18 June 2010

Menagih Kasih

Titisan manik jernih menghiasi dahinya. Nafas tercungap-cungap.

Astaghfirullahal'azim.

Mimpi yang sama selama tiga hari berturut-turut mengejutkan Zayd dari tidur yang lena. Jantungnya masih berdegup kencang. Lirik matanya menyoroti deretan tubuh yang terbaring di atas lantai dengan hanya berlapikkan toto nipis. Lantas dia bangun dan membuka pintu bilik perlahan-lahan. Bimbang jika dia mengejutkan sahabat-sahabat yang masih lena dibuai mimpi.

Zayd mengerling jam di dinding. 4.15 pagi.

Alhamdulillah Ya Allah..terima kasih kerana memberi aku peluang ini.

Langkahnya dituju ke kamar mandi. Perlahan dia membuka pili air dan membasahkan tapak tangan. Sejuk sekali. Rumah usang berhampiran pantai, memanglah begini. Paip air di atas tanah terdedah dengan terik matahari dan sejuk malam. Di siang hari airnya panas, di malam hari airnya sejuk hingga menusuk tulang. Tanpa berlengah Zayd mengambil wuduk.

Lampu kalimantang di luar rumah mencurahkan cahaya samar ke ruang tamu. Dalam kesamaran cahaya itu jualah dahi Zayd bertemu dengan hamparan sejadah hijau tua.

Ya Allah, aku bersujud kepadaMu dengan penuh rasa kehambaan dan kehinaan, memohon kepadaMu agar diberikan kepadaku kekuatan dan ketabahan. Janganlah Kau palingkan aku dari rahmat dan kasih sayangMu. Jauhkanlah aku dari dosa-dosa yang ingin aku tinggalkan. Sungguh Ya Allah, aku lemah tanpaMu.

Zayd berdoa panjang. Esak tangisnya hiba, merayu kepada Sang Pencipta yang Maha Esa. Tahajjud demi menagih untaian kasih Ilahi.

___________________________________________________

"Min, siapa yang kena jadi imam hari ni?"

Amin melihat jadual di dinding. "Hari ni giliran Salleh,"

Dinihari itu menyaksikan solat jemaah yang didirikan dengan ikatan kasih sayang dan ukhuwwah.

Usai solat subuh, Zayd mencapai mushafnya dan turun ke bawah rumah. Sahabat-sahabatnya khusyuk membaca al-matsurat. Kakinya melangkah ke arah pantai. Deruan angin menyapa lembut wajahnya, membawa kesejukkan embun pagi. Dari jauh kelihatan sebatang Pokok Ru yang telah tumbang. Seingat Zayd, batang pokok tua itu telah lama tersadai di pinggir pantai. Entah kenapa, tiada yang mahu mengalihkannya.

Susunan langkah Zayd begitu hati-hati. Tapak kakinya mengelak deretan Tapak Kuda yang menjalar di pasir pantai. Otaknya ligat mengimbau kenangan minggu pertama dia tiba di rumah usang ini.

"Zayd, tolong ambilkan daun Tapak Kuda kat tepi pantai tu. Syed dah menangis sebab tak tahan sakit. Bisul di lutut dia dah sebesar guli."

Zayd memandang Haikal. Keliru.

"Lah, apa lagi yang kau tercengang? Tolonglah ambil. Aku nak cari kain untuk balut kaki dia."

"Tapak Kuda tu apa?" kotak suara Zayd melontarkan persoalan dengan desibel terendah.

"Haha. Kau pergi tepi pantai tu, cari pokok bunga yang menjalar atas pasir. Bunga dia warna ungu. Cepat sikit. Kesian Syed meraung-raung tu."

Rupa-rupanya Tapak Kuda yang dimaksudkan Haikal adalah Morning Glory. Haikal tak berhenti menyakat Zayd dan mengatakan dia terlalu lama tinggal di Kuala Lumpur sampaikan tak kenal spesies pokok. Yang peliknya nama Inggeris Tapak Kuda dia tahu pula.

"Daun Tapak Kuda ni kita lumatkan, kemudian letak pada tempat bisul." Haikal meletakkan segumpal daun yang telah lumat di lutut Syed. Lagaknya seperti seorang doktor muda.

"Arghhhh..sakitlah Haikal! Janganlah tekan!" Syed meraung lagi. Matanya berair menahan sakit.

"Haha. Kau ni Syed, cuba kuat sikit. Lelaki kenalah kuat," Haikal mencapai kain dan membalut lutut Syed.

"Dah siap. InsyaAllah esok bisul tu surut. Aku pelik betul macam mana kau boleh dapat bisul besar macam tu."


Zayd menggelengkan kepala mengingatkan kenangan itu. Sisa senyuman di bibirnya masih melekat. Sungguh, Allah telah mengatur hidupnya dan menemukan dia dengan insan-insan yang mengejar redha Ilahi. Syukur Ya Allah.

Zayd mengambil tempat dia atas batang tua Pokok Ru. Pandangannya dilontarkan jauh ke kaki langit yang berwarna biru tua kemerah-merahan. Matahari masih bergelut untuk menimbulkan diri. Lakaran warna di dada langit ibarat hamparan kanvas yang dilukis dengan penuh ketelitian dan maksud tersirat. Tiada tandingan jika dibandingkan dengan lukisan Leonardo da Vincci, Pablo Picasso, mahupun Vincent van Gogh. Mana mampu seorang hamba menandingi kehebatan Pencipta yang Maha Esa.



Zayd merapatkan mushafnya ke dada. Tiba-tiba rasa sebak menikam di benak. Mushaf ditangan dibuka dan diselak perlahan, mencari muka yang ditanda. Siraman cahaya langit walaupun sedikit membolehkan Zayd membaca surat cinta dari Ilahi dengan penuh kekhusyukkan. Angin pagi yang menderu membawa bersama lantunan ayat suci Quran dan hanyut dibawa ombak laut.

"Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Terangkanlah jawabnya: Ialah Allah dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), samada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): Keadaan tetapnya di atas hidayat petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata." (34:24)

Zayd tersentak apabila dia merasakan sepasang tangan menggengam erat bahunya. Dia menoleh ke belakang. Susuk tubuh Haikal tercegat dibelakangnya, mengukir senyuman di bibir. Senyuman penuh keikhlasan.

"Kau buat apa kat sini?" soal Haikal.

"Saja je. Baca Quran." Zayd menjawab ringkas.

"Ni apa?" Jari telunjuk Haikal mendekati muka Zayd dan menyapu basah titisan air.

Zayd tunduk lesu. Ah, Haikal memang begini. Selalu mengambil berat.

"Kau ada masalah? Tak nak kongsi dengan aku?" Haikal menyoal sambil meletakkan punggung di sebelah Zayd.

Pandangan mereka berdua lemas dalam keindahan dinihari. Matahari telah pun menampakkan diri dan langit semakin cerah diwarnai cahaya kuning kemerahan yang membuntang. Lama mereka mendiamkan diri. Haikal seolah-olah memberi ruang untuk Zayd menyusun kata.

"Malam tadi aku mimpi," akhirnya Zayd bersuara perlahan.

Haikal memandang Zayd, menantinya untuk bercerita.

"Sebenarnya dah tiga hari berturut-turut aku mimpi benda ni. Aku tak faham kenapa masa silam aku nak 'kejar' aku balik,"

"Apa kau cakap ni? Aku tak faham. Kau mimpi apa sebenarnya? Mimpi nak kahwin?" Haikal cuba menceriakan Zayd.

"Haha. Merepeklah kau ni. Sikit-sikit kahwin. Tau lah kau nak kahwin bulan depan." Zayd tersenyum mendengar soalan Haikal. Gaya selamba Haikal menyenangkan sesiapa pun.

"Habis tu, kau mimpi apa Zayd?"

Senyuman Zayd pudar sedikit demi sedikit. "Aku mimpi pasal lifestyle aku dulu."

Haikal menumpukan perhatian kepada Zayd.

"Aku mimpi aku hisap rokok dengan kawan-kawan aku dulu, lepas tu ada orang bagi aku paket kecil warna putih. Dia cakap 'benda' tu namanya Smack. Aku tau tu heroin sebab aku pernah cuba heroin TNT. Aku mimpi aku kat disko dengan Alia. Dia ajak aku menari. Aku nampak tangan aku melingkar pinggang dia. "

Zayd semakin sebak. Suaranya tenggelam timbul. Haikal memaut bahu Zayd dan merapatkan tubuhnya.

"Dalam mimpi tu aku nampak botol-botol arak atas meja. Kawan-kawan aku cabar aku minum Tequila campur Martini. Semua bersorak-sorak bila aku habiskan bergelas-gelas air kencing syaitan tu. Aku mimpi kena belasah dengan arwah abah sebab balik rumah dengan Alia dalam keadaan mabuk."

"Haikal, aku rasa kotor sangat. Kau tengok tangan ni," Zayd mengangkat kedua-dua belah tangannya.

"Tangan yang banyak buat dosa ni sekarang tanpa malu mengangkat untuk berdoa kepada Allah. Layakkah?"

"Aku rasa tak layak berkawan dengan kau, dengan sahabat-sahabat lain." Zayd tunduk, menyembunyikan riak wajahnya daripada Haikal.

"Zayd, jangan cakap macam ni. Aku tak pernah menilai masa silam kau. Semua tu dalam perancangan Allah. Yang penting sekarang kau dah tak buat semua tu. Kau dah taubat."

"Tapi susah aku nak lupa apa yang dah buat selama ni. Aku malukan ibu dan abah. Aku biarkan abah meninggal dalam keadaan aku berperangai macam syaitan."

"Zayd, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kalau kau datang kepadaNya memohon keampunan dengan membawa dosa seluas langit dan bumi sekalipun, selagi mana kau tak pernah menyekutukan Allah, Dia akan ampunkan semua dosa-dosa kau. Ni bukan aku yang cakap. Ni hadis qudsi tau." (1)

Zayd tidak dapat mengawal takungan air di kolam matanya. Bahunya terhinjut menahan sebak.

"Jadikan apa yang telah kau lalui sebagai peringatan dan muhasabah diri. Bukan untuk melemahkan kau, tapi menguatkan iman. Aku dan sahabat-sahabat lain menerima kau seadanya. Hanya Allah yang layak menilai seseorang."

"Kami akan tetap disamping kau walau apa pun terjadi. Ukhuwah berlandaskan iman itu indah kerana ia tidak mengenal latar belakang seseorang. Kita dah berjanji di hadapan Allah untuk menjadi mata rantai perjuangan ni, untuk membawa panji-panji Islam. Dan dalam perjanjian tu ada rukun dimana salah satunya adalah ukhuwah - hati dan jiwa yang terikat dengan ikatan aqidah."

Zayd senyap. Esakannya berkurang tetapi kepalanya masih tertunduk.

"Kau ingat tak tazkirah Ustaz Azhar masa program kita baru-baru ni? Ada tiga jenis manusia yang merasai kemanisan iman iaitu apabila Allah dan Rasul adalah lebih dikasihi berbanding selainnya, mengasihi seseorang kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kufur sepertimana ia benci dihumbankan ke dalam api neraka."(2)

Zayd mengangkatkan kepala dan memandang Haikal. Dalam hati, Zayd sempat memanjatkan seinfiniti syukur ke hadrat Ilahi kerana disuluhkan jalan yang benar, jalan yang telah menemukannya dengan sahabat-sahabat yang menariknya dari lumpur dosa.

"Hoi, korang buat apa tu? Jom masuk dalam. Wan masak nasi goreng ni. Penat aku cari korang. Rupa-rupanya bercangkerama kat tepi pantai ni. Ingat ni drama ke? Cepatlah, perut aku dah main lagu Shoutul Harakah ni."

Zayd dan Haikal menoleh ke arah rumah usang itu. Mereka ketawa melihat gelagat Syed yang menjerit-jerit di muka pintu.

"Ya lah, ya lah. Membebel je pakcik ni," sahut Haikal.

"Jom," Haikal menarik lengan Zayd.

"Syukran jazilan akhi, uhibbukallah."

Haikal tersenyum.

"Uhibbukallah aidhon."

Mentari pagi, burung-burung yang berkicau dan pukulan ombak menjadi saksi ukhuwah mereka. Betapa perancangan Allah itu sungguh hebat, dalam sekelip mata segalanya boleh berubah.



Wallahu'alam.


Nota kaki
(1) Hadis Qudsi, Riwayat Termizi
(2) Hadis Riwayat Bukhari & Muslim
(3) Syukran jazilan akhi: Terima kasih saudaraku
(4) Uhibbukallah: Saya sayang kamu kerana Allah