29 March 2012

Meter Hati

Dalam usrah kami, selalunya ada sesi luahan perasaan dan perkongsian pendapat. Dan tajuk yang paling popular mestilah masalah hati. Ahh, tak sudah-sudah dengan masalah hati kan?

"Ana rasa tak selesa muslimin tu selalu mesej ana. Ana tahu dia nak bincang tentang gerak kerja, tapi ana risau timbul perasaan lain."

"Saya tak suka meeting dengan muslimin tu. Setiap kali meeting mesti dia pandang saya lain macam."

"Aku risau kalau aku mesej muslimat tu, dia akan perasan aku suka dia."

"Saya rasa susah sangat nak jaga hati bila berdepan dengan dia."

"Ana takut masalah hati!"

Sounds familiar?

Kadang-kadang apabila bersemuka dengan mereka yang berlainan jantina, tidak kiralah sama ada SMS, YM, Facebook, mesyuarat, projek berkumpulan atau apa sahaja, kita perlu menggunakan meter hati.


Bayangkan hati anda seperti meter dan nilai neutralnya berada di takah 0. Selama mana meter hati anda berada pada takah 0 ke bawah, anda berada di Zon Selamat. Jika anda melampaui batas walau sedikit, pasti meter itu akan naik ke takah yang lebih tinggi. Bayangkan takah 0-30 merupakan Zon Jaga-jaga dan takah 30-60 merupakan Zon Bahaya.

Baiklah, mari kita aplikasikan meter hati dengan contoh praktikal. Katakan anda sedang menghadiri mesyuarat persatuan.

"Hari ini kita akan berbincang mengenai progress gerak kerja untuk program minggu hadapan. Saloma, boleh awak bentangkan progress unit awak?"

"Unit saya akan bla bla bla dan kami telah pun bla bla bla. Masalah yang kami hadapi adalah bla bla bla dan penyelesaiannya adalah bla bla bla."

"Bagus, kamu sangat teliti." Senyum sedikit.

Meter hati Cik Saloma naik ke takah 10.

Selesai pembentangan setiap kumpulan, pengerusi mesyuarat berkata, "Saya mahu setiap unit merujuk kepada Saloma untuk kelancaran unit masing-masing." Lagi sekali tersenyum ke arah Cik Saloma.

Meter hati Cik Saloma naik ke takah 20.

Usai mesyuarat, pengerusi berjumpa terus dengan Cik Saloma dan berkata, "Good job!" Sambil tersenyum lagi.

Meter hati Cik Saloma naik ke takah 30.

Malam itu, encik pengerusi mesyuarat tadi ber'YM' dengan Cik Saloma.

"Esok tolong hantarkan paperwork yang saya minta siang tadi ya."

"Baiklah."

"Saya suka cara awak buat kerja. :D "  Takah 40, Zon Bahaya.
.
.
.
Apa yang terjadi selepas itu, anda yang tentukan. Analisa ringkas yang boleh kita buat adalah:

1. Wanita ni memang cepat perasan, jadi encik lelaki, sila jangan bagi signal salah - senyum-senyum, puji-puji, pandang-pandang.
2. Lelaki kadang-kadang tak maksudkan pun apa mereka cakap (tiada maksud tersirat), jadi cik wanita, janganlah perasan lebih.

Sahabat-sahabat, mari kita mengukur meter hati! Jika kita sedang bermesej dengan sahabat berlainan jantina, tentukan terlebih dahulu takah meter hati kita. Sepanjang bermesej itu, pastikan hati kita berada di takah neutral. Jika ada yang melepasi takah 0 dan memasuki Zon Jaga-jaga, eloklah berhenti sebelum masuk ke Zon Bahaya iaitu masalah hati.

Macam mana nak tahu hati telah pun masuk ke Zon Bahaya? Apabila hati bergetar, berdebar-debar, berbunga dan sewaktu dengannya.

Elakkan berhubung di tengah malam, elakkan menggunakan ayat-ayat tambahan seperti huhuhu, ngeee, lalalala, naaaa, daaaa dan sebagainya. Elakkan menggunakan smiley yang menunjukkan emosi secara berlebihan, contohnya:
 
*senyum kambing


*malu-malu kena puji



p/s:  Dari mata, turun ke hati. Kerana itulah Allah memperingatkan kita, wanita dan juga lelaki, untuk menjaga pandangan terlebih dahulu sebelum menjaga kehormatan (An Nur:30). Jika pandangan dijaga, insyaAllah hati juga terjaga. Jika hati terjaga, maka kehormatan juga terjaga.

p/s lagi: Sesungguhnya Allah menguji apa yang dikatakan oleh hambanya. 




01 March 2012

Entri tiada tajuk.

Dia duduk di sebelah sambil menyanyi kecil. Tiba-tiba dia bertanya,
‘Kina, kenapa kau tak drive?’  
 Saya senyap seketika.
‘Kenapa kau tak memasak?’ Soal saya kembali.
Dia tersentak, mungkin tidak menyangka saya akan bertanya soalan begitu.
‘Bukan aku tak nak masak. Nanti dah nak kahwin aku belajar lah.’ Dia tersengih.
‘Aku pun bukan tak nak belajar. Tengah cuba lah ni.’
‘Memasak tu lain beb, banyak prosedur. Kalau salah masak boleh sakit orang yang makan.’
Aku mengangguk-angguk.
‘Nak drive pun banyak step. Salah bawak boleh accident, langgar orang, mati.’
Dia tergelak kecil.
‘Sampai bila kau nak menyusahkan orang lain beb?’
Ohh, selama ini saya menumpang orang itu menyusahkan rupanya.
‘Sampai bila kau nak menyusahkan orang lain masak untuk kau?’ 
Saya ketawa kecil. Ketawa yang hanya out of courtesy agar dia tidak terasa hati dengan soalan saya. Ehh, tadi dia tanya soalan tu dia ada fikir ke perasaan saya?
‘Tu lain..kedai ada banyak. Makan je lah kat luar.’ Dia senyum lebar.
Saya angguk sekali lagi.
‘Yep..teksi ada banyak. Kat KL boleh naik tren. Naik je lah.’

Dia diam. Saya juga diam. Tak lama selepas itu dia bersuara.

‘Beb, kau dengar cerita tak pasal Kak Alia?’
‘Kenapa dengan Kak Alia?’
‘Alah..kan dia tunang haritu, kau tak tahu ke?’
‘Entah. Mana aku tau. Tunang je pun, memang patut orang lain tak tahu kan.’
‘Isyh kau ni. Jumud betul lah. Bulan lepas dia bertunang, dengan senior kita juga. Tapi aku dengar cerita mereka dah nak putus tunang dah. Masalah dengan family.’
‘Ohhhh..’
‘Tapi kan, aku rasa bukan sebab masalah family. Aku rasa sebab Kak Alia minat orang lain.’
‘Ermmm..’
‘Tu je respon kau?’
Diam lagi.

Selepas berpusing mencari parking, akhirnya ada tempat kosong. Sebelum keluar dari kereta, dia bertanya.

‘Beb, aku nak tanya soalan peribadi sikit. Boleh?’
‘Tanya lah.’
‘Kenapa kau tak pakai tudung bulat eh?’
Saya berfikir sejenak dan menjawab.
‘Kenapa kau tak pakai purdah eh?’
‘Lorr..ada pulak tanya aku soalan tu. Purdah tu kan tak wajib.’
‘Ohh, pakai tudung bulat tu wajib ke? Wajib tutup aurat kan?’
‘Ye lah, tapi kan lebih molek pakai tudung bulat. Tutup dengan lebih sempurna.’
‘Yep, betul. Aku tak nafikan. Tapi apa gunanya pakai tudung bulat ke apa-apa tudung sekalipun tapi nampak juga bentuk telinga, bentuk dada, tali baju dalam.’
‘Ohhhkayy..’
‘Aku tak discriminate golongan tudung bulat, malah aku respect orang yang pakai tudung bulat.’
 ‘But still beb, aku rasa baik kau pakai tudung bulat. Kau tak nak berubah jadi lebih baik ke?’
‘Siapa yang tak nak kan. Tapi apa gunanya pakai tudung ke, purdah ke, serban ke tapi suka mengumpat, mengutuk & judge orang. Betul tak?’

Dia terdiam.

.

P/S: Adik-adik dan kakak-kakak sekalian, anda dijemput menghadiri kuliah wanita anjuran Persatuan Mahasiswa Islam UTM pada setiap hari Jumaat, jam 12.30tgh hingga 2 ptg di Dewan Al-Ghazali, MSI UTM. 


Antara tajuk yang akan dibincangkan adalah:
1. Ghibah: Perosak Ukhuwah (2 Mac)
2. Fesyen Tudung: Keperluan @ Kehendak (9 Mac)
3. Fiqh Wanita: Yang Kita Tidak Tahu (16 Mac)
4. Al-Quran Yang Berjalan (23 Mac)
5. Kerana Dirimu Begitu Berharga (30 Mac)

Ilmu itu cahaya, jahil itu berbahaya~


Umpamanya...

Di dalam satu program pembangunan insan, peserta-peserta dibahagi kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai bidang tugas yang khusus. Umpamanya,
Kumpulan A: Tarbiyyah
Kumpulan B: Pengurusan
Kumpulan C: Siasah
Kumpulan D: Sukan

Setiap peserta dibahagi dari segi pemakaian dan tingkah laku mereka. Umpamanya,
Kumpulan A: Mereka yang memakai tudung labuh bulat, jubah dan serban
Kumpulan B: Mereka yang memakai tudung labuh tiga segi, baju kurung dan kopiah
Kumpulan C: Mereka yang memakai tudung yang tidak berapa nak labuh dan seluar, tetapi masih menutup aurat
Kumpulan D: Mereka yang memakai tudung dengan trend masa kini dan snow cap tetapi masih menutup aurat

Program berlangsung selama beberapa bulan. Selama beberapa bulan itu pula setiap kumpulan diberi latihan kepakaran secara intensif mengikut bidang masing-masing. Umpamanya,
Kumpulan A: Fiqh, tasawuf, hadith, Quran, bahasa arab.
Kumpulan B: Communication skills, team building, management, organisasi.
Kumpulan C: Sains politik, kemahiran menganalisis, culaan, perancangan strategi.
Kumpulan D: Memanah, berkuda, berenang.

Setelah beberapa bulan, program itu berakhir. Dalam hati masing-masing terdetik, umpamanya,
Kumpulan A: ‘Tarbiyyah kami mantap. Ilmu tarbiyyah kami lebih banyak dari kumpulan-kumpulan lain.’
Kumpulan B: ‘Pengurusan kami mantap. Ilmu pengurusan kami lebih banyak dari kumpulan-kumpulan lain.’
Kumpulan C: ‘Siasah kami mantap. Ilmu siasah kami lebih banyak dari kumpulan-kumpulan lain.’
Kumpulan D: ‘Sukan kami mantap. Ilmu bersukan kami lebih banyak dari kumpulan-kumpulan lain.’

Lama selepas itu, mereka terfikir. Umpamanya,
Kumpulan A: Hebat juga kita ya, semua program berkaitan tarbiyyah kita dipanggil.
Kumpulan B: Hebat juga kita ya, semua program berkaitan pengurusan kita dipanggil.
Kumpulan C: Hebat juga kita ya, semua program berkaitan siasah kita dipanggil.
Kumpulan D: Hebat juga kita ya, semua program berkaitan sukan kita dipanggil.

Dalam masa yang sama, mereka hanya dipanggil untuk program yang berkaitan dengan bidang pengkhususan masing-masing. Peluang untuk menceburi bidang lain amatlah tipis dan jarang sekali berlaku.

Sedikit demi sedikit mereka sedar. Umpamanya,
Kumpulan A: Ahh, betapa jahilnya kita dalam ilmu pengurusan, siasah dan sukan.
Kumpulan B: Ahh, betapa jahilnya kita dalam ilmu tarbiyyah, siasah dan sukan.
Kumpulan C: Ahh, betapa jahilnya kita dalam ilmu tarbiyyah, pengurusan, dan sukan.
Kumpulan D: Ahh, betapa jahilnya kita dalam ilmu tarbiyyah, pengurusan dan siasah.

Lalu, mereka yang pada awalnya dipilih atas dasar pemakaian dan tingkah laku, akhirnya sama sahaja seperti dahulu. Tiada beza. Umpamanya,
Kumpulan A: Mereka masih memakai tudung labuh bulat, jubah dan serban
Kumpulan B: Mereka masih memakai tudung labuh tiga segi, baju kurung dan kopiah
Kumpulan C: Mereka masih memakai tudung yang tidak berapa nak labuh dan seluar, meskipin menutup aurat
Kumpulan D: Mereka masih memakai tudung dengan trend masa kini dan snow cap, meskipun menutup aurat

Maksud entri ini? Fikir-fikirlah sendiri. 

10 January 2012

Redha Allah

Redha Allah itu bagaimana?


Kunci dikeluarkan dari beg. Tanpa perasaan, pintu dibuka. Langkah longlai. Usai membuka kasut, badan direbahkan ke lantai simen beralas tikar getah nipis. Sejuk. Mata memandang putaran kipas di siling. Ada seekor cicak berlari-larian gembira di dinding. 

Hati kosong.

Lama di situ, hingga ada suara membisik-bisik. Mengingatkan, memberi nasihat dan pesanan. Jasad yang berat digagahkan untuk bangun ke bilik bacaan. Komputer dihidupkan. Jari-jari kasar mengurut pelipis, kadang-kadang mengetuk-ngetuk leher. Kemudian jari dialihkan ke papan kekunci. Ada yang perlu dikongsikan. Isi dialog petang tadi dihambur dengan rakus ke alam maya.


"Kamu tahu redha Allah itu bagaimana?"

Pandanganku menunduk. Sekilas aku mengangkat muka dan bertanya, "Bagaimana?"

"Redha Allah itu ada pada Nabi Ayub, pada Rabiatul Adawiyah."

Aku kembali senyap. Mungkin kerana jiwa masih tidak tenang, lalu tidak dapat menghadam butir bicaranya.

"Kamu tahu kisah Nabi Ayub?"

Aku mendiamkan diri. Dia tidak menunggu aku bersuara.

"Nabi Ayub diuji oleh Allah dengan sakit yang menyebabkan kulitnya pecah-pecah dan berkudis selama beberapa tahun. Dari situ keluar ulat-ulat sehingga badannya bernanah dan jijik sekali. Pernah satu ketika baginda mengutip ulat-ulat yang jatuh dari badannya dan meletakkan kembali ke atas badan baginda. Apabila ditanya kenapa baginda berbuat sedemikian, kamu tahu apa jawapan baginda?"

Aku menggeleng perlahan. Jujur, aku tidak tahu.

"Baginda berkata, 'Sesunggunya aku redha dengan ujian Allah terhadapku. Aku redha ulat-ulat ini memakan dagingku kerana Allah yang membenarkannya, Allah yang memberiku penyakit ini. Sekiranya aku tidak redha, bagaimana akanku peroleh redha Allah?"

Pandangan aku kosong tetapi hati mula sebak. Aku sendiri tidak tahu kemana hilangnya suara.

Dia masih tidak berputus asa, lalu menyambung. 

"Rabiatul Adawaiyah, wanita yang tidak berkahwin sehingga ajal menjemputnya kerana kasih dan cintanya hanya untuk Allah. Siang dan malam dia beribadah tanpa mengenal lelah dan jerih, hanya dibuai perasaan cinta semata-mata. Itulah tahap kelima dalam keimanan seseorang, tahap iman hakikat."

Tahap iman pertama adalah iman taklik, mengikut sahaja apa yang orang lain kata. Tahap iman kedua adalah iman pada ilmu, dengan berdasarkan dalil-dalil, Quran dan hadis. Tahap iman ketiga adalah iman 'ainul yakin, iman yang berdasarkan cinta kepada Allah, seolah-olah dapat melihat Allah. Tahap iman yang keempat adalah iman haqqul yakin, iman yang benar-benar menyaksikan Allah dengan mata hati. 

Rabiatul Adawiyah pula? Iman hakikat, tahap iman kelima. Iman yang tiada bersaksi selain Allah dan falak terhadap diri sendiri. Segala gerak-geri, percakapan dan perbuatannya hanya untuk Allah. MasyaAllah.

Aku sendiri bagaimana?

"Rabiatul Adawiyah sanggup masuk ke neraka andai itulah harga untuk meraih redha Allah. Kamu sanggup masuk ke neraka untuk mengecap redha Allah?"

Aku menguis-nguis rumput. Muhasabah diri.

Jika dengan sakit itu aku mengeluh dan meratap, bagaimana akan ku peroleh redha Allah?

Jika dengan sedikit ujian dan ketidakcukupan itu membuatkan aku putus asa dan berserah diri, bagaimana akan ku peroleh redha Allah?

Jika aku tidak redha dengan percaturan Allah yang menangguhkan sesuatu yang baik dan mempercepatkan yang tidak dijangka-jangka, bagaimana akan ku peroleh redha Allah?

Jika dengan sekelumat rasa kecewa aku menangis, bagaimana akan ku peroleh redha Allah?


Tangan kembali mengurut pelipis. Sakitnya hingga ke belakang kepala. Sudah tidak tertahan lagi lalu komputer dipadamkan. Jasad yang berat terasa ringan kembali walaupun kepala masih berdenyut-denyut.


"Ya Allah, jadikanlah aku hambaMu yang hidup hanya untuk meraih redhaMu. Jadikan aku mencintai sesuatu agar Kau redha kepadaku. Janganlah letakkan cinta lain dihatiku melebihi redhaMu. Bantulah hambaMu ini untuk membina cinta yang mendambakan redhaMu. Kasihanilah aku, Ya Allah. Jagalah diriku dan sediakan aku untuk menerima apa sahaja takdir dan keputusan."


04 January 2012

Muslimat comot, Muslimin selekeh


Bismillahhirrahmannirrahim.

Kontroversi betul tajuk entri kali ni. Maaf kalau ada yang tak suka. Dinasihatikan pada yang ada masalah dengan post berbentuk provokasi, boleh klik butang pangkah pada bahagian atas sebelah kanan.


Al-kisah muslimat.

Ada yang memakai tudung yang sama selama seminggu tanpa cuci. Bekas minyak dari sambal ikan bilis minggu lepas pun ada lagi.

Ada yang memakai baju dan tudung yang ronyok seribu. Bukan trend masa kini pun, cuma memang malas nak gosok baju agaknya.

Ada yang memakai tudung dan baju yang sudah lusuh warnanya hingga kain berbulu-bulu. Nak kata tak mampu beli tudung baru tidak jugak. Telefon bimbit tak kurang MP3, WIFI & kamera 3.2MP. 

Ada yang memakai stokin dan handsock yang tercarik-carik, menanti masa untuk koyak. Apalagi yang tak kisah memakai stokin dan handsock koyak. 

Ada yang setiap hari ke kuliah dengan muka pucat tak bermaya dengan tahi mata setepek.


Al-kisah muslimin.

Ada yang memakai seluar yang dipilih dari bakul baju kotor. Seluar yang paling tidak masam di antara yang masam dipakai untuk ke kuliah.

Ada yang keluar dari rumah tanpa menyikat rambut, sama sahaja dari bangun tidur. Apalagi yang memang tiada sikat pun.

Ada yang memakai kemeja dan t-shirt yang ronyok seribu. Sekali lagi, ini bukan trend tapi memang malas nak gosok agaknya.

Ada yang memakai handphone tercanggih abad ini dengan aplikasi Whatsapp, Viber, Angry Bird. Tetapi setiap hari ke kuliah dengan selipar jepun.

Ada yang sanggup habiskan beribu untuk sebiji kamera DSLR, tapi tidak mahu keluarkan wang kurang dari RM10 untuk beli deodrant. Bau badan, masyaAllah.

Ada yang setiap hari ke kuliah dengan muka berminyak sampai boleh melekat kertas di muka dengan tahi mata setepek.


Alahai muslimin & muslimat. Sama saja comot dan selekehnya.

Ada yang membiarkan pinggan dan cawan di sinki selepas makan. Lagi teruk ada yang membiarkan saja pinggan di atas meja sampai esoknya.

Ada yang biliknya selalu sahaja disinggahi lipas kerana tong sampah penuh dengan sisa makanan. 

Ada yang cadar katil dan sarung bantal tidak bertukar selama 3 bulan hingga peta Malaysia hampir sahaja lengkap terbentuk. Apalagi yang tidak bertukar setahun, peta dunia agaknya.

Ada yang mulutnya berbau.

Ada yang busuk kakinya, stokin dan kasut tidak dibasuh.

Ada yang kukunya hitam.


Kenapa muslimin dan muslimat? Kenapa bukan perempuan dan lelaki sahaja?

Muslimin dan muslimat, bila sudah Islam, bukankah kita membawa imej Islam itu sendiri? Jangan pula disebabkan kita, Islam itu menjadi buruk. Bagaimana kita mahu menarik mad'u untuk menutup aurat dan memakai tudung jika kita membawa imej comot dan selekeh?

"Eee, tak naklah pakai tudung labuh. Selekeh betul lah. Kau cuba tengok kakak tu. Kau nak aku jadi macam dia?"

"Eee, tak naklah ikut usrah petang ni. Aku tak selesalah duduk dengan abang tu, bau badan kuat betul."


Saya setuju bahawa pandangan manusia itu tak penting, pandangan Allah sahaja penting. Ya, memang betul. Saya bukannya menyeru agar muslimin dan muslimat bertukar kepada bergaya, trendy & vogue. Cumanya saya memohon muslimin dan muslimat menjadi lebih kemas, bersih dan menjaga penampilan. Bukankah Allah suka akan kecantikan dan kebersihan? 

Mungkin ada yang tidak puas hati dan menimbulkan tentang zuhud dan tawaduk. Ya, Rasulullah juga zuhud dan tawaduk tetapi baginda sangat menjaga kebersihan dan penampilan diri. Rambut baginda diminyakkan dan disisir rapi, janggut baginda dikemaskan, jubah baginda sentiasa bersih. Ada beza antara zuhud dan selekeh *gayamatluthfi*.

Apabila bercakap tentang baitul muslim pasti kita akan memilih calon yang mempunyai agama dan iman yang mantap. Di dalam jemaah sendiri, bilamana kita melalui proses tarbiyah yang hampir sama, ada muslimat yang mengadu muslimin hanya akan takdim muslimat yang comel. Jadi yang kurang comel ni bagaimana? Ada muslimin yang merungut, muslimat hanya akan menerima muslimin yang hensem. Jadi yang tak berapa hensem ni bagaimana?

Muslimat, jangan salahkan muslimin kalau memilih yang comel jika anda sendiri memang comot. Muslimin, jangan salahkan muslimat jika menerima yang hensem jika anda sendiri selekeh.  Allah menjadikan setiap manusia itu comel, cantik dan hensem. Terpulang kepada diri masing-masing untuk membawa penampilan bagaimana.

Ada yang mengatakan biarlah sekarang ni comot dan selekeh tapi depan suami/isteri nanti pakailah cantik-cantik dan lawa-lawa. Kalau sekarang ni, sebelum kahwin ni, dengan masa yang banyak terluang ni pun kita tidak belajar menjaga penampilan, apatah lagi apabila sudah berkahwin nanti. Masa itu sudah terlambat untuk belajar, cuma ada masa untuk aplikasikan.

Wallahu'alam.


p/s:  Maaf jika ada yang tidak puas hati. Saya juga tidaklah sempurna. Allah akan menguji kita dengan apa yang kita katakan dan mungkin saya juga akan diuji.

20 December 2011

Pejuang Halal 2

Saya melihat sekilas makanan yang dijual. Seperti biasa tekak menjadi loya. Sudah beberapa bulan saya mengalami 'penyakit' sebegini. Asal tiba waktu makan, perut meronta-ronta untuk diisi tetapi mulut mencongak-congak untuk dibuka. Jika ia mampu dibuka sekalipun, tekak pasti tidak setuju lalu menekan-nekan ingin mengeluarkan kembali. Jika tekak beralah sekali-sekala, kadang otak pula menimbulkan pelbagai persoalanan. Jika soalan-soalan itu tidak dijawab, bukankah ragu-ragu lalu menjadi syubhah?

Ah, susah begini. 

'Kina, kau janganlah fikir banyak sangat, makan je. Kalau kau fikir banyak-banyak, kau sendiri jadi ragu-ragu. Kau sendiri yang menyebabkan benda tu syubhah,'

Bagaimana tidak fikir banyak kali jika nampak sendiri di depan mata? Mencari yang halal juga merangkumi makanan yang bersih.

Pernah suatu hari saya dan sahabat-sahabat duduk bersama makan tengahari. Kebetulan pada waktu itu kami semua mempunyai kerja part time masing-masing. Kami bertukar-tukar cerita dan pengalaman. Seorang sahabat ini bekerja di salah sebuah premis makanan di tempat pengajian kami. Tiba-tiba saya teringat tentang soalan yang pernah singgah di benak saya dahulu tetapi belum punya bukti untuk dikukuhkan sebagai fakta. 

"Di tempat awak bekerja tu, pemilik kedainya recycle makanan tak?"

Sahabat-sahabat saya tergelak. Mungkin kali pertama mendengar istilah 'recycle makanan' atau mengitar semula makanan. 

"Mestilah ada," jawab sahabat itu tanpa perasaan.

Kami semua terdiam seketika.

"Makanan apa yang mereka recycle?"

"Biasanya yang goreng-goreng macam ayam"

"Saya pernah dengar ada orang mencuci semula ayam yang telah dimasak & simpan untuk masak lauk lain esoknya. Betul ke?"

"Betul lah tu. Biasanya lauk-lauk lebih macam ayam masak kicap tu mereka akan buang kuahnya, cuci ayam tu & simpan dalam freezer. Esok mereka akan masak semula. Mungkin lauk sambal, lauk kari.." jawabnya selamba sambil menyuap nasi ke mulut.

"Macam mana nak tau makanan tu dah recycle?" seorang lagi sahabat bertanya.

"Entah lah, susah nak agak. Kalau ayam atau ikann yang agak-agak keras & liat sikit tu mungkin dah dua tiga kali recycle. Kalau nak selamat, elakkanlah membeli makanan di kedai yang lauknya sangat banyak dan kita tahu lauk itu banyak lebihnya. Belilah makanan di kedai yang menjual lauk yang sedikit, asal habis lauk itu dia akan masak lagi."

Tekak mengembang.

Saya mula mempersoalkan sikap peniaga makanan. Apakah perbezaan peniaga makanan muslim (beragama Islam) dan peniaga makanan muslim yang  mukmin (orang yang beriman)? Jika seseorang itu benar-benar beriman, mana mungkin mereka sanggup memberi makan yang tidak elok, buruk dan meragukan kepada orang lain. 

Premis makanan dihiasi lalat-lalat dan makanan yang dikitar semula dua tiga kali. Apalagi kualiti makanan, samada ia berkhasiat atau tidak, dan dari mana sumber bahan masakan. Kebersihan peniaga makanan itu sendiri meragukan. Berapa ramai yang tidak kisah membeli dari  peniaga burger yang hisap rokok semasa memasak, atau  tukang masak yang kukunya diwarnakan merah, pink, hitam? 

Bagaimana pula dengan kedai makan yang tandasnya, Tuhan saja tahu betapa kotornya dengan tiada sabun dan entah berapa lama tidak dicuci. Filthy. Tahukah anda bahawa tandas itu digunakan oleh pekerja-pekerja premis makanan itu sendiri. Jika tiada sabun, adakah bermaksud mereka tidak mencuci tangan dengan betul selepas membuang air, lalu memasak makanan anda? Jika ya, anda telah pun memakan makanan dicemari najis yakni haram.

Saya ingin berkongsi sesuatu dari blog tarbiyah fikrahislam.com. Imam Ghazali menukilkan nasihatnya,


"Jika kita ingin anak kita menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berikanlah ia makanan daripada rezeki yang halal sejak lahir. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan mental mereka pintar dan cergas. Sebaliknya anak menjadi derhaka terhadap kita jika ia diberi makanan yang haram dan kotor."

Kesan pemakanan juga dikenalpasti daripada tingkahlaku tidur sebagaimana kata-kata Saidi Ali al-Syazali RA yang dipetik oleh seorang ulama’ tasawuf, Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani dalam kitabnya; Latha’iful minanu wal akhlak:


“Hasil dari pengalaman terhadap hal yang pernah kami perhatikan. Bagi menghindarkan kuat tidur ialah, makan yang halal dan meninggalkan perkara haram dan syubhah. Barang siapa yang makan makanan yang haram dan syubhah akan banyak tidurnya. Demikian itu adalah disebabkan oleh rahmat Allah, kerana pemakanan yang haram akan menggerakkan setiap anggota untuk berbuat maksiat. 

Maka Allah Taala lebihkan tidur ke atas orang yang memakan makanan syubhah untuk merehatkannya daripada melakukan maksiat. Sebagaimana lebih afdal Allah memberi rahmat kepada orang yang melakukan ketaatan dan memakan makanan halal dengan mengurangkannya dari tidur supaya ia dapat mendirikan ibadat malam dan siang.”


Apalah nasib pelajar-pelajar di medan ilmu yang memakan makanan sebegini. Dari makanan itulah terbentuknya darah, kemudian diserap ke tubuh. Lalu makanan yang syubhah itu menjadi darah daging kita. Yang haram itu menghitamkan hati. Hati yang hitam, gelap dan kelam tidak boleh ditembusi cahaya ilmu, apalagi cahaya iman.

Mungkinkah sebab itu pelajar kita banyak tidurnya, banyak maksiatnya, banyak lalainya? Mungkin sebab itukah pelajar kita kurang takwanya, kurang taatnya, kurang imannya?

Mungkin.

19 December 2011

Pejuang Halal


Mahu tidak kamu menjadi pejuang halal?

Hari ini saya serabut. 

Hari ini saya mahu anda semua berkenalan dengan Encik B, juga dikenali sebagai Encik K. Encik B adalah babi, dan Encik K adalah khinzir.

Ini mereka.






Tadi saya ke pejabat Jabatan Agama Negeri, mencari beberapa maklumat untuk thesis. Menemani sahabat untuk menemubual pegawai di sana.

Ustaz ada katakan beberapa perkara yang membuat saya tidak senang duduk. Sebelum ini memang saya sedia maklum tentang hal ini. Tapi entah kenapa hari ini Allah menyentuh hati saya untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat.

Kata Ustaz, “Saya yang bekerja di Jabatan Agama ni, walaupun kerja saya mengenalpasti produk-produk yang halal, saya rasa seumur hidup saya ni saya dah pun makan seekor khinzir agaknya.”

“Maksud Ustaz?”

“Iya lah, kebanyakkan makanan dan ubat yang kita guna seharian ada sumber khinzir. Kita sahaja yang tak tahu.”

Telan air liur. Kalau Ustaz begitu, saya ini? Keluarga saya? Sahabat-sahabat saya?

“Kamu lihat sekeliling kamu. Kenapa ramai orang tidak mahu solat? Kenapa ramai tidak mahu berdoa? Kenapa ramai anak tak dengar kata ibu bapa? Kenapa banyak masalah sosial?”

Soalan Ustaz bertalu-talu. Sambung Ustaz, “Umat Islam kita tercemar.”

Tercemar. Ustaz kata kita semua tercemar kerana apa yang kita makan setiap hari. Kita tidak mahu solat kerana kita tidak merasa khusyuknya solat, kita tidak mahu berdoa kerana tidak yakin doa kita dimakbulkan, anak-anak tidak mendengar kata ibu bapa kerana makan yang syubhah, masalah sosial hari ini kerana kontangnya umat dari doa, solat dan anak-anak yang mendengar kata. Puncanya? Sumber makan, kewangan. Halal kah?

Ustaz bercerita, pada suatu hari Rasulullah s.a.w. mengadakan majlis ilmu di masjid. Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak membuat bising. Lalu Rasulullah berkata, ‘Anak ini ada syubhah padanya.’ Syubhah dengan maksud anak kecil itu diberi makanan yang subhah dan haram sehingga dia tidak mendengar kata dan degil.

Susah untuk saya tafsirkan kepada penulisan kerana skop halal dan toyyib (baik) itu luas. Terlalu banyak yang syubhah.

“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang). Dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang meragukan, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa memelihara (dirinya dari) segala yang meragukan, sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara yang meragukan, jatuhlah dia ke dalam yang haram ” (Hadith Riwayat Imam al-Bukhari and Muslim)       


Makanan

Makanan itu perlu dilihat dari sumbernya. Jika haiwan, sembelihannya bagaimana? Jika sembelihannya syari’e, siapa yang menguruskan dagingnya? Adakah dia menjaga kebersihan? Jika orang yang menguruskan daging itu syari’e dan toyyib, bagaimana pula penghantaran daging itu? Adakah ia bercampur dengan yang haram? 

Jika penghantarannya syari’e, adakah daging itu dimasak dengan bahan-bahan yang halal? Jika bahan-bahan itu semua halal, adakah tempat memasaknya (periuk, kuali, pisau, senduk, pinggan) yang digunakan tidak digunakan juga untuk memasak khinzir? Jika tempat memasaknya tidak bercampur, adakah orang yang memasak itu muslim atau tidak? Jika muslim (orang Islam), adakah dia mukmin (beriman)? Adakah dia menjaga solatnya, auratnya?


Ubat & Farmaseutikal

Ubat itu juga perlu dilihat sumbernya. Jika pil atau kapsul, dari mana sumbernya? Lembu, khinzir, tumbuh-tumbuhan atau sintetik? Jika tumbuhan, alhamdulillah. Jika lembu, adakah lembu itu disembelih? Jika tidak disembelih bererti kita memakan ubat yang dicemari najis. 

Jika suntikan, adakah carrier atau vektor untuk membawa ubat melalui suntikan itu mengandungi bahan dari khinzir? Jika transplan, adakah darah, sel, tulang atau kolagen itu sumbernya khinzir? Bagaimana pula dengan ksometik seperti gincu, bedak, krim pencerah, pelembap, sabun, syampu? Adakah semua itu bebas khinzir?

Tahu mengapa ubat-ubat tidak mempunyai sijil dan logo halal dari Jabatan Agama? Kementerian Kesihatan Malaysia telah melarang Jabatan Agama dari meletakkan logo halal kerana proses menukar dari haram ke halal bagi bidang farmaseutikal mencecah RM60 billion. Hanya kerana wang.

Kewangan

Kewangan itu perlu dilihat dari mana sumbernya. Adakah gaji kita yang digunakan untuk memberi nafkah kepada keluarga halal dan berkat? Adakah kita menggunakan masa bekerja dengan amanah? Adakah kita bekerja tanpa rasuah dan riba’? 

Adakah perbankan yang kita gunakan konvensional (melibatkan faedah & riba’) atau perbankan Islam? Adakah pekerjaan yang kita lakukan melibatkan kita dengan yang haram seperti arak dan khinzir?

Skop halal dan toyyib itu sangat luas. Tak tertulis di sini.

Mahu tahu sesuatu?

Ramai orang yang suka makan di restoran & gerai-gerai yang syubhah makanannya, syubhah tukang masaknya, syubhah sumber makanannya.

Ramai orang makan telur yang tidak dicuci dahulu. Najis.

Ramai orang yang makan di hotel atau restoran mewah tidak tahu bahawa kebanyakkan makanan dimasak dengan wine/arak.

Ramai orang yang membeli barang tanpa peduli ada atau tidak logo halal dari Jabatan Agama.

Ramai orang suka membeli barangan kulit seperti beg dan kasut dari China, pengeluar terbesar barangan kulit khinzir.

Ramai orang menggunakan berus cat dan berus memasak dari bulu khinzir.

Ramai orang tidak mahu tahu semua ini.


Ustaz memahatkan kata nasihat sebelum kami pulang.

“Bila kamu menjadi isteri nanti, bila kamu menjadi ibu, pastikan suami dan anak-anak kamu makan yang halal dan baik-baik. Niat memasak itu perlu dibetulkan kembali. Adakah memasak sekadar untuk mendapat pujian dari suami dan anak-anak agar lebih dikasihi dan disayangi? Kalau begitu, kamu belum cukup layak menjadi solehah.

Setiap kali kamu masak, berdoalah agar mereka yang memakan masakan kamu akan menjadi orang yang soleh wa muslih, taat kepada Tuhannya, taat kepada Rasulnya, lembut hatinya. Berzikirlah dengan nama-nama Allah yang indah, ikhlaskanlah niat kamu.”

Persoalannya sekarang, mahu tidak kamu menjadi pejuang halal?

18 December 2011

Percaturan Ilahi


Dia masuk ke dewan dengan wajah muram. Program belum lagi bermula tetapi matanya selalu sahaja mengerling jam G-Shock berwarna biru di tangan kirinya. Di sebelahnya seorang wanita berbaju putih dan seluar jeans biru tua. Rambutnya beralun, keperang-perangan. Mereka beriringan ke kaunter pendaftaran.

Wanita itu mengambil pen dan menulis nama di ruang peserta. Syafiq. Si pemilik jam G-Shock itu bernama Syafiq.

Usai mengisi borang pendaftaran, wanita itu berkata lembut pada Shafiq yang berdiri disebelahnya.

'Sayang, pergi duduk di sana sekejap. Mama nak cakap dengan kakak ni,'

Dia mengangguk perlahan, akur, dan berlalu pergi. 

'Dik, lepas ni ada lagi tak program macam ni?'

'Ada kak. InsyaAllah awal bulan Disember ini ada Kem Pemantapan Solat macam ni juga. Pertengahan bulan Disember pula ada Summer Camp di UTM.'

'Maksud akak, ada lagi tak program macam ni minggu depan dan kalau boleh setiap minggu? Macam ni lah dik, kalau boleh sepanjang cuti sekolah ni akak tak nak dia selalu ada dengan akak. Akak nak dia pergi program-program macam ni. Akak tak nak dia jadi macam akak.'

Wanita itu cantik. Kulit hitam manis, bersolek nipis, berdandan kemas. Dalam kalangan ibu bapa yang hadir menghantar anak-anak mereka, dia seorang sahaja yang tidak bertudung dan agak bergaya. Walaupun begitu, dia masih tegar menghantar anaknya.

'Akak tak nak dia jadi macam akak.' 

Terngiang-ngiang ayat itu dalam kepala. Saya terdiam. Sedikit terkejut, sedikit sebak.

'Nanti saya semak balik jadual program kami. Kalau ada apa-apa program lepas ni, nanti saya mesej akak, boleh?'

'Boleh, terima kasih dik.' Senyumnya lebar. 

Saya melihat kembali sosok seorang Syafiq yang diamanahkan kepada kami. Dia duduk menyendiri, matanya meliar melihat peserta-peserta lain. Masih muram dan sugul.



Jika pada mulanya semua peserta menyendiri dan takut-takut, selepas sesi ice breaking mereka sudah pun bergelak tawa dan bergura senda. Syafiq juga sudah boleh bergelak tawa dan bermain dengan peserta lain. Sesi pengenalan wuduk dimulakan diikuti dengan praktikal wuduk.

Kadang mata menebar mencari kelibat pemilik jam G-Shock itu walaupun diri ini ditugaskan memantau adik-adik perempuan. Adakala Syafiq sedang bersemangat menjawab soalan fasilitator, adakala dia mengusik peserta lain dan ketawa terkekeh-kekeh. Lega hati saya.

Tetapi kadangkala saya risau. Adakala juga dia senyap dan memandang sekeliling dewan. Adakala dia duduk di belakang dewan dan menjauhi peserta-peserta lain. Bila ditanya, dia hanya tersengih dan menggeleng. Katanya bosan. Saya bingung.

Saya cuba mendekatinya dan berbasi-basi.

“Kenapa tak nak duduk di depan dengan kawan-kawan?”

Dia hanya menjungkit bahu. Kali ini sengihnya hilang, tinggal muram dan suram.

“Bosan ke?”

“Tak lah kak. Tak bosan pun..”

“Habis tu?”

Dia senyap. Saya juga senyap. Kami mendengar isi bengkel rukun solat yang disampaikan fasilitator bertugas walaupun nyata dia tidak menumpukan perhatian.


“Mak kerja apa?”

“Mak kerja mengandam pengantin, ada butik sendiri.”

“Ohh, ayah?”

“Ayah kapten kapal di Singapura, jarang ada di rumah. Seminggu sekali sahaja ayah balik.”

Ahh, tak sangka pula dia akan menjawab sebegitu terperinci.

“Jadi kalau mak pergi kerja, Syafiq duduk dengan siapa?”

“Syafiq duduk dengan Tok.”

Saya mengangguk-angguk perlahan.

Kami bertukar-tukar cerita tentang masa depan. Di mana dia mahu bersekolah selepas ini, mahu ke universiti mana, cita-citanya apa. Dia bercerita tentang kerisauannya kerana keputusan UPSR nya tidak cemerlang. Saya memujuk dan memberi kata semangat. Kami bercerita mengenai roket, angkasa lepas, kapal selam, kereta lumba, jelajah dunia. Katanya dia mahu jadi kapten kapal seperti ayahnya.

Kami kembali senyap selepas itu, mendengar isi bengkel yang tersisa. Muramnya sudah hilang. Tetapi saya masih bingung kenapa dia menjauhkan diri dari peserta lain.

Sesi praktikal bacaan solat bermula. Saya masih duduk bersama Syafiq. Kelihatan dia juga tidak mahu berganjak.

“Kalau akak tolong periksa bacaan solat Syafiq nak tak?” Saya cuba bertanya walaupun tidak meletakkan harapan yang tinggi bahawa dia akan setuju.

Dia tersenyum lebar dan mengangguk laju. Dia berlari mengambil fail dan buku solat, kemudian kembali mengambil tempat di sebelah saya.

“Okay, kita mula dengan niat solat.”

Alhamdulillah, permulaan yang baik.

 “Cuba baca doa iftitah,”

“Erm, saya tak hafal semua lah kak,”

“Takpe, cuba baca dulu. Nanti akak tolong betulkan,”

Beberapa ketika selepas itu, terjawab semua persoalan saya. Rupanya selama ini dia menjauhkan diri kerana rendah diri. Syafiq tidak lancar membaca jawi, apatah lagi membaca Quran. Tergagap-gagap dia mencuba mengenal kalimah di dalam buku nipis itu. Kerana itulah dia tidak dapat menghafal bacaan-bacaan dalam solat.

“Di rumah Syafiq ada pergi kelas mengaji?”

“Dulu pernah pergi..” dia menundukkan kepala dan senyap.

“Syafiq dah habis belajar Iqra’?”

“Belum lagi.”

Hati saya sebal. Kasihan melihat wajahnya yang mendung. Pasti dia rasa rendah diri. Antara peserta-peserta yang hadir, dia yang paling tua, berumur 12 tahun. Ada dikalangan peserta yang sangat lancar bacaan solat mereka walaupun hanya berumur 8-10 tahun.

“Erm, nanti Syafiq cakaplah dengan mak yang Syafiq nak belajar mengaji. Nanti baru boleh lancar bacaan solat.”

Saya cuba memujuk. Dia masih senyap.

 “Takpe, kita teruskan ya. Akak tolong bacakan, awak ikut. Boleh?”

Dia mengangguk-angguk. Perlahan senyum diukir. Wajahnya ketika itu menyedarkan saya mengapa Allah pilih saya untuk berada disini.

'Akak tak nak dia jadi macam akak.' 

Percaturan Ilahi kadang-kadang menemukan kita dengan orang yang mengingatkan kita maksud sebenar hidup. Percaturan Ilahi menjentik kesedaran bahawa diri ini perlu bermanfaat kepada sekeliling, jangan pernah sombong kerana sombong itu membataskan ilmu, merugikan ibadah. Bukankan berkongsi ilmu juga suatu ibadah jika lillahi taala?
 

03 October 2011

Ibrah

Ibrah itu pengajaran.

Dua hari ini penuh dengan ibrah. Belajar dari sekeliling dan orang-orang yang lebih berpengalaman. Tak pernah terfikir akan berada sekelas dengan kakak-kakak ustazah yang hebat dan para ustaz yang mantap. Allah beri peluang untuk belajar dari mereka. Allah beri peluang untuk muhasabah diri.

 Kami ditanya seorang demi seorang tentang bidang kajian kami.

"Saya pelajar fast-track PhD. Projek saya tentang kedudukan ibu susuan di dalam Islam berserta kajian saintifik makmal."

"Saya mengambil ijazah dan sarjana di UTM dalam bidang sains komputer. Sekarang insyaAllah akan mengambil PhD dan mengkaji tentang perbahasan mazhab mengenai ibadah haji."

"Saya merupakan lulusan ijazah dari UIA dalam bidang kejuruteraan. InsyaAllah kajian sarjana saya tentang perbahasan undang-undang mengenai status halal."

"Saya lulusan ijazah di Al-Azhar, sekarang menyambung sarjana dan membuat kajian tentang..."

"Saya mengambil ijazah di Mesir. Kajian sarjana saya mengenai..."

 Rasa rendah diri - satu.


Siapa sangka, Ustazah Naemah turut berada di kelas yang sama, mengambil PhD. 

"Awak ni semua untunglah belum kahwin lagi, ada masa untuk siapkan kajian. Macam saya ni, nak bahagikan masa untuk anak-anak lagi.. "

 Rasa rendah diri - dua.

Usai bertaaruf, sesi pembelajaran dimulakan. Allah, jauh beza dengan apa yang pernah dipelajari sebelum ini. Cuba untuk fokus, cuba untuk kaitkan dengan projek sendiri namun masih samar-samar.

"Esok, saya nak awak bentangkan kajian awak berdasarkan apa yang awak dapat hari ini." kata pensyarah.

Ahh, biar betul. Apa aku nak bentang ni?

Kata ustaz, "Awak bentang saja apa yang awak boleh. Nanti bahagian metod kajian bukan saintifik tu saya akan tolong bagi pendapat."

Hari pembentangan. Hari taaruf yang lebih mendalam. Para ustaz dan ustazah yang hebat-hebat belaka membentangkan kajian mereka.

Tiba giliran saya. Jujur, saya katakan kelemahan saya. Saya memohon pandangan pensyarah, diberi cadangan dan tunjuk ajar. Alhamdulillah, ada jalannya.

Selesai pembentangan, Kak Zilal mengambil tempat di sebelah saya. Kami bertukar email dan nombor telefon. Katanya ada banyak bahan rujukan yang boleh diberi. Alhamdulillah, Allah mudahkan.

Dalam masa yang sama, kelihatan Ustaz Mahyuddin mengambil tempat duduk. Ustaz Mahyuddin juga mengambil PhD rupanya.

"Awak kenal Ustaz Mahyuddin?" Soal Kak Zilal. Mungkin sedikit pelik kerana saya bukan dari fakulti mereka.

"Kenal. Ustaz ada buat kuliah tafaqquh di MSI, bincang kitab Riyadhus Solihin."

"Ohh, patutlah. Kuliah tafaqquh tu setiap petang kan? Akak nak sangat pergi, tapi ya lah, nak bawak anak nanti susah pula."

"Hah? Akak ada anak? Akak dah kahwin ke?" Muka Kak Zilal tak macam mak orang pun, macam umur 19 ada lah.

"Hehe. Ya lah, anak akak dah ada dua orang pun. Akak dah lama dah kahwin, dah enam tahun dah."

"Ehh, serius ke ni? Umur akak berapa?"

"Umur akak 26, kahwin masa umur 20. Masa tu first year lagi."

Allah..Tingginya azam dan semangat Kak Zilal. Mengambil fast-track PhD, dalam masa yang sama menjaga suami dan anak-anak yang masih kecil.

Rasa rendah diri - tiga.


"Saya mengambil ijazah dan sarjana di UTM dalam bidang sains komputer. Sekarang insyaAllah akan mengambil PhD dan mengkaji tentang perbahasan mazhab mengenai ibadah haji."

Dia berjalan dengan bantuan crutches. Langkahnya agak perlahan. Sekali pandang, pasti tidak menjangka dia pelajar PhD. Tampak sangat muda.

Pada mulanya saya agak bingung, bagaimana dia membuat kajian PhD dalam bidang yang sangat jauh beza dengan apa yang dipelajari sebelum ini. Rupanya dia menghasilkan aplikasi software untuk telefon bimbit seperti iPhone untuk kemudahan jemaah haji.

Rasa rendah diri - empat.


"Dik, dah install dah software yang ustaz bagi tadi?"

"Baru nak install kak, duduklah di sini."

Kak Andik seorang ustazah yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Segamat. Kak Andik mempunyai ijazah dalam bidang syariah tetapi memilih untuk menjadi guru supaya masanya boleh diluang bersama keluarga, terutama anak-anak. Lama kami berborak, bertukar-tukar cerita, bertanya tentang kajian masing-masing.

Gigihnya Kak Andik berulang alik dari Segamat ke Skudai untuk menyambung pelajaran bersama Kak Hasnida, juga seorang ustazah. Perjalanan hampir dua jam setiap kali pergi dan dua jam setiap kali pulang. Belum dikira masa untuk suami dan anak-anak yang harus dikorbankan. Allah..

Rasa rendah diri - lima.

Menghampiri jam 3 petang, kelibat Ustazah Suraya, isteri Ustaz Mahyuddin kelihatan. Kedua-dua Ustaz Mahyuddin dan Ustazah Suraya mengambil PhD, dalam masa yang sama menjaga bayi yang masih kecil. Patutlah Ustaz hanya datang pada sesi pagi dan ustazah datang pada sesi petang, rupanya mereka bergilir-gilir menjaga bayi di dalam kereta.

Rasa rendah diri - enam.


Masih banyak kisah mereka yang tidak dapat dikongsikan. Berkali-kali rasa rendah diri hari ini. Sebab apa rasa rendah diri?

Kadang kita lupa bahawa ilmu kita tak seberapa.

Kadang kita mengeluh tiada masa yang cukup sedangkan ada orang yang mempunyai jadual lebih padat.

Kadang kita mengadu kelas jauh & tiada kenderaan sedangkan ada orang yang sanggup datang jauh-jauh untuk belajar.

Kadang kita merungut keletihan sedangkan apa sangatlah letih kita jika dibandingkan mereka yang 24 jam seharinya perlu dibahagi bersama isteri, suami, anak-anak, kerjaya dan gerak kerja Islam.

Kadang kita mengada-ngada memberi pelbagai alasan sedangkan usaha kita tidak seberapa.

Kadang-kala, kita cuma malas.


Setiap detik dan hari yang berlalu itu merupakan ibrah dari Allah untuk hamba-hambanya yang mencari. Allah, tambahkanlah ilmuku dan perluaskanlah kefahamanku.