اللهم إنا نسألك حبك وحب من يحبك وحب عمل يقربنا إلى حبك
Allahumma inna nas aluka hubbak,
wa hubba man yuhibbuk,
wa hubba amalin yuqarribuna ila hubbik
'Ya
Allah, sesunguhnya aku memohon kepadamu cinta-Mu
dan cinta orang-orang
yang mencintai-Mu
dan aku memohon kepada-Mu amal perbuatan
yang dapat
menghantarkanku kepada cinta-Mu'
"Kakak, ni doa apa?'"
"Ni doa cinta dik,"
"Doa cinta tu apakebenda?"
Panjang lebar kakak terangkan.
Kata kakak, ini doa untuk memohon cinta Allah dan Rasul.
Doa untuk memohon cinta para alim ulama'.
Doa untuk memohon cinta mereka yang soleh solehah.
Doa memohon agar mencintai amal yang dicintai Allah.
Doa memohon jaminan cinta dunia dan akhirat.
MasyaAllah.
"Mana kakak belajar doa ni?"
Kakak senyum lebar, "Doa ni dari hadis, salah satu doa Nabi Daud."
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Di antara doa Nabi Daud a.s ialah:
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cintaMu
dan cinta orang-orang yang mencintaiMu
dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat menyampaikanku kepada cintaMu.
Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin)
Dan bila Rasulullah s.a.w mengingati Nabi Daud a.s,
beliau mengatakan dia sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah.”
[Riwayat Tirmidzi]
Kadang-kadang kita
menyombong. Sampai satu ketika, hampir jatuh tersungkur, baru kita tahu tinggi
atau rendah langit itu.
Hampir satu tahun
saya menggunakan laptop saya tanpa apa-apa antivirus. Dulu kalau ada sahabat yang
mahu guna pendrive di laptop saya, mesti ada yang tanya, ‘Kina, tak scan dulu
ke?’. Dengan bangga selamba saya jawab, ‘Laptop saya ni dah lama tak guna
antivirus’. Cehh, berlagak sangat.
Virus-virus hidup
bahagia di dalam laptop saya. Dulu saya pernah cuba download antivirus percuma Avira,
Norton dan beberapa lagi dari internet. Kemudian saya menghabiskan duit membeli
Kaspersky selama dua tahun berturut-turut. Saya kecewa kerana pada tahun kedua
membeli Kaspersky, software itu langsung tidak dapat mengesan apa-apa virus.
Sesiapa sahaja yang pernah mencucuk pendrive pada
komputer PSZ pasti tahu berapa banyak
spesis virus yang diternak dan membiak. Tetapi apabila saya cuba scan pada
laptop saya, Kaspersky yang saya beli itu tidak dapat mengesan apa-apa. Saya
putus asa. Saya biarkan laptop saya tanpa antivirus.
Minggu lepas,
external hardisk saya ternoda. Semua files hilang. Proposal, journal,
citations, gambar, bahan tarbiyah, draf thesis dan segala yang penting ada di
dalamnya. Panik dua tiga saat, kemudian menenangkan diri. Pergi ke control
panel, tukar settings kepada unhide files. Alhamdulillah files di dalam
external masih ada rupanya cuma hidden. Cepat-cepat saya buka akaun Dropbox dan
upload files yang penting sebagai backup. Lega sebentar.
Dua tiga hari
selepas itu saya membelek-belek kembali external hardisk. Virus yang membiak
itu telahpun duplicate content dan membuat dummy files. Saya risau. Mahu scan
sekalipun, laptop tidak ada apa-apa software antivirus. Saat itu, barulah
kelam-kabut mencari antivirus software di internet. Dengan kelajuan internet
yang lembab dan mungkin boleh kalah dengan arwah Labu dan Labi sekiranya mereka
masih hidup (arwah kura-kura saya), saya tidak berjaya memuat turun apa-apa
antivirus. Berlagak tenang.
Semalam internet
berlaku baik pada saya. Saya cuba download empat antivirus yang berbeza
sekaligus. Hasilnya, hanya dua yang berjaya di download. Saya install satu
dahulu, Avira. Cubaan scan pertama menggunakan Avira, 165 virus dikesan dan
berjaya dihapuskan. Alhamdulillah. Tetapi files masih lagi hidden jadi saya cuba
bertanya kepada Pak Nujum Encik Google. Saya mencuba kaedah command prompt
untuk unhide files. Cubaan pertama, files berjaya di unhide pada mulanya.
Kemudian kembali hidden. Something’s wrong. Mungkin masih lagi ada virus.
Saya cuba install
antivirus kedua, Avast. Kali ini the actual culprit was detected. Dua worm yang
degil berjaya dikesan. Saya cuba lagi command prompt untuk unhide files. Alhamdulillah,
semua kembali normal. Walaupun virus telahpun dikesan dan dihapuskan, saya scan
sekali lagi untuk memastikannya. Cuma yang tinggal sekarang seekor virus yang
degil di dalam D: .
Baiklah.
Cuba bayangkan diri
kita seperti laptop, antivirus itu pula seperti ibadah dan virus itu seperti
ujian. Contoh ibadah? Membaca Quran, berzikir, solat malam, bersedekah, mengingati
mati, puasa, apa-apa sahaja yang mendekatkan diri kita dengan Allah. Virus, ujian
kesedihan seperti gagal dalam peperiksaan, kemiskinan, kelaparan, kematian
orang tersayang, dikhianati, dirompak, rumah terbakar, eksiden, putus cinta
(pfftt). Virus, ujian kegembiraan seperti mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan
(ujub, riak, takbur), mendapat kenaikan pangkat, kenaikan gaji, kesenangan
hidup, anak-anak yang pandai.
Bayangkan pula apa
yang akan berlaku jika suatu hari kita diuji dengan virus. Jika kita diuji,
kemudian mengambil pendekatan seperti yang saya lakukan apabila laptop saya
dimasukki virus, apa akan berlaku kepada kita? Mula-mula kita mencuba beberapa
jenis antivirus, berpuasa, berzikir. Tetapi kita masih lagi diuji. Kemudian kita
mencuba pula antivirus lain yang lebih mahal. Kita solat malam dan bersedekah,
namun tetap diuji. Apabila semua tidak berjaya, kita putus asa. Kita membiarkan
diri tanpa antivirus yakni tanpa beribadah untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Bukankah itu lebih parah kepada diri?
Putus asa. Jadi
kita cuba mencari ketenangan pada yang tidak sepatutnya. Meluahkan perasaan
pada sahabat-sahabat. Tidak puas dengan itu, kita meluahkan kepada yang
berlainan jantina – buaya friend dan geli friend. Kita TERbuat maksiat, kita
TERleka dengan dunia, kita TERubat sementara. Apabila sudah tiada sahabat yang
sudi peduli, sudah tiada wang yang dapat membeli ketenangan, sudah kosong jiwa,
barulah kita terdesak. Barulah kita mencari kembali ruang-ruang ibadah. Allah,
ruginya kita kerana pernah putus asa.
Pada saat itu, apabila
terdesak, barulah kita melilau-lilau mencari antivirus. Kita cuba solat seperti
dahulu, cuba berzikir dan berpuasa. Iman naik dan turun. Ada ketika kita mampu
menjadi orang soleh, ada ketika kita kembali menjadi sahabat syaitan. Ada
ketika bibir kita tanpa lesu menyebut zikir, tetapi hati kita busuk merindui
maksiat. Something’s wrong. Mungkin masih lagi ada virus. Ahh, kita perlu antivirus
yang lebih kuat. Kita cuba pula solat malam, menghadiri majlis ilmu, mendekati
orang-orang soleh. Perlahan-lahan kita berusaha membuang virus-virus yang menodai
hati.
Jangan biarkan diri
menyombong dan berlagak dengan mengatakan kita tidak memerlukan antivirus.
p/s: Apabila
bertembung antara kebaikan dan kemungkaran di depan mata, kenapa kita masih
lagi memilih kemungkaran? Hati, ingatlah tentang mati.
Semasa tahun
pertama di UTM, saya baru berjinak-jinak dengan perkataan dakwah. Jika sebelum
ini mendalami Islam itu hanya untuk diri sendiri, pada masa itu mendalami Islam
untuk orang lain juga. Allah pertemukan saya dengan insan-insan yang cintakan Islam
dan berusaha menegakkan syariat. Salah seorangnya adalah Kakak.
“Salam. Kina, malam
ni sibuk tak?”
“Wasalam kak. Tak
sibuk pun. Kenapa?”
“Akak nak ajak awak
pergi jalan-jalan. Pukul 11 malam ni siap ye. Nanti akak datang blok awak.”
“Baik kak,
insyaAllah.”
Tanpa banyak soal saya menurut walaupun
tertanya-tanya kenapa terlalu lewat sehingga jam 11. Tiba waktunya, Kakak membawa
saya ke sebuah pondok berhampiran kolej kediaman perempuan.
“Awak nampak tu?” Kakak menunjuk kearah sepasang lelaki dan perempuan yang kelihatan sedang
mengulangkaji pelajaran.
“Nampak.”
“Akak nak awak
pergi kat couple tu, suruh mereka balik.”
“Err, nak cakap
macam mana kak? Takkan nak terus halau mereka?”
“Awak cakaplah
baik-baik. Sekarang dah lewat malam, tempat ni gelap dan tertutup. Tak elok
duduk kat sini.”
Saya masih
teragak-agak.
“Pergilah, akak
tunggu awak kat sini.”
“Err, takutlah
akak. Jomlah pergi sekali. Nanti dia marah Kina macam mana?”
Tangan saya ditarik
ke arah pasangan yang berada di pondok itu. Kakak menolak saya ke depan untuk menegur
mereka. Saya terdiam. Tiba-tiba Kakak yang bersuara.
“Assalamu’alaikum,
dik. Tengah buat apa ni?”
Wajah kedua-dua
pasangan itu berubah dan cuak.
“Erm, kami tengah buat assignment ni. Kenapa ye?”
“Ohh, bukan apa. Ni
kan kawasan kolej perempuan. Sepatutnya masa macam ni lelaki tak boleh masuk.
Lagi pun tak eloklah kalau duduk berdua kat sini sebab gelap.”
Si lelaki
tersengih-sengih dan membalas,
“Ya ke? Okay, okay.
Sekejap lagi kami pergi ya. Dah nak habis dah pun.”
“Baik, terima kasih
ya. Assalamu’alaikum”
“Wa’alaikumsalam.”
Saya yang hanya
menjadi penonton setia sejak dari awal agak kaku. Beraninya Kakak! Kami berjalan
menjauhi pasangan tadi tetapi mereka masih berada di tempat yang sama, tidak
berganjak. Lalu Kakak menarik tangan saya untuk berhenti.
“Kita tunggu
sekejap sampai mereka pergi.”
Saya dan Kakak
memandang mereka lama. Setelah sedar mereka diperhatikan barulah mereka
mengemaskan barang dan beredar.
Itulah pengalaman
pertama yang bertunas kepada pengalaman-pengalaman seterusnya. Siapa kata
dakwah itu mudah? Amar makruf, nahi mungkar. Mengajak ke arah kebaikan, mencegah
kemungkaran. Kata Kakak, mengajak orang melakukan kebaikan itu mudah tetapi
berapa ramai yang sanggup mencegah kemungkaran?
Satu perkara yang
saya pelajari, jika mahu berdakwah kita harus mengikut gerak hati, jangan
berfikir dua tiga kali. Sama juga jika mahu melakukan sesuatu yang baik. Ibaratnya kita melihat pasangan berdua-duaan di tempat
gelap. Gerak hati kita mengatakan kita perlu menegur mereka, maka ikutlah gerak
hati itu. Jika gerak hati itu dibiarkan beberapa ketika, memikirkan pros/cons, gaya penyampaian bagaimana harus diguna, bagaimana reaksi mereka, berani atau tidak kita ini, lama-lama
rasa itu mati dan kita akhirnya hanya melihat kemungkaran it tanpa membuat
apa-apa.
Just do it. Walaupun itu
slogan untuk Nike, itulah kata Kakak.
Tujuan entri ini ditulis adalah kerana saya sendiri tidak tahu kenapa saya semakin kurang menulis.
Kata orang, kita tidak menulis atau kurang menulis kerana kita kurang membaca. Bila kurang membaca, kita kurang berfikir, kurang idea, kurang ilham untuk menulis. Saya kurang setuju.
Menulis tentang buku
Saya hantu buku. Ini bukan untuk dibanggakan. Ada sebab kenapa saya menggunakan perkataan hantu berbanding peminat buku, pencinta buku. Kadang-kadang terlalu obses dengan buku banyak juga mudharatnya, tanyalah Mama dan Babah kalau anda berani.
Walaupun saya kira saya ini hantu buku, saya tidak pernah menulis tentang buku yang saya baca. Dan soalan yang paling saya malas untuk jawab adalah kenapa.
"Awak bacalah buku ni, best."
"Ya ke? Cuba awak cerita je kat saya apa isinya."
"Ah, malaslah. Apa yang saya cerita tak sama dengan apa yang awak baca."
"Kalau macam tu, awak tulis je sinopsis buku ni kat blog awak. Nanti saya baca."
Kalau ada yang pernah melalui situasi begini dengan saya, saya minta maaf. Rasanya, sebab utama kenapa saya kurang berminat untuk menulis sinopsis atau ulasan buku adalah it kills the story itself.
Contohnya, saya kenal beberapa orang sahabat yang mempunyai perangai yang sama apabila membaca buku atau novel. Mereka akan membaca beberapa helaian awal buku itu, kemudian beberapa helaian tengah dan beberapa helaian akhir buku itu. Kemudian, apabila mereka sudah tahu jalan cerita buku tersebut, barulah mereka membacanya. I mean, what's the point in doing that?
Sama juga jika saya menulis sinopsis sesebuah buku. Rasa ingin tahu apabila membaca novel itu serta merta dibunuh dari
awal. Kalau sudah tahu jalan ceritanya, buat apa teruskan bacaan? Dan semestinya, emosi semasa membaca itu lain. Setiap ayat di dalam buku itu memainkan peranan.
Saya tahu, pandangan saya ini berat sebelah kepada mereka yang sama hantu buku juga. Mungkin mereka yang kurang berminat pada buku lebih suka membaca sinopsis. Terpulang.
Jadi soalnya, kenapa saya kurang menulis.
Menulis tentang hal peribadi dan pengalaman
Kata orang, apa yang kita tulis melambangkan peribadi kita.
Saya adalah stalker tidak rasmi di beberapa blog milik mereka yang langsung tidak saya kenali. Saya sangat suka membaca tulisan mereka kerana mereka bercerita soal pengalaman mereka belajar di luar negara, tentang minat dan kesukaan mereka. Mereka menulis tentang keluarga, tentang suami atau isteri mereka, tentang anak-anak mereka, tentang resipi baru yang dicuba, tentang hati yang remuk, perasaan gembira dan bermacam-macam lagi.
Mungkin saya suka membaca tulisan mereka kerana saya sendiri tidak mampu menulis tentang semua itu. Saya tidak mahu menulis tentang apa yang saya suka dan tidak suka. Saya tidak mahu menulis tentang kekurangan dan kelemahan saya. Saya tidak mahu menulis tentang perasaan saya.
Bukankah semua itu eksklusif untuk orang yang lebih berhak mengetahuinya? Eksklusif untuk mereka yang sepatutnya terlebih dahulu mengenali kita berbanding strangers on the net.
Saya pernah berkongsi rasa dengan seorang sahabat, mengapa saya tidak
mahu dan tidak berminat untuk menjadi AJK Makanan dalam apa-apa program
sekalipun jika saya perlu memasak. Mengapa dahulu saya mengelak untuk
berada di pantri semasa mesyuarat di pejabat MPP. Kalau tak faham, tak mengapa. Saya juga malas untuk menerangkan panjang lebar.
Ada beberapa perkara peribadi yang pernah saya kongsikan di blog saya sebelum ini tetapi ia tidak melampaui hak eksklusif yang saya maksudkan. Contohnya tulisan saya tentang arwah Tok Ayah dan Tok Bibi. Tulisan tentang Mama dan Babah.
Konklusi
Terlebih dahulu, saya mahu berterima kasih kepada mereka yang sudi meluangkan masa membaca entri ini. Entri ini sebenarnya adalah alasan semata-mata kenapa saya kurang menulis sedangkan banyak lagi sebab mengapa saya perlu menulis.
Entri ini tiada kaitan dengan fatwa mengenai perhimpunan Bersih.
Tahun ni ramai sungguh sahabat-sahabat yang akan menamatkan zaman bujang dan menikah. Bulan Mei dan Jun sahaja, sudah banyak undangan yang diterima. Antaranya,
Alhamdulillah, barakallahu lakuma wabarakah. Maka menangislah syaitan-syaitan serta keturunannya.
Baiklah, getting to the main topic.
Sebenarnya entri hari ini bukanlah untuk mengiklankan walimah sahabat-sahabat tetapi untuk bercakap soal bersolek dan berdandan yang sinonim dengan wanita, lebih-lebih lagi bagi yang akan melangsungkan majlis perkahwinan.
Tudung
Aihh, bab tudung. Bab yang paling memerlukan kesabaran untuk menerangkannya kerana tidak semua orang dapat menerima. Saya sangat suka video Ustaz Don mengenai syarat bertudung kerana Ustaz juga ada menekankan bertudung di hari perkahwinan.
Saya agak tersentap mendengar kata Ustaz, "Hari kahwin Allah laknat, macam mana nak dapat zuriat yang baik?". Hari yang sepatutnya diberkati Allah akan dilaknat sekiranya wanita itu tidak menutup aurat dengan betul, contohnya memasukkan tudung ke dalam baju.
Apatah lagi yang memakai 'bonggol unta' di atas kepala, tudung yang jarang sehingga menampakkan leher dan dada (contoh: beberapa jenis tudung bawal), tudung yang melekat ke dada dan menampakkan tali baju dalam (contoh: tudung jenis lycra), tudung adik (contoh: tudung instant saiz S) dan pelbagai lagi jenis fesyen tudung.
Saya sangat, sangat, sangat memohon supaya adik-adik, kakak-kakak dan abang-abang dapat menonton video di atas.
Selain tudung, dilaknat juga jika melakukan perkara-perkara lain yang haram.
Bulu Mata Palsu
Saya agak pelik melihat mereka-mereka yang suka dan meminta untuk memakai bulu mata palsu. Sudahlah berat (ini kata orang yang pernah pakai), gaya macam labah-labah pun ada.
Rasulullah s.a.w. menegaskan: “Allah melaknat wanita yang menyambung rambutnya dan meminta rambutnya disambung.” [Shahih al-Bukhari, no: 5934].
Menyambung rambur disini termasuklah mengambil rambut orang lain dan menyambung ke rambut sendiri atau pun memakai rambut sintetik (palsu). Jika diikutkan kaedah qiyas (analogi), maka dilarang juga memakai bulu palsu sama ada di kening atau kelopak mata. Tidak dibezakan sama ada rambut palsu atau bulu palsu itu adalah daripada makhluk lain atau buatan manusia, ia tetap dilarang.
Cukur Kening
Saya pernah menjadi fotografer tidak rasmi seorang kenalan yang melangsungkan walimah. Semasa disolek, mak andam bertanya kepadanya, 'Kening ni nak trim tak?' Saya tersentak, berbalas pandangan dengan sahabat di sebelah.
'Trim je lah kak, serabut betul saya tengok tebal-tebal ni.' Kali ini bukan sahaja tersentak, malah beristighfar berkali-kali dalam hati. Sahabat di sebelah cuba untuk menasihati,
'Awak, cukur kening tu kan haram?'.
'Alah, sekali ni je pun. Bukan hari-hari kita kahwin kan?' Jawabnya sambil tersengih.
Hilang mood untuk mengambil gambar.
“Allah melaknat wanita yang memasang dan
dipasang rambut palsu, wanita yang mencukur bulu alis dan dicukurkan
bulu alis dan wanita yang dibuat tatoo dan dibuatkan tatoo” (HR. Bukhari
no. 5937 dan Muslim no. 2124)
Sudah terang lagi bersuluh hukumnya, nak hujah apa lagi?
MUA terlampau
Perlu kita ingat, soal hukum bukanlah sesuatu yang main-main dan remeh-temeh. Misalnya, jika meminum arak itu haram dan berdosa besar, maka orang yang membuat arak itu juga berdosa. Orang yang menghantar arak itu ke kedai-kedai juga berdosa. Orang yang menjual arak juga berdosa. Orang yang mempromosikan arak juga berdosa. Begitulah hukumnya.
Dalam soal ini, Make-up Artist (MUA) atau mak andam (termasuklah makcik, sepupu atau saudara mara) sendiri akan dilaknat oleh Allah kerana mencukur bulu kening dan memakaikan bulu mata palsu pada orang lain.
Kadang-kadang, mereka yang telah jelas soal hukum tiada masalah untuk menolak perkara-perkara ini. Soalnya jika ada saudara-mara yang sangat berkeras untuk menyolek dan mendandan seperti yang disebutkan diatas.
'Ni kenapa bulu mata tenggelam, tak nampak? Pakaikan bulu mata palsu tu baru nampak seri.'
'Kening kamu ni berserabut sangat, trim lah sikit. Bukannya nak cukur semua pun, sikit je bagi nampak kemas.'
'Pakai tudung macam ni tak cantiklah nak pakai masa kahwin. Sama je macam hari-hari lain. Cuba buat fesyen macam ni.'
Remember, it's your wedding, it's your face, it's your right. Anda juga berhak untuk berkeras mengatakan tidak. Cuba untuk menolak secara lembut dan berikan penjelasan sebaik-baiknya. Kita juga bertanggungjawab untuk menyampaikan.
Wallahu'alam.
Sumber:
1. Shahih al-Bukhari
2. Shahih Muslim
3. Jakim
4. MyIbrah.com
p/s: Jika perkara yang disebut di atas haram dan dilaknat Allah pada hari perkahwinan, macam mana pula dengan mereka yang melakukannya di hari-hari lain? Ini belum lagi termasuk baju yang ketat, hiburan yang lagha, majlis yang mengabaikan solat fardhu, tetamu yang tidak dijaga ikhtilat...
Entri ini dikhuatiri menyebabkan masalah hati yang kronik bagi mereka yang masih bujang. Oleh itu, entri ini tidak sesuai untuk mereka yang kemaruk mahu berkahwin tetapi tidak boleh berkahwin dalam masa terdekat. Pembacaan lanjut adalah dibawah tanggungan risiko sendiri.
Realiti hubungan
Beberapa hari lalu, saya terjumpa sebuah filem pendek di Youtube yang telah ditonton sebanyak 9, 449, 913 kali. Sembilan juta bukanlah statistik yang biasa kita jumpa untuk video-video picisan yang selalunya ada di Youtube. Rupanya filem pendek itu berkisar tentang suatu hubungan yang lazimnya akan melalui 7 fasa.
Perlu diingatkan, filem ini memberikan contoh hubungan antara dua orang
yang masih belum berkahwin dan filem ini bukanlah genre Islamik. Kita akan kaitkan dengan contoh hubungan
perkahwinan pula.
Fasa 1: Jumpa - Pertama kali berjumpa sehingga tempoh bertunang
Fasa 2: Baru berkahwin – Tempoh berkenalan dengan lebih mendalam
Fasa 3: Bulan madu – Kemaruk bercinta dan berjanji sehidup semati
Fasa 4: Selesa - Keadaan terlalu selesa dan kurang menarik
Fasa 5: Jarak – Salah faham, tidak berusaha untuk memahami antara satu sama lain
Fasa 6: Jatuh - Bergaduh, tidak berkomunikasi, tidak dapat menyelesaikan masalah
Fasa 7: Antara dua - bercerai atau perbaiki?
Setuju atau tidak, kebanyakkan (bukan semua) hubungan akan menjadi sebegini? Apabila hubungan memasuki Fasa ke-4, kita perlu berjaga-jaga. Jika di awal perkahwinan isteri selalu berpakaian cantik dan wangi di depan suami, selepas anak ketiga dilahirkan, isteri hanya berkain batik, bersanggul dan bertempek bedak sejuk. Jika di awal perkahwinan tumpuan hanya pada suami, selepas beberapa tahun tumpuan hanya pada anak-anak. Makanya, masing-masing perlu berusaha mencari semula 'spark' antara satu sama lain. Jika tidak, kita akan perlahan-lahan memasuki Fasa ke-5 dan ke-6.
Secara jujurnya, mungkin topik ini tidak sesuai untuk saya ulaskan, lebih-lebih lagi kerana saya sendiri masih belum berkahwin. Tetapi saya hanya mahu membandingkan situasi yang kebanyakkan ini dengan situasi minoriti yang ada.
Minoriti yang bahagia
Hujung minggu lalu, Allah pertemukan saya dengan seorang insan yang membuat saya kagum dan meragui persepsi 7 Fasa dalam kebanyakkan hubungan. Allah pertemukan saya dengan dengan Kak Mis. Pertama kali melihatnya, saya menjangkakan umurnya lewat 20-an. Tubuhnya kecil dan genit, gayanya sempoi dengan t-shirt labuh dan seluar slack. Kak Mis merupakan seorang guru PASTI dan juga membuka nurseri di rumahnya.
"Ini bukan isteri saya, ini anak sulung saya," gurau En. Zaidi, suami Kak Mis.
Memang benar, jika dilihat sendiri, Kak Mis kelihatan muda, hyperactive dan keanak-anakkan. Jika berjalan seiring dengan suaminya, pasti ramai yang tidak percaya mereka adalah suami isteri. Bukan itu sahaja, pasti ramai tidak percaya mereka telahpun 17 tahun berkahwin! Ya, 17 tahun! Umur Kak Mis sudah mencecah 38 tahun dan anak sulungnya sudah pun 14 tahun.
"Kina, akak nak ambil gambar di atas sana tu. Awak tolong ambil gambar akak ye," Kak Mis menunjuk ke arah sebuah pondok di atas pokok sambil tersenyum lebar. Biar betul Kak Mis ni?
"Abang, jom kita panjat atas tu! Jomlah abang." Kak Mis memanggil En. Zaidi.
Kami yang masih bujang ini bergelak ketawa melihat keletah mereka. Masakan tidak, mereka tidak ubah seperti pasangan yang baru berkahwin dan bercinta. MasyaAllah.
"Zaman akak kahwin dulu-dulu manalah nak ada outdoor photography tu semua. Jadi sekarang ni barulah nak merasa. Bila lagi kan?" Tersenyum.
Sambung Kak Mis lagi, "Kalau Kina nak tahu, inilah namanya hikmah bercinta selepas kahwin. Kita tidak akan pernah rasa puas berkenalan antara satu sama lain."
Kata Kak Mis, dia dan suami kenal dan berkahwin bukanlah melalui Baitul Muslim. Walaupun tidak sama fikrah pada awalnya, mereka cepat serasi dan belajar untuk menerima masing-masing seadanya. Saling melengkapi. Kak Mis banyak berkongsi buah fikiran dan pandangan mengenai Baitul Muslim. Katanya paling penting dalam rumahtangga adalah sikap toleransi dan jangan mengharap pada kesempurnaan. Dalam rumah tangga, pasti ada pasang surutmya. Tetapi dengan bertoleransi dan tidak mengharap pada kesempurnaan, insyaAllah setiap masalah dapat ditangani dengan baik.
Bercerita tentang Kak Mis, kenalannya Cik Yati menambah, "Haritu akak singgah rumah Mis. Akak nampak Zaidi mandikan budak-budak nurseri. Ada sekali tu akak datang, Zaidi tengah dodoikan budak sambil tersengguk-sengguk. Bagus Zaidi tu, tak berkira kalau nak buat kerja remeh-temeh macam tu."
MasyaAllah, masyaAllah.
Dari kisah Kak Mis, entri ini bukanlah untuk membuat sahabat-sahabat yang masih bujang berangan ke langit dan menambah masalah hati. Entri ini sebagai renungan dan muhasabah kepada kita yang masih bujang supaya berusaha menjadi minoriti yang bahagia hingga ke tua dan bukannya kebanyakkan yang merana hingga ke tua.
Bagaimana caranya?
1. Lihatlah hikmah bercinta selepas berkahwin dan elakkanlah bercinta mati-matian sebelum kahwin.
2. Janganlah terlalu mengharap kepada kesempurnaan dan terimalah kelemahan masing-masing.
3. Paling penting, raihlah cinta Allah dan Rasul sebelum meraih cinta manusia.
Soal mengharap kesempurnaan
'Jika mahu yang sempurna, jadilah orang yang berusaha ke arah kesempurnaan dahulu'.
Ramai sungguh umat manusia yang melaungkan ayat retorik di atas. Seringkali kita meletakkan expectation yang menggunung untuk mencari pasangan hidup
kita tetapi berapa ramai yang benar-benar muhasabah diri untuk membaiki
kelemahan? Jika kita terlalu meletakkan kesempurnaan atau kelebihan sebagai asbab
mengahwini seseorang, maka perasaan itu akan berubah menjadi kekecewaan
apabila hilang kelebihan pada dirinya.
Apabila kita sedar bahawa kesempurnaan pada pasangan itu tidak wujud selepas berkahwin, pada masa itulah mulanya Fasa ke-4, kemudian Fasa ke-5 dan ke-6, dan pada Fasa ke-7, bergoyanglah Arasy Allah apabila pasangan bercerai. Naudzubillah.
Kisah ahli jemaah
Masih ramai ahli jemaah yang berpendirian untuk mencari pasangan
hidup yang mempunyai fikrah sama dan melalui pakej tarbiyah yang
lengkap. Alasan mereka, jika sama fikrah pasti lebih mudah bergerak
kerja. Pasti akan lebih mudah serasi kerana proses tarbiyah yang sama.
Pasti akan bercinta hingga ke syurga kerana mudah memahami. Sehinggakan ada
ahli jemaah meletakkan Key Performance Index (KPI) bagi mencari calon
suami atau isteri 'sempurna'.
1. Qiamullail setiap hari
2. Pandai mengaji dan bertaranum
3. Tudung labuh bulat
4. Berserban, minium berkopiah
5. Aktif dalam gerak kerja jemaah
6. Usrah setiap minggu
7. Solat jemaah setiap waktu di masjid, surau tak dikira
8. Puasa sunat setiap Isnin dan Khamis tanpa alasan
9. Boleh berpidato dan berhujah sekiranya perlu
10. Sejuk mata memandang
11. Tinggi 160 cm ke atas, berat badan tidak boleh melebihi 50kg
12. Muka licin, pandai berhias
13. Pandai memasak makanan yang kita gemari
14. Boleh menjadi imam solat terawih
15. Hafal sekurang-kurangnya 5 juz Quran
16. And the list goes on..
Kefahaman beginilah yang melemaukan jemaah kerana tidak habis-habis soal
'settle tahun akhir' hingga rasa terpaksa dan dipaksa kerana sampai ke
sudah tidak menjumpai calon 'sempurna' pilihan hati. Tidak semestinya
yang sama fikrah itu kekal bahagia jika masing-masing tidak serasi.
Tidak semestinya yang tidak ditarbiyah itu kurang iman atau amalnya.
Semoga Allah memelihara kita yang masih belajar tentang kehidupan ini, dari diuji dengan apa yang kita katakan. Wallahu'alam.
P/S: Terima kasih Kak Mis yang comel sebab bagi kebenaran untuk cerita tentang akak. :D
Berkali-kali Tuhan menyelamatkan aku dari kelemasan.
Lemas dengan dunia.
Lemas dengan dosa.
Berkali-kali juga aku bersyukur.
Betapa dalam ramainya umat manusia,
Tuhan masih sudi menyayangi aku yang hina.
Aku kira, bukan sekali dua aku punyai pilihan.
Malah seringkali berada di persimpangan.
Lalu Tuhan dengan halus mencampakkan rasa dalam hati.
Cukup halus, sampaikan rasa itu pudar jika tidak dihayati dan dihargai.
Kiranya esok Tuhan tidak lagi sudi menyelamatkan aku dari lemas, harus bagaimana?
Puisi cinta kalam Tuhan, Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun. Tetapi manusia itulah yang menzalimi dirinya sendiri.
Yunus, 44.
Suami.
Kononnya cinta pada si isteri. Bekerja siang malam mencari nafkah.
Membeli rumah dan kereta besar. Membeli barang kemas sebagai hadiah.
Tetapi sayang, tidak pernah menyuruh isteri solat. Tidak pernah mengajak
isteri berpuasa. Tidak sanggup menegur salah isteri kerana terlalu
cintakannya. Tiak mahu mengajar isteri taat kepada perintah Allah. Lalu,
isteri yang konon dicintainya itulah yang menariknya ke api neraka
bersama dengannya. Cintakah itu? Penipu.
Ayah.
Kononnya sayang pada anak perempuannya. Bekerja keras setiap hari untuk
memberi wang belanja. Membeli pakaian baru setiap bulan. Menghantar
anaknya ke sekolah berprestij. Tapi sayang, baju yang dibeli setiap
bulan itu tidak menutup aurat. Sekolah yang dihantarnya itu tidak
mengajar agama. Anak gadisnya tidak mengenal Quran, tidak mengetahui
hukum syariat. Lalu, anak gadis yang kononnya disayangi itulah yang
menariknya ke neraka jahanam bersama dengannya. Sayangkah itu? Penipu.
Abang dan adik. Kononnya kasih pada kakak dan adik perempuannya.
Mengajar mereka subjek yang tidak difahami. Memarahi lelaki lain yang
mengusik. Menjaga mereka apabila ibu bapa tiada. Tetapi sayang,
dibiarkan sahaja kakak dan adik perempuannya itu keluar tanpa menutup
aurat. Dilihat sahaja mereka tidak bangun untuk solat. Diam sahaja
melihat mereka berbuat maksiat. Lalu, kakak dan adik perempuannya yang kononnya dikasihi itulah yang menariknya ke neraka bersama dengannya. Kasihkah itu? Penipu.
Anak lelaki. Kononnya sayang pada si ibu. Kiriman wang setiap bulan tidak putus-putus. Digajikan pula seorang pembantu rumah untuk meringankan beban. Setiap
minggu dijenguk ibunya dirumah. Tetapi sayang, dia tidak pernah menyuruh
ibunya bertudung. Dia tidak sanggup menegur ibunya yang tidak solat.
Dia membiarkan ibunya buta Al-Quran. Lalu, ibu yang kononnya disayangi itulah yang menariknya ke pintu neraka bersama dengannya. Sayangkah itu? Penipu.
Wanita itu penipu.
Isteri. Kononnya
cinta pada si suami. Berhias cantik-cantik dan memakai wangian. Memasak
makanan kegemarannya. Menjaga rumahtangga dengan baik.
Ibu.
Kononnya sayang pada anak-anak. Makan dan pakaian mereka selalu
terjaga. Sanggup berjaga siang dan malam. Bekerja keras untuk menampung
belanja keluarga.
Kakak dan adik. Kononnya kasih pada abang dan adik lelakinya. Menjaga mereka apabila ibu bapa tiada. Memasak, mengemas, mengurus.
Anak perempuan.
Kononnya sayang pada ayahnya. Setiap bulan mengirimkan wang gaji.
Setiap malam telefon bertanya khabar. Setiap bulan pulang ke kampung
menjenguk si ayah.
Tetapi
sayang, wanita itu sengaja membiarkan auratnya menjadi tontonan umum. Setiap uraian rambutnya ditayangkan kepada lelaki bukan mahram. Pakaiannya ketat dan sendat. Tudungnya sekadar fesyen, sekadar menutup mulut orang. Gambarnya begitu murah ditayangkan di laman sosial. Solatnya
sering sahaja diambil ringan dan dilewat-lewatkan. Puasanya tidak pernah sempurna. Quran
jarang sekali dibaca, apatah lagi yang tidak tahu membacanya. Seringkali
mengumpat dan memfitnah. Duitnya tidak pernah cukup untuk membeli
segala jenis barang perhiasan dan barang kemas.
Lalu dialah menjadi penyebab
suaminya ditarik ke neraka bersamanya. Cintakah itu? Penipu.
Apabila suaminya tiada, dialah yang bakal menarik anak-anak lelakinya ke neraka. Sayangkah itu? Penipu.
Jika dia tiada suami dan anak-anak, dialah yang akan menarik ayahnya ke neraka. Sayangkah itu? Penipu.
Apabila ayahnya sudah tiada, dialah yang bakal menarik abang dan adik lelakinya ke neraka. Kasihkah itu? Penipu.
Wahai wanita, cukuplah anda menjadi punca lelaki yang anda cintai, kasihi dan sayangi ditarik ke dalam api neraka.
Cukup-cukuplah kita semua menjadi penipu.
.
Saya teringat perbualan seorang sahabat dengan temannya.
"Awak tahu tak bila awak pakai macam ni, ayah awak akan menderita dalam kubur?"
"Ishh, janganlah cakap macam tu,"
"Habis tu, nak saya puji awak pakai macam ni? Awak kata awak sayangkan ayah awak, betul? Dia dah meninggal dunia sekalipun, dia menanggung dosa-dosa awak. Diseksa dalam kubur. Awak, bertaubatlah."
Dalam usrah kami, selalunya ada sesi luahan perasaan dan perkongsian pendapat. Dan tajuk yang paling popular mestilah masalah hati. Ahh, tak sudah-sudah dengan masalah hati kan?
"Ana rasa tak selesa muslimin tu selalu mesej ana. Ana tahu dia nak bincang tentang gerak kerja, tapi ana risau timbul perasaan lain."
"Saya tak suka meeting dengan muslimin tu. Setiap kali meeting mesti dia pandang saya lain macam."
"Aku risau kalau aku mesej muslimat tu, dia akan perasan aku suka dia."
"Saya rasa susah sangat nak jaga hati bila berdepan dengan dia."
"Ana takut masalah hati!"
Sounds familiar?
Kadang-kadang apabila bersemuka dengan mereka yang berlainan jantina, tidak kiralah sama ada SMS, YM, Facebook, mesyuarat, projek berkumpulan atau apa sahaja, kita perlu menggunakan meter hati.
Bayangkan hati anda seperti meter dan nilai neutralnya berada di takah 0. Selama mana meter hati anda berada pada takah 0 ke bawah, anda berada di Zon Selamat. Jika anda melampaui batas walau sedikit, pasti meter itu akan naik ke takah yang lebih tinggi. Bayangkan takah 0-30 merupakan Zon Jaga-jaga dan takah 30-60 merupakan Zon Bahaya.
Baiklah, mari kita aplikasikan meter hati dengan contoh praktikal. Katakan anda sedang menghadiri mesyuarat persatuan.
"Hari ini kita akan berbincang mengenai progress gerak kerja untuk program minggu hadapan. Saloma, boleh awak bentangkan progress unit awak?"
"Unit saya akan bla bla bla dan kami telah pun bla bla bla. Masalah yang kami hadapi adalah bla bla bla dan penyelesaiannya adalah bla bla bla."
"Bagus, kamu sangat teliti." Senyum sedikit.
Meter hati Cik Saloma naik ke takah 10.
Selesai pembentangan setiap kumpulan, pengerusi mesyuarat berkata, "Saya mahu setiap unit merujuk kepada Saloma untuk kelancaran unit masing-masing." Lagi sekali tersenyum ke arah Cik Saloma.
Meter hati Cik Saloma naik ke takah 20.
Usai mesyuarat, pengerusi berjumpa terus dengan Cik Saloma dan berkata, "Good job!" Sambil tersenyum lagi.
Meter hati Cik Saloma naik ke takah 30.
Malam itu, encik pengerusi mesyuarat tadi ber'YM' dengan Cik Saloma.
"Esok tolong hantarkan paperwork yang saya minta siang tadi ya."
"Baiklah."
"Saya suka cara awak buat kerja. :D " Takah 40, Zon Bahaya.
.
.
.
Apa yang terjadi selepas itu, anda yang tentukan. Analisa ringkas yang boleh kita buat adalah:
1. Wanita ni memang cepat perasan, jadi encik lelaki, sila jangan bagi signal salah - senyum-senyum, puji-puji, pandang-pandang.
2. Lelaki kadang-kadang tak maksudkan pun apa mereka cakap (tiada maksud tersirat), jadi cik wanita, janganlah perasan lebih.
Sahabat-sahabat, mari kita mengukur meter hati! Jika kita sedang bermesej dengan sahabat berlainan jantina, tentukan terlebih dahulu takah meter hati kita. Sepanjang bermesej itu, pastikan hati kita berada di takah neutral. Jika ada yang melepasi takah 0 dan memasuki Zon Jaga-jaga, eloklah berhenti sebelum masuk ke Zon Bahaya iaitu masalah hati.
Macam mana nak tahu hati telah pun masuk ke Zon Bahaya? Apabila hati bergetar, berdebar-debar, berbunga dan sewaktu dengannya.
Elakkan berhubung di tengah malam, elakkan menggunakan ayat-ayat tambahan seperti huhuhu, ngeee, lalalala, naaaa, daaaa dan sebagainya. Elakkan menggunakan smiley yang menunjukkan emosi secara berlebihan, contohnya:
*senyum kambing
*malu-malu kena puji
p/s: Dari mata, turun ke hati. Kerana itulah Allah memperingatkan kita, wanita dan juga lelaki, untuk menjaga pandangan terlebih dahulu sebelum menjaga kehormatan (An Nur:30). Jika pandangan dijaga, insyaAllah hati juga terjaga. Jika hati terjaga, maka kehormatan juga terjaga.
p/s lagi: Sesungguhnya Allah menguji apa yang dikatakan oleh hambanya.