20 December 2011

Pejuang Halal 2

Saya melihat sekilas makanan yang dijual. Seperti biasa tekak menjadi loya. Sudah beberapa bulan saya mengalami 'penyakit' sebegini. Asal tiba waktu makan, perut meronta-ronta untuk diisi tetapi mulut mencongak-congak untuk dibuka. Jika ia mampu dibuka sekalipun, tekak pasti tidak setuju lalu menekan-nekan ingin mengeluarkan kembali. Jika tekak beralah sekali-sekala, kadang otak pula menimbulkan pelbagai persoalanan. Jika soalan-soalan itu tidak dijawab, bukankah ragu-ragu lalu menjadi syubhah?

Ah, susah begini. 

'Kina, kau janganlah fikir banyak sangat, makan je. Kalau kau fikir banyak-banyak, kau sendiri jadi ragu-ragu. Kau sendiri yang menyebabkan benda tu syubhah,'

Bagaimana tidak fikir banyak kali jika nampak sendiri di depan mata? Mencari yang halal juga merangkumi makanan yang bersih.

Pernah suatu hari saya dan sahabat-sahabat duduk bersama makan tengahari. Kebetulan pada waktu itu kami semua mempunyai kerja part time masing-masing. Kami bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Seorang sahabat ini bekerja di salah sebuah premis makanan di tempat pengajian kami. Tiba-tiba saya teringat tentang soalan yang pernah singgah di benak saya dahulu tetapi belum punya bukti untuk dikukuhkan sebagai fakta. 

"Di tempat awak bekerja tu, pemilik kedainya recycle makanan tak?"

Sahabat-sahabat saya tergelak. Mungkin kali pertama mendengar istilah 'recycle makanan' atau mengitar semula makanan. 

"Mestilah ada," jawab sahabat itu tanpa perasaan.

Kami semua terdiam seketika.

"Makanan apa yang mereka recycle?"

"Biasanya yang goreng-goreng macam ayam"

"Saya pernah dengar ada orang mencuci semula ayam yang telah dimasak & simpan untuk masak lauk lain esoknya. Betul ke?"

"Betul lah tu. Biasanya lauk-lauk lebih macam ayam masak kicap tu mereka akan buang kuahnya, cuci ayam tu & simpan dalam freezer. Esok mereka akan masak semula. Mungkin lauk sambal, lauk kari.." jawabnya selamba sambil menyuap nasi ke mulut.

"Macam mana nak tau makanan tu dah recycle?" seorang lagi sahabat bertanya.

"Entah lah, susah nak agak. Kalau ayam atau ikann yang agak-agak keras & liat sikit tu mungkin dah dua tiga kali recycle. Kalau nak selamat, elakkanlah membeli makanan di kedai yang lauknya sangat banyak dan kita tahu lauk itu banyak lebihnya. Belilah makanan di kedai yang menjual lauk yang sedikit, asal habis lauk itu dia akan masak lagi."

Tekak mengembang.

Saya mula mempersoalkan sikap peniaga makanan. Apakah perbezaan peniaga makanan muslim (beragama Islam) dan peniaga makanan muslim yang  mukmin (orang yang beriman)? Jika seseorang itu benar-benar beriman, mana mungkin mereka sanggup memberi makan yang tidak elok, buruk dan meragukan kepada orang lain. 

Premis makanan dihiasi lalat-lalat dan makanan yang dikitar semula dua tiga kali. Apalagi kualiti makanan, samada ia berkhasiat atau tidak, dan dari mana sumber bahan masakan. Kebersihan peniaga makanan itu sendiri meragukan. Berapa ramai yang tidak kisah membeli dari  peniaga burger yang hisap rokok semasa memasak, atau  tukang masak yang kukunya diwarnakan merah, pink, hitam? 

Bagaimana pula dengan kedai makan yang tandasnya, Tuhan saja tahu betapa kotornya dengan tiada sabun dan entah berapa lama tidak dicuci. Filthy. Tahukah anda bahawa tandas itu digunakan oleh pekerja-pekerja premis makanan itu sendiri. Jika tiada sabun, adakah bermaksud mereka tidak mencuci tangan dengan betul selepas membuang air, lalu memasak makanan anda? Jika ya, anda telah pun memakan makanan dicemari najis yakni haram.

Saya ingin berkongsi sesuatu dari blog tarbiyah fikrahislam.com. Imam Ghazali menukilkan nasihatnya,


"Jika kita ingin anak kita menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berikanlah ia makanan daripada rezeki yang halal sejak lahir. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan mental mereka pintar dan cergas. Sebaliknya anak menjadi derhaka terhadap kita jika ia diberi makanan yang haram dan kotor."

Kesan pemakanan juga dikenalpasti daripada tingkahlaku tidur sebagaimana kata-kata Saidi Ali al-Syazali RA yang dipetik oleh seorang ulama’ tasawuf, Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani dalam kitabnya; Latha’iful minanu wal akhlak:


“Hasil dari pengalaman terhadap hal yang pernah kami perhatikan. Bagi menghindarkan kuat tidur ialah, makan yang halal dan meninggalkan perkara haram dan syubhah. Barang siapa yang makan makanan yang haram dan syubhah akan banyak tidurnya. Demikian itu adalah disebabkan oleh rahmat Allah, kerana pemakanan yang haram akan menggerakkan setiap anggota untuk berbuat maksiat. 

Maka Allah Taala lebihkan tidur ke atas orang yang memakan makanan syubhah untuk merehatkannya daripada melakukan maksiat. Sebagaimana lebih afdal Allah memberi rahmat kepada orang yang melakukan ketaatan dan memakan makanan halal dengan mengurangkannya dari tidur supaya ia dapat mendirikan ibadat malam dan siang.”


Apalah nasib pelajar-pelajar di medan ilmu yang memakan makanan sebegini. Dari makanan itulah terbentuknya darah, kemudian diserap ke tubuh. Lalu makanan yang syubhah itu menjadi darah daging kita. Yang haram itu menghitamkan hati. Hati yang hitam, gelap dan kelam tidak boleh ditembusi cahaya ilmu, apalagi cahaya iman.

Mungkinkah sebab itu pelajar kita banyak tidurnya, banyak maksiatnya, banyak lalainya? Mungkin sebab itukah pelajar kita kurang takwanya, kurang taatnya, kurang imannya?

Mungkin.

19 December 2011

Pejuang Halal


Mahu tidak kamu menjadi pejuang halal?

Hari ini saya serabut. 

Hari ini saya mahu anda semua berkenalan dengan Encik B, juga dikenali sebagai Encik K. Encik B adalah babi, dan Encik K adalah khinzir.

Ini mereka.






Tadi saya ke pejabat Jabatan Agama Negeri, mencari beberapa maklumat untuk thesis. Menemani sahabat untuk menemubual pegawai di sana.

Ustaz ada katakan beberapa perkara yang membuat saya tidak senang duduk. Sebelum ini memang saya sedia maklum tentang hal ini. Tapi entah kenapa hari ini Allah menyentuh hati saya untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat.

Kata Ustaz, “Saya yang bekerja di Jabatan Agama ni, walaupun kerja saya mengenalpasti produk-produk yang halal, saya rasa seumur hidup saya ni saya dah pun makan seekor khinzir agaknya.”

“Maksud Ustaz?”

“Iya lah, kebanyakkan makanan dan ubat yang kita guna seharian ada sumber khinzir. Kita sahaja yang tak tahu.”

Telan air liur. Kalau Ustaz begitu, saya ini? Keluarga saya? Sahabat-sahabat saya?

“Kamu lihat sekeliling kamu. Kenapa ramai orang tidak mahu solat? Kenapa ramai tidak mahu berdoa? Kenapa ramai anak tak dengar kata ibu bapa? Kenapa banyak masalah sosial?”

Soalan Ustaz bertalu-talu. Sambung Ustaz, “Umat Islam kita tercemar.”

Tercemar. Ustaz kata kita semua tercemar kerana apa yang kita makan setiap hari. Kita tidak mahu solat kerana kita tidak merasa khusyuknya solat, kita tidak mahu berdoa kerana tidak yakin doa kita dimakbulkan, anak-anak tidak mendengar kata ibu bapa kerana makan yang syubhah, masalah sosial hari ini kerana kontangnya umat dari doa, solat dan anak-anak yang mendengar kata. Puncanya? Sumber makan, kewangan. Halal kah?

Ustaz bercerita, pada suatu hari Rasulullah s.a.w. mengadakan majlis ilmu di masjid. Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak membuat bising. Lalu Rasulullah berkata, ‘Anak ini ada syubhah padanya.’ Syubhah dengan maksud anak kecil itu diberi makanan yang subhah dan haram sehingga dia tidak mendengar kata dan degil.

Susah untuk saya tafsirkan kepada penulisan kerana skop halal dan toyyib (baik) itu luas. Terlalu banyak yang syubhah.

“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang). Dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang meragukan, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa memelihara (dirinya dari) segala yang meragukan, sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara yang meragukan, jatuhlah dia ke dalam yang haram ” (Hadith Riwayat Imam al-Bukhari and Muslim)       


Makanan

Makanan itu perlu dilihat dari sumbernya. Jika haiwan, sembelihannya bagaimana? Jika sembelihannya syari’e, siapa yang menguruskan dagingnya? Adakah dia menjaga kebersihan? Jika orang yang menguruskan daging itu syari’e dan toyyib, bagaimana pula penghantaran daging itu? Adakah ia bercampur dengan yang haram? 

Jika penghantarannya syari’e, adakah daging itu dimasak dengan bahan-bahan yang halal? Jika bahan-bahan itu semua halal, adakah tempat memasaknya (periuk, kuali, pisau, senduk, pinggan) yang digunakan tidak digunakan juga untuk memasak khinzir? Jika tempat memasaknya tidak bercampur, adakah orang yang memasak itu muslim atau tidak? Jika muslim (orang Islam), adakah dia mukmin (beriman)? Adakah dia menjaga solatnya, auratnya?


Ubat & Farmaseutikal

Ubat itu juga perlu dilihat sumbernya. Jika pil atau kapsul, dari mana sumbernya? Lembu, khinzir, tumbuh-tumbuhan atau sintetik? Jika tumbuhan, alhamdulillah. Jika lembu, adakah lembu itu disembelih? Jika tidak disembelih bererti kita memakan ubat yang dicemari najis. 

Jika suntikan, adakah carrier atau vektor untuk membawa ubat melalui suntikan itu mengandungi bahan dari khinzir? Jika transplan, adakah darah, sel, tulang atau kolagen itu sumbernya khinzir? Bagaimana pula dengan ksometik seperti gincu, bedak, krim pencerah, pelembap, sabun, syampu? Adakah semua itu bebas khinzir?

Tahu mengapa ubat-ubat tidak mempunyai sijil dan logo halal dari Jabatan Agama? Kementerian Kesihatan Malaysia telah melarang Jabatan Agama dari meletakkan logo halal kerana proses menukar dari haram ke halal bagi bidang farmaseutikal mencecah RM60 billion. Hanya kerana wang.

Kewangan

Kewangan itu perlu dilihat dari mana sumbernya. Adakah gaji kita yang digunakan untuk memberi nafkah kepada keluarga halal dan berkat? Adakah kita menggunakan masa bekerja dengan amanah? Adakah kita bekerja tanpa rasuah dan riba’? 

Adakah perbankan yang kita gunakan konvensional (melibatkan faedah & riba’) atau perbankan Islam? Adakah pekerjaan yang kita lakukan melibatkan kita dengan yang haram seperti arak dan khinzir?

Skop halal dan toyyib itu sangat luas. Tak tertulis di sini.

Mahu tahu sesuatu?

Ramai orang yang suka makan di restoran & gerai-gerai yang syubhah makanannya, syubhah tukang masaknya, syubhah sumber makanannya.

Ramai orang makan telur yang tidak dicuci dahulu. Najis.

Ramai orang yang makan di hotel atau restoran mewah tidak tahu bahawa kebanyakkan makanan dimasak dengan wine/arak.

Ramai orang yang membeli barang tanpa peduli ada atau tidak logo halal dari Jabatan Agama.

Ramai orang suka membeli barangan kulit seperti beg dan kasut dari China, pengeluar terbesar barangan kulit khinzir.

Ramai orang menggunakan berus cat dan berus memasak dari bulu khinzir.

Ramai orang tidak mahu tahu semua ini.


Ustaz memahatkan kata nasihat sebelum kami pulang.

“Bila kamu menjadi isteri nanti, bila kamu menjadi ibu, pastikan suami dan anak-anak kamu makan yang halal dan baik-baik. Niat memasak itu perlu dibetulkan kembali. Adakah memasak sekadar untuk mendapat pujian dari suami dan anak-anak agar lebih dikasihi dan disayangi? Kalau begitu, kamu belum cukup layak menjadi solehah.

Setiap kali kamu masak, berdoalah agar mereka yang memakan masakan kamu akan menjadi orang yang soleh wa muslih, taat kepada Tuhannya, taat kepada Rasulnya, lembut hatinya. Berzikirlah dengan nama-nama Allah yang indah, ikhlaskanlah niat kamu.”

Persoalannya sekarang, mahu tidak kamu menjadi pejuang halal?

18 December 2011

Percaturan Ilahi


Dia masuk ke dewan dengan wajah muram. Program belum lagi bermula tetapi matanya selalu sahaja mengerling jam G-Shock berwarna biru di tangan kirinya. Di sebelahnya seorang wanita berbaju putih dan seluar jeans biru tua. Rambutnya beralun, keperang-perangan. Mereka beriringan ke kaunter pendaftaran.

Wanita itu mengambil pen dan menulis nama di ruang peserta. Syafiq. Si pemilik jam G-Shock itu bernama Syafiq.

Usai mengisi borang pendaftaran, wanita itu berkata lembut pada Shafiq yang berdiri disebelahnya.

'Sayang, pergi duduk di sana sekejap. Mama nak cakap dengan kakak ni,'

Dia mengangguk perlahan, akur, dan berlalu pergi. 

'Dik, lepas ni ada lagi tak program macam ni?'

'Ada kak. InsyaAllah awal bulan Disember ini ada Kem Pemantapan Solat macam ni juga. Pertengahan bulan Disember pula ada Summer Camp di UTM.'

'Maksud akak, ada lagi tak program macam ni minggu depan dan kalau boleh setiap minggu? Macam ni lah dik, kalau boleh sepanjang cuti sekolah ni akak tak nak dia selalu ada dengan akak. Akak nak dia pergi program-program macam ni. Akak tak nak dia jadi macam akak.'

Wanita itu cantik. Kulit hitam manis, bersolek nipis, berdandan kemas. Dalam kalangan ibu bapa yang hadir menghantar anak-anak mereka, dia seorang sahaja yang tidak bertudung dan agak bergaya. Walaupun begitu, dia masih tegar menghantar anaknya.

'Akak tak nak dia jadi macam akak.' 

Terngiang-ngiang ayat itu dalam kepala. Saya terdiam. Sedikit terkejut, sedikit sebak.

'Nanti saya semak balik jadual program kami. Kalau ada apa-apa program lepas ni, nanti saya mesej akak, boleh?'

'Boleh, terima kasih dik.' Senyumnya lebar. 

Saya melihat kembali sosok seorang Syafiq yang diamanahkan kepada kami. Dia duduk menyendiri, matanya meliar melihat peserta-peserta lain. Masih muram dan sugul.



Jika pada mulanya semua peserta menyendiri dan takut-takut, selepas sesi ice breaking mereka sudah pun bergelak tawa dan bergura senda. Syafiq juga sudah boleh bergelak tawa dan bermain dengan peserta lain. Sesi pengenalan wuduk dimulakan diikuti dengan praktikal wuduk.

Kadang mata menebar mencari kelibat pemilik jam G-Shock itu walaupun diri ini ditugaskan memantau adik-adik perempuan. Adakala Syafiq sedang bersemangat menjawab soalan fasilitator, adakala dia mengusik peserta lain dan ketawa terkekeh-kekeh. Lega hati saya.

Tetapi kadangkala saya risau. Adakala juga dia senyap dan memandang sekeliling dewan. Adakala dia duduk di belakang dewan dan menjauhi peserta-peserta lain. Bila ditanya, dia hanya tersengih dan menggeleng. Katanya bosan. Saya bingung.

Saya cuba mendekatinya dan berbasi-basi.

“Kenapa tak nak duduk di depan dengan kawan-kawan?”

Dia hanya menjungkit bahu. Kali ini sengihnya hilang, tinggal muram dan suram.

“Bosan ke?”

“Tak lah kak. Tak bosan pun..”

“Habis tu?”

Dia senyap. Saya juga senyap. Kami mendengar isi bengkel rukun solat yang disampaikan fasilitator bertugas walaupun nyata dia tidak menumpukan perhatian.


“Mak kerja apa?”

“Mak kerja mengandam pengantin, ada butik sendiri.”

“Ohh, ayah?”

“Ayah kapten kapal di Singapura, jarang ada di rumah. Seminggu sekali sahaja ayah balik.”

Ahh, tak sangka pula dia akan menjawab sebegitu terperinci.

“Jadi kalau mak pergi kerja, Syafiq duduk dengan siapa?”

“Syafiq duduk dengan Tok.”

Saya mengangguk-angguk perlahan.

Kami bertukar-tukar cerita tentang masa depan. Di mana dia mahu bersekolah selepas ini, mahu ke universiti mana, cita-citanya apa. Dia bercerita tentang kerisauannya kerana keputusan UPSR nya tidak cemerlang. Saya memujuk dan memberi kata semangat. Kami bercerita mengenai roket, angkasa lepas, kapal selam, kereta lumba, jelajah dunia. Katanya dia mahu jadi kapten kapal seperti ayahnya.

Kami kembali senyap selepas itu, mendengar isi bengkel yang tersisa. Muramnya sudah hilang. Tetapi saya masih bingung kenapa dia menjauhkan diri dari peserta lain.

Sesi praktikal bacaan solat bermula. Saya masih duduk bersama Syafiq. Kelihatan dia juga tidak mahu berganjak.

“Kalau akak tolong periksa bacaan solat Syafiq nak tak?” Saya cuba bertanya walaupun tidak meletakkan harapan yang tinggi bahawa dia akan setuju.

Dia tersenyum lebar dan mengangguk laju. Dia berlari mengambil fail dan buku solat, kemudian kembali mengambil tempat di sebelah saya.

“Okay, kita mula dengan niat solat.”

Alhamdulillah, permulaan yang baik.

 “Cuba baca doa iftitah,”

“Erm, saya tak hafal semua lah kak,”

“Takpe, cuba baca dulu. Nanti akak tolong betulkan,”

Beberapa ketika selepas itu, terjawab semua persoalan saya. Rupanya selama ini dia menjauhkan diri kerana rendah diri. Syafiq tidak lancar membaca jawi, apatah lagi membaca Quran. Tergagap-gagap dia mencuba mengenal kalimah di dalam buku nipis itu. Kerana itulah dia tidak dapat menghafal bacaan-bacaan dalam solat.

“Di rumah Syafiq ada pergi kelas mengaji?”

“Dulu pernah pergi..” dia menundukkan kepala dan senyap.

“Syafiq dah habis belajar Iqra’?”

“Belum lagi.”

Hati saya sebal. Kasihan melihat wajahnya yang mendung. Pasti dia rasa rendah diri. Antara peserta-peserta yang hadir, dia yang paling tua, berumur 12 tahun. Ada dikalangan peserta yang sangat lancar bacaan solat mereka walaupun hanya berumur 8-10 tahun.

“Erm, nanti Syafiq cakaplah dengan mak yang Syafiq nak belajar mengaji. Nanti baru boleh lancar bacaan solat.”

Saya cuba memujuk. Dia masih senyap.

 “Takpe, kita teruskan ya. Akak tolong bacakan, awak ikut. Boleh?”

Dia mengangguk-angguk. Perlahan senyum diukir. Wajahnya ketika itu menyedarkan saya mengapa Allah pilih saya untuk berada disini.

'Akak tak nak dia jadi macam akak.' 

Percaturan Ilahi kadang-kadang menemukan kita dengan orang yang mengingatkan kita maksud sebenar hidup. Percaturan Ilahi menjentik kesedaran bahawa diri ini perlu bermanfaat kepada sekeliling, jangan pernah sombong kerana sombong itu membataskan ilmu, merugikan ibadah. Bukankan berkongsi ilmu juga suatu ibadah jika lillahi taala?
 

03 October 2011

Ibrah

Ibrah itu pengajaran.

Dua hari ini penuh dengan ibrah. Belajar dari sekeliling dan orang-orang yang lebih berpengalaman. Tak pernah terfikir akan berada sekelas dengan kakak-kakak ustazah yang hebat dan para ustaz yang mantap. Allah beri peluang untuk belajar dari mereka. Allah beri peluang untuk muhasabah diri.

 Kami ditanya seorang demi seorang tentang bidang kajian kami.

"Saya pelajar fast-track PhD. Projek saya tentang kedudukan ibu susuan di dalam Islam berserta kajian saintifik makmal."

"Saya mengambil ijazah dan sarjana di UTM dalam bidang sains komputer. Sekarang insyaAllah akan mengambil PhD dan mengkaji tentang perbahasan mazhab mengenai ibadah haji."

"Saya merupakan lulusan ijazah dari UIA dalam bidang kejuruteraan. InsyaAllah kajian sarjana saya tentang perbahasan undang-undang mengenai status halal."

"Saya lulusan ijazah di Al-Azhar, sekarang menyambung sarjana dan membuat kajian tentang..."

"Saya mengambil ijazah di Mesir. Kajian sarjana saya mengenai..."

 Rasa rendah diri - satu.


Siapa sangka, Ustazah Naemah turut berada di kelas yang sama, mengambil PhD. 

"Awak ni semua untunglah belum kahwin lagi, ada masa untuk siapkan kajian. Macam saya ni, nak bahagikan masa untuk anak-anak lagi.. "

 Rasa rendah diri - dua.

Usai bertaaruf, sesi pembelajaran dimulakan. Allah, jauh beza dengan apa yang pernah dipelajari sebelum ini. Cuba untuk fokus, cuba untuk kaitkan dengan projek sendiri namun masih samar-samar.

"Esok, saya nak awak bentangkan kajian awak berdasarkan apa yang awak dapat hari ini." kata pensyarah.

Ahh, biar betul. Apa aku nak bentang ni?

Kata ustaz, "Awak bentang saja apa yang awak boleh. Nanti bahagian metod kajian bukan saintifik tu saya akan tolong bagi pendapat."

Hari pembentangan. Hari taaruf yang lebih mendalam. Para ustaz dan ustazah yang hebat-hebat belaka membentangkan kajian mereka.

Tiba giliran saya. Jujur, saya katakan kelemahan saya. Saya memohon pandangan pensyarah, diberi cadangan dan tunjuk ajar. Alhamdulillah, ada jalannya.

Selesai pembentangan, Kak Zilal mengambil tempat di sebelah saya. Kami bertukar email dan nombor telefon. Katanya ada banyak bahan rujukan yang boleh diberi. Alhamdulillah, Allah mudahkan.

Dalam masa yang sama, kelihatan Ustaz Mahyuddin mengambil tempat duduk. Ustaz Mahyuddin juga mengambil PhD rupanya.

"Awak kenal Ustaz Mahyuddin?" Soal Kak Zilal. Mungkin sedikit pelik kerana saya bukan dari fakulti mereka.

"Kenal. Ustaz ada buat kuliah tafaqquh di MSI, bincang kitab Riyadhus Solihin."

"Ohh, patutlah. Kuliah tafaqquh tu setiap petang kan? Akak nak sangat pergi, tapi ya lah, nak bawak anak nanti susah pula."

"Hah? Akak ada anak? Akak dah kahwin ke?" Muka Kak Zilal tak macam mak orang pun, macam umur 19 ada lah.

"Hehe. Ya lah, anak akak dah ada dua orang pun. Akak dah lama dah kahwin, dah enam tahun dah."

"Ehh, serius ke ni? Umur akak berapa?"

"Umur akak 26, kahwin masa umur 20. Masa tu first year lagi."

Allah..Tingginya azam dan semangat Kak Zilal. Mengambil fast-track PhD, dalam masa yang sama menjaga suami dan anak-anak yang masih kecil.

Rasa rendah diri - tiga.


"Saya mengambil ijazah dan sarjana di UTM dalam bidang sains komputer. Sekarang insyaAllah akan mengambil PhD dan mengkaji tentang perbahasan mazhab mengenai ibadah haji."

Dia berjalan dengan bantuan crutches. Langkahnya agak perlahan. Sekali pandang, pasti tidak menjangka dia pelajar PhD. Tampak sangat muda.

Pada mulanya saya agak bingung, bagaimana dia membuat kajian PhD dalam bidang yang sangat jauh beza dengan apa yang dipelajari sebelum ini. Rupanya dia menghasilkan aplikasi software untuk telefon bimbit seperti iPhone untuk kemudahan jemaah haji.

Rasa rendah diri - empat.


"Dik, dah install dah software yang ustaz bagi tadi?"

"Baru nak install kak, duduklah di sini."

Kak Andik seorang ustazah yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Segamat. Kak Andik mempunyai ijazah dalam bidang syariah tetapi memilih untuk menjadi guru supaya masanya boleh diluang bersama keluarga, terutama anak-anak. Lama kami berborak, bertukar-tukar cerita, bertanya tentang kajian masing-masing.

Gigihnya Kak Andik berulang alik dari Segamat ke Skudai untuk menyambung pelajaran bersama Kak Hasnida, juga seorang ustazah. Perjalanan hampir dua jam setiap kali pergi dan dua jam setiap kali pulang. Belum dikira masa untuk suami dan anak-anak yang harus dikorbankan. Allah..

Rasa rendah diri - lima.

Menghampiri jam 3 petang, kelibat Ustazah Suraya, isteri Ustaz Mahyuddin kelihatan. Kedua-dua Ustaz Mahyuddin dan Ustazah Suraya mengambil PhD, dalam masa yang sama menjaga bayi yang masih kecil. Patutlah Ustaz hanya datang pada sesi pagi dan ustazah datang pada sesi petang, rupanya mereka bergilir-gilir menjaga bayi di dalam kereta.

Rasa rendah diri - enam.


Masih banyak kisah mereka yang tidak dapat dikongsikan. Berkali-kali rasa rendah diri hari ini. Sebab apa rasa rendah diri?

Kadang kita lupa bahawa ilmu kita tak seberapa.

Kadang kita mengeluh tiada masa yang cukup sedangkan ada orang yang mempunyai jadual lebih padat.

Kadang kita mengadu kelas jauh & tiada kenderaan sedangkan ada orang yang sanggup datang jauh-jauh untuk belajar.

Kadang kita merungut keletihan sedangkan apa sangatlah letih kita jika dibandingkan mereka yang 24 jam seharinya perlu dibahagi bersama isteri, suami, anak-anak, kerjaya dan gerak kerja Islam.

Kadang kita mengada-ngada memberi pelbagai alasan sedangkan usaha kita tidak seberapa.

Kadang-kala, kita cuma malas.


Setiap detik dan hari yang berlalu itu merupakan ibrah dari Allah untuk hamba-hambanya yang mencari. Allah, tambahkanlah ilmuku dan perluaskanlah kefahamanku.


07 September 2011

Dosa Berantai

Hari ini saya akan berkongsi tutorial matematik berantai yang mudah.
Matematik ini hanya bermula dengan satu gambar.


Katakan ini gambar anda.



Kemudian, anda letak di Facebook.


Ada 134 orang yang Like. Ehh, tu belum termasuk yang tengok gambar tu tapi tak tekan Like, sekadar tengok je.

Katakanlah jumlah orang yang tengok tu 500 orang daripada 3000 friends yang kita ada. Dan katakanlah dari 500 orang yang melihat itu, 300 orang merupakan lelaki yang bukan mahram bagi kita.

Okay. Mari kita mulakan kiraan.

Sehelai rambut yang kita tayang pada orang yang bukan mahram kita akan dapat 1 dosa.
Atas kepala kita tu ada berapa helai rambut ye? Ada kajian yang mengatakan secara amnya kita mempunyai lebih kurang 100 000 helai rambut.
Maka dosa kita adalah 100 000 dosa bagi setiap orang yang melihat gambar kita.
Itu baru seorang yang melihat. Ini dosa kita, bukan orang lain.

Disebabkan ada 300 orang lelaki bukan mahram yang melihat gambar kita, maka,

100 000 x 300 = 30 000 000 (tiga puluh juta) --------- (A)

Perlu diingatkan, 300 orang tu cuma anggaran. Mungkin lebih ramai, kan ada 3000 friends. Gambar di setkan public pula. Semua orang boleh tengok termasuk mereka yang bukan friends. Gambar kita comel, tertarik dan menarik pula.


Seterusnya kita boleh tambah dosa menayangkan aurat iaitu selain muka dan tapak tangan. Ohh, tapi perlu diingatkan, syarat menutup aurat itu tidak jarang, longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh.

Maka, (dosa tidak menutup aurat) x 300 orang = 300 dosa -------- (B)


(A) + (B) = 30 000 300 ------ (C)

Baiklah. Mari kita teruskan.

Kita rasa tak berapa puas hati bila upload gambar sendiri tapi tak ramai yang comment atau like, jadi kita tag kepada kawan-kawan kita. (Boleh klik pada gambar untuk besarkan siapa kawan-kawan yang di tag.)

Kita fikir, tak perlulah ramai-ramai sangat, 12 orang kawan baik kita pun cukuplah. Di sini saya sertakan secara kasar jumlah friends yang kawan baik kita (12 orang ni) ada.

Ultraman Taro: 783 friends
Pikachu: 1339 friends
Keluang Man: 1565 friends
Doraemon Suka Dorayaki: 953 friends
Hang Tuah: 3210 friends
Donald Duck: 678 friends
Spongebob Seluar Kuning: 2144 friends
Tasmania: 653 friends
Vampire Hisap Darah: 1922 friends
Harry Potter: 2831 friends
Kerengga: 2101 friends
Kambenk: 1217 friends

Wahh, berapa dah semua friends tu? 19 396 orang. Dan katakan jugalah separuh dari jumlah tu adalah lelaki yang bukan mahram bagi kita (9 698 orang)

Maka, (C) x 9698 = 290 940 juta ------ (D)

Ingat, ni semua cuma anggaran. Dan ini hanya 1 gambar.

Katakanlah kita ada 9 album dan di dalam setiap album ada 20 gambar.

Maka, (D) x 9 x 20 = 523 692 00 juta


Ini belum lagi dikira dosa-dosa lain dalam setiap gambar, contohnya gambar kawan-kawan kita yang sama tidak menutup aurat. Ya, kita yang tanggung dosa setiap helai rambut mereka yang ditayangkan.

Belum lagi dikira gambar posing maut dengan pasangan tidak sah (baca: belum bernikah) masing-masing. Perghh..tu dosa lain dah tu. Itu dosa menghampiri zina, punyalah ditayangkan di khalayak ramai.

Belum lagi dikira dosa gambar ini dipinjam dan di'share' oleh orang lain dan meletakkannya di blog, majalah, akhbar. Ohh, kalau kes ini, perlu darab pula dengan bilangan lelaki bukan mahram yang membaca blog, majalah dan akhbar itu.

Gambar menutup aurat atau tidak, kalau gambar muka close-up sampai nampak parut jerawat itu boleh mencairkan hati lelaki, mengundang kepada syahwat, belum lagi dikira dosanya.

Ini baru Facebook, belum lagi gambar kita di akaun media sosial kita yang lain - Myspace, Friendster Twitter, Formspring, Tumblr.


Serabut? Pening?

Tak perlu susah-susah nak kira lah kalau macam tu. Dah tau memang dosa kan?

Cik wanita, its time to wake up!

Cik wanita, jangan takut untuk menegur mereka yang suka-suka tag gambar kita di FB.

Ehh, sekejap. Entri ni bukan untuk wanita sahaja okay!

Encik lelaki di luar sana, sila sedar bahawa jika yang meletakkan gambar di atas ini isteri kamu, adik perempuan kamu, kakak kamu, ibu kamu, anak perempuan kamu, semua dosa mereka, kamu juga ada sahamnya.

523 692 00 juta dosa (anggaran!), kalau belum berkahwin, bapa tanggung. Kalau sudah berkahwin, suami tanggung.


Encik lelaki, sama juga saham dosanya jika anda sendiri yang tag gambar wanita tidak menutup aurat.



Sekian, tamatlah tutorial matematik berantai hari ini. Semoga bermanfaat.
Selamat men'delete' gambar.  :)


01 September 2011

Monolog Taubat



Termenung.


Ayuh menilai. Cukuplah menilai diri sendiri buat masa ini, bukan orang lain.
Siapa aku pada pandangan Allah?
Cukupkah amalan dan ibadah sebagai hamba?
Seringkali bertaubat, tapi masih mengulangi dosa.

Bukankah syarat taubat itu pada tiga perkara?
Perlu berhenti dari melakukan maksiat.
Perlu menyesal dengan perbuatan yang dilakukan.
Perlu bersungguh-sungguh berusaha untuk tidak sama sekali melakukan maksiat yang sama.

Berhenti sudah. Tapi mengapa mengulangi dosa?
Menyesal sudah. Tapi mengapa masih tergamak mengulangi dosa?
Bersungguh-sungguh? Ya, mungkin kurang pada ini.
Masih diturut hawa nafsu.
Lalu bagaimana?

Kata dia, cuba lihat kualiti ibadah.
Kualiti ibadah itu pada khusyuk, pada hati yang dibawa menghadap Ilhai.
Yang paling penting, kualiti ibadah itu pada ikhlasnya hati.
Allah, ikhlaskah diri?

Kata dia lagi, bila hati tidak ikhlas, mana mungkin bersungguh-sungguh menjauhi dosa.
Naudzubillah.

Mujahadah. Bersungguh-sungguh.
Dalam peritnya mujahadah, di situlah letaknya kemanisan beribadah.

Jam masih berdetik. Masa tidak akan berhenti.
Kata dia sebelum berpisah, taubatlah sebelum terlambat.


07 August 2011

Ramadhan, rumah & mereka

Kisah Ramadhan

Kata Ustaz Ismail Mustari, Ramadhan ini adalah bulan persiapan untuk menghadapi sebelas lagi bulan selepas ini. Kalau ibadah kita di bulan Ramadhan rosak, maka ibadah kita untuk bulan-bulan seterusnya lebih rosak lagi.

Ustaz Ismail persoalkan kenapa kita tidak mampu mengkhatamkan Quran, sedangkan wanita-wanita pada zaman sahabat Rasulullah mampu menghabiskan berbelas-belas juzu' sehari walaupun sibuk menguruskan rumahtangga.

Ustaz mempersoalkan lagi kenapa kita tidak mampu bangun untuk Qiam, kenapa kita kurang berdoa, kenapa kita lalai dalam ibadah kita.

Jika sewaktu bulan Ramadhan pun kita tak bangun untuk Qiam, apatah lagi bulan-bulan seterusnya? Jika sewaktu bulan Ramadhan pun kita tidak berusaha khatamkan Quran, apatah lagi bulan-bulan seterusnya. Astaghfirullah..


Kisah di Rumah

Sudah lama rasanya tidak dapat berpuasa bersama dengan keluarga pada Ramadhan pertama. Alhamdulillah 3 Ramadhan pertama sempat diluangkan bersama keluarga. Sempat merasa sahur, iftar dan terawih bersama. Terima kasih kepada Mama yang selalu sabar dengan perangai anak Mama seorang ni. Mesej awal pagi, petang beli tiket, malam sampai di rumah. Tiada siapa tahu saya akan pulang kecuali Mama.

Perancangan asalnya, ingin pulang selepas Ramadhan pertama kerana ada urusan yang perlu diselesaikan di kampus. Tiket bas sudah dibeli awal-awal lagi.

Namun, perancangan Allah yang terbaik. Tiket bas terpaksa dikorbankan. Allah menguji sebagai kafarrah mengampuni dosa dan Allah beri masa lebih untuk berada disisi keluarga. Allah sangat baik!


Kisah Mereka

Ramadhan di kampus kali ini bersama mereka.


Terima kasih kepada pemilik Quran berwarna biru tua. Dia sahabat yang baik, selalu melebihkan orang lain berbanding dirinya. Dia marah jika saya tidur di atas lantai, walaupun dia terpaksa tidur di atas lantai. Kadang-kadang degil, tidak mahu tidur di atas katil. Mungkin kita perlu membuat jadual, bergilir-gilir tidur di atas lantai. Adil kan? :)

Terima kasih kepada pemilik Quran berwarna coklat. Dia selalu memberi kata semangat. Dia sangat sabar melayan kerenah dan sikap saya walaupun saya selalu menyusahkan dia dan membuat dia menangis. Minta maaf awak.

Terima kasih kepada pemilik Quran berwarna hijau. Dia banyak mengajar saya adab bersahabat, supaya menjaga tutur kata dan emosi. Dia mengajar supaya saya tidak berputus asa. Maaf selalu buat awak terasa hati.

Terima kasih kepada pemilik Quran berwarna merah jambu. Dia adalah sumber motivasi untuk menjadi lebih rajin. Kerja tidak pernah bertangguh. Kalau bukan menghadap laptop membuat proposal, pasti dia memegang buku atau kamus.

Semoga Ramadhan kali ini diberkati Allah, diringankan badan untuk beribadah dan dipermudahkan urusan.

p/s: Kata Ustaz Ismail, setiap kali kita berdoa pada Allah, Allah akan melihat kesungguhan kita dan akan menilai sejauh mana baik buruknya permintaan kita itu. Allah mempunyai hak dan kuasa untuk menangguhkan atau memakbulkan doa kita. InsyaAllah, itu yang terbaik untuk kita. :)

24 July 2011

Aurat yang diringankan

Ahh, asyik-asyik topik aurat. Apalagi yang nak dikatakan? Kami tau lah kena tutup aurat.

Alhamdulillah dah tau.
Tapi tak salah kan kalau saling mengingati? :)

Dulu semasa matriks, saya pernah terdengar suatu kuliah Magrhib di surau. Ustaz dengan halus menegur tentang aurat wanita.

"Kalau kamu pakai baju lengan panjang, tiba-tiba terselak hujung lengan tu sampai ternampak lengan kamu walau sedikit, kamu dah dapat dosa mendedahkan aurat. Itu baru sedikit lengan yang ternampak. Apalagi kalau tak menutup aurat."

Kalau lah dosa tu boleh menampakkan dirinya, mesti semua orang takut dan patuh pada perintah Allah. Tapi tidak, kita tak nampak dosa tu macam mana, jadi kita ambil ringan.

Kita ambil ringan soal aurat lengan, aurat kaki. Kadangkala pelik juga melihat muslimat yang berjubah dan berpurdah tetapi sayang, lengannya terselak, kakinya menampakkan aurat. Yang wajib tidak terbuat.


Muslimat, mari kita istiqamah memakai handsock & stokin. Yang sudah memakainya, berdoalah agar ditetapkan hati untuk terus istiqamah menutup aurat dengan baik.


p/s: Ada sedikit rahsia tentang lengan wanita yang ingin saya kongsikan. Kalau ada mana-mana muslimat yang ingin tahu, sila PM saya. InsyaAllah bermanfaat. :D


20 July 2011

Hati




Kata Imam Ghazali,

Carilah hatimu di tiga tempat.

Pertama, ketika membaca Al-Quran.
Kedua, ketika solat.
Ketiga, ketika mengingati mati.

Jika di ketiga-tiga tempat itu engkau masih belum menemui hatimu,

mohonlah pada Allah untuk memberimu hati,
kerana engkau tidak memilikinya!

'Sesungguhnya orang-orang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambahlah kuat imannya..'
(Al-Anfaal: 2)


Falsampah

Falsampah 1

Orang lain beli kereta dengan bayaran ansuran yang melibatkan faedah/riba'. Kita beli pun kereta dengan bayaran ansuran yang melibatkan faedah/riba'.

Sebab: Kalau kita seorang je yang beli tanpa ansuran yang melibatkan faedah/riba', bukannya boleh mengubah apa-apa pun. Bukannya boleh ubah sistem ekonomi negara menjadi bebas riba'.


Falsampah 2

Orang lain buat konsert berunsur maksiat - bergaul lelaki perempuan, lagu-lagu lagha, terkinja-kinja, kita pun menganjur konsert berunsur maksiat.

Sebab: Kalau kita batalkan satu konsert sekalipun, bukannya boleh mengubah apa-apa. Tempat lain ada lagi maksiat. Bukannya boleh jadikan negara kita bebas maksiat pun.


Falsampah 3

Orang lain berfesyen kononnya menutup aurat tapi ketat, sendat dan melekat, kita pun berfesyen dengan ketat, sendat dan melekat.

Sebab: Ini baru up to date! Kalau kita pakai yang longgar-longgar dan labuh-labuh pun, bukannya boleh mengubah apa-apa. Bukannya boleh jadi trend. Orang tak nak dekat dengan kita ada lah!


Kesimpulan falsampah

1. Kita buat sebab orang lain pun buat.
2. Kalau kita tak buat sekalipun, tak ada bezanya sebab ramai lagi orang lain yang buat. So what?


Soalan menjentik minda, apa jenis pemikiran macam ni? Ini namanya berfikir panjang sejengkal!