18 June 2010

Menagih Kasih

Titisan manik jernih menghiasi dahinya. Nafas tercungap-cungap.

Astaghfirullahal'azim.

Mimpi yang sama selama tiga hari berturut-turut mengejutkan Zayd dari tidur yang lena. Jantungnya masih berdegup kencang. Lirik matanya menyoroti deretan tubuh yang terbaring di atas lantai dengan hanya berlapikkan toto nipis. Lantas dia bangun dan membuka pintu bilik perlahan-lahan. Bimbang jika dia mengejutkan sahabat-sahabat yang masih lena dibuai mimpi.

Zayd mengerling jam di dinding. 4.15 pagi.

Alhamdulillah Ya Allah..terima kasih kerana memberi aku peluang ini.

Langkahnya dituju ke kamar mandi. Perlahan dia membuka pili air dan membasahkan tapak tangan. Sejuk sekali. Rumah usang berhampiran pantai, memanglah begini. Paip air di atas tanah terdedah dengan terik matahari dan sejuk malam. Di siang hari airnya panas, di malam hari airnya sejuk hingga menusuk tulang. Tanpa berlengah Zayd mengambil wuduk.

Lampu kalimantang di luar rumah mencurahkan cahaya samar ke ruang tamu. Dalam kesamaran cahaya itu jualah dahi Zayd bertemu dengan hamparan sejadah hijau tua.

Ya Allah, aku bersujud kepadaMu dengan penuh rasa kehambaan dan kehinaan, memohon kepadaMu agar diberikan kepadaku kekuatan dan ketabahan. Janganlah Kau palingkan aku dari rahmat dan kasih sayangMu. Jauhkanlah aku dari dosa-dosa yang ingin aku tinggalkan. Sungguh Ya Allah, aku lemah tanpaMu.

Zayd berdoa panjang. Esak tangisnya hiba, merayu kepada Sang Pencipta yang Maha Esa. Tahajjud demi menagih untaian kasih Ilahi.

___________________________________________________

"Min, siapa yang kena jadi imam hari ni?"

Amin melihat jadual di dinding. "Hari ni giliran Salleh,"

Dinihari itu menyaksikan solat jemaah yang didirikan dengan ikatan kasih sayang dan ukhuwwah.

Usai solat subuh, Zayd mencapai mushafnya dan turun ke bawah rumah. Sahabat-sahabatnya khusyuk membaca al-matsurat. Kakinya melangkah ke arah pantai. Deruan angin menyapa lembut wajahnya, membawa kesejukkan embun pagi. Dari jauh kelihatan sebatang Pokok Ru yang telah tumbang. Seingat Zayd, batang pokok tua itu telah lama tersadai di pinggir pantai. Entah kenapa, tiada yang mahu mengalihkannya.

Susunan langkah Zayd begitu hati-hati. Tapak kakinya mengelak deretan Tapak Kuda yang menjalar di pasir pantai. Otaknya ligat mengimbau kenangan minggu pertama dia tiba di rumah usang ini.

"Zayd, tolong ambilkan daun Tapak Kuda kat tepi pantai tu. Syed dah menangis sebab tak tahan sakit. Bisul di lutut dia dah sebesar guli."

Zayd memandang Haikal. Keliru.

"Lah, apa lagi yang kau tercengang? Tolonglah ambil. Aku nak cari kain untuk balut kaki dia."

"Tapak Kuda tu apa?" kotak suara Zayd melontarkan persoalan dengan desibel terendah.

"Haha. Kau pergi tepi pantai tu, cari pokok bunga yang menjalar atas pasir. Bunga dia warna ungu. Cepat sikit. Kesian Syed meraung-raung tu."

Rupa-rupanya Tapak Kuda yang dimaksudkan Haikal adalah Morning Glory. Haikal tak berhenti menyakat Zayd dan mengatakan dia terlalu lama tinggal di Kuala Lumpur sampaikan tak kenal spesies pokok. Yang peliknya nama Inggeris Tapak Kuda dia tahu pula.

"Daun Tapak Kuda ni kita lumatkan, kemudian letak pada tempat bisul." Haikal meletakkan segumpal daun yang telah lumat di lutut Syed. Lagaknya seperti seorang doktor muda.

"Arghhhh..sakitlah Haikal! Janganlah tekan!" Syed meraung lagi. Matanya berair menahan sakit.

"Haha. Kau ni Syed, cuba kuat sikit. Lelaki kenalah kuat," Haikal mencapai kain dan membalut lutut Syed.

"Dah siap. InsyaAllah esok bisul tu surut. Aku pelik betul macam mana kau boleh dapat bisul besar macam tu."


Zayd menggelengkan kepala mengingatkan kenangan itu. Sisa senyuman di bibirnya masih melekat. Sungguh, Allah telah mengatur hidupnya dan menemukan dia dengan insan-insan yang mengejar redha Ilahi. Syukur Ya Allah.

Zayd mengambil tempat dia atas batang tua Pokok Ru. Pandangannya dilontarkan jauh ke kaki langit yang berwarna biru tua kemerah-merahan. Matahari masih bergelut untuk menimbulkan diri. Lakaran warna di dada langit ibarat hamparan kanvas yang dilukis dengan penuh ketelitian dan maksud tersirat. Tiada tandingan jika dibandingkan dengan lukisan Leonardo da Vincci, Pablo Picasso, mahupun Vincent van Gogh. Mana mampu seorang hamba menandingi kehebatan Pencipta yang Maha Esa.



Zayd merapatkan mushafnya ke dada. Tiba-tiba rasa sebak menikam di benak. Mushaf ditangan dibuka dan diselak perlahan, mencari muka yang ditanda. Siraman cahaya langit walaupun sedikit membolehkan Zayd membaca surat cinta dari Ilahi dengan penuh kekhusyukkan. Angin pagi yang menderu membawa bersama lantunan ayat suci Quran dan hanyut dibawa ombak laut.

"Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Terangkanlah jawabnya: Ialah Allah dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), samada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): Keadaan tetapnya di atas hidayat petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata." (34:24)

Zayd tersentak apabila dia merasakan sepasang tangan menggengam erat bahunya. Dia menoleh ke belakang. Susuk tubuh Haikal tercegat dibelakangnya, mengukir senyuman di bibir. Senyuman penuh keikhlasan.

"Kau buat apa kat sini?" soal Haikal.

"Saja je. Baca Quran." Zayd menjawab ringkas.

"Ni apa?" Jari telunjuk Haikal mendekati muka Zayd dan menyapu basah titisan air.

Zayd tunduk lesu. Ah, Haikal memang begini. Selalu mengambil berat.

"Kau ada masalah? Tak nak kongsi dengan aku?" Haikal menyoal sambil meletakkan punggung di sebelah Zayd.

Pandangan mereka berdua lemas dalam keindahan dinihari. Matahari telah pun menampakkan diri dan langit semakin cerah diwarnai cahaya kuning kemerahan yang membuntang. Lama mereka mendiamkan diri. Haikal seolah-olah memberi ruang untuk Zayd menyusun kata.

"Malam tadi aku mimpi," akhirnya Zayd bersuara perlahan.

Haikal memandang Zayd, menantinya untuk bercerita.

"Sebenarnya dah tiga hari berturut-turut aku mimpi benda ni. Aku tak faham kenapa masa silam aku nak 'kejar' aku balik,"

"Apa kau cakap ni? Aku tak faham. Kau mimpi apa sebenarnya? Mimpi nak kahwin?" Haikal cuba menceriakan Zayd.

"Haha. Merepeklah kau ni. Sikit-sikit kahwin. Tau lah kau nak kahwin bulan depan." Zayd tersenyum mendengar soalan Haikal. Gaya selamba Haikal menyenangkan sesiapa pun.

"Habis tu, kau mimpi apa Zayd?"

Senyuman Zayd pudar sedikit demi sedikit. "Aku mimpi pasal lifestyle aku dulu."

Haikal menumpukan perhatian kepada Zayd.

"Aku mimpi aku hisap rokok dengan kawan-kawan aku dulu, lepas tu ada orang bagi aku paket kecil warna putih. Dia cakap 'benda' tu namanya Smack. Aku tau tu heroin sebab aku pernah cuba heroin TNT. Aku mimpi aku kat disko dengan Alia. Dia ajak aku menari. Aku nampak tangan aku melingkar pinggang dia. "

Zayd semakin sebak. Suaranya tenggelam timbul. Haikal memaut bahu Zayd dan merapatkan tubuhnya.

"Dalam mimpi tu aku nampak botol-botol arak atas meja. Kawan-kawan aku cabar aku minum Tequila campur Martini. Semua bersorak-sorak bila aku habiskan bergelas-gelas air kencing syaitan tu. Aku mimpi kena belasah dengan arwah abah sebab balik rumah dengan Alia dalam keadaan mabuk."

"Haikal, aku rasa kotor sangat. Kau tengok tangan ni," Zayd mengangkat kedua-dua belah tangannya.

"Tangan yang banyak buat dosa ni sekarang tanpa malu mengangkat untuk berdoa kepada Allah. Layakkah?"

"Aku rasa tak layak berkawan dengan kau, dengan sahabat-sahabat lain." Zayd tunduk, menyembunyikan riak wajahnya daripada Haikal.

"Zayd, jangan cakap macam ni. Aku tak pernah menilai masa silam kau. Semua tu dalam perancangan Allah. Yang penting sekarang kau dah tak buat semua tu. Kau dah taubat."

"Tapi susah aku nak lupa apa yang dah buat selama ni. Aku malukan ibu dan abah. Aku biarkan abah meninggal dalam keadaan aku berperangai macam syaitan."

"Zayd, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kalau kau datang kepadaNya memohon keampunan dengan membawa dosa seluas langit dan bumi sekalipun, selagi mana kau tak pernah menyekutukan Allah, Dia akan ampunkan semua dosa-dosa kau. Ni bukan aku yang cakap. Ni hadis qudsi tau." (1)

Zayd tidak dapat mengawal takungan air di kolam matanya. Bahunya terhinjut menahan sebak.

"Jadikan apa yang telah kau lalui sebagai peringatan dan muhasabah diri. Bukan untuk melemahkan kau, tapi menguatkan iman. Aku dan sahabat-sahabat lain menerima kau seadanya. Hanya Allah yang layak menilai seseorang."

"Kami akan tetap disamping kau walau apa pun terjadi. Ukhuwah berlandaskan iman itu indah kerana ia tidak mengenal latar belakang seseorang. Kita dah berjanji di hadapan Allah untuk menjadi mata rantai perjuangan ni, untuk membawa panji-panji Islam. Dan dalam perjanjian tu ada rukun dimana salah satunya adalah ukhuwah - hati dan jiwa yang terikat dengan ikatan aqidah."

Zayd senyap. Esakannya berkurang tetapi kepalanya masih tertunduk.

"Kau ingat tak tazkirah Ustaz Azhar masa program kita baru-baru ni? Ada tiga jenis manusia yang merasai kemanisan iman iaitu apabila Allah dan Rasul adalah lebih dikasihi berbanding selainnya, mengasihi seseorang kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kufur sepertimana ia benci dihumbankan ke dalam api neraka."(2)

Zayd mengangkatkan kepala dan memandang Haikal. Dalam hati, Zayd sempat memanjatkan seinfiniti syukur ke hadrat Ilahi kerana disuluhkan jalan yang benar, jalan yang telah menemukannya dengan sahabat-sahabat yang menariknya dari lumpur dosa.

"Hoi, korang buat apa tu? Jom masuk dalam. Wan masak nasi goreng ni. Penat aku cari korang. Rupa-rupanya bercangkerama kat tepi pantai ni. Ingat ni drama ke? Cepatlah, perut aku dah main lagu Shoutul Harakah ni."

Zayd dan Haikal menoleh ke arah rumah usang itu. Mereka ketawa melihat gelagat Syed yang menjerit-jerit di muka pintu.

"Ya lah, ya lah. Membebel je pakcik ni," sahut Haikal.

"Jom," Haikal menarik lengan Zayd.

"Syukran jazilan akhi, uhibbukallah."

Haikal tersenyum.

"Uhibbukallah aidhon."

Mentari pagi, burung-burung yang berkicau dan pukulan ombak menjadi saksi ukhuwah mereka. Betapa perancangan Allah itu sungguh hebat, dalam sekelip mata segalanya boleh berubah.



Wallahu'alam.


Nota kaki
(1) Hadis Qudsi, Riwayat Termizi
(2) Hadis Riwayat Bukhari & Muslim
(3) Syukran jazilan akhi: Terima kasih saudaraku
(4) Uhibbukallah: Saya sayang kamu kerana Allah

11 April 2010

Memendam vs Menegur


Awak tak boleh lah selalu macam ni. Setiap kali terasa dengan orang, awak pendam perasaan. Lama-lama jadi dendam tau!


Erm..bukan macam tu. Kalau situasi tu jadi kat saya, contohnya saya yang terasa dengan seseorang, saya rasa saya tak patut terasa dengan dia.

Maksudnya?

Ye lah..untuk difahami, kita kena memahami terlebih dahulu. Saya rasa saya tak patut terasa dengan orang tu sebab tu sebenarnya memang perangai dan sifat dia. Kita kenalah belajar menerima orang seadanya. Bukan ke macam tu?

Betul..tapi cuba awak fikir. Kalau awak tak tegur, dia akan ulang perangai yang sama dan orang lain akan terasa pulak.


Tapi penerimaan setiap orang berbeza..mungkin A boleh terima perangai C tapi B tak boleh terima perangai C. Contohnya kalau dah ditegur dan C berubah perangai, kemungkinan pula A tak boleh terima cara baru C walaupun B boleh terima. Faham tak analogi saya?

Faham..tapi dalam konteks sekarang, untuk jaga persahabatan ni, awak tak bolehlah pendam perasaan awak. Kita kenalah saling tegur menegur.

Memanglah..kita kena tegur kalau perkara tu bercanggah dengan syariat..tapi kadang-kadang ada perkara yang kita tak perlu tegur, sebaliknya, kita kena terima orang tu seadanya. Kita tak boleh nak ubah perangai orang, tapi kita boleh belajar menerima perangai orang. Kalau kita tegur dengan harapan dia berubah perangai, bukan ke dia akan berubah atas dasar hipokrit dan sementara?

Mungkin, tapi mungkin juga dia akan berubah menjadi lebih baik selepas ditegur. Kadang-kadang orang tak nampak kesalahan diri sendiri. Perlu ada orang lain yang ingatkan dan menegur. Dengan memendam perasaan, masalah tak kan selesai.


Tapi saya bukan pendam sampai jadi dendam. Saya mendiamkan diri sebab saya rasa kalau saya tegur, persahabatan ni akan terjejas.

Kenapa pulak?

Contohnya dalam situasi saya sebagai orang yang ditegur, tentulah hati tak tenang memikirkan sahabat yang menegur kita dan penerimaan dia terhadap kita.

Mana boleh macam tu..sampai bila nak jaga hati orang. Hati kita sendiri yang parah.


Dalam konsep bersahabat, kita akan rasa gembira melihat sahabat-sahabat kita gembira. Hati sendiri boleh dirawat, hati orang kita tak mampu. Yang paling penting kita kena berlapang dada dengan sahabat. Terima seadanya. Fikirkan apa yang kita boleh bagi, bukan apa yang kita kena terima..



Notakaki: Ini adalah pandangan peribadi yang dinukil berdasarkan sesi dialog bersama seorang sahabat. Tiada paksaan untuk menerima apa yang ditulis diatas. Kadang-kadang kita perlu bersifat empati - berada di tempat orang lain dan memahami situasinya. Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza..kalau ada pendapat yang lebih bagus, silakan berkongsi.

Wallahu'alam


08 April 2010

Jangan layan..

asiahyusra: buzz

asiahyusra: salam..adik. nah..

asiahyusra: http://saifulislam.com/?p=1975

kinaizzati: wassalam kak..

kinaizzati: apa tuh?

asiahyusra: tgk lah dulu

kinaizzati: erkk..nape tiba2 je bg kina link ni?

asiahyusra: hehe.saje je..nak pastikan adik2 akak ni sume hatinya terjaga.

kinaizzati: adeh.tak kan lah saja2 je..

asiahyusra: ye lah..kamu tu kan dah nak masuk final year. peringatan sebelum terlambat..

kinaizzati: huhu.akak, mcm seram je dengar.final year..adui.

asiahyusra: hati kita ni dik, kenalah ada extra-care..kalau kita lalai sesaat sekalipun, kita akan membiarkan hati kita bergelumang dgn noda2 dosa. lama-lama hati akan mati..nak belajar tak masuk, baca Quran tak boleh hayati, solat tak khusyuk, ibadah kita meragukan..sume ni sbb masalah hati. adik kena jaga hati adik elok-elok tau..jangan layan, jangan lawan.

kinaizzati: insyaAllah kak..syukran sbb ingatkan. =)

asiahyusra: afwan my dear..~


04 April 2010

Salam Imtihan


All the best for the finals!

"Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad,
bertawakkallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal kepadaNya"
[Al-Imran:159]

01 April 2010

Kerja, kerja, kerja..

1 Mac 2010
Pertemuan JAKERIS dengan Timbalan Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohd Ismail bin Mustari yang dihadiri oleh Anis Wahab, Pengerusi JAKERIS, Khairina 'Izzati binti Amir Hussain, Setiausaha JAKERIS dan Fadzli bin Ismail, exco JAKERIS. Ustaz Ismail telah menyatakan harapannya terhadap JAKERIS untuk membawa agenda Pusat Islam untuk menyatukan semua badan kerohanian di UTM serta memperkasakan program kerohanian.


5 Mac 2010
Mesyuarat pertama JAKERIS. Membincangkan isu-isu semasa serta membentangkan pertemuan bersama Timbalan Pengarah Pusat Islam. Membincangkan program yang bakal dijalankan di bawah JAKERIS iaitu 1 program besar dan 1 program kecil. Merangka perancangan untuk memperkasakan persatuan Islam di UTM serta mewujudkan bi'ah soleh.


9 Mac 2010
Perjumpaan JAKERIS bersama persatuan-persatuan Islam, Biro Kerohanian Jawatankuasa Kolej Mahasiswa dan kelab kerohanian kolej. Membentangkan pembawakan JAKERIS, harapan Pusat Islam dan Fakulti Tamadun Islam. Membentangkan cadangan penubuhan Sekretariat Islam. Memohon kerjasama biro dan kelab kerohanian dan persatuan islam bersama-sama JAKERIS menggerakkan program. Para hadirin membangkitkan isu-isu yang timbul di kolej masing-masing.


10 Mac 2010
Watikah perlantikan MPM


15 Mac 2010
Menghadiri mesyuarat MPM kali kedua di pejabat MPM. Membincangkan tentang program terdekat iaitu Seminar Model Ekonomi Baru


17 Mac 2010
Berjumpa dengan Professor Madya Dr. Hussin Salamon, Dekan Fakulti Tamadun Islam UTM bagi mendapat penjelasan lanjut dan pandangan beliau berkenaan isu Forex Trading di UTM. Seterusnya, perbincangan diteruskan bersama Dr. Ismail Mustari, Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM) sebelum berbincang pula dengan Ustaz Mohd Nasir Masroom, Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa UTM. Sesi perbincangan diteruskan dengan mesyuarat antara JAKERIS, wakil-wakil MPP, dan beberapa orang mahasiswa yang prihatin bersama Presiden MPMUTM serta SUA MPMUTM.

Berbincang bersama ahli MPM Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan (FBB) mengenai program Global Outreach ke New Zealand dan Acheh.


22 Mac 2010
Pertemuan antara ahli JAKERIS untuk membincangkan program jabatan iaitu Comparative Religion Symposium dan Kempen Seindah Akhlak Untuk Remaja (SAKURA)

Menghadiri mesyuarat MPPK kali pertama bersama semua MPM dan pemimpin JKM. Sesi pengenalan MPM dan MPPK. Sesi soal jawab bersama JKM.


23 Mac 2010
Berjumpa dengan Ustaz Faiz di Pusat Islam untuk menyerahkan kertas kerja Comparative Religion Symposium kepada Ustaz Ismail Mustari untuk disemak dan memberikan nasihat serta pandangan.


26 Mac 2010
Berjumpa dengan En Mohamad Hairudin Shahari, Timbalan Pendaftar Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan (FBB) untuk membincangkan program fakulti untuk mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh fakulti dimana setiap MPM di bawah FBB perlu melaksanakan sekurang-kurangnya dua program sepanjang sesi kepimpinan. Membincangkan masalah-masalah di fakulti.


29 Mac 2010
Berbincang bersama ahli MPM Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan (FBB) mengenai kerangka aktiviti untuk First Year Experience Program untuk Minggu Haluan Siswa (MHS)


30 Mac 2010
Berjumpa dengan Prof. Dr. Noor Aini binti Abdul Rashid, Dekan Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan untuk berbincang mengenai kertas kerja program Global Outreach ke New Zealand.


28 March 2010

Syahadah Gadis Ateis

"Ina, I'm going to the KL book fair at PWTC..do u want to buy any books?"

Aku membaca mesej dari mama. Perasaan sedih mula menjalar di hati. Manakan tidak? Selama ini aku tidak pernah melepaskan peluang untuk ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Setiap tahun aku pasti akan pergi. Bukan sahaja pergi sekali, malah berkali-kali sehingga aku puas mendapat buku yang diingini. Tahun ini? Tidak mungkin aku berpeluang ke sana. Tanggungjawab dan komitmen di kampus perlu diutamakan.

Tangan aku menekan butang reply. Mataku masih menatap skrin telefon bimbit.

Isyh..nak beli buku apa ni? Manalah aku nak tau buku apa yang baru keluar..dah lama tak pergi kedai buku.

"Nak..nanti ina mesej kat mama buku yang ina nak beli ye.." balasku ringkas.

Langkah kakiku beralih tuju ke perpustakaan. Sejurus memasuki perkarangan perpustakaan, aku mencari komputer yang unoccupied untuk melayari internet. Laman web pertama sekali yang aku layari adalah PTS Publications. Aku membelek-belek isi kandungan laman web, mencari senarai buku-buku yang baru diterbitkan.

Novel islam.. ahh, malas nak baca. Fobia nak beli novel islamik, lagi-lagi kalau kisah cintan-cintun ni. Takut menyesal dengan jalan penceritaan novel tersebut..mungkin juga kerana aku mempunyai high expectation terhadap novel islamik. Perlulah dibandingkan dengan novel sehebat 'Ayat-ayat Cinta', 'Tautan Hati' dan 'Hijaab Wali'.

Tangan kananku mengeluarkan telefon bimbit dari poket dan mula menaip mesej untuk mama. Aku menyenaraikan satu persatu buku yang telah lama diidam-idamkan, termasuk juga beberapa buku yang baru diterbitkan. Aku meneroka ruang maya di depan mata. Tiba-tiba mata aku terpaku melihat tajuk sebuah buku. 'Syahadah Gadis Ateis' karangan Imran Haaz.

Macam tau je cerita ni..bukan ke..

Aku membaca sinopsis cerita itu dan membelek gambar buku tersebut. Ada gambar lelaki pegang gitar, gambar keretapi, gambar seorang perempuan..

Memang sah! Buku ini sebenarnya pernah dijual secara online (baca: e-book) sebelum ini, tetapi tajuk asal cerita ini adalah 'Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist'. Mana mungkin aku lupa penulisan sehebat ini. Setiap dialog di dalam cerita tersebut merupakan ilmu dan pengajaran kepada pembacanya.


Sedikit petikan dari buku ini:

Rini seorang gadis yang sederhana, tidak bertudung dan ranggi penampilannya. Dia sangat ramah, suka ketawa tetapi adakalanya dia seakan-akan merenung jauh sesuatu dalam pemikirannya yang tidak dapat diagak oleh Nizam. Persepsi pertamanya terhadap Nizam adalah seorang kaki lepak dan remaja yang memberontak jiwanya hasil pemerhatian yang dilakukan ke atas penampilan selekeh Nizam.

Melihatkan Nizam yang hanya berselipar buruk, dia bertanya kepada Nizam tentang hal tersebut. Sebenarnya selepas menunaikan solat Maghrib di surau stesen kretapi tadi, kasut Nizam dicuri oleh manusia yang tidak berhati perut. Melihat keadaan selipar surau yang bahagian depannya dipotong membuatkan Rini tergelak besar. Kemudian, terpacul satu dialog dari mulutnya yang membuatkan Nizam terkedu sebentar.

“Tu lah..siapa suruh pergi sembahyang. Kan dah hilang kasut..” lain macam bunyinya.

Disebabkan terkedu, Nizam memandang kearahnya tanpa berkata apa-apa. Rini hanya merenung muka Nizam. “Kenapa?”. Nizam terus menjawab tiada apa-apa. Seakan tahu apa yang mengganggu fikiran Nizam, dia terus saja bertanya, “Awak percayakan Tuhan?” ‘Aduh! Pasal apa lah aku naik keretapi harini? Kan dah kena tanya soalan maut macam ni!’ bentak Nizam di dalam hati.

Apa yang menarik tentang buku ini adalah cara penulis merungkaikan persoalan-persoalan akidah yang sangat kompleks kepada seseorang ateis. Watak Rini diperhalusi sebagai seseorang yang berilmu tetapi sudah tidak percayakan lagi wujudnya Tuhan. Soalan-soalan yang diajukan oleh Rini kepada Nizam bukanlah calang-calang soalan, tetapi soalan yang mencabar jiwa seoarang dai'e untuk menjelaskan Islam yang sebenar. Antara persoalan yang dilontarkan oleh Rini:

"Kenapa perlu saya sembah Allah?"

"Saya tidak akan menyembah Tuhan yang saya tak nampak...Buktikan Allah itu ada!"

"Awak cakap kitab-kitab agama terdahulu tercemar dengan tulisan-tulisan tangan manusia, boleh awak buktikan? Kalau setakat cakap, sesiapa pun boleh cakap kan? Buktikan! Itu yang saya mahu."

"Kenapa pula Allah menyuruh para malaikat dan iblis menyembah Nabi Adam a.s., sedangkan menyembah makhluk itu satu perbuatan yang mensyirikkan Allah. Boleh awak jelaskan?"


Aku membalas mesej mama dengan perasaan hati yang berbunga-bunga. Diam-diam aku mendoakan agar semua buku yang aku titipkan kepada mama dapat dibeli.

Lewat petang itu, aku menelefon mama.

"Ma, semua buku ada ke?"

"Ada, tapi buku yang last tu takde lah ina.."

Buku yang terakhir dalam senarai aku merupakan 'Kitab Cinta Yusuf Zulaikha' oleh Taufiqurrahman Al-Azizy. Sudah lama aku mencari buku ini. Tapi tak mengapa..buku-buku yang lain ada, termasuklah buku-buku karangan Abdul Latip Talib. Yang paling penting, 'Syahadah Gadis Ateis' dah pun dibeli!



notakaki:
saya sedang mencari buku-buku saya yang telah dipinjam sekian lama, terutama sekali buku yang mengisahkan kekasih hati saya, Salahuddin Al-Ayubi. sesiapa yang ada terpinjam tu, sila pulangkan ye..

23 March 2010

Forex Trading di UTM - Bhgn 2

Update terbaru:

17 Mac 2010


Presiden MPMUTM, Mohd Zaki bin Omar mengeluarkan kenyataan beliau setelah berjumpa dengan PM Dr Hussin Salamon:

"Salam..saya baru sahaja berjumpa dengan Ust. Hussin Salamon dari Fakulti Tamadun Islam.. Beliau amat arif dalam bidang stock market (saham). Selepas berbincang panjang, beliau berpendapat sesi forex boleh diteruskan sbg penghargaan jemputan kepada penceramah dan sebagai satu platform perbincangan tentang forex dalam konteks yang dibawa oleh ahli panel.

Beliau turut menyatakan kesudian untuk hadir jika tiada halangan tugas untuk mendengar ceramah yang disampaikan oleh panel2 yang dijemput terutamanya Encik Idris bin Husin.
Isu ini perlu diperbincangkan agar konteks ekonomi berasaskan Islam dapat diberi perhatian."


18 Mac 2010

Ura-ura mengatakan bahawa PMI UTM akan berkerjasama dengan Pusat Islam dan Fakulti Tamadun Islam setelah Ustaz Abd Hafiz Bin Abdullah Al-Hafiz selaku Naib Pengarah Pusat Islam UTM sendirinya memohon untuk menjalankan Forum Isu-isu Semasa 2 yang akan membincangkan tentang isu Forex ini dengan lebih lanjut.


20 Mac 2010


Seminar Model Ekonomi Baru Mahasiswa tetap berjalan termasuklah slot Forex Trading. Laporan di sini.

21 Mac 2010

Saudara Ismail Sirajuddin selaku mantan Naib Presiden 1 PMIUTM yang telah mengikuti seminar MEB memberi respon:

"Dalam persoalan pertama yang dipersoalkan oleh ust Zaharuddin berkenaan forex iaitu 'On the spot basis', mengikut penjelasan yang diberikan, Cikgu Idris juga setuju bahawa Islam hanya membenarkan forex yang berdasarkan on the spot basis bukan urusniaga secara bertangguh.

Namun yang kedua berkenaan isu leverage pula. Forex yang diterangkan semalam tidak dapat lari dari isu ini dan penerangan tidak berapa jelas kerana penceramah hanya menggunakan 'analogi akal' tanpa menyertakan dalil yang membenarkan.

Harap PMIUTM dan MPM tidak diamkan isu ini sebaik sahaja Program MEB semalam selesai kerana isu FOREX masih lagi tidak jelas."



Notakaki:

Bakal Berlangsung:

25 Mac 2010

Forum 'Peranan Mahasiswa Pemacu Ekonomi Global'
9.00 mlm
Tapak Pesta Konvo UTM ke-44

Anjuran Kelab Keusahawanan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam UTM.

Moderator : Zaki Harun (Timbalan Presiden PMIUTM)
Ahli Panel :

1. Sr. Hj. Dzulkefly Hj. Ahmad
2. Ustaz Ismail Mat Ali (Pengurus Besar Capaian Aspirasi Sdn. Bhd)
3. En. Abdullah Bin Jalil (Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM)

Forex Trading di UTM - Bhgn 1

14 Mac 2010

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (MPMUTM), Saudara Muhammad Zaki Bin Omar telah menulis sebuah artikel di blog peribadinya tentang promosi program Seminar Model Ekonomi Baru Mahasiswa yang diadakan pada 20 Mac 2010 di Dewan Sultan Iskandar.

Program yang membincangkan tentang Aplikasi Online Business Dalam Menjana Ekonomi Mahasiswa dan Berpendapatan Tinggi ini akan dihadiri oleh wakil dari Foreign Exchange Trading, FOREX (www.forexexcel.com), Pendapatan Melalui Online Blogging (www.hasbulaqill.com), dan Penjanaan Pendapatan Melalui Internet Marketing (www.majalahim.com).

Merujuk kepada huraian dalam tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (www.zaharuddin .net) berkenaan dengan kecenderungan hukum Forex ini, beberapa orang mahasiswa telah mempersoalkan status hukum program (Forex) tersebut melalui laman blog rasmi MPMUTM dan Facebook MPMUTM.


17 Mac 2010

Isu ini menjadi semakin hangat apabila semakin ramai yang mempersoalkan perkara tersebut, apatah lagi ia melibatkan sumber kewangan mahasiswa. Status halal, syubhah atau haram perlu dijelaskan dengan terperinci sebelum Forex disebarkan kepada seluruh mahasiswa. Ramai yang mendesak untuk dikaji semula.

Sehubungan itu, Exco Jabatan Kerohanian dan Intergrasi Sosial (JAKERIS) MPMUTM, Saudari Khairina `Izzati Binti Amir Hussain mengambil inisiatif untuk berjumpa sendiri dengan Professor Madya Dr. Hussin Salamon, Dekan Fakulti Tamadun Islam UTM bagi mendapat penjelasan lanjut dan pandangan beliau berkenaan isu tersebut. Dr. Hussin merupakan salah seorang pakar dalam bidang Ekonomi Islam.

Berikut merupakan laporan ringkas yang disebarkan melalui Facebook dari Saudari Khairina hasil dari pertemuan tersebut.

“JAKERIS telah pun berjumpa dgn Ustaz Hussin, Fakulti Tamadun Islam, mengenai isu forex tengahari td. Ustaz Hussin sendiri tidak bersetuju jika forex di promosikan dikalangan mahasiswa. Pandangan beliau:

1. Fatwa yang mengatakan forex itu haram telah pun di keluarkan di Jeddah. Cuma di M'sia, tiada fatwa yang jelas mengenai hukum forex.

2. Perdagangan matawang lari daripada tujuan asal matawang itu sendiri.

3. Forex boleh menjejaskan ekonomi negara disebabkan oleh naik turun nilai matawang.

4. Potensi untuk berlakunya riba' adalah amat tinggi.

5. Jika ada pun forex yang berlandaskan syari'ah dan benar-benar halal, ia amatlah terhad dan sukar untuk dicari.

JAKERIS sedang menunggu untuk berjumpa Ust Ismail Musytari mengenai isu ini sebelum tindakan selanjutnya.”


Selanjutnya, wakil dari JAKERIS meneruskan perbincangan bersama Dr. Ismail Mustari, Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (PIUTM), yang juga pakar dalam bidang Dakwah bagi mendapat pandangan beliau berkenaan isu tersebut.

“3.30 petang. Perrtemuan antara JAKERIS dgn Ust Ismail Musytari. Ust Ismail menyatakan jika Ustaz Dr. Hussin telah pun tidak bersetuju dgn Forex, Ustz Ismail sendiri tidak membantah pandangan beliau kerana Ustaz Dr Hussin pakar di bidangnya, iaitu Ekonomi Islam.”

Teguran dari Ust Ismail, "Bila dah ada kuasa sebagai pemimpin, seharusnya bertindak berlandaskan hukum Islam. Kalau kita turut menyumbang kepada perkara yang syubhah dan haram, kita akan dapat saham dosanya."


Perbincangan lanjut diteruskan bersama Ustaz Mohd Nasir Masroom, Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa UTM.

“4.30 ptg : Pertemuan JAKERIS dgn Ust Nasir Masroom. Ust Nasir menyatakan perkara yang sama seperti Ust Ismail Musytari. Ust Nasir mencadangkan dua alternatif iaitu :

1. Gantikan slot Forex dengan slot lain yang berkaitan.

2. Teruskan dengan slot Forex, tetapi perlu ada seorang pakar Ekonomi Islam yang menjadi pemerhati dan yang mampu memberikan penjelasan.”


MPMUTM bermesyuarat bagi membuat keputusan berkenaan isu yang dibangkitkan oleh mahasiswa UTM.

“5.30ptg : Mesyuarat antara JAKERIS, wakil-wakil MPP, dan beberapa orang mahasiswa yang prihatin bersama Presiden MPMUTM serta SUA MPMUTM. Hasil perbincangan mencapai kata sepakat untuk mengaturkan pertemuan antara Presiden MPM, Naib Pengerusi Fakulti MPM dan Pengerusi JAKERIS bersama Dr. Hussin pada mlm ini, jam 10.30mlm di Taman Teratai. Doakan yang terbaik buat mereka..”



PMIUTM telah mengeluarkan kenyataan melalui blog rasminya (http://pmiutm.blogspot.com), menggesa agar MPMUTM mengkaji semula pengisian seminar berkenaan “Forex Trading” sebelum ianya diperkenalkan kepada mahasiswa pada Seminar Model Ekonomi Baru Mahasiswa yang akan berlangsung 20 Mac ini.

Kenyataan Presiden PMIUTM, Saudara Mohd Khairul bin Abdullah Halim.

“Pada dasarnya, PMIUTM amat menyokong usaha baik MPMUTM dalam membantu mahasiswa dengan memperkenalkan jalan untuk menjanaekonomi, tapi soal halal dan haram perlu untuk dipertimbangkan. Jangan sampai niat baik kita dimurkai oleh Allah s.w.t di akhirat kelak kerana dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara.”

“Walaupun niat untuk memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menjana ekonomi pada zahirnya adalah baik, tetapi dalam soal memberikan jalan kepada kepada mahasiswa untuk terlibat dalam perkara syubhah dan haram, PMIUTM tidak sekali-kali akan setuju.”

Sehingga hari ini, Presiden MPMUTM masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini yang menunjukkan pendirian sebenar beliau terhadap ‘Forex Trading’. Mahasiswa menunggu.


Maklumat tambahan :

Syeikh Mufti Taqi Uthmani (pakar syariah dan Kewangan Islam Sedunia) berkata ia bukanlah sesuatu yang disukai oleh polisi Ekonomi dalam Islam.

Pandangan Majelis Ulama Indonesia (MUI) berhubung jual beli mata wang. Rujuk : http://provenforexsystem.wordpress.com/2008/07/10/fatwa-mui-tentang-forex/


Dikongsi dari sini