15 November 2010

Real Muslimat: Multi-tasking

"InsyaAllah kita akan bincang tentang akibat dan kesan berlakunya peristiwa itu. Jadi ana buka untuk perbincangan."

"Bismillahirahmanirrahim, ana dapat maklumat dari seorang senior, berlakunya peristiwa ni sebab..."

Bermulalah perbincangan pada malam itu. Tugasan yang diberi bukannya mudah. Bukannya boleh digoreng atau direbus. Ia perlu diperhalusi dan merujuk kepada sumber yang sahih.




Hampir sepertiga perbincangan, seorang sahabat berbisik kepada saya. "Kina, dah hantar borang BM dah?"

"Allah, lupa pulak nak isi! Tarikh last Isnin ni kan?"

"A'ah, Isnin ni. Kita tak nak isi boleh tak?"

"Eh, kenapa pulak?"

"Saja je. Tak nak lah isi."

"Kenapa?"

"Kita rasa tak layak lah nak bersama dengan orang yang berfikrah ni. Ramai lagi orang lain yang hebat-hebat. Biarlah kita bagi peluang kat orang lain."

"Ishh. Mana boleh macam tu. Dalam perkara ibadah, kita kena mendahulukan diri sendiri."

"Kenapa pulak?"

"Kalau tak silap kita, ada hadis pasal ni. Kita tak berapa ingat. Dalam hal-hal ibadah wajib, kita perlu mendahulukan diri kita daripada orang lain. Contohnya kalau nak solat, dan pakaian yang menutup aurat tu ada satu sahaja sedangkan ada dua orang - kita dan kawan kita. Maka wajib untuk kita solat dahulu dan kemudian pakaian yang menutup aurat tu diberi kepada kawan kita untuk dia solat pula."

"Eh, betul ke? Contoh lain?"

"Erm, contoh lain, kalau berbuka puasa Ramadhan (puasa yang wajib), kita perlu berbuka dahulu sebelum memberi makanan kepada orang lain."

"Bukan ke selama ni kita perlu mendahulukan orang lain sebelum diri kita sendiri?"

"Memang betul, tapi dalam hal ibadah yang wajib, kita perlu mementingkan diri sendiri dan merebut pahala."

"Jadi kaitannya dengan apa yang kita cakap tadi tu apa?"

"Ha, kaitannya, kita kena mendahulukan diri sendiri dalam ibadah wajib, termasuklah bab nikah."

Muka hamba Allah yang bergelar sahabat itu berkerut seribu sejak tadi.

"Contohnya, ada seorang lelaki yang sangat soleh dan alim meminang seorang wanita. Dalam masa yang sama, kawan baik wanita tersebut sebenarnya menyimpan perasaan terhadap lelaki itu. Tidak boleh bagi wanita yang dipinang itu menolak pinangan lelaki alim itu dengan hasrat memberi peluang kepada kawan baiknya."




"EHEM. Muslimat kalau nak tambah apa-apa silakan ye. Macam banyak je dah berbincang tu." Seorang muslimin menegur.

"Erm, ana rasa bahagian faktor luaran tu macam belum cukup maklumat. Mungkin kita boleh tambah untuk keadaan semasa." Cover line yang sangat baik.




Perbincangan dengan sahabat tadi disambung semula. Kali ini, sahabat muslimat lain pula menambah. "Betul lah tu kak. Kalau tak silap saya ianya dipanggil itsar. Dalam cerita Ketika Cinta Bertasbih ada kot pasal ni."

"Adeh, akak tak tengoklah cerita tu."

"Takpe, nanti akak cari kat internet."




"MUSLIMAT kalau nak bincang lagi mungkin boleh share dengan muslimin. Kami pun nak tau juga. Nanti ada yang complain muslimin tak bagi muslimat peluang cakap dalam mesyuarat."

"Eh, takde lah. Kami bincang balik pasal apa yang ditulis kat depan tu. Penjelasan semula." Ohh, cover line lagi.

"Okay, kalau macam tu kita dah boleh masuk kepada perbincangan lanjut. Apa yang antum nampak faktor utama berlakunya peristiwa ni?"

"Ana rasa ni masalah sistem dan kesedaran. Apabila suatu sistem yang telah dirangka, kita bergerak tanpa kesedaran tetapi arahan. Tetapi berbeza dengan zaman selepas itu, mereka bergerak diatas dasar kesedaran, barulah merangka sistem."

Semua yang hadir mengangguk setuju.

"Ana rasa tu dah macam konklusi kepada perbincangan kita. Ada sesiapa lagi yang nak tambah?"

"Ana ada soalan, bagaimana pula dengan kualiti dan kuantiti? Yang manakah yang perlu kita utamakan?"

"Ana rasa dalam soal ni, kita perlu utamakan kualiti. Apa guna kuantiti kalau kualiti yang tak seberapa."

"Tapi kayu ukur kita merupakan kuantiti. Bagaimana kita nak mengukur kualiti?"

"Pendapat ana, kualiti dan kuantiti perlu bergerak seiringan. Macam dakwah dan akademik."

"Isyh, tak boleh macam tu. Perlu ada salah satu yang diutamakan."

Perbincangan dilanjutkan sehingga semua mencapai kata sepakat. Alhamdulillah, apa yang dibincangkan sangat bermanfaat kepada kami semua. Dalam hati, seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kerana diberi tugasan sebegini.



Hari ini kami ke kedai buku untuk merungkai persoalan tentang itsar. Saya membeli buku Perbahasan Kaedah-kaedah Fiqh dan hamba Allah bergelar sahabat itu membeli buku Fiqh Aulawiyat (Fiqh Keutamaan). Ternyata benarlah apa yang kami bincangkan.

Itsar atau mendahulukan orang lain daripada diri sendiri itu terbahagi kepada dua iaitu itsar duniawi dan itsar ibadah.

1. Itsar duniawi: Sangat dipuji Allah. Contohnya makan, minum, harta.
2. Itsar ibadah: Sangat dikeji Allah. Contohnya dalam hal solat, puasa, haji, nikah, dan zakat.

Dan lawan bagi itsar adalah atsaroh iaitu mendahulukan diri sendiri. Maka dalam hal-hal ibadah, perlulah kita atsaroh.

Alhamdulillah juga, persoalan tentang kualiti vs kuantiti itu kami temukan di dalam buku Fiqh Aulawiyat, bab kedua iaitu Keutamaan Kualiti Keatas Kuantiti. Huraian panjang lebar oleh Yusuf Al-Qardhawi itu cukup jelas bahawa kualiti haruslah diutamakan daripada kuantiti. Mungkin selepas ini kita boleh membawa buku-buku fiqh semasa mesyuarat. Hehe.



p/s: Sekiranya tuan pengerusi mesyuarat tersebut membaca entri ini, harap dimaafkan kerana membincangkan tajuk selain dari tajuk yang perlu dibincangkan. Maklumlah, muslimat. Kami memang cekap dalam hal multi-tasking. :)


25 October 2010

V for Vendetta & Menara Warisan


"Ustaz cadangkan, antum tengoklah cerita V for Vendetta dan belajar siasah daripada cerita tu."

Biar betul Ustaz ni? V for Vendetta?

"Cerita Barat ni, walaupun kebanyakkannya tak senonoh, ada pengajarannya. Bukan macam cerita kita, dah lah tak senonoh, pengajarannya pula belum tentu betul."


V for Vendetta

Cerita yang diadaptasi dari komik karya Alan Moore ini mengisahkan Britain yang diperintah oleh kerajaan totalitarian Parti Norsefire. Kerajaan yang memerintah secara gila kuasa menahan rakyat yang menetang kerajaan di kem-kem konsentrasi dan menjadikan mereka bahan eksperimen untuk keuntungan kerajaan. Kerajaan Norsefire mengawal segala informasi yang sampai ke telinga rakyat Britain dengan menguasai media massa dan menyampaikan berita yang boleh meyakinkan rakyat Britain untuk bergantung harap kepada kerajaan.



"V", seorang revolusioner Anarkis yang tampil menggunakan topeng Guy Fawkes, pernah didera semasa menjadi tahanan kem konsentrasi. V mula berkempen menggunakan kekerasan dan bertindak kejam dengan membunuh bekas penculiknya, menggulingkan kerajaan, dan meyakinkan rakyat Britain untuk memerintah diri mereka sendiri.



Menariknya tentang cerita ini, terdapat beberapa pandangan holistik tentang hubungan pemerintah dan rakyat. Diingatkan bahawa saya hanya menghuraikan cerita V for Vendetta, bukan mengkritik kerajaan Malaysia. Sila jangan salah faham. Jika terdapat apa-apa persamaan, maka ia adalah kebetulan semata-mata. Antara dialog yang saya kira boleh dijadikan study case disini adalah:

"People should not be afraid of their government. Governments should be afraid of their people."
Rakyat tidak patut berasa takut dengan kerajaan. Kerajaan patut berasa takut dengan rakyat.

Sememangnya rakyat tidak patut berasa takut dengan kerajaan kerana rakyatlah yang bertanggungjawab memilih kerajaan. Tanpa sokongan rakyat, maka tidak wujudlah sesuatu kerajaan itu. Dan kerajaan pula wajib menunaikan hak dan kewajiban terhadap rakyat yang telah memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan untuk memerintah. Sekiranya kerajaan tidak dapat menunaikan kewajiban itu dengan baik, maka kerajaan memang patut berasa takut dengan rakyat.


"It's our job to report the news not fabricate it. That's the government's job"
Tugas kami (penyampai berita) hanya untuk melaporkan berita, bukan memalsukannya. Itu tugas kerajaan.

Berita tentang ekonomi, taraf kesihatan, politik dan sosial dipalsukan oleh kerajaan untuk mengelakkan pertentangan rakyat dan memperlihatkan betapa gahnya kerajaan tersebut. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui berita sebenar. Rakyat tidak boleh dipelakukan seperti boneka yang dipermainkan oleh pihak kerajaan.


Salah satu adegan di dalam cerita ini yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca adalah pada akhir cerita ini, Evey ingin menarik tuil yang akan menggerakkan keretapi bawah tanah yang sarat dengan bom untuk mengebom bangunan parlimen Britain. Sebelum Evey sempat menarik tuil tersebut, seorang detektif mengacukan pistol kepadanya dan mengarahkannya untuk berhenti.

"Stop! Why are you doing this?"

"Because he (V) was right"

"About what?"

"That this country needs more than a building right now, it needs hope.."

Lalu Evey menarik tuil keretapi tersebut. Pada masa yang sama, lebih 800 000 rakyat Britain yang memakai topeng Guy Fawkes dan berjubah seperti V, membanjiri jalanan dan berkumpul di hadapan bangunan parlimen Britain. Mereka berkumpul untuk melihat bangunan parlimen Britain berkecai dan hancur bersama pemerintahan yang zalim.





V for Vendetta & Menara Warisan

Dalam pembentangan Bajet 2011 yang lepas, Dato Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia, telah mengumumkan pembinaan Menara Warisan yang berharga RM 5 billion. Bangunan setinggi 100 tingkat yang akan menggantikan Menara Berkembar Petronas sebagai bangunan tertinggi di Malaysia itu mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak. Secara zahirnya, Menara Warisan itu pasti menjadi sebutan orang ramai sekaligus menaikkan nama Malaysia diperingkat antarabangsa. Namun, apalah ertinya jika rakyat Malaysia bakal menanggung beban selebihnya.


Di sini saya sertakan beberapa pandangan saya (saya tegaskan, pandangan saya) terhadap pembinaan Menara Warisan:

1. RM5 billion untuk sebuah bangunan sahaja merupakan pelaburan yang kurang bijak kerana duit tersebut boleh digunakan untuk pelbagai jenis pembangunan lain yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Sebagai contoh, jika pengangkutan awam di Malaysia dinaiktarafkan dan menggunakan 'state-of-the-art technology', ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah boleh menaikkan nama negara.

2. Antara keperluan dan kemahuan, saya fikir Menara Warisan bukanlah satu keperluan tetapi kemahuan pihak kerajaan semata-mata. Ini adalah kerana bangunan-bangunan yang sedia ada dan melambak di Kuala Lumpur tidak digunakan sepenuhnya dan ada juga yang 'unoccupied'. Menara Berkembar Petronas sendiri tidak digunakan secara total, jadi untuk apa bangunan ini dibina? Secara tidak langsung, hal ini akan mengurangkan nilai harta tanah di kawasan lebihan lot.

3. PM mengatakan bahawa Menara Warisan akan menguntungkan ekonomi negara dengan pelaburan dari pelbagai pihak. Tetapi berbaloikan menggunakan RM5 billion (yang mungkin akan melonjak sehingga RM10 billion di akhir pembinaannya pada 2015) dengan mengorbankan kepentingan semasa dan tanpa pertimbangan keadaan ekonomi yang semakin gawat? Harga minyak dan gula melonjak naik, harga barangan runcit juga semakin melambung tinggi. Lalu salah siapa jika rakyat yang berpendapatan rendah (baca: miskin) tidak mampu membiayai anak-anak mereka ke sekolah? Salah mereka sendiri kerana tidak berusaha dengan lebih gigih??

4. Cuba kita lihat negara maju yang lain. Jepun terkenal dengan pembangunan teknologi elektroniknya. Russia terkenal dengan teknologi aeronautic. Mereka tidak memerlukan sebuah menara pencakar langit untuk menjadi terkenal. Yang kita perlukan adalah pembangunan modal insan yakni pembangunan sahsiah diri dan rohani dalam kalangan masyarakat, bukan sekadar 'meramaikan' pencakar langit di Kuala Lumpur. Apalah gunanya jika secara dasar dan zahirnya cantik di mata dunia, tetapi isi dalamnya kosong dan lompong.

5. Malaysia sepatutnya mengambil ibrah dari pembinaan menara Burj Dubai. Walaupun menjadi sebutan dan perhatian, keadaan ekonomi Dubai merudum jatuh dan terpaksa berhutang. Maklumat lanjut di sini.

Banyak lagi pandangan yang boleh dilontarkan, tetapi cukuplah buat masa ini. Seperti yang dikatakan dalam V for Vendetta, "This country needs more than a building right now, it needs hope.." Atau adakah Malaysia perlukan pengakhiran seperti V for Vendetta?



Wallahu'alam.



Nota kaki:

> Writing a Malay language review for an English-movie is veryyy difficult!

> Sekiranya anda tidak bersetuju dengan pandangan saya, anda dipersilakan untuk memberi hujah yang lebih kukuh.

> Jika anda ingin menonton V for Vendetta, saya mengesyorkan anda untuk Google mengenai 'Guy Fawkes' dan 'The Gunpowder Treason Plot' terlebih dahulu. (V for Vendetta ada di Youtube)

> Alan Moore, penulis asal komik V for Vendetta kurang bersetuju dengan filem ini kerana terdapat banyak perubahan pada cerita asal dan mesej tentang politik yang disampaikan tidak seperti di dalam komiknya. Saya akan cari komik V for Vendetta!

21 October 2010

Seorang Insyirah

"Tapi Kak Ina, cita-cita Syira macam mana?"

Aku merenung dalam-dalam wajahnya. Matanya redup dan sedikit basah. Bagaimana harusku susun ayat agar hatinya yang bergolak kembali tenang.

"Nanti Syira cakaplah baik-baik dengan bakal suami Syira. Bagitau dia yang Syira nak sambung belajar. InsyaAllah dia faham."

Aku cuba memujuk walaupun sejujurnya, aku sendiri ragu-ragu dengan apa yang aku katakan.


Namanya Insyirah, bekas pelajar mama sewaktu mama mengajar di salah sebuah kolej swasta di ibu kota. Pelajar-pelajar mama sememangnya rapat dengan mama. Secara tidak langsung, mereka juga rapat dengan aku kerana aku pernah bekerja di kolej itu sementara menunggu keputusan kemasukan universiti.

Insyirah anak tunggal dari keluarga yang porak-peranda. Ibu bapanya telah pun bercerai dan masing-masing sibuk membina hidup sendiri. Ayahnya berada nun jauh di Singapura, tempat kelahiran Insyirah. Ibunya pula seolah-olah membencinya sepenuh hati. Insyirah dipukul, didera, dimaki dan dicaci. Insyirah hanya dibenarkan keluar untuk ke kolej dan terus pulang ke rumah sesudah kelas.

Pernah suatu ketika mama menelefon aku dan memberitahu keadaan Insyirah yang kritikal kerana menelan ubat secara berlebihan. Kewarasan akal dan keimanan sukar membuat pertimbangan tatkala jiwa diuji sedemikian rupa. Apa yang dilakukan Insyirah bukanlah apa yang diajar dalam Islam. Membunuh diri itu adalah haram dan haram juga syurga bagi mereka yang membunuh diri. Tetapi sekiranya aku berada di tempat Insyirah, kuatkah imanku untuk mengatasi ujian sedemikian? Wallahu'alam.


"Kak Ina balik tak Raya Haji nanti? Syira nikah lepas Raya Haji di Singapura."

Aku serba salah. Aku dapat mengagak maksud disebalik soalan itu.


Insyirah akan dinikahkan tidak lama lagi. Dengan siapa, aku pun tak pasti. Aku tidak mahu menambah keresahan hati seorang Insyirah, lalu aku biarkan persoalan demi persoalan yang timbul dibenak ini terkubur begitu sahaja. Yang aku sedia maklum, pemuda itu pilihan ibunya.

Insyirah menangis teresak-esak apabila menelefon mama setelah mendapat tahu keputusan ibunya. Aku sebak, tidak mampu membuat apa-apa. Ibu Insyirah mengambil keputusan untuk menikahkannya dengan tujuan melepaskan beban menjaga Insyirah selama ini. Di usia semuda 19 tahun, Insyirah bakal menjadi seorang isteri.


"Sebenarnya Kak Ina, Syira cuba fikir positif & ambil hikmah daripada semua ni. Syira rasa sedih tapi gembira dalam masa yang sama. Sedih sebab cita-cita Syira terkandas. Gembira sebab Syira tak sabar nak mengecapi kebebasan lepas ni."


Kebebasan itu sesuatu yang subjektif. Kebebasan bagi seekor burung adalah terbang tinggi di langit biru. Kebebasan bagi seekor ikan adalah berenang ke dasar lautan. Dan kebebasan bagi Insyirah adalah melepaskan diri dari cengkaman ibunya sendiri.

Aku titipkan sekeping kertas berisi kata-kata semangat dan doa penenang hati. Sebuah buku nipis yang sangat aku sayangi juga diberi. Hanya itu yang mampu lakukan.

Untuk adikku Insyirah, akak mendoakan kebahagiaan Insyirah dan bakal suami. Semoga rumahtangga yang dibina diredhai Allah dan dilimpahi rahmatNya. Jika tidak mengecapi bahagia di dunia, capailah bahagia di akhirat kelak. Tabahlah wahai sekeping hati!


28 September 2010

Things That Makes Me Smile

Colourful lab experiments


Kids running in the rain wearing Baju Melayu


Friends getting married


Baby photoshoot!


Sleepy inverted cats


Magic colours.. apa yang magicnya?


Mujahidahs and future leaders


Book sales, book fairs, books!



What are the things that makes you smile??


The photos above are copyrights of kinaizzati.blogspot.com. No photos are allowed to be re-published and copied without permission from the owner. TQ.

19 September 2010

Masalah Hati

Rindu ini semakin hari semakin membuak. Kadang aku keliru dengan diri sendiri. Apakah aku waras atau tidak untuk berfikiran sebegini. Sungguh, aku rindu padanya. Syahid.

Aku mahu seperti Handalah, dimandikan para malaikat. Aku mahu seperti Jaafar, syahid dengan sembilan puluh luka di tubuh. Aku mahu diberi sayap dari syurga seperti Amar bin Tsabit.

“Orang yang mati syahid itu tidak merasakan (kesakitan) pembunuhan kecuali sebagaiman seorang diantara kalian merasakan (sakitnya) cubitan.” (HR. Ahmad, At Tirmidzi, An Nasa’i - hadits hasan)

Aku mahu seperti yang dikatakan dalam syair Abdullah bin Rawahah: “Aku hanya mengiginkan keampunan terhadap segala dosa-dosaku dan sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancar keluar seperti air yang mengalir keluar dari mata air. Atau sebilah tombak untuk menembusi masuk keliang hatiku dan isi perutku. Dan ketika insan-insan melalui di tepi kuburku, mereka akan berkata: 'Semoga engkau telah gugur kerana Allah, berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur'.”

Pernah aku berdoa pada Allah, agar diberikan peluang merasa peritnya berperang untuk menegakkan agama agar aku syahid. Gila bukan? Dan aku masih fikir aku gila. Apakah dengan syahid di medan perang itu aku boleh mencapai jalb al-masalih dan dar 'al-mafasid bagi umat Islam di tanah airku sendiri?

Mahu sahaja aku tinggalkan semua yang aku peroleh sekarang lari ke Palestin. Gangguan emosi apabila hati ini sudah jemu melihat kerosakkan dan jahiliah yang berleluasa. Tingkah masyarakat yang semakin jauh dari syarak dan seruan Ilahi. Mahu saja aku dahulukan kepentingan diri, biar aku syahid dan mendapat syurga dari melihat kerosakan di muka bumi. Selfish bukan?

Peluang dikafankan bersama darah syahid muncul di depan mata baru-baru ini. 30 pelajar UTM akan ditawarkan mengikuti misi keamanan oleh Aman Palestin. Ahh, aku semakin keliru. Mungkin juga aku cemburu. Tanggungjawabku masih disini.

Lalu, bagaimana pula agamaku kelak? Siapa yang mahu meneruskan rantai perjuangan Islam? Jalan berliku yang panjang dan tidak dijangka akhirnya. Lihatlah tanah airku sendiri!


Jujurnya aku kecewa dengan kepimpinan negara. Aku kecewa melihat Islam yang tidak mencecah akar umbi akibat kepimpinan negara yang sekular dan gila kuasa. Aku kecewa melihat anak bangsaku dijajah pemikiran dan di'Barat'kan secara terancang.

Bagaimana harus aku berbangga dan berterima kasih kepada pimpinan negara pabila lewat dada akhbar dan kaca televisyen, sudah terang kemungkaran itu di depan mata? Apa ingat aku gentar dengan ugutan ISA dan AUKU semata-mata? Persetankan semua itu. Kebenaran itu pasti ditegakkan jua. Ini bukan soal ego anak muda, tetapi soal maruah agama.

Aku sedih mengenangkan mereka yang sesak dan bengit di dalam kepompong dunia masing-masing tanpa menghiraukan batasan syariat. Aku sedih tatkala sahabat-sahabatku lemas mencari keredhaan dunia dan terlupa pada keredhaan Allah demi akhirat yang pasti.

Kerana inilah aku membuang jauh rinduku pada jalan syahid melalui peperangan. Aku memendam rasa itu demi sebuah amanah dan tanggungjawab yang lebih besar. Dakwah dan islah. InsyaAllah, Daulah Islamiyyah! Dan aku yakin, ini juga salah satu jalanku mengejar syahid, meskipun ia tidak berdarah sewangi kasturi.

Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya!

18 June 2010

Menagih Kasih

Titisan manik jernih menghiasi dahinya. Nafas tercungap-cungap.

Astaghfirullahal'azim.

Mimpi yang sama selama tiga hari berturut-turut mengejutkan Zayd dari tidur yang lena. Jantungnya masih berdegup kencang. Lirik matanya menyoroti deretan tubuh yang terbaring di atas lantai dengan hanya berlapikkan toto nipis. Lantas dia bangun dan membuka pintu bilik perlahan-lahan. Bimbang jika dia mengejutkan sahabat-sahabat yang masih lena dibuai mimpi.

Zayd mengerling jam di dinding. 4.15 pagi.

Alhamdulillah Ya Allah..terima kasih kerana memberi aku peluang ini.

Langkahnya dituju ke kamar mandi. Perlahan dia membuka pili air dan membasahkan tapak tangan. Sejuk sekali. Rumah usang berhampiran pantai, memanglah begini. Paip air di atas tanah terdedah dengan terik matahari dan sejuk malam. Di siang hari airnya panas, di malam hari airnya sejuk hingga menusuk tulang. Tanpa berlengah Zayd mengambil wuduk.

Lampu kalimantang di luar rumah mencurahkan cahaya samar ke ruang tamu. Dalam kesamaran cahaya itu jualah dahi Zayd bertemu dengan hamparan sejadah hijau tua.

Ya Allah, aku bersujud kepadaMu dengan penuh rasa kehambaan dan kehinaan, memohon kepadaMu agar diberikan kepadaku kekuatan dan ketabahan. Janganlah Kau palingkan aku dari rahmat dan kasih sayangMu. Jauhkanlah aku dari dosa-dosa yang ingin aku tinggalkan. Sungguh Ya Allah, aku lemah tanpaMu.

Zayd berdoa panjang. Esak tangisnya hiba, merayu kepada Sang Pencipta yang Maha Esa. Tahajjud demi menagih untaian kasih Ilahi.

___________________________________________________

"Min, siapa yang kena jadi imam hari ni?"

Amin melihat jadual di dinding. "Hari ni giliran Salleh,"

Dinihari itu menyaksikan solat jemaah yang didirikan dengan ikatan kasih sayang dan ukhuwwah.

Usai solat subuh, Zayd mencapai mushafnya dan turun ke bawah rumah. Sahabat-sahabatnya khusyuk membaca al-matsurat. Kakinya melangkah ke arah pantai. Deruan angin menyapa lembut wajahnya, membawa kesejukkan embun pagi. Dari jauh kelihatan sebatang Pokok Ru yang telah tumbang. Seingat Zayd, batang pokok tua itu telah lama tersadai di pinggir pantai. Entah kenapa, tiada yang mahu mengalihkannya.

Susunan langkah Zayd begitu hati-hati. Tapak kakinya mengelak deretan Tapak Kuda yang menjalar di pasir pantai. Otaknya ligat mengimbau kenangan minggu pertama dia tiba di rumah usang ini.

"Zayd, tolong ambilkan daun Tapak Kuda kat tepi pantai tu. Syed dah menangis sebab tak tahan sakit. Bisul di lutut dia dah sebesar guli."

Zayd memandang Haikal. Keliru.

"Lah, apa lagi yang kau tercengang? Tolonglah ambil. Aku nak cari kain untuk balut kaki dia."

"Tapak Kuda tu apa?" kotak suara Zayd melontarkan persoalan dengan desibel terendah.

"Haha. Kau pergi tepi pantai tu, cari pokok bunga yang menjalar atas pasir. Bunga dia warna ungu. Cepat sikit. Kesian Syed meraung-raung tu."

Rupa-rupanya Tapak Kuda yang dimaksudkan Haikal adalah Morning Glory. Haikal tak berhenti menyakat Zayd dan mengatakan dia terlalu lama tinggal di Kuala Lumpur sampaikan tak kenal spesies pokok. Yang peliknya nama Inggeris Tapak Kuda dia tahu pula.

"Daun Tapak Kuda ni kita lumatkan, kemudian letak pada tempat bisul." Haikal meletakkan segumpal daun yang telah lumat di lutut Syed. Lagaknya seperti seorang doktor muda.

"Arghhhh..sakitlah Haikal! Janganlah tekan!" Syed meraung lagi. Matanya berair menahan sakit.

"Haha. Kau ni Syed, cuba kuat sikit. Lelaki kenalah kuat," Haikal mencapai kain dan membalut lutut Syed.

"Dah siap. InsyaAllah esok bisul tu surut. Aku pelik betul macam mana kau boleh dapat bisul besar macam tu."


Zayd menggelengkan kepala mengingatkan kenangan itu. Sisa senyuman di bibirnya masih melekat. Sungguh, Allah telah mengatur hidupnya dan menemukan dia dengan insan-insan yang mengejar redha Ilahi. Syukur Ya Allah.

Zayd mengambil tempat dia atas batang tua Pokok Ru. Pandangannya dilontarkan jauh ke kaki langit yang berwarna biru tua kemerah-merahan. Matahari masih bergelut untuk menimbulkan diri. Lakaran warna di dada langit ibarat hamparan kanvas yang dilukis dengan penuh ketelitian dan maksud tersirat. Tiada tandingan jika dibandingkan dengan lukisan Leonardo da Vincci, Pablo Picasso, mahupun Vincent van Gogh. Mana mampu seorang hamba menandingi kehebatan Pencipta yang Maha Esa.



Zayd merapatkan mushafnya ke dada. Tiba-tiba rasa sebak menikam di benak. Mushaf ditangan dibuka dan diselak perlahan, mencari muka yang ditanda. Siraman cahaya langit walaupun sedikit membolehkan Zayd membaca surat cinta dari Ilahi dengan penuh kekhusyukkan. Angin pagi yang menderu membawa bersama lantunan ayat suci Quran dan hanyut dibawa ombak laut.

"Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Terangkanlah jawabnya: Ialah Allah dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), samada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): Keadaan tetapnya di atas hidayat petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata." (34:24)

Zayd tersentak apabila dia merasakan sepasang tangan menggengam erat bahunya. Dia menoleh ke belakang. Susuk tubuh Haikal tercegat dibelakangnya, mengukir senyuman di bibir. Senyuman penuh keikhlasan.

"Kau buat apa kat sini?" soal Haikal.

"Saja je. Baca Quran." Zayd menjawab ringkas.

"Ni apa?" Jari telunjuk Haikal mendekati muka Zayd dan menyapu basah titisan air.

Zayd tunduk lesu. Ah, Haikal memang begini. Selalu mengambil berat.

"Kau ada masalah? Tak nak kongsi dengan aku?" Haikal menyoal sambil meletakkan punggung di sebelah Zayd.

Pandangan mereka berdua lemas dalam keindahan dinihari. Matahari telah pun menampakkan diri dan langit semakin cerah diwarnai cahaya kuning kemerahan yang membuntang. Lama mereka mendiamkan diri. Haikal seolah-olah memberi ruang untuk Zayd menyusun kata.

"Malam tadi aku mimpi," akhirnya Zayd bersuara perlahan.

Haikal memandang Zayd, menantinya untuk bercerita.

"Sebenarnya dah tiga hari berturut-turut aku mimpi benda ni. Aku tak faham kenapa masa silam aku nak 'kejar' aku balik,"

"Apa kau cakap ni? Aku tak faham. Kau mimpi apa sebenarnya? Mimpi nak kahwin?" Haikal cuba menceriakan Zayd.

"Haha. Merepeklah kau ni. Sikit-sikit kahwin. Tau lah kau nak kahwin bulan depan." Zayd tersenyum mendengar soalan Haikal. Gaya selamba Haikal menyenangkan sesiapa pun.

"Habis tu, kau mimpi apa Zayd?"

Senyuman Zayd pudar sedikit demi sedikit. "Aku mimpi pasal lifestyle aku dulu."

Haikal menumpukan perhatian kepada Zayd.

"Aku mimpi aku hisap rokok dengan kawan-kawan aku dulu, lepas tu ada orang bagi aku paket kecil warna putih. Dia cakap 'benda' tu namanya Smack. Aku tau tu heroin sebab aku pernah cuba heroin TNT. Aku mimpi aku kat disko dengan Alia. Dia ajak aku menari. Aku nampak tangan aku melingkar pinggang dia. "

Zayd semakin sebak. Suaranya tenggelam timbul. Haikal memaut bahu Zayd dan merapatkan tubuhnya.

"Dalam mimpi tu aku nampak botol-botol arak atas meja. Kawan-kawan aku cabar aku minum Tequila campur Martini. Semua bersorak-sorak bila aku habiskan bergelas-gelas air kencing syaitan tu. Aku mimpi kena belasah dengan arwah abah sebab balik rumah dengan Alia dalam keadaan mabuk."

"Haikal, aku rasa kotor sangat. Kau tengok tangan ni," Zayd mengangkat kedua-dua belah tangannya.

"Tangan yang banyak buat dosa ni sekarang tanpa malu mengangkat untuk berdoa kepada Allah. Layakkah?"

"Aku rasa tak layak berkawan dengan kau, dengan sahabat-sahabat lain." Zayd tunduk, menyembunyikan riak wajahnya daripada Haikal.

"Zayd, jangan cakap macam ni. Aku tak pernah menilai masa silam kau. Semua tu dalam perancangan Allah. Yang penting sekarang kau dah tak buat semua tu. Kau dah taubat."

"Tapi susah aku nak lupa apa yang dah buat selama ni. Aku malukan ibu dan abah. Aku biarkan abah meninggal dalam keadaan aku berperangai macam syaitan."

"Zayd, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kalau kau datang kepadaNya memohon keampunan dengan membawa dosa seluas langit dan bumi sekalipun, selagi mana kau tak pernah menyekutukan Allah, Dia akan ampunkan semua dosa-dosa kau. Ni bukan aku yang cakap. Ni hadis qudsi tau." (1)

Zayd tidak dapat mengawal takungan air di kolam matanya. Bahunya terhinjut menahan sebak.

"Jadikan apa yang telah kau lalui sebagai peringatan dan muhasabah diri. Bukan untuk melemahkan kau, tapi menguatkan iman. Aku dan sahabat-sahabat lain menerima kau seadanya. Hanya Allah yang layak menilai seseorang."

"Kami akan tetap disamping kau walau apa pun terjadi. Ukhuwah berlandaskan iman itu indah kerana ia tidak mengenal latar belakang seseorang. Kita dah berjanji di hadapan Allah untuk menjadi mata rantai perjuangan ni, untuk membawa panji-panji Islam. Dan dalam perjanjian tu ada rukun dimana salah satunya adalah ukhuwah - hati dan jiwa yang terikat dengan ikatan aqidah."

Zayd senyap. Esakannya berkurang tetapi kepalanya masih tertunduk.

"Kau ingat tak tazkirah Ustaz Azhar masa program kita baru-baru ni? Ada tiga jenis manusia yang merasai kemanisan iman iaitu apabila Allah dan Rasul adalah lebih dikasihi berbanding selainnya, mengasihi seseorang kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kufur sepertimana ia benci dihumbankan ke dalam api neraka."(2)

Zayd mengangkatkan kepala dan memandang Haikal. Dalam hati, Zayd sempat memanjatkan seinfiniti syukur ke hadrat Ilahi kerana disuluhkan jalan yang benar, jalan yang telah menemukannya dengan sahabat-sahabat yang menariknya dari lumpur dosa.

"Hoi, korang buat apa tu? Jom masuk dalam. Wan masak nasi goreng ni. Penat aku cari korang. Rupa-rupanya bercangkerama kat tepi pantai ni. Ingat ni drama ke? Cepatlah, perut aku dah main lagu Shoutul Harakah ni."

Zayd dan Haikal menoleh ke arah rumah usang itu. Mereka ketawa melihat gelagat Syed yang menjerit-jerit di muka pintu.

"Ya lah, ya lah. Membebel je pakcik ni," sahut Haikal.

"Jom," Haikal menarik lengan Zayd.

"Syukran jazilan akhi, uhibbukallah."

Haikal tersenyum.

"Uhibbukallah aidhon."

Mentari pagi, burung-burung yang berkicau dan pukulan ombak menjadi saksi ukhuwah mereka. Betapa perancangan Allah itu sungguh hebat, dalam sekelip mata segalanya boleh berubah.



Wallahu'alam.


Nota kaki
(1) Hadis Qudsi, Riwayat Termizi
(2) Hadis Riwayat Bukhari & Muslim
(3) Syukran jazilan akhi: Terima kasih saudaraku
(4) Uhibbukallah: Saya sayang kamu kerana Allah

11 April 2010

Memendam vs Menegur


Awak tak boleh lah selalu macam ni. Setiap kali terasa dengan orang, awak pendam perasaan. Lama-lama jadi dendam tau!


Erm..bukan macam tu. Kalau situasi tu jadi kat saya, contohnya saya yang terasa dengan seseorang, saya rasa saya tak patut terasa dengan dia.

Maksudnya?

Ye lah..untuk difahami, kita kena memahami terlebih dahulu. Saya rasa saya tak patut terasa dengan orang tu sebab tu sebenarnya memang perangai dan sifat dia. Kita kenalah belajar menerima orang seadanya. Bukan ke macam tu?

Betul..tapi cuba awak fikir. Kalau awak tak tegur, dia akan ulang perangai yang sama dan orang lain akan terasa pulak.


Tapi penerimaan setiap orang berbeza..mungkin A boleh terima perangai C tapi B tak boleh terima perangai C. Contohnya kalau dah ditegur dan C berubah perangai, kemungkinan pula A tak boleh terima cara baru C walaupun B boleh terima. Faham tak analogi saya?

Faham..tapi dalam konteks sekarang, untuk jaga persahabatan ni, awak tak bolehlah pendam perasaan awak. Kita kenalah saling tegur menegur.

Memanglah..kita kena tegur kalau perkara tu bercanggah dengan syariat..tapi kadang-kadang ada perkara yang kita tak perlu tegur, sebaliknya, kita kena terima orang tu seadanya. Kita tak boleh nak ubah perangai orang, tapi kita boleh belajar menerima perangai orang. Kalau kita tegur dengan harapan dia berubah perangai, bukan ke dia akan berubah atas dasar hipokrit dan sementara?

Mungkin, tapi mungkin juga dia akan berubah menjadi lebih baik selepas ditegur. Kadang-kadang orang tak nampak kesalahan diri sendiri. Perlu ada orang lain yang ingatkan dan menegur. Dengan memendam perasaan, masalah tak kan selesai.


Tapi saya bukan pendam sampai jadi dendam. Saya mendiamkan diri sebab saya rasa kalau saya tegur, persahabatan ni akan terjejas.

Kenapa pulak?

Contohnya dalam situasi saya sebagai orang yang ditegur, tentulah hati tak tenang memikirkan sahabat yang menegur kita dan penerimaan dia terhadap kita.

Mana boleh macam tu..sampai bila nak jaga hati orang. Hati kita sendiri yang parah.


Dalam konsep bersahabat, kita akan rasa gembira melihat sahabat-sahabat kita gembira. Hati sendiri boleh dirawat, hati orang kita tak mampu. Yang paling penting kita kena berlapang dada dengan sahabat. Terima seadanya. Fikirkan apa yang kita boleh bagi, bukan apa yang kita kena terima..



Notakaki: Ini adalah pandangan peribadi yang dinukil berdasarkan sesi dialog bersama seorang sahabat. Tiada paksaan untuk menerima apa yang ditulis diatas. Kadang-kadang kita perlu bersifat empati - berada di tempat orang lain dan memahami situasinya. Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza..kalau ada pendapat yang lebih bagus, silakan berkongsi.

Wallahu'alam


08 April 2010

Jangan layan..

asiahyusra: buzz

asiahyusra: salam..adik. nah..

asiahyusra: http://saifulislam.com/?p=1975

kinaizzati: wassalam kak..

kinaizzati: apa tuh?

asiahyusra: tgk lah dulu

kinaizzati: erkk..nape tiba2 je bg kina link ni?

asiahyusra: hehe.saje je..nak pastikan adik2 akak ni sume hatinya terjaga.

kinaizzati: adeh.tak kan lah saja2 je..

asiahyusra: ye lah..kamu tu kan dah nak masuk final year. peringatan sebelum terlambat..

kinaizzati: huhu.akak, mcm seram je dengar.final year..adui.

asiahyusra: hati kita ni dik, kenalah ada extra-care..kalau kita lalai sesaat sekalipun, kita akan membiarkan hati kita bergelumang dgn noda2 dosa. lama-lama hati akan mati..nak belajar tak masuk, baca Quran tak boleh hayati, solat tak khusyuk, ibadah kita meragukan..sume ni sbb masalah hati. adik kena jaga hati adik elok-elok tau..jangan layan, jangan lawan.

kinaizzati: insyaAllah kak..syukran sbb ingatkan. =)

asiahyusra: afwan my dear..~


04 April 2010

Salam Imtihan


All the best for the finals!

"Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad,
bertawakkallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal kepadaNya"
[Al-Imran:159]

01 April 2010

Kerja, kerja, kerja..

1 Mac 2010
Pertemuan JAKERIS dengan Timbalan Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohd Ismail bin Mustari yang dihadiri oleh Anis Wahab, Pengerusi JAKERIS, Khairina 'Izzati binti Amir Hussain, Setiausaha JAKERIS dan Fadzli bin Ismail, exco JAKERIS. Ustaz Ismail telah menyatakan harapannya terhadap JAKERIS untuk membawa agenda Pusat Islam untuk menyatukan semua badan kerohanian di UTM serta memperkasakan program kerohanian.


5 Mac 2010
Mesyuarat pertama JAKERIS. Membincangkan isu-isu semasa serta membentangkan pertemuan bersama Timbalan Pengarah Pusat Islam. Membincangkan program yang bakal dijalankan di bawah JAKERIS iaitu 1 program besar dan 1 program kecil. Merangka perancangan untuk memperkasakan persatuan Islam di UTM serta mewujudkan bi'ah soleh.


9 Mac 2010
Perjumpaan JAKERIS bersama persatuan-persatuan Islam, Biro Kerohanian Jawatankuasa Kolej Mahasiswa dan kelab kerohanian kolej. Membentangkan pembawakan JAKERIS, harapan Pusat Islam dan Fakulti Tamadun Islam. Membentangkan cadangan penubuhan Sekretariat Islam. Memohon kerjasama biro dan kelab kerohanian dan persatuan islam bersama-sama JAKERIS menggerakkan program. Para hadirin membangkitkan isu-isu yang timbul di kolej masing-masing.


10 Mac 2010
Watikah perlantikan MPM


15 Mac 2010
Menghadiri mesyuarat MPM kali kedua di pejabat MPM. Membincangkan tentang program terdekat iaitu Seminar Model Ekonomi Baru


17 Mac 2010
Berjumpa dengan Professor Madya Dr. Hussin Salamon, Dekan Fakulti Tamadun Islam UTM bagi mendapat penjelasan lanjut dan pandangan beliau berkenaan isu Forex Trading di UTM. Seterusnya, perbincangan diteruskan bersama Dr. Ismail Mustari, Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM) sebelum berbincang pula dengan Ustaz Mohd Nasir Masroom, Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa UTM. Sesi perbincangan diteruskan dengan mesyuarat antara JAKERIS, wakil-wakil MPP, dan beberapa orang mahasiswa yang prihatin bersama Presiden MPMUTM serta SUA MPMUTM.

Berbincang bersama ahli MPM Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan (FBB) mengenai program Global Outreach ke New Zealand dan Acheh.


22 Mac 2010
Pertemuan antara ahli JAKERIS untuk membincangkan program jabatan iaitu Comparative Religion Symposium dan Kempen Seindah Akhlak Untuk Remaja (SAKURA)

Menghadiri mesyuarat MPPK kali pertama bersama semua MPM dan pemimpin JKM. Sesi pengenalan MPM dan MPPK. Sesi soal jawab bersama JKM.


23 Mac 2010
Berjumpa dengan Ustaz Faiz di Pusat Islam untuk menyerahkan kertas kerja Comparative Religion Symposium kepada Ustaz Ismail Mustari untuk disemak dan memberikan nasihat serta pandangan.


26 Mac 2010
Berjumpa dengan En Mohamad Hairudin Shahari, Timbalan Pendaftar Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan (FBB) untuk membincangkan program fakulti untuk mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh fakulti dimana setiap MPM di bawah FBB perlu melaksanakan sekurang-kurangnya dua program sepanjang sesi kepimpinan. Membincangkan masalah-masalah di fakulti.


29 Mac 2010
Berbincang bersama ahli MPM Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan (FBB) mengenai kerangka aktiviti untuk First Year Experience Program untuk Minggu Haluan Siswa (MHS)


30 Mac 2010
Berjumpa dengan Prof. Dr. Noor Aini binti Abdul Rashid, Dekan Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan untuk berbincang mengenai kertas kerja program Global Outreach ke New Zealand.