaian bagaimana harus diguna, bagaimana reaksi mereka, berani atau tidak kita ini, lama-lama rasa itu mati dan kita akhirnya hanya melihat kemungkaran it tanpa membuat apa-apa.

Just do it. Walaupun itu slogan untuk Nike, itulah kata Kakak.

Terima kasih Kakak. :)